Skip to content

ku tahu segalanya yang ku tahu…

2012 September 27
by Guru Besar Pencen

Generasi bertuah yang punyai segalanya untuk menimba ilmu

Di usia emas ini saya sedar bahawa saya mempunyai satu kelebihan anugerah tuhan.  Saya dapat rasakan rasa hati orang yang saya lihat.  Walaupun tidak 100 peratus tepat tetapi sebahagianya adalah benar. Biasanya tok nujum atau tukang tilik sahaja yang dapat berbuat demikian. Tetapi ianya bukan satu perkara yang mustahil untuk menilik atau meneka rasa hati dan perasaan orang lain; ianya hanya memerlukan pengalaman, ketelusan dan tidak perlu apa-apa pengetahuan. Ia sangat berguna untuk kita menilai diri kita sendiri.

Situasi 1:

Bila Dato’ Ishak sampai, saya melihat dia duduk berseorangan di celah-celah hadirin yang hadir. Ramai yang tidak pasti kehadirannya. Kami beberapa orang yang seangkatan dengannya sedar kehadirannya.  Dia mengujakan kerana statusnya seorang hartawan (mungkin boleh dipanggil jutawan)  yang telah sangat berjaya dalam kariernya sebagai usahawan.  Beliau merupakan antara usahawan Dasar Ekonomi Baru yang telah dilahirkan.  Majlis ‘reunion’ Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam (dulunya kami panggil Sekolah Kampung Baru)  menjadi begitu bermakna dengan kehadirannya pada hari itu.

Dato’ Ishak tentunya tidak mempunyai apa-apa agenda bersama kehadirannya.  Beliau sudah miliki segalanya di dunia ini.  Hatinya tentu tenang. Bersamanya di bawa buah tangan sejumlah besar pizza domino untuk disedekahkan kepada rakan-rakan lama. Hatinya semakin tenang kerana dapat berjumpa dengan kawan lama yang telah beliau tinggalkan untuk mengharungi dunia perniagaan yang telah membawanya ke puncak kejayaan. Dia mungkin rindukan kawana-kawannya.

Bila di desak, dia berucap dalam majlis itu, walaupun dia bukan seorang pemidato yang baik seperti rakannya DS Anwar Ibrahim.  Ketika itu dia menjadi Bendahari UMNO Permatang Pauh yang mana DS Anwar Ketua UMNO bahagian itu. Dalam ucapanya dia mempelawa sesiapa yang ingin ke Afrika Selatan melancong (percuma) bersamanya sepertimana yang telah dilakukannya setahun yang lalu bersama beberapa orang bekas gurunya di SM Kampung Baharu).  Dia punya segalanya dan dia tenang mempelawa ‘semua’ hadirin. Dia sudah tidak suka bersusah-susah dan dia juga tidak perlu menyusahkan orang lain.  Betulkan tilikan saya.

Situasi 2 :

Radz baru sahaja membeli kereta Honda Accord 2nd hand  bernilai RM54K.  Cantik keretanya.  Bila saya berbual mengenai keretanya, dia mengandaikan kereta saya hanya bernilai kurang dari RM2000.  Walaupun begitu saya mengiyakannya walaupun saya jangkakan kereta saya masih boleh dijual dengan RM6000.

Selang 2 tahun kemudian, kereta Radz sudah tiada tetapi saya masih menggunkan kereta yang bernilai RM1000 (susut nilai dari RM2000) kerana anaknya ingin menggunakan kereta Honda Accordnya itu. Sekarang dia berkongsi kereta dengan isterinya.  Andaianya sangat mudah : Melangit mana pun kita berada, hanya takdir akan menentukan.  Satu penghinaan kita lakukan,  1000 aib yang akan kita terima.  Saya sedar benda itu.

Saya akan lebih banyak mendengar bila sesorang berbicara.  Pula yang berbicara itu ialah seorang yang berdarah panas (orang muda).  Bicaranya mengenai dunia, dunia disekelilingnnya, keluarganya, kebolehan, kepandaian, kelebihan dalam banyak segi yang dia lalui.  Banyak yang ingin disampaikannya dan saya hanya perlu mendengar dan akhirnya saya tahu apakah harapannya, apakah yang telah dicapainya dan andaian apa yang akan berlaku seterusnya; untuk pengetahuan saya.  Yang penting dia masih mahu bercakap dan bercerita dengan saya bila ada kesempatan nanti. Walaupun ada ketikanya dia memperlekehkan saya, saya masih boleh menerima.

Sanak saudara, rakan taulan, sahabat handai dan saya sendiri  sepatutnya perlu berhati-hati.  Sombong bukan sahaja diraut muka; ianya berada di banyak tempat.  Di kata-kata, di penampilan, perawakan, pemilikan harta, keangkuhan bicara, penonjolan diri, perangai dan tingkahlaku.  Kalau ianya jujur dari dalam hati, balasannya murni.  Kalau kesumat dari jiwa, balasannya tetap ada.   Kerana saya pernah menerima banyak balasan atas apa salahlaku yang telah dilakukan. Dan pernah menerima ganjaran atas apa kebajikan yang pernah dilakukan. Fair.

…gbpencen…ingin berbaik sangka dengan semua orang.

No comments yet

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 11 + 12 ?
Please leave these two fields as-is: