dari SITC ke UPSI
Bila emak mertua menumpang kereta anak saya untuk menziarahi anaknya (polis) yang koma dilanggar penjenayah (Harian Metro 30 April) (?) di Hospital Besar, Kuala Lumpur, saya terpaksa menumpang lori kilang tempat saya bekerja untuk ke sana.
Setelah selesai pemandu lori itu menurunkan 1136 biji bantal di ‘Top Ten’ (baru di buka) di pekan Tanjung Malim, kami menuju ke Rawang tempat pemandu lori itu akan bermalam, sementara menunggu tugasnya yang akan di sambung keesokan harinya.
Ketika lori bergerak meninggalkan pekan Tanjung Malim, saya sempat memerhatikan bangunan UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) yang cantik. Dari tingkap lori, di celah-celah rimbunan pokok teduhan saya sempat melihat bangunan asal SITC (Sultan Idris Training Collage). Walaupun saya tidak menuntut di situ, sebagai seorang guru ‘lama’ sudah tentu ia akan meninggalkan kenangan terhadap ‘nama besar’ itu.
Arwah abang saya, seorang bekas penuntut di SITC sekitar hujung tahun 50’an. Beliau mengakhiri tugasnya sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Alma di Bukit Mertajam. Beliau sering menceritakan pengalamannya di SITC yang selalu membuatkan hati saya sentiasa memberontak untuk menjadi seorang guru.
Gambarnya bersama sebuah ‘saxsophone’ sudah cukup menceritakan bagaimana germbiranya ketika beliau menuntut di sana. Apa yang sangat menjadi ingatan saya ialah ceritanya bahawa ..
… di SITC pada masa itu ada banyak papan hitam yang di gantung di dinding Dewan Besar. Guru pelatih akan diminta untuk membuat latihan menulis di papan hitam itu. Ianya adalah salah satu aspek yang dinilai dalam latihan perguruan di situ….
‘Black board work’ adalah satu mata pelajaran yang di titik beratkan dalam latihan perguruan pada masa itu. Oleh yang demikian, semasa di awal persekolahan saya, kebanyakan guru pada masa itu mempunyai tulisan yang cantik. Bukan sahaja di papan hitam, bahkan tulisan mereka sama ada di buku atau pun di lebel-lebel sekolah. Ia juga termasuk tulisan ‘jawi’ dan tulisan sambung yang diajar secara khusus di awal darjah 4.
Tulisan mereka menjadi inspirasi kepada murid-murid ketika itu untuk ditiru (dicontohi). Arwah abang mengajar saya di darjah satu (1958) ; beliau sering memegang tangan saya untuk membentuk tulisan saya. Sebelum P&P bermula dia akan berdiri dihadapan kelas bersama bakul sampah dan sebilah pisau belati untuk mengasah pensel murid-muridnya.
Semasa saya di maktab perguruan (DTC Penang 1971 – 1972), sememangnya tiada latihan khusus untuk menguruskan papan hitam. Sehingga sekarang pun tiada latihan sebegitu. Maka dengan itu bermulalah episod duka tulisan murid dan guru. Sungguhpun begitu saya berazam untuk sedaya upaya memperkasakan pengurusan papan hitam bilamana saya berada di bilik darjah.
Ada guru yang menggunakan keseluruhan papan hitam untuk membuat contengan demi memperkukukah P&P masing-masing; ianya sudah tentu mengelirukan murid. Terdapat guru yang menggunakan keseluruhan papan hitam untuk membuat tulisan yang besar-besar. Oleh sebab papan hitam digunakan sebagai medium untuk diadaptasi oleh murid ke dalam buku latihan mereka, maka tulisan, coretan atau apa saja yang dipapar di papan hitam sepatutnya mencerminkan ‘model’ untuk dicontohi. Secara ringkasnya ada diantara guru mengabaikan kekemasan ‘blackboard work’ dengan berbagai alasan; salah satu darinya ialah “penumpuan utama ialah .. kebolehan akademik …”
Bermula dengan kekemasan penataan tarikh dan hari secara standard hingga kepada pembahagian ruang untuk membuat catatan. Bermula dari bentuk dan membentuk abjad, hingga kepada ejaan dan bentuk grafik tulisan guru (tulisan saya pun banyak ejaan tak betul). Bermula dari membuat garisan tepi papan hitam hingga tanda titik, koma dan lain-lain tanda bacaan. Bahagikan papan hitam kepada beberapa ruang sebelum menulis, ia akan kelihatan lebih tersusun. Semuanya hendaklah dianggap sebagai merangkumi bidang yang harus dididik kepada kanak-kanak kerana naluri mereka yang mudah meniru.
