Saya mengadap Lembaga Disiplin
Terpanggil untuk menunaikan saranan pembaca blog ini yang meminta komen mengenai rusuhan bolasepak yang berlaku di Kota Bahru, Kelantan ketika Pasukan Bolasepak Negeri itu bertemu dengan Negeri Sembilan.
Biasanya saya akan cuba mengelak untuk membuat komen apatah lagi untuk membuat teguran terhadap mana-mana pihak/individu kerana selalu menyedari diri sendiri pun terlalu banyak kekurangan. Sungguhpun begitu, saya juga mempunyai pendapat sendiri dan pengalaman seperti itu yang boleh dikongsi bersama.
Aksi pasukan NTFA (Nibong Tebal Football Association) dalam Liga Perdana, Liga Malaysia (Liga M) tidak disenangi oleh banyak pihak. Diantaranya merasakan mampukah pasukan daerah yang sekerdil ini mengharungi cabaran dalam Liga M ?. (memang tidak mampu pun). Sesungguhnya cabaran yang dilalui sungguh getir. Sebagai Setiausaha Persatuan tersebut, dengan kerja kuat rakan-rakan sepasukan, cabaran itu terus diharungi. Keseluruahn 5 tahun dalam Liga M termasuk 2 tahun dalam Liga Perdana amat …… (macam-macam ada)
Menjadi idaman semua peneraju dan pencinta bolasepak (peringkat bawahan seperti NTFA) ialah kesempatan untuk beraksi dalam Liga Malaysia namun segelintirnya sahaja bertuah. NTFA antara yang bertuah. Kesempatan itu telah saya menfaatkan untuk mempengalamankan saya. Antara puluhan cerita (yang menarik dan tidak menarik) terselit cerita yang membabitkan NTFA dengan pasukan PKNS yang membawa …
saya telah dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketika itu kami menjadi tuan rumah di Stadium Negeri Batu Kawan melawan pasukan PKNS (Selangor). Kejadian berlaku berhampiran bangku simpanan Pasukan PKNS. Pemain kami yang melakukan kesalahan di tempat tersebut telah diserang (setelah berlaku provokasi) dan pemain kami membalas serangan itu. Pegawai NTFA turut masuk campur dengan menyerbu ke tempat kejadian dan berlaku pergaduhan. Pegawai pasukan PKNS juga membalas serangan. Kami dipersalahkan. Memang kami bersalah. Tapi tidakkah mereka juga bersalah?. Apa dan siapa yang menjadi puncanya. Semuanya tidak menjadi pertimbangan. Hukuman berfokus kepada siapa yang menyerang kawasan siapa, bukan memfokuskan pemain NTFA yang di ‘provok’ dan di serang. Ekoran insiden tersebut pasukan kami mendapat nama jolokan ‘All Black’ oleh keluarga FAM dan kejadian itu dikategorikan sebagai ‘free for all’
Kami kalah dalam perlawanan tersebut (separuh akhir Piala FAM ). Tahun berikutnya kami menang dengan LADA Langkawi setelah kami memenangi protes terhadap pasukan tersebut (satu lagi episod gembira (akan datang) sebagai setiausaha NTFA. Kami layak beraksi dalam Liga Perdana buat kali pertama. Mengasyikkan (?)
Ekoran dari insiden itu, saya berserta dengan Presiden dan Naib Presiden (mendiang En Ooi Teng Hoe dan En Ong Eng Hua) dihadapkan ke Lembaga Tatatertib FAM (Peratuan Bolasepak Malaysia). Saya mula mengumpul maklumat kesalahan dan lain-lain untuk di analisis bagi mempertahankan diri. Laporan MI (Match Inspector) sudah tentu tidak memihak kepada kami. Beliau bekas seorang pengadil senior di Pulau Pinang. Apatah lagi pengadil, tentu sekali tidak. Panggilan ‘all black’ telah menjadi sinonim kepada NTFA kerana kebanyakan pemain berketurunan India (Malaysia). Mengandaikan apakah pertuduhan yang hendak dihadapkan kepada kami, saya mendapatkan semua maklumat sebelum ‘mengadap’. Dari pemain, pengurusan, polis, keselamatan, petugas, RELA dan pegawai. Saya perincikan. Saya membuat ‘home work’ dengan teliti, dengan harapan saya dapat membuktikan sekurang-kurangnya bukan kami sahaja yang bersalah.
En Gary Nair, salah seorang, Naib Presiden dalam Persatuan Bolasepak Pulau Pinang menyatakan dengan penuh yakin dan bersemangat bahawa ‘NTFA akan kena gantung sekurang-kurangnya 3 tahun’. Banyak lagi cerita yang tidak enak di dengari sebelum saya ke Kelana Jaya. Saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya cuba untuk buktikan.
Terus menerus saya pertaruhkan bukti-bukti yang ada bahawa kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada NTFA. Dari laporan MI, saya diasak dengan tuduhan kami gagal mengawal tingkah laku pemain dan pegawai termasuk kegagalan untuk menempatkan polis (dan pegawai keselamatan) dinafikan dengan menamakan pegawai polis yang hadir, kereta peronda polis yang berada seawal permainan bermula dengan nombor platnya sekali, jumlah anggota rela yang bertugas. Saya dan rakan memperkukukuhkan hujah yang MI tiba dilokasi perlawanan kurang dari masa yang sepaptutnya beliau hadir (1 jam sebelum perlawanan) kerana saya berada di stadium sebelum ketibaannya. Laporannya perlu di pertimbangkan kesahihan pemerhatian penuhnya.
MI cuba mempertaruhkan kesalahan yang insiden tersebut se serius ungkapan ‘free for all’ . Saya terus membuat penegasan bahawa ungkapan itu sebenarnya membawa makna ‘semua terlibat dalam pergaduhan’ ( bukan kami saja) mengapa kami sahaja yang dipersalahkan. Dengan tenang tanpa meninggi suara, dengan berhemah mengatur ungkapan agar terserlah kematangan, diperjelaskan satu persatu persoalan yang cuba ditimbulkan. Saya hanya ingin buktikan kami tidak 100% bersalah, itu saja. Penghujahan mengambil masa kira-kira 45 minit.
Kami diminta menunggu diluar. Kami diminta masuk semula lebihkurang 20 minit kemudian.
Kata pegawai ‘pendakwa’ : belumpun pernah sekali pun, pihak yang mengadap Lembaga Disiplin ini (FAM) begitu tenang mempertahankan kebenaran, biasanya akan berlaku ketegangan yang berpanjangan dalam ‘perbicaraan’. Mereka juga bersetuju dengan maksud ‘free for all’ yang kesalahan sebenarnya perlu diletakkan kepada semua yang terlibat. Akur bahawa ada persiapan keselamatan untuk perlawanan tersebut tetapi ianya tidak memadai dan perlu dipertingkatkan lagi.
Pasukan anda diberi amaran keras (hanya). Mendiang Presiden mengandaikan (pendapat beliau) Lembaga Disiplin terpengaruh dengan ketenangan NTFA berhujah.
Sepanjang perjalanan pulang dari Kelana Jaya, mendiang Presiden sibuk menjawab panggilan telefon dari Pulau Pinang. Dalam senyum kegembiraan beliau menyatakan kepada kawan-kawan yang NTFA tidak diwakili oleh setiausahanya, tetapi diwakili oleh seorang ‘lawyer’. Saya pula tersenyum (keletihan) bangga kerana terlepas dari hukuman gantung dan denda (wang).
Tidak lama selepas itu, MI yang melaporkan perlawanan NTFA dengan PKNS itu memalingkan muka ketika berselisih dengan saya. “Maafkan saya Tuan Haji, saya hanya menjalankan tugas”, bisik hati saya. En Ong pula merungut-rungut, biasanya Lembaga Disiplin menerima apa saja laporan mereka (MI dan pengadil) tetapi ianya tidak berlaku pada pasukan NTFA, kita bukan hebat.. tapi kita menyatakan yang hak dan yang benar.
…. kalau sudi, tunggulah perlawanan dengan TNB Kelantan dan LADA Langkawi….
…gurubesarpencen… lepas Mesyuarat Agung, tak mau jadi Setiausaha dah….
memang ada talents jadi ‘lawyer’..
Wah, hebat juga cikgu berdepan dengan lembaga displin FAM.Selalunya ramai yang kecut perut berdepan dengan mereka ini,kerana pangkat mereka…..kerana gelaran mereka…..dan kerana mereka nampak garang dan memangnya garang.wbp kerana persediaan cikgu dan relaksnya cikgu menghadap mereka,telah menyebabkan mereka kalah.Kadangkala ketenangan dlm sesuatu situasi itu penting.
Jangan anggap pula saya meninggi diri, hakikatnya memang begitulah yang berlaku. Walaupun nama-nama mereka semuanya ‘besar’ tapi saya yakin dan saya cuba. Sebenarnya saya pemalu juga tetapi bila terdesak.. saya akan cuba lakukannya. Terima kasih.