Skip to content

Apa yang saya fikirkan??

2014 April 12
by Guru Besar Pencen

Sudah hampir 7 tahun umur persaraan. Dalam masa sesingkat itu dipanjatkan kesyukuran kerana masih seperti biasa dari segi kesihatan. Dalam masa sesingkat itu terus mendapat peluang menyertai aktiviti keduniaan. Makan minum dan pakai; bersosial, berinteraksi, beraidah, ibadah  seperti biasa. Seperti dulu juga.  Mungkin kerana umur persaraan masih muda.

Semasa berjawatan dulu lain sibuknya.  Kebanyakan masa ditumpukan kepada bidang tugas yang dianuti dan sangat diminati. Sehingga kurang masa ditumpukan kepada keluarga dan kepada diri sendiri.  Tiada persediaan khusus untuk bersara.

Seorang guru “pakar matematik”  pernah bertanya saya ” Apa persediaan untuk cikgu bersara nanti?” Saya menjawab bahawa saya masih bekerja dan belum memikirkan untuk bersara. Saya juga belum memikirkan apa yang saya akan buat setelah bersara. Dia pula menjawab bahawa dia sudahpun mempunyai beberapa buah kandang kambing dan bercadang untuk meneruskan aktiviti perladangannya secara aktif selepas bersara.

Sebaik saja saya bersara terasa badan masih kuat dan bersemangat.  Jadi saya terus bekerja dan berkhidmat seperti sebelumnya. Saya meneruskan aktiviti sehinggalah ke hari ini (sehingga sebulan yang lalu, 1 Febuary 2014)) barulah saya  bersara sepenuh masa.

Sekarang saya telah berada di rumah sepenuh masa.

Dalam usia emas, yang menjadi musuh utama ialah “kudrat”.  Terasa sangat yang kudrat sudah tidak segagah dulu. Selalu tercari-cari di mana cermin mata di letakkan. Dan banyak masa di habiskan untuk mencari lokasi terakhir di mana kotak rokok di letakkan.

Apa yang saya fikirkan ?

Fikiran menjadi lebih kritikal dengan situasi semasa. Kritikal dengan perubahan pola kehidupan sezaman, perubahan cara hidup manusia Melayu dan bangsa bangsa lain di negara tercinta. Peka dengan keadaan politik yang jauh berbeza, perubahan serta perkembangan pesat semua bidang kehidupan. Semua membuatkan saya terus bersyukur kerana masih dapat melihat dan memerhati kesemuanya.

Bila sudah “tua”  semua yang berlaku dalam kehidupan seharian terus memahat  pengalaman – dahulu hingga sekarang. Apa yang telah dilalui dahulu menjadi panduan kepada apa saja yang berlaku sekarang. Saya yakin bahawa sejarah terdahulu tidak bezanya dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Penyelesaiannya tetap sama.  Apa yang berlaku akhirnya akan menenuai titik noktahnya di mana sejarah tidak pernah membohongi kehidupan kita.

Banyak rakan dan sahabat handai memprovok saya untuk berbual bagi menyatakan pendirian mengenai isu semasa – terutamanya politik. Saya tidak berminat untuk berbuat demikian kerana apapun  resolusi dari perbualan sedemikian tidak menghasilkan sesuatu yang tepat dan rasional.

Saya berpendirian, disebabkan ramai orang sudah berada dalam situasi yang tenteram, aman dan selesa – mereka  menjadi sombong, angkuh dan tamak. Sebut – apa sahaja isu, ramai yang (akan, mahu) bercakap berdasarkan kesombongan, keangkuhan dan ketamakan masing-masing.

Makan minum sudah berlebih, rumah sudah seperti istana, kereta sudah besar dan baru, anak-anak sudah bersekolah tinggi dan pandai, kefahaman agama sudah padat dengan dengan berbagai ilmu, jawatan dan gaji sudah tinggi, pangkat sudah besar.  Maka bercakaplah apa saja, semuanya betul belaka tiada siapa yang boleh membantah – Saya mengikut sahaja;  kalaupun tidak, dengarlah sahaja.

Apa yang sepatutnya saya fikir ?

Saya benar-benar bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berfikir – hanya berfikir apa yang ada di depan mata.  Selainnya biarlah Tuhan merencanakannya untuk saya.

Saya masih berpegang bahawa satu hari kebenaran akan menjelma dalam apa juga bidang yang menjadi isu. Yang sombong, tamak dan angkuh akan terpahat sebagai sejarah seperti yang telah berlaku di tempat-tempat lain di serata dunia.

Moral :

Sebagai warga emas, saya hanya berminat untuk mendengar.  Saya juga akan mengikut sahaja kerana sebagai pengikut ianya lebih mudah, selesa dan selamat.  Kawan masih ada, silaturahim masih terjalin, boleh duduk semeja dan yang penting jiwa tidak kacau.

Pengalaman yang tak seberapa telah mengajar saya bahawa kehidupan ini tidak ke mana.  Kita berhak merencana dan berusaha tetapi tidak berhak menentukannya.

Melalui pengalaman.  saya dapat mengandaikan apa yang akan berlaku di akhir episod sesuatu isu.  Sejarah akan menjadi rujukan.

…gbpencen…kurang baca buku sejarah kerana SPM (1968) tak ambil matapelajaran sejarah.

 

No comments yet

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 7 + 13 ?
Please leave these two fields as-is: