Skip to content

Guru yang tidak boleh ditegur

2015 May 4
by Guru Besar Pencen

                                  Image result for guru sekolah mengajar

 

Tegur adalah satu azimat yang berguna. Saya suka menegur guru saya. Maksud menegur itu adalah menyapa. Setiap kali saya berselisih dengan guru di sekolah saya akan menyapa.  Ingin menunjukan saya suka dengannya;  saya suka bekerja dengannya;  saya tidak sombong, lebih-lebih lagi ingin menunjukan kepadanya yang saya memerlukan dia untuk bekerja dan bekerjasama dengannya.

Apa yang saya perolehi ialah – saya senang bekerja di tempat saya bekerja dengan bantuan guru-guru saya.

Dalam maksud yang lain :

Tegur atau membuat teguran sebenarnya ialah cuba membetulkan kesalahan atau kesilapan yang dilakukan oleh sesorang guru.Teguran yang hendak dibuat kepada seseorang guru merupakan satu delima kepada saya. Teringat saya satu ungkapan :

“orang yang hendak membuat teguran  adalah lebih sukar daripada orang yang kena tegur”

Saya mengakui kebenaran ungkapan itu.  Oleh itu amat susah untuk saya menegur guru-guru di bawah kelolaan saya. Dan perlu diakui bahawa perkara tersebut adalah kelemahan saya sendiri.

Implikasi daripada tabiat susah untuk menegur itu membuatkan saya terpaksa mengambil masa yang agak lama dan sesuai untuk membetulkan keadaan yang saya “tidak suka”.  Ia akan melalui proses mencari kata-kata yang tepat untuk menjadikan teguran itu lebih berhemah. Ia akan melalui beberapa kaedah lain untuk menunjukan bahawa tindakan sesorang guru itu salah.

Mengapa saya membuat teguran ? Apakah teguran saya berasas ?

Saya membuat teguran kerana merasakan apa yang dilakukan oleh rakan guru saya tidak menepati kehendak etika bidang tugas. Asas teguran saya ialah : Kerana saya mampu atau pernah melakukan sesuatu tindakan yang dilakukan itu dengan lebih betul dari apa yang rakan guru saya lakukan.

Berdasarkan asas sedemikianlah saya melayari kehidupan sebagai seorang ketua di tempat saya pernah bertugas.  Hasilnya terdapat satu jalinan keharmonian antara rakan guru dan ketuanya. Seterusnya saya merasa selesa dengan tugas dan jawatan saya.  Pada hemat saya, ianya akan menjadikan pengurusan dan pentadbiran dapat berjalan seperti kemahuan saya.

Tidak dapat lari bahawa ada rakan sekerja yang tidak boleh atau tidak suka ditegur.  Saya beranggapan ianya bukan satu cabaran dalam saya mengurus sebuah sekolah. Saya akan menyesuaikan diri dengan sikap guru yang sedemikian.  Mencari kaedah lain adalah satu alternatif.  Asasnya saya tidak perlu untuk mengwujudkan satu konflik.  Dengan beralah sedikit, tingkatkan jalinan persahabatan dan semuanya akan berjalan seperti biasa.

Terdapat rakan-rakan guru besar yang menceritakan mengenai konflik yang sering timbul antara mereka dengan rakan guru di sekolah masing-masing. Dalam diam saya berbisik di hati bahawa sebenarnya kita boleh mengelakkan konflik.

Dengan sedikit merendah diri, mengurangkan ego, sentiasa tersenyum dan jadilah ‘role model’ kepada mereka.  InsyaAllah, tidak akan wujud apa-apa konflik.

...gbpencen…. bukan guru besar sebenar.

Saya suka mengurus.

2015 April 28
by Guru Besar Pencen

 

Kalau dahulu saya suka bermain bolasepak, sekarang pun masih suka permainan itu tetapi sudah tidak sesuai lagi untuk bermain. Kalau dahulu saya suka mengurus pasukan bolasepak tetapi sekarang masih suka tetapi kudrat sudah tidak mengizinkan.  Begitulah sebenarnya cerita disebalik umur emas. Semua aktiviti lalu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Kalau dahulu saya suka mengurus kelab dan persatuan bolasepak dan sehingga sekarang saya terpaksa mengurus persatuan bolasepak.  Bukan sahaja rakan-rakan atau keluarga yang hairan melihat tabiat saya tetapi saya sendiri merasa hairan dengan tabiat itu.

Oleh sebab terpaksa, maka saya terus mengurus Persatuan Bolasepak Nibong Tebal sekadar termampu.  Saya rasa persatuan ini sepatutnya diuruskan dengan lebih baik  tetapi oleh sebab kudrat dan kesempatan amat terhad maka saya uruskan sekadar yang termampu sahaja.

Sebab utama mengapa saya terpaksa terus mengurus persatuan ini ialah kerana tiada siapa yang berminat jawatan saya sebagai setiausaha. Sudahlah tiada bergaji atau elaun, tetapi semuanya atas belanja sendiri termasuk keperluan dan peralatan mengurus. Jika tidak diuruskan ianya akan berkubur – rasanya.

Setelah 17 tahun berada di posisi setiausaha, saya belum pernah menjawat jawatan selain dari jawatan itu. Hanya sekali rakan seperjuangan saya merasakan saya sepatutnya menjadi Naib Presiden dan saya mencubanya tetapi dalam masa yang sama saya terpaksa memangku jawatan setiausaha.  Jadi saya mengambil keputusan untuk terus bertugas sebagai setiausaha demi kesinambungan persatuan ini.

Dalam usia yang semakin menyempit, pengalaman saya semakin meluas.  Bukan khusus dalam bidang pengurusan bolasepak sebaliknya dalam hal menguruskan sumber manusia (AJK) yang ada bersama saya.  Kebanyakannya kurang pengalaman dan kemahiran komunikasi untuk menghadapi ahli dan pemain yang begitu ramai. Oleh yang demikian saya suka menguruskan mereka – secara ‘basic’ agar ianya seiring dengan kehendak semua pihak yang meminati sukan ini.

Saya beranggapan saya berjaya dalam serba kekurangan.  Presiden dan Ahli Jawatankuasa datang dan pergi, bersilih ganti.  Hanya 2 orang ‘kami’ yang bertahan selama 17 tahun.  Rekod pencapaian peribadi saya dan Naib Presiden 1, En Ong Eng Hua boleh kami berdua banggakan. Kami sering saling membantu dan pendapat kami selalu rasional dan positif.  Bersama dengan 4 orang mantan presiden dan berpuluh-puluh AJK silih berganti persatuan ini meneruskan aktivitinya secara konsisten.

Saya tidak boleh menonjolkan kejayaan mengurus semata-mata sekiranya tidak disusuli dengan pencapaian yang baik. Kerana dalam kekurangan yang teramat sangat kami juga telah melalui saat-saat manis dengan pelbagai pencapaian.

Antaranya persatuan ini pernah beraksi dalam Liga Piala FAM dan Liga Perdana, menjadi Johan Sukan Penang (SUKPEN) 3 tahun berturut-turut, separuh akhir Liga Futsal, Asia Pasific di Singapura, Dalam Liga Persatuan Bolasepak Pulau Pinang kami pernah menjadi Johan Div 3 , Johan Piala FA dan Johan Div 2 (22 perlawanan tanpa kalah) dan terkini berada di tangga pertama carta liga Div 1, menjadi satu-satu pasukan yang belum mengalami kekalahan dalam 7 perlawanan.

Sebagai ‘tugasan utama’ sejak 17 tahun yang lalu, saban tahun saya sentiasa terus berusaha menganjurkan liga bolasepak untuk pemain-pemain tempatan dalam daerah Seberang Perai Selatan dan kawasan sekitarnya. Walaupun liga ini tidak mampu menawarkan hadiah lumayan, saya merasakan cukup untuk anak-anak bola di sini mengisi masa lapang bermain secara berperaturan disamping mengembangkan potensi dan bakat yang ada.

…gbpencen…. sangat membanggakan kerana sudah ada padang sendiri dengan ikhsan kerjaan Negeri Pulau Pinang.

 

Terjumpa kawan lama

2015 February 1
by Guru Besar Pencen

Kalau tanpa kemudahan WhatsApp, dengan kudrat yang semakin mengecil, dengan kekangan-kekangan yang sedia ada, mungkin saya tidak akan bertemu malah berhubung dengan rakan-rakan lama saya semasa di maktab perguruan 40 tahun yang lalu.

Namun dengan inisiatif beberapa orang rakan, mereka menwujudkan satu kumpulan WhatsApp untuk lepasan DTC, Hutton Lane, Pulau Pinang penuntut sekitar tahun 70″an.  Maka ramailah kawan-kawan yang menganggotai kumpulan ini.

Suasana santai jelas kelihatan apabila sesama sendiri bertanya khabar.  Saling memperkenal dan memperkatakan status masing-masing yang kebanyakannya sudah menjagkaui umur lebih 60 tahun. Kebanyakannya sudah berstatus datuk dan nenek dan sudah mempunyai beberapa orang cucu.

Semakin meriah nukilan-nukilan dalam wasap ini kerana masing-masing sudah lupa nama kawan-kawan yang hadir di dalamnya.  Imej muka sudah tidak dapat lagi diimejinasi. Rakan-rakan dengan ikhlas memberi klu-klu agar ingatan ahli kumpulan kembali pulih. Namun masih ada yang mendiamkan diri kerana daya ingatan sudah tidak kesampaian lagi.  Ada antaranya menghantar gambar-gambar lama yang masih di simpan agar dapat memujuk ingatan mengingati saat-saat manis 40 tahun yang lalu.

Ruang litup coretan kebanyakannya berkisar mengenai memperkasakan batin untuk menempuh hari-hari terakhir dalam kehidupan. Saling ingat mengingati mengenai keesaan Allah dan kasih sayang dengan junjungan besar nabi Muhammad saw. Mempraktikkan tuntutan Islam dan memperkasakan sunnah.

Gambar-gambar yang dihantar kebanyakannya berkisar dengan nota-nota yang syahdu agar rakan-rakan kumpulan saling menginsafi bahawa diri sudah dipenghujung senja.Sekali sekala ada juga coretan humor memecah keseriusan dalam berbicara.Saling berlumba-lumba menyampaikan ilmu keagamaan dengan merujuk kepada bebagai-bagai sumber atau yang diambil dari berbagai-bagai sumber.

Namun,

Dalam suasana hening dengan keinsafan umur senja itu, ahli kumpulan tidak terlepas juga untuk mempamerkan peribadi yang sebenar. Ada juga ahli kumpulan yang cuba mengheret  rakan-rakan berpolitik dalam arena politik semasa.  Malangnya dengan penuh kebijaksanaan kebanyakan rakan yang lain hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa seketika. Maka fahamlah pencetus bicara politik bahawa kebanyakan rakan tidak terbawa-bawa dengan trend semasa yang banyak memecahbelah dari bersilaturrahim.

Ada juga,

Yang marah-marah apabila coretan yang ditulis oleh orang lain agak tersasar, Namun ada pula yang memujuk agar menjaga perlakuan kerana : sudah tua, sudah berilmu, mesti menegur dengan berhemah; maksudnya “semua kena fahamlah yang tua-tua ni bukan berapa “ketahuan” sangat. (dengan senyuman)

Yang terbaru,

Seorang rakan mengadakan kenduri perkahwinan anaknya dan menjemput semua ahli kumpulan melalui kemudahan wasap ini. Seharian hanya satu sahaja pos (2 keping gambar)  sahaja yang kelihatan tertera oleh seorang ahli kumpulan yang hadir.  Yang lainnya hanya menyepi tanpa sebarang coretan, tidak seperti hari-hari biasa yang lalu..  Entah hadir atau tidak pun tidak diketahui.

gbpencen : hantar satu pos kepada WhatsApp kumpulan dengan menyatakan tidak dapat hadir ke kenduri perkahwinannya.