Menampung dan menumpang hidup.
Kereta yang saya pandu terus bergerak. Terhinggut-hinggut bila melalui lopak-lopak jalan. Berdenyut bila melalui jalan tar yang baru diturap. Serasa seperti menaiki kereta baru pula.
Mengungkap kata-kata seorang menteri yang bertanggungjawab : “sebuah lopak ditemui di jalanraya, satu dewan (Dewan Rakyat) gegak gempita; seribu km jalan baru dibina… apa pun tak dak”
Kereta saya (model 1994) telah biasa melalui jalan berlopak, jalan berturap, batas ban, batas taliair, jalan kampung dan juga lebuhraya, Saya juga pernah berjalan di batas bendang (tanggung padi) , di parit taliair (gagau ikan) , di lorong kebun getah (motong getah), pernah juga berjalan di Chow Kit Road, di Penang Road dsbnya…… cukuplah seada-adanya.
…. pendek kata dimana bumi dipiak di situlah langit dijunjung.
Kini, suasana agak sunyi, hanya sekali sekala terburai rasa tidak puas hati orang ramai akan keadaan di negara tercinta ini.Isu kenaikan harga barang menjadi topik utama yang menunjukan kegagalan pemerintah membendungnya. Kelembapan ekonomi menjadi perbualan yang popular.
Kebenarannya masih ada. Itu pun kalau yang membangkitkannya dari golongan yang berpendapatan rendah dan yang bergantung hidup kepada ikhsan syarikat-syarikat swasta yang kebanyakannya dipunyai oleh golongan bukan Melayu.
Tetapi ianya tentu sekali tidak dapat di terima jikalau ianya dibangkitkan oleh golongan peniaga yang telah lama berjaya memonopoli perniagaan dan mengaut keuntungan di Malaysia. Dengan hanya beberapa bulan kebelakangan ini sahaja keuntungan mereka berkurangan, mereka sudah mengelupur mempamer dan mempromosikan ketidak beruntungan mereka. Semasa mereka membuat keuntungan… Apa kata mereka ?
Semasa untung pun tidak pernah bersyukur, semasa rugi apatah lagi !.
Semasa untung pun tidak pernah berterima kasih , semasa rugi apatah lagi !
Langit tentunya tidak selalu cerah.
Saya berpendapat, biarkan mereka mengelupur seperti orang-orang lain yang telah lama mengelupur. Atau orang-orang lain yang sentiasa mengelupur untuk menampung dan menumpang hidup di bumi tercinta ini.
Bagi mereka yang sudah mempunyai rumah sendiri yang lengkap segalanya , berkereta satu dua buah, bermotor berkuasa tinggi, sudah boleh menghabiskan cuti di tempat-tempat peranginan dalam atau luar negeri, sudah dua tiga kali ke tanah suci, berumrah dan berhaji…. pula….
….. usahlah mempamerkan keluhan atas apa yang berlaku di negara sendiri. Tidak salah kalau melafadzkan syukur agar apa yang diperolehi dan mengharap dikekalkan atau terus dilimpahi rahmatNya.
Sudah banyak keringat telah mengalir untuk meletakkan kita semua di tempat yang kita ada sekarang.
Hanya dipohon agar ramai-ramai kita berdoa supaya keringat yang mengalir itu terus mengalir untuk menabur bakti kepada ramai lagi yang masih mengelupur untuk menampung dan menumpang hidup.
Sungguhpun begitu mereka terus menyatakan bahawa inilah bumi kami yang tercinta.
…gbpencen… tidak mahu rasa seperti penumpang.