(Iklan) Harta Puaka – ‘for sale’
Maaf – hanya sebuah iklan (cerita ini cerita sebenar sungguhpun begitu nama-nama dalam cerita ini bukan nama sebenar) :
Awal memang beria-ia untuk menjual tanah pusaka ini. Yang lain (perwaris lain) pun beria-ia juga tetapi mendiamkan diri. Tanah seluas 37.5 ekar itu bersebelahan dengan lokasi Crystal Golf, Valdor, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Tanah tersebut melalui satu rantaian sejarah keluarga yang unik. Ianya bukan sekadar harta pusaka tapi ianya sudah hampir menjadi harta puaka. dengan sebab itulah mungkin telah mendorongnya untuk mengiklankan jualan tanah tersebut dalam akhbar Metro, 19hb Ogos, 2009.
Keluarga (arwah) ayah Awal dan keluarga (arwah) ayah Azmi memiliki separuh dari keluasan tanah tersebut. Ayah-ayah mereka adalah abang saya. Dan keluarga (arwah) Tok Smeea memiliki separuh lagi. Sekarang rangkaian pewaris sudah berleret-leret panjangnya tapi semua mereka sudah bernafsu benar untuk menjual tanah tersebut. Tanah itu sudah tidak berhasil lagi. Walaupun begitu semuanya membisu seribu bahasa kerana…..
Dulu semasa arwah-arwah ini masih hidup, keluarga Tok Smeea mentadbir tanah tersebut sebagai sebuah ladang (estate) getah. Selepas meninggal dunia, salah seorang dari keluarga ini (En Aseop) meneruskan urustadbir tanah tersebut. Sehinggalah keluarga abang-abang saya sedar bahawa tanah tersebut telah tidak lagi memberi keuntungan kepada keluarga kami. Semua sepakat menyerahkan urusan jualan kepada En Aesop. Jualan gagal dibuat dengan sedikit kekeliruan tetapi berjaya mengagihkan 10% cagaran pembelian bernilai RM400,000.00 kepada semua pewaris.
Tanah telah di ‘kavet’ oleh bekas pembeli yang telah kehilangan RM400,000 cagaran pembelian. Asas ‘kevet’ kerana ada diantara pewaris yang telah diberi/menerima wang tambahan sebanyak RM100,000.00 (untuk keluarga kami) dan RM100,000.000 untuk keluarga En Aesop . Arwah abang-abang saya telah memulangkan semula wang tersebut kepada peguam ( dan masih dalam simpanan peguam) sebagai memudahkan urusan membuka semula kavet bagi penjualan seterusnya nanti. Sehingga sekarang ‘kavet’ tidak boleh dibuka melainkan keluarga En Aesop mengembalikan wang tambahan RM100,000.00 yang diterimanya.. kata peguam.
Tahun ini saya telah membayar bayaran hasil tanah tersebut kerana takut tergadai. Tahun-tahun sebelumnya ada sanak saudara saya yang agak berada menjelaskan bayaran tersebut. Dia juga takut tergadai. (orang lain entahlah … ). Nama saya tidak pun tercatat dalam senarai pewaris di geran tanah itu. Demi sayangkan tanah pusaka bahagian abang-abang saya, saya gagahi juga. Saya juga berharap tanah tersebut untuk dijual. Saya kasihankan arwah yang telah berusaha untuk menyediakan pusaka untuk anak cucunya tetapi sekarang sudah semakin menjadi puaka dengan gelagat manusia. Awal menetapkan harganya RM6.00 sekaki persegi diiklannya dan saya mempertaruhkan RM5.00 adalah last price kerana wasiat tidak rasmi dari ayah Awal bahawa beliau berharap harga RM5.00 sekaki persegi itu harus dipertahankan. Hampir RM6juta boleh diagihkan mengikut ‘faraid’ kalau boleh dijual dengan harga itu.
Kepada semua keluarga saya, demi Allah tiada kepentingan apa-apa untuk mendesak saya menjual tanah itu untuk kepentingan saya. Yang penting kerukunan hubungan kekeluargaan yang dipertahankan selama ini telah agak tergugat dengan harta puaka ini. Kita kena rasional kerana tiada siapa yang berusaha untuk menjual tanah ini hanya Awal sahaja. Tiada siapa yang mempunyai hak mutlak ke atas tanah tersebut, tambahanlah saya. Sebenarnya semua keluarga ayah Awal, ayah Azmi dan keluarga Tok Smeea ada hak atas tanah ini TAPI kenalah duduk semeja untuk berpakat. Pakat membawa berkat; wasangka membawa perasangka dan camcamerba.
Kepada keluarga Aesop : Bukalah hati duduk semeja .. berunding. Semua akan dapat habuannya. Usaha perasangka kerana harta puaka ini jika diperolehi nanti, sudah tidak perlu lagi ‘memegang cangkul’, hanya sediakan jari untuk mengira duit berjuta . Insyaalah.
Kepada pembeli : kalau benar hendak membeli, usahlah jadi broker ‘air liur’ saja. Tunjukkan kesungguhan, amanah dan telus, pasti hajat tidak terhalang. 2 panggilan telefon dari bakal pembeli belum menunjukkan tanda-tanda positif.
..gbpencen…bersedia untuk mengigit ‘gigit jari’….. kerana sangat mengetahui bahawa inilah dunia.
Tuan Guru Besar Pencen, begitulah resam orang melayu, kalau pasal harta satu emak satu bapa pun bergaduh inikan pula lain emak dan bapak. Kita juga hairan sikap orang melayu yang nampak tamak bila nampak duit, tapi orang melayu tak nampak kaya macam orang lain pun. NAMPAKNYA ORANG MELAYU JADI TAMAK YANG LANGSUNG TIDAK MENGUNTUNGKAN.
Salam Ramadhan Cikgu,
Lama saya membaca artikel cikgu kali ini, bukan apa…terdetik dihati saya , selagi ada tanah yang dipusakai selagi itulah ada konfrontasi. Ada perbalahan dan ada pergolakkan. Agaknya selagi Israel dan Palestin masih berebutkan Baitul Mukkaddis selagi itu masalah tanah takkan selesai. Baik di utara maupun di selatan sama sahaja, ketamakkan membawa manusia manusia ini lupa diri. Bahawa kita semua sebenarnya berasal dari tanah. Segumpal tanah yang sama hinanya, tak terkurang tak terlebih. Melayu, Cina, Kafir dan Islam
Selamat Berbuka Cikgu, orang Brunei kata Selamat Bersungkai.
Aziz : Nurzaman :: Yang jadi masaalah sebab tanah pusaka ini adalah di punyai oleh 2 keluarga yang berlainan. Satu keluarga dari pihak saya, satu lagi keluarga dari pihak sahabat-sahabat abang-abang saya. Semasa hayat mereka (tuan punya -asal) ianya tidak jadi masaalah, perhubungan mereka masih akrab dan saling percaya mempercayai. Setalah ketiadaan peneraju utama, tanah tersebut maka bermulalah episod ketamakan (bukan semua – adalah seorang dua). Yang menimbulkan masaalah ialah kegagalan berkomunikasi sesama sendiri. Terima kasih atas pandangan tuan-tuan.
Saya sedang berusaha untuk memberi kepada yang berhak …
Ada kawan saya bagitau yang dia baru jelas perkataan bersungkai itu .. berbuka puasa. Saya pun mungkin kali kedua mendengarnya…