Ramai diantara kita (guru) masih jauh lagi perjalanan dalam urusan mendidik kanak-kanak ini. Oleh itu saya merasakan semua kita perlu berubah. Selain akademik yang menjadi tumpuan (keutamaan), aspek didikan dalam bentuk ‘sebegini’ atau ‘yang lain’ juga agar tidak diabaikan. Terlalu banyak pengabaian dalam aspek – selain dari akademik lah, yang menyebabkan kekalutan boleh diperolehi dengan mudah di mana-mana saja dalam dunia persekolahan kita.
Tanya Guru Besar anda, bolehkan kita berubah .. kita bertukar dari papan hitam ke papan putih & dari kapur putih ke pen ‘white board’ (??)
… perjalanan saya diteruskan dengan menaiki KTM Komuter dari setesen Rawang ke KL Sentral, dan terus ke bilik ICU hospital Besar Kuala Lumpur. Hari ke 6, mangsa masih koma.
…….gurubesarpencen, teringat cerita arwah abang yang Awang Had Salleh bermain gitar bersamanya dalam pancaragam SITC.
masih samakah dedikasi guru2 sekarang berbanding guru2 terdahulu dan adakah profesion guru adalah semata2 pilihan terakhir kerjaya?
Selamat Tengahari Cikgu,
Assalamualaikum W.B.R,
Hari ni saya melawat blog cikgu lagi. Lunch appointment saya ditunda, nak macamana manusia di ibukota memang selalu terpaksa mengolah jadual yang telah diatur kerana sebab-sebab yang lebih penting. Urusan kerja perlu diutamakan.
Saya tertarik mengenai subjek papan hitam ini bukan kerana apa.Saya membesar menghadapinya saban hari. Mungkin tidak salah kalau saya katakan itulah yang sebenarnya yang mencorakkan hidup saya. Sejak darjah satu pada tahun 1974 sehinggalah saya tamat pengajian di ITM pada tahun 1990 bolehlah dikatakan sampai naik hijau mata saya memandang papan hitam.Pelik jugak ya , hijau dikatakan hitam..ha..ha..ha. tapi itu tidak penting, yang penting apa yang ditulis dipermukaannya, walau hilang dipadam dan tinggal debu saja ia tetap tinggal didalam ingatan.
Sebagai seorang Perekabentuk, tulisan dan kecantikkannya penting untuk saya. Ia menjadi satu asset, seorang pereka yang buruk tulisannya kadangkala boleh menjadi bahan tawa kerana tulisan adalah satu subjek senibina.Itu dulu, sekarang ini komputer telah merubah segalanya. Semua telah menjadi doktor..cikgu pun tahu tulisan doktor itu bagaimana.
Sekarang dua anak saya telah memasuki alam persekolahan. Selau saya ingatkan pada mereka, tulis apa yang diajar, jangan sesekali menulis didalam kepala sahaja, kerana sekali ia terpadam dalam ingatan ia akan hilang tak terkesan. Tulis apa yang kamu belajar dan tulis apa yang kamu mahu ingatkan. Sehinggalah satu hari, saya pulang lambat kerana saya banyak urusan di pejabat. Sampai di rumah anak- anak dan isteri saya telah tidur dan saya lihat ada satu nota di televesyen. ” Baba, kita tulis ni supaya baba tak lupa…10hb ni Mothers Day..bila kita nak beli hadiah Mummy “. Esok paginya sewaktu menghantar mereka ke sekolah, saya dok habaq kat anak saya ” Baba ingat, Baba tak lupa” Anak kedua saya menjawab..kalau tak tulis nanti Baba lupa…… ha…ha..ha….pulang paku buah keras ni..ketawa saya dalam hati. Bangga pun ada..anak saya tahu pentingnya menulis sesuatu itu dalam hidup.
