Skip to content

Mengiringi kematian oleh ustaz Ilias Zakaria

2009 June 14
by Guru Besar Pencen

Hari ini hari cuti,  yang kebetulan semalam saya dimaklumkan ada kematian di Taman tempat saya tinggal.  Keletihan malam itu membuat saya ‘set’ untuk menziarahi jenazah pada pagi ini.  Bila saya telefon, Hj Hamer yang selalu menguruskan jenazah di Taman saya,  memaklumkan bahawa jenazah akan di semadikan selepas solat Zuhur. Ia telah membuka peluang untuk saya berjoggin bersama isteri pagi ini sebelum mengunjungi rumah jenazah.

Tepat jam satu tengahari, jenazah di bawa keluar dari pintu rumah.  Ustaz Ilias Zakaria (seorang penceramah bebas yang handal) menyambut mayat di pintu :

Assalamualaikum … wr… (beliau memulakanya)

Hari ini kita menyaksikan berakhirnya satu proses kehidupan ; yang bermula dengan satu kelahiran dan berakhir dengan satu kematian.  Terima kasih saya ucapkan (bagi pihak keluarga si mati) kepada sahabat handai dan rakan-rakan yang sama-sama menziarahi jenazah,  juga yang telah membantu; baik dengan perkataan, sumbangan maupun perbuatan untuk memandikannya, mengkafan, di bawa ke masjid, disembahyangkan  dan seterusnya disemadikan.

Tuan Hj Omar seorang yang sentiasa tersenyum dan pendiam;  telah dipanggil untuk berada di sisi Nya seusia 77 tahun.  Beliau telah pergi meninggalkan kita semua untuk beristirehat selama-lamanya. Dari zaman kanak-kanak hingga ke zaman remajanya; dari zaman dewasa sehingga ke usia emasnya, beliau  telah membuat kebajikan untuk menempatkan dirinya disyurga Allah.  Marilah sama-sama kita mendoakan semoga segala amal kebajikan yang dilakukannya akan diterima oleh Allah dengan sebaiknya.

Tuan Haji Omar adalah seorang suami, beliau juga seorang ayah, juga seorang datuk dan juga sahabat, telah meninggalkan kita. Beliau mungkin telah melakukan sedikit sebanyak kesilapan;  selain dari kita meredhakan pemergiannya untuk mengadap Allah, marilah kita mengampun dan memaafkan segala kesalahannya. Semoga dengan keampunan dan kemaafan itu akan memudahkan perjalanannya menemui tuhan dan berada dalam syurganya.

Sekiranya beliau ada meminum seteguk air atau menjamah sesuap nasi, sudilah menghalalkannya.  Sekiranya beliau berhutang, sudikanlah menghalalkannya atau menuntutnya daripada keluarga terdekat beliau. (ada di antara keluarga si mati mengangguk-anggukkan kepala) 

Untuk saya dan semua yang hadir, jadikanlah pemergian Tuan Haji Omar ini satu  pengajaran dan latihan untuk kita semua menghadapi kematian nanti.

Marilah kita mengiringi perjalanan keluar dari rumahnya dengan bacaan Al Fatihah sebanyak tiga kali,  yang pada setiap kali bacaan kita melangkah setapak ke hadapan…  Al Fatihah…   Amin.

Begitulah nukilan semula  ucapan ‘salam terakhir’  Ustaz Ilias Zakaria yang sempat saya rakamkan di dalam memori kepala saya yang semakin pudar ‘tape’ rakamannya.  Sekiranya ada kesilapan, atau ada tokok tambah… mohon (ustaz) maafkan saya.

Apa yang saya ingin kongsi bersama ialah, begitu syahdunya salam terakhir itu membuatkan semua yang ada terpegun sejenak mendengarnya.  Dengan nada yang serak, garau dan basah beliau telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya (mungkin juga sebahagian yang hadir) . Keluarga si mati sungguh menampakkan ‘ceria’ (berpuashati) dengan cara pengendalian keluar jenazah berkenaan. Sepatutnya ucapan salam terakhirnya diperdengarkan pada setiapkali jenazah akan di bawa keluar dari rumah untuk disemadikan kerana banyak menfaatnya.

