Skip to content

Bila pencen, Guru Besar buat apa ?

2009 February 14
by Guru Besar Pencen

Guru Besar yang bersara dalam era penghujung 90’an dan awal tahun 2000 hingga kini kebanyakannya dari golongan yang amat selesa dari segi kewangan kerana kebanyakannya berkahwin dengan isteri / suami yang berpendapatan tetap. Juga kebanyakannya memilih pasangannya dari kalangan guru.

Apabila bersara , ianya memberi impak yang besar dari segi kewangan, tambahan pula ada di antaranya yang sempat mencapai pendapatan tertinggi hingga ke gred gaji DG34 atau DG 41. Kalau pasangan merupakan seorang guru atau Guru Besar juga  maka perolehan wang ganjaran itu akan mencapai sehingga ke peringkat maksimum kerana kedua-duanya akan bersara selang beberapa lama antaranya. Syukur alhamdulillah.

Bermulalah satu alam atau suasana yang sangat berbeza, yang paling ketara ialah meninggalkan tugas harian yang penuh dengan cabaran selama ini. Sebelum bersara, sebagai Guru Besar yang komited: setiap hari, setiap masa dan dimana saja, ada saja perkara yang bermain dalam kepala yang menuntut anjakan, keperihatinan, pendekatan, tindakan, ketegasan, kelembutan dan sebagainya bagi melayari sebuah organisasi di bawah kepimpinan seorang yang bernama Guru Besar. Tapi kini semuanya hilang dalam sekelip mata saja.

Apa yang berlaku selepas tanda noktah ini (pencen) :

Setelah memperolehi ganjaran yang lumayan tentunya sibuk berkira-kira untuk merancang wang ganjaran yang banyak (bagi kebanyakan orang) diperolehi . Ada berbagai-bagai cara orang menangani situasi ini.  Bagi saya sebagai seorang individu yang pasangan tidak bekerja, semasa masih bertugas, soal berbelanja tidaklah mewah, tambahan pula sikap boros, tidak berjimat cermat dan tiada budaya menabung telah mempengaruhi situasi berbelanja dan merancang perbelanjaan setelah saya memperolehi ganjaran.

Saya suka membayar hutang bila ada duit dan suka berhutang bila tiada duit.  Setelah memperolehi ganjaran,  semua hutang-hutang saya di langsaikan. Dua tiga hari saya mengeluarkan wang yang banyak dan bergerak ke sana-sini membayar hutang.  Hutang kereta,  kad kredit, hutang motosikal, hutang orang, hutang majlis daerah, hutang hasil kerajaan dan entah apa-apa hutang pun saya tak ingat. Kemudian saya mula beli barang-barang yang dulunya saya teringin tapi tak dapat beli, kebanyakannya alatan pejabat dan alatan pertukangan. Dan lain-lain perbelanjaan lagi

Dalam pada itu saya juga terfikir bahawa isteri saya yang setia selama ini bersabar tanpa memakai barang-barang kemas (setelah beg tangannya dicuri menyebabkan semua barang kemas yang dibeli semasa berkahwin30 tahun dulu hilang dicuri penagih dadah yang juga rakan saya) . Beliau juga seperti saya, sebelum ini sangat teringin untuk melengkapkan rumah kami tetapi tidak terdaya. Sikap pemurah saya telah menjadikan isteri saya seorang yang sangat gembira kerana semua keinginannya dapat saya tunaikan sehingga