Perlumbaan baru tidak mencabar.
Banyak ungkapan lunak sempena menyambut tahun baru Masehi yang boleh kita dengar. Ianya berlaku dalam bulan December. Secara jujurnya menyambut Masehi lebih bererti dari menyambut Muharram. Diharap ianya bukan satu dosa kerana itulah hakikatnya. December penuh bermakna buat semua dan buat saya seada-adanya.
Saya dilahirkan dalam bulan December. Bila menjelang tahun baru usia saya sudah genap. December tahun ini genap 58 tahun. Satu penitian yang jauh dan semakin dirasai. Bagi guru-guru yang mengambil opsyen bersara 58 tahun, kudratnya makin terasa kurangnya. Kepada Guru Besar yang memilih opsyen tersebut saya angkat topi jika mereka menyatakan tidak meletihkan kerana saya bersara pada usia December 2007 – 56 tahun, ianya sudah cukup untuk mengajar saya ertikata tugasan yang meletihkan.
Saban tahun ada saja azam yang ditanam tetapi bagi saya saban tahun saya tidak mempunyai apa-apa keazaman. Keazaman akan menuntut kita agar sentiasa berusaha memajukan diri. Saya tidak berhasrat untuk memajukan apa-apa. Membujur lalu melintang patah. Apa yang menghalang akan saya akan ‘randuk‘ , apa yang membujur saya akan ‘redas‘. Terpulang kepada apa yang telah disuratkan ke atas saya. Wajarkah saya begitu ?
December sungguh bererti kepada saya. Setiap December akan menjadi ingatan kepada saya bahawa saya telah genap usia (?) tahun. Setiap December saya akan menilai diri. Berbagai persoalan : Sudah berumur, sudah tidak berjaya, sudah berjaya, semakin sihat, semakin di ambang keuzuran (?), sudah puas, sudah insaf dan berbagai-bagai lagi termasuk sudah cukup (?) mempersiapkan diri untuk menghadapi hari-hari akhir. December dapat mengungkapkan segalanya.
Namun saban tahun setiap kali December meninggalkan kita, semasa Januari hampir menjengah diri.. saya ingin pastikan saya tidak mengecewakan tanggung jawab saya. Saya selalu mempastikan saya tidak melakukan penginayaan kepada sesiapa, tidak sombong, tidak bongkak, tidak bakhil. Juga dapat menyumbang kepada diri sendiri, keluarga, rakan dan teman sekadar termampu. Mungkin ini boleh dikategorikan sebagai ‘azam saya‘. Azam yang sama saban tahun.
Di December beberapa tahun kebelakangan saya sudah tidak mengejar apa-apa. Kereta masih lama – Wira 1995, motosikal lama – Honda Fame 1985, rumah lama – 1979 , hiasan baru (kerana bini rajin berhias) , pakaian lama , bini lama.. semua yang baru sudah tidak menjadi buruan saya. Ianya telah terkeluar dari perlumbaan saya. Cukup dengan apa yang ada. Saya mencari gelak ketawa kawan-kawan, senyum mesra sanak saudara, helai ketawa anak cucu, yang mana masih mahu mengukir senyum, yang masih mahu tertawa-tawa dan yang sudi bermesra.
Di December ini pula sudah tidak menarik lagi darjat dan bintang kebesaran (dari dulu pun tak minat – walaupun ditawarkan), sudah tidak perlu sanjungan menggunung, sudah tak perlu lagi jawatan yang berkuasa, sudah tidak mahu lagi glamour tak bertempat, juga tidak begitu perlu makanan yang enak, minum yang lazat, hiburan yang mengasyikan. Cukup teh secawan, nasi semangkuk pelapik perut; yang penting ada rakan yang mahu berbual, ada keluarga yang mahu menyapa dan sana saudara yang boleh diajak bicara.
Hanya sangat diperlukan ialah kesihatan yang sejahtera dengan susuk tubuh seadanya agar dapat memberi kebajikan kepada diri sendiri, keluarga, sanak saudara dan sesiapa saja. Amin ……..
Dari dahulu hingga sekarang, saya hanya seadanya. Melayari kehidupan sebagai penumpang di bumi Allah ini. Sentiasa menjengah ke belakang (itu sebab tidak maju) melihat sisa-sisa kehidupan manusia di bumi ini.
Tahniah kepada semua yang bertekad menghambat kemajuan diri (tidak salah, malah dituntut, digalakkan dan disokong). Namun dalam operasi penghambatan ini, sertailah ia dengan sedikit kesedaran dengan menoleh sedikit ke belakang untuk melihat-lihat yang tertinggal itu, kerana yang tertinggal itu adalah sisa-sisa manusia yang sedang bergelumang ‘meniti kehidupan‘.