Cerita (di sebuah kampung) berlaku sebaliknya pula.  Saya pernah berada di dalam dua (2) situasi ini dengan suasana yang sangat menyedihkan. Ketikamana  jenazah sudah berada di pintu untuk di bawa keluar, di tambah pula hujan renyai-renyai dalam situasi (1),  tiada seorang pun tuan guru, atau tuan imam, atau mana-mana jawatankuasa masjid berada,  sekurang-kurang untuk meng – al fatihah– kan jenazah tersebut (mungkinkah kerana keluarga ini di kategorikan sebagai ‘keluarga miskin’).  Semua mereka (pembesar-pembesar masjid) menunggu di masjid, tempat jenazah akan disembahyangkan. Mengapa.. ? (mungkin saya kurang arif  ‘agama’)

Tertinjau-tinjau kaum keluarga si mati untuk mendapatkan simpati mana-mana alim-ulama tempatan yang berada di situ untuk merestukan perjalanan terakhir keluarga tersayang mereka, namun tiada seorangpun yang tampil ke hadapan.

 Resolusi situasi pertama, saya bergegas untuk meminta seorang ‘orang tua’ yang datang dari luar kampung itu untuk menguruskan perjalanan terakhir jenazah tersebut. Resolusi  situasi kedua, saya menarik tangan cik gu (rakan saya) yang berada di situ (untuk tujuan yang sama)  bagi meng – al fatihah– kan perjalanan terakhir jenazah itu;  saya memilih rakan saya itu kerana dia berketayap dan berjanggut panjang.

Selepas solat Zohor dan Solat Jenazah, dalam hati saya mendoakan semoga kepimpinan masjid, surau atau khariyah di beri petunjukan agar juga lebih fokos kepada isi hati keluarga yang dalam kesugulan selain perkara-perkara lain dalam pengurusannya (kadang-kadang di lihat lebih menonjolkan populariti diri dan organisasi) ..  kerana ianya juga ‘fardhu kifayah’ yang dituntut amalannya.  Keperihatinan Ustaz Ilias boleh dijadikan iktibar. 

…gbpencen….. selalu ingatkan kematian..yang tidak polular

7 Responses leave one →
  1. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    June 15, 2009

    Selamat Tengahari Cikgu,
    Hari Isnin suatu hari yang dinanti-nantikan, maklumlah semangat kerja meluap-luap. Banyak agenda yang nak ditemui untuk seminggu ini.
    Namun hari ini saya terhenti sejenak memikirkan hal-hal di hari muka bila membaca blog cikgu sebentar tadi.Kematian bukanlah sesuatu hal yang dapat dipandang sambil lalu kerana semakin hari ia semakin menghampiri kita. Janji yang pasti.tidak terlebih tidak terkurang. Bulan ini sahaja jiran saya di Batu Pahat menghadapi dua kematian dalam jangka masa dua minggu.
    Dalam keadaan begitu keredhaan kita dituntut. Begitu juga kehidupan, apa jua keadaan kerehdhaan yang dituntut. Bila kematian pun ada kelasnya yang tersendiri, kadang-kadang kita rasa terkilan. Maut dijemput tanpa beza, tapi kematian diurus mengikut pangkat ,harta dan paling malang mengikut haluan politik.Hmmmmmmm…..macamana saya esok hari.
    Pengalaman saya di Makkah….saya mimpi dijemput pulang ke Rahmatullah oleh dua Malaikat dan ditanya apakah saya bersedia untuk pergi meninggalkan dunia ini. Jawapan saya ..kalau ini ketentuanMU ya Allah aku redha kerana ini kehendakMu dan bukan hak aku untuk kesana atau tidak. Namun saya masih hidup hari ini kerana salah satu Malaikat itu berkata ,Allah masih mahu kau disini kerana banyak urusan yang belum kau selesaikan.
    Saya terjaga dari mimpi dan sehingga ini saya sedar dan tidak bermimpi lagi bahawa sesungguhnya banyak lagi yang perlu diuruskan didunia ini.
    Ya Allah Redhakanlah apa yang aku usahakan ini sehingga aku pulang kepangkuanMu nanti.
    Terima Kasih Cikgu

  2. June 15, 2009

    Salam ..
    Tuan Haji bertuah kerana peringatan (mimpi) itu berlaku di tanah suci, tempat berkumpulnya segala kesempurnaan ibadah. Anggaplah ianya sebagai satu peringatan, yang bukan calang-calang ‘kebesarannya’ kerana berlaku di tempat yang amat tinggi martabatnya. Tuan Hj telah dipilih untuk diingatkan di tempat sesuci itu.. hikmahnya tidak terkata . Takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang, seperti kata tn hj .. maut di panggil dimana-mana saja, tak tau bila dan siapa.. al-fatihah..
    Terima kasih.

