Antara F 1 dan R 1
Bertolak dari minat yang mendalam mengenai pembangunan negara semenjak saya dilahirkan (6.12.1951) hingga kini (2012) maka saya mengenangkan betapa bahagianya ‘saya’ berada dalam sebuah negara yang bernama ‘Malaysia’.
Dalam usia emas ini saya amat selesa mengerjakan solat zohor dalam dingin bilik berhawa dingin di ruang tidur rumah saya. Selepas mengajar cucu ‘juhama‘ (juz amma) saya terus menghadap komputer untuk melakar kenangan yang telah lama ditinggalkan. Semacam satu KEBAHAGIAAN juga. Masih selesa di bumi tercinta ini untuk beribadat secara basic – tanpa ada sebarang halangan. kecelaruan maupun pertikaian. Secara basicnya saya boleh memberikan sebanyak-banyak syukur ke atas izin dan limpah kurnia Nya.
Bila saya fikirkan : Sebuah kereta lumba Formula One (F1) meluncur di litar di luar negara maupun di Sepang Curcuit (khasnya), nilainya dan nilai kos pengendaliannya menjangkau jutaan ringgit, saya merasa diri ini jauh dari realiti kehidupan sebenar di Malaysia. Saya tidak sepatutnya merasakan tetapi saya merasakan bahawa diri ini begitu kerdil kerana mempunyai peluang tetapi kekurangan ruang untuk menggapai pencapaian seperti pengendali-pengendali F1 tersebut.
Bila anak saya menyemak Jawatan Kosong dalam Jabatan Kerajaan, dia bertanya R1 tu apa maksudnya. Saya teringatkan jawatan Pembantu Pejabat di sekolah yang gred hakikinya begitu. Gred jawatan yang paling rendah dalam sektor awam yang gaji asasnya RM700.
Saya fikirkan pula : Antara F1 dan R1 perbezaannya amat ketara. Merujuk kepada pepatah orang tua-tua, untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Semuanya mendapat keuntungan sekiranya kita terus berpuashati dengan apa yang kita perolehi dalam kehidupan ini.
Moral yang saya sendiri tafsirkan dari coretan di atas ialah :
Apa saja amalan kehidupan dalam sesebuah negara, dengan apa gelaran sekalipun ianya tidak dapat mengimbangi kepuasan seseorang manusia. Kepuasan seseorang hanya boleh dibentuk apabila dalam dirinya sudah tiada perasaan tamak dan dengki. Kepuasan harus dibentuk melalui usaha yang telah dijalankan oleh dirinya sendiri. Dan kepuasan sebenar hanya boleh segar apabila kita redha dengan ketentuan Ilahi setelah kita berusaha. Akhirnya kita tidak lagi sombong dan bongkak.
Senario terkini :
Ke mana sebenarnya kita sedang menuju. Ramai yang beranggapan kita sedang menuju ke arah penambahbaikan – di dalam sistem kerajaan – dalam penghayatan Islam – dalam sistem pemerintahan – dalam pengurusan keselesaan hidup. Ramai yang menganggap apa saja yang sedang berlaku sedang melalui keaadaan yang tidak baik dan perlu dibaiki lagi.
Walaupun begitu ianya akan serba tidak menjadi jikalau semua kita tidak redha dengan ketentuan ilahi melalui garis panduan asas yang telah diletakkannya (perasaan tamak, dengki, sombong dan bongkak).
Akhir kalam : Gaji minima pekerja swasta telah ditetapkan RM900 oleh kerajaan. Gaji minima R1 penjawat awam hanya RM700. Sudah tentu nanti ada pihak yang mempertikaikan – Penjawat Awam masih rendah dari swasta. Kalau diletakkan pendapatan taikun koprat F1 mencecah puluhan jutaan ringgit tentu ada juga yang akan mempertikaikan gaji Ketua Setiausaha Kerajaan masih rendah berdasarkan sumbangannya. Pi, Mai, Pi Mai… sampai bila pun tiada siapa yang akan berpuas hati’ kecuali orang-orang yang bersyukur.
…gbpencen…ada perkara yang yang sukar untuk diredhakan lagi.
lama tidak mengomel ?