Selamat Meniti Kehidupan Tahun Baru 2010
...gbpencen… ada anataranya yang saya pun cakapkan tidak serupa bikin.
Salam cikgu. Saya luahan rasa “orang lama” yang perlu dihayati oleh “orang muda”. Selamat menyambut tahun 2010. Semoga tahun ini lebih cemerlang daripada tahun yang sudah-sudah.
Salam Cikgu,
SELAMAT TAHUN BARU dan SELAMAT HARI LAHIR. moga Tuan Dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.Insyallah.
Saya teringat kata kata bapa mertua saya ketika menyambut hari lahir dua orang cucunya dikampung tahun lepas. Semasa kecil kita tak sabar sabar nak menyambut hari lahir saban tahun,sampai umur kita sepuluh tahun kita tak sabar nak menjadi dua belas tahun, sampai dua belas tahun kita tak sabar nak mencapai lima belas tahun.Kemudian kita menunggu pulak masa sehingga bila nak berusia duapuluh tahun. Tapi bila usia berginjak hampir tiga puluh kita mula lah berfikir kalau umur 20 an itu tak berganjak.Kemudian sedar sedar dah 40 an seperti kau ( merujuk pada saya ). kemudian lima puluh dan kemudian enam puluh. lutut dah sakit. merokok pun dah asyik terbatuk batuk. Sejak umur aku masuk 70 an ni, Aku dah kembali ke zaman anak anak,kalau dapat menyambut hari lahir tahun depan pun aku dah bersyukur sangat.tak pernah terfikir lagi nak tunggu umur 80 tahun. Hanya gembira dapat melihat cucu cucu membesar saban tahun. Syukur teramat dapat melihat hari ini.
Saya tetap begini, masih sibuk dengan dunia saya, sedang dunia yang hakiki semakin menghampiri.Dalam sibuk warga kota hendak berpesta menghampiri 2010 saya lari jauh ke Nilai, bermain golf dengan klien saya. Kata Hantu Golf….Penutup tahun 2009. Semoga tahun depan bertambah baik pukulan dan semakin menurun Handicap. Sama bunyi masa 2009 menjengah setahun lalu. Cuma tahun 2010 akan menjadi tahun yang agak getir bagi Hantu Golf ni, apataknya, isteri-isteri sekarang tak percaya lagi bila suami pergi keluar mengatakan nak bermain golf. Tak percaya, tanya TIGER WOODS…ha..ha..ha…
Biarlah masa bergerak dan berlalu, jiwa biar tetap begitu. Semangat tetap jitu. Biar selalu menoleh kebelakang namun fokus kedepan tetap utama.
Gikgu selalu merendah diri tapi banyak orang berjiwa besar memang begitu. Bagai padi yang semakin lama semakin tunduk kebumi penuh isi.
Au Lang Syne 2009, Tahun penuh bererti bagi saya kerana dapat tumpang lalu disini.
Terima kasih Cikgu.
Ha.. satu catatan yang menarik. Terus ke depan, dan sambil-sambil toleh ke belakang… renung ke belakang tempat asal kita bermula.
Yang mmenarik sangat, kata-kat ayah.. tahun demi tahun ingin menyambut hari lahir.. yang akan datang.. akhirnya hari lahir semakin HENDAK meninggalkan kita.
..gbpencen.. tak pernah pegang kayu golf.
En Yusof : Saya dah baca entri terkini tuan. Tuan seorang ilmiah tak macam saya dan sudah tentu lakaran tuan amat bermakna dan berpengetahuan. Salam sillaturahim.. insyaalah.
Assalam mu alaikum wr wbt
Salam berkenalan, Layar punya layar di ruang maya ini tetiba terjumpa laman ini..
Membaca catatan, coretan serta komenter orang pencen apatah lagi guru besar banyak manfaatnya. Sudah pasti banyak pengalaman orang lama yang boleh dikongsi bersama. Saya pun orang pencen juga tetapi bukan guru besar. Guru biasa..
Pencen pun pada umur mencapai 56 tahun.
Semoga pertemuan di laman maya ini mengeratkan silaturrahim…
salam.. gbpencen dah lupa la tu.. kita pernah sama2 pegang kayu golf kat driving range kat safira..
Cg Rahman : Ohh dah lupa saya pernah main kayu golf dengan cgu. Walau bagaimanapun kehebatan cgu tak dapat saya tandingi.
…gbpencen… born not to play GOLF.. maaf