Dalam hal yang lain pula saban tahun ada sahaja budak universiti yang datang untuk praktikal di pejabat saya. Benda yang sama jugaklah yang saya bebelkan pada mereka.Komputer bukan otak kamu..ambil pen dan kertas. belajar untuk mencatat nota…walaupun terpaksa menulis apa yang saya bebelkan ini. suatu hari nanti bila kamu berjaya lihat balik apa yang kamu catitkan. Hari ni ada yang masih berhubung dengan saya dan selalu berterimakasih atas paksaan saya..sesetengahnya boleh dikira sebagai kawan sekarang selalu mengusik saya…otak aku lebih kecil dari otak kau.
Sebab itu selalu saya menulis panjang-panjang kerana mungkin saya gila menulis tapi hakikatnya kalau kita tidak menulis mana mungkin orang membaca. Iqraq itu ayat pertama yang turun pada Nabi junjungan kita. Bacalah…tapi apa yang hendak dibaca kalau kita tak mampu menulis.
Terima Kasih cikgu kerana memberi ruang untuk saya menulis sesuka hati di dalam blog cikgu. Umpama anak murid yang nakal menulis di papan hitam setelah cikgu keluar dari bilik darjah.
Untuk cikgu, teruskan menulis kerana saya suka akan Intelectual Discourse dari dok sembang kosong di kedai mamak dan melenggung tak tentu masa.
Terima Kasih Cikgu
Tulisan guru-guru dulu memang cantik,saya rasa begitu juga dgn tulisan cikgu.Sepatutnya kepentingan tulisan murid-murid harus dititikberatkan oleh cikgu-cikgu sekarang.Begitu juga dengan tulisan sambung.Cikgu-cikgu sekarang tidak mengendahkannya lagi.Tulisan jawi terabai sama sekali.Tak mungkin kita dapat balik ke belakang,ttp rasanya masih belum terlambat untuk berubah termasuk PPSMI,jangan sampai kita terkorban segala-galanya.
En Aziz : tertarik saya dengan ungkapan tuan ‘walaupun di padam.. yang ditulis tetap menjadi ingatan’ Sungguh bermakna ungkapan itu. Pada saya anda seorang yang kritis.
Ir dan Zag ; Ada sesuatu yang sedang anda amati di dalam arus persekolahan masa kini. Anda ingin mengubahnya? Ia akan dan turut berubah kerana dunia semakin berubah tetapi ia tidak akan berubah sepertimana kita mahu ianya berubah.
Memang byk pengalaman yg tak dpt dilupakan di IPSI. Teringat lagi Taman Astakona, Supermarket Angsoka, dan yg paling best Blok D dan E yg berhantu.
Memang tulisan murid2 pada masa skrg amat ‘cakar ayam’ sekali. Pada pandangan saya salah satu sebabnya adalah murid2 terlalu byk disediakan dgn lembaran kerja sehingga mereka tidak pandai utk menyalin sesuatu dr papan hitam.
Pengalaman saya murid Tahun 1 yg menyalin soalan dr papan hitam secara terbalik. Nampak gaya mcm kreatif sbb tk ramai org yg boleh salin secara terbalik keseluruhan ayat dgn tulisan yg sgt kemas.
eynazam: ‘membentuk buluh biarlah dari rebung’ peribahasa melayu yang tepat dan harus di praktikan. Kan sekarang kita sedang lalui program peluasan pra sekolah. Bila ada masa saya akan membicarakan sedikit mengenainya kerana saya juga terlibat dalam program tersebut sebelum ini. Terima kasih atas kunjungan di blog ini.