  3. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    June 15, 2009

    Selamat Petang Cikgu,
    Saya belum haji lagi….cuma diberi peluang ziarah umrah tahun lepas….Mintak sangat jangan panggil saya Tuan Hj.
    panggil saya Aziz dah lah.
    Tolong ye Cikgu. Mintak sangat-sangat saya
    Terima Kasih cikgu

  4. TeacherSRI permalink
    July 13, 2009

    Salam perkenalan untuk GBpencen..Tengah dok surfing tiba-tiba terjumpa blog GBpencen…bolehlah tolong berikan pengalaman cikgu macammana nak ‘sustain’ minat mengajar supaya bila mati nanti anak murid kenang jasa kita sampai bila-bila…. dgn kerja yang tak habis-habis kat sekolah kadang-kadang terasa ‘letih’…pencapaian student tidak sehebat mana pun…lainlah kalau dapat ngajar budak sekolah asrama penuh….mungkin guru-guru tersenyum lebar setiap kali keputusan peperiksaan keluar….kalau murid berjaya..

  5. July 14, 2009

    Teacher ; Rintihan cikgu saya kongsi bersama kepenatannya. GB harus menentukan yang mana yang urgent; important; KIV. Ada diantara kerja selain dari mengajar itu yang boleh KIV, ada yang kena letak di tepi dulu, tapi demi memenuhi tanggungjawab orang atas2 kita kena segerakan.. yang boringnya semua orang atas2 ni nak segera, semua kerja mereka menjadi keutamaan.. maka kerja-kerja mengajar ini tidak menjadi keutamaan kah ? Itu namanya birokrasi. Jadi GB kena susun dan bantu meminimakan birokrasi ini. Banyak ceritanya dan saya akan cerita dalam ‘do the basic’

    Terima kasih kerana singgah kat blog kerdil ini.

  6. shukri permalink
    September 7, 2009

    Assalamualaikum,
    Hari ni cuti umum nuzul Quran di penang.
    Mlm td di surau Bertam Perdana ada tazkirah ramadhan oleh Ustaz Ilias Zakaria dimana membincangkan pembentangan kajian separuh penggal proposal ramadhan. Ustaz Ilias mengajak kita mengkaji pencapaian ramadhan kita berdasarkan KPI Allah. Ulasan dan penerangan penuh dgn ilmu dan relevan menunjukkan Ustaz Ilias seorang yang sangat tinggi ilmunya dan bahasa yang digunakan penuh dgn unsur intelektual. Oleh sebab itu, selepas kuliah subuh tadi, saya terus balik dan mencari maklumat mengenai ustaz Ilias di internet dan terjumpa artikel “mengiringi kematian oleh Ustaz Ilias Zakaria” yg ditulis oleh cikgu. Saya terus membacanya dan inilah ucapan yg pernah saya dengar disampaikan oleh Ustaz Ilias ketika mengiringi pemergian birasnya dan ibu mertuanya suatu ketika dulu. Saya merasa bertuah dan bangga kerana Ustaz Ilias Zakaria juga mempunyai pertalian dgn saya iaitu sebelah isterinya (Ustazah Rokiah). Dan semasa sedang menulis ini, sy mendpt panggilan tel drp ibu sy, menyampaikan berita kematian adik ipar kpd Ustaz Ilias. Inna lilla hi wainna ilaihiroji’unn. Dan mungkin hari ini sekali lagi saya akan mendengar ‘salam terakhir’ disampaikan oleh Ustaz Ilias Zakaria.

  7. Guru Besar Pencen permalink*
    September 7, 2009

    Untuk Shukri : Terimakasih kerana terjumpa Blog kerdil ini yang selalu menulis kisah-kisah kita sesama kita di penghujung usia. Sebagai kenangan, perkara-perkara yang baik itu dihebahkan. Kekadang ada sinisnya tetapi ada teladannya. Kekadang ada sukanya kerana tiada sudah perkara-perkara yang saya tidak suka, kerana orang muda tidak berapa suka kalau orang tua-tua tak suka..
    Terima kasih Shukri.

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 9 + 13 ?
Please leave these two fields as-is: