Skip to content

Kenanganmu (guru), kenanganku (murid)

2011 January 15
by Guru Besar Pencen

Salam cikgu…Cikgu ajar saya masa darjah empat.Saya sering menceritakan pada anak-anak saya yang tulisan cikgu sangat cantik.Lepas cikgu mark periksa buku,cikgu mesti tulis A dan baik.Di bawahnya mesti ada awanlarat.Sayalah yang cikgu selalu suruh nyanyi bila dekat dekat nak balik.Terutamanya lagu Si baju hijau.Dan saya masih ingat bila cikgu cerita Pinocchio,satu kelas boleh teriak!Dah tua ni baru terfikir,takdalah sedih sangat.Saya doakan supaya cikgu sentiasa sihat dan dilindungi Allah.Insya-Allah.

Tengahari itu saya masuk kelas seperti biasa.  Saya selalu berkaca mata hitam ketika mengajar sesi  petang.  Guru baru selalunya di bully ke petang.  Guru-guru senior kebanyakannya ke pagi.  Guru-guru lembam di tolak ke petang juga kecuali guru yang mengajar kelas lembam. Guru muda, datang dari Pulau Pinang mengajar di sebuah kampung yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas dan taraf sosio ekonomi – tentunya ia diberi perhatian oleh penduduk setempat termasuk murid-muridnya.

Seingat saya, saya mengajar geograpfi,  pada masa itu dipanggil Ilmu Alam. Tiba-tiba saya melihat Wahid sedang bermain-main dengan kayu pembaris di mejanya.  Saya rasa agak marah dan mengarahkannya memberhentikan tingkah lakunya.  Murid lain melihat sahaja Wahid.  Dia memang seorang murid yang agresif.  Saya teruskan sesi pengajaran yang makin lama makin menarik perhatian semua murid lain.  Saya melukis peta Tanah Melayu secara free hand. Meletakkan simbol-simbol dengan kapur warna seceruk rantau Tanah Melayu di papan yang memang hitam. (belum ada papan hijau di masa itu).

Sekali lagi saya terpandang Wahid yang sedang meneruskan aktivitinya.  Saya memberhentikan pengajaran dan memberi amaran ‘terakhir’ supaya dia jangan melawan kehendak saya.  Dia meneruskannya juga dengan senyum sinis.  Saya memintanya bangun di kerusi duduknya.  Dia akur berdiri di atas kerusi. Saya menghayunkan pembaris panjang dengan sekuat-kuatnya ke punggungnya.  Dia terkejut besar termasuk seluruh kelas darjah 4 itu.  Dia duduk dan memekupkan mukanya di meja.  Saya rasa dia sangat sakit.

Sebelum sempat saya meneruskan pengajaran, Wahid sudah meninggalkan kelas.  Dia berjalan keluar dari kawasan sekolah dengan meninggalkan begnya di kerusi.  Saya tidak memberi sebarang respon sebaliknya meneruskan pelajaran seperti tiada apa yang berlaku.  Murid-murid lain kelihatan termanggu-manggu atas tindakan saya yang tidak seperti sebelumnya.

Esoknya Wahid tidak datang sekolah.  Tengahari saya nampak ayah Wahid datang.  Saya kenal ayahnya.  Di ‘pelantar’ basikalnya ada sebilah parang.  Kecut perut saya melihatnya.  Dia datang dengan seorang rakan saya, Man.  Dia menongkatkan basikal di tepi bangunan setingkat – lama  – sekolah ‘pattern’ orang putih’ dulu.  Mereka terus menuju ke pintu kelas bilik saya.  Saya melihat pintu satu lagi terbuka.  Hanya ada dua pintu saja di kelas itu.  Dan ada 2 tingkap yang cukup besar untuk saya meloloskan diri.  Semuanya bersedia jika ‘apa-apa’ berlaku.

“‘Cikgu!, Wahid ni memang ‘jahat’ cikgu…. cikgu pukullah dia, jangan bagi patah, pekak ke, bisu ke… tak palah”.  Lega… saya tak perlu lagi melihat pintu atau tingkap untuk melarikan diri.  Dan tak perlu lagi melihat parang pemotong pelepah nipah di pelantar basikal ayah Wahid.

“Tu… dia, sebiji lukis peta Tanah Melayu, tak tengok buku pun”.  Kata Man,  rakan saya yang datang bersama ayah Wahid.  Tidak terasa apa-apa pun dengan pujian Man, tetapi rasa amat lega dengan selesainya episod pembaris panjang semalam. Saya menyerahkan beg Wahid yang ditinggalkan ‘semalam’ kepada Man untuk di bawa balik.

SMS yang saya terima (di atas)  melalui facebook mengungkapkan semuanya.  Dari seorang murid tentunya ada kenangan dengan gurunya:   dari seorang guru ada kenangan bersama gurunya.  Satu perkara yang menjadi perbezaan antara pengirim SMS ini dengan Wahid adalah jurang digital  dan aras pendidikan antara mereka.

Pengirim SMS ini, seingat saya adalah seorang murid yang taat dan patuh kepada perintah gurunya.  Berdisiplin, berhemah dan berbudi bahasa. Gurunya sudah berjaya menambat hatinya untuk belajar bersama antara keduanya.  Minat yang di tanam oleh guru akan membuatkan murid begitu ‘hormat & kasih ‘ kepada gurunya.  Gurunya (saya) bukanlah seorang guru yang berpelajaran tinggi tetapi kemahiran mendidik (menulis, melukis dan bercerita – contoh) yang digarapkan dengan situasi dan persekitaran yang sesuai dan tepat telah menjadikannya beliau murid yang lengkap  untuk belajar.

Berbeza dengan Wahid, ianya mempunyai minat yang berbeza.  Dia berlari keliling kampung bersama saya dan cik gu Faizol untuk meningkatkan tahap stemina.  Akhirnya kami, buat kali pertama dan kesekian kalinya menjadi Johan Bolasepak bawah 12 Tahun di daerah Dinding (sekarang Manjung).  Beliau seorang kapten dalam pasukan itu.  Semua murid menghormatinya.  Dia boleh memimpin pasukan dan semua rakan menghormati kebolehannya. Di dalam kelas, perhatiannya tidak terarah.  Beliau gagal di situ. Akhirnya menjadi penagih tegar….

Guru dan murid.  Murid dan murid ada bezanya.  Guru dan guru tidak semestinya ada perbezaan.  Satu nama yang perlu di dokong adalah Guru itu Pendidik – perlu bekerja keras untuk mendidik murid yang berbeza-beza.  hakikat yang mesti di terima.

...gbpencen… ada kenangan bersama guru. Ada kenangan bersama murid. tidak semua boleh dicerita dan sebahagiannya adalah rahsia.

7 Responses leave one →
  1. January 15, 2011

    Salam.
    Kenangan terindah ya cikgu. Betul ke cikgu lembam ditolak ke petang?
    Alangkah sedihnya begitu.

  2. skjuru permalink
    January 15, 2011

    o, patut la saya kena ngajar petang dulu.. Bagus ibu bapa zaman cikgu, sekarang ni klu suara tinggi skit je, esok kna marah dgn ibu bapa la..

  3. Khairi Din permalink
    January 15, 2011

    semoga Wahid sihat hendaknye. Kawan Wahid juga kawan saya Rosli Bin Ros telah pergi dahulu. Yang lain semuanye ok. Sayang dahulu Wahid tak pernah diberi belaian untuk menjinakkannya dgn buku. Anak Wahid juga pelajar terbaik tapi dalam bidang sukan shj. Cucu Wahid pon mungkin sama juga. Macam mana besok anak cucu kita…kalu pandai besi tentu pandai urus bola, kalu rajin lukis carta cinta tentu bakal sasterawan seperti dato interlok kalu rajin kesurau tentu seperti datonya ustaz khazai,kalu suka conteng dinding tentu pencen nye besok seperti GBP

  4. gbjawab permalink
    January 17, 2011

    Khairi, Roha, SK Juru :

    Lama masa di ambil untuk mengenali diri kita. Ramai orang kita temui untuk mengenal diri kita juga. Tidak semuanya indah dan tidak semuanya payah.

    Saya ibaratkan kita ini dalam pengembaraan di dunia ini.. akan sampai masanya titik itu terhenti dan kita menoleh mengenang ke belakang.

    Sejauhmana kita boleh menggunakan imbasan lalu untuk menetapkan halatuju kita. Nak jadi apa kita. Pilihannya tentu tepat sebab semuanya dah kita lalui.. !

    … betul atau salah, saya telah membina landasannya….. sekurang-kurangnnya untuk saya !

  5. January 17, 2011

    hehe, best pengalaman cikgu.skang xder parang panjang gb, skang diorang bawak surat lawyer je.

  6. Khairi Din permalink
    January 19, 2011

    Sebagai seorang ayah kepada 3 anak yg dah bersekolah saya rasa semua ayah ingin melihat kejayaan anak mereka. Kisah Wahid satu kampung tahu tapi kisah ayah Wahid ramai yang mungkin tak memahaminya. Ayah Wahid nak ke laut tapi singgah sebentar menyapa guru yang ngajar anaknya. Si anak tidak dapat melihat hadapan yg mungkin ada ranjau, candu dan moffin. Si ayah dapat melihatnya dengan matahatinya, ternyata benar. Sebagai ex PTA Chairman saya sangat berbangga dgn Si ayah yg bersikap proaktif cuma kesalahannya mungkin tak sengaja atau mungkin disengajakan untuk menggerun seseorang. Tapi ape pon kesan dari kejadian itu ia banyak mengubah kearah positif ramai orang kampung nelayan itu. Kelas bangun Terimakasih Cikgu.

  7. Aziz Kassim permalink
    May 16, 2011

    SELAMAT HARI GURU, CIKGU.
    Masih Belajar Walaupun Hanya Singgah Sekali Sekala.

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 7 + 5 ?
Please leave these two fields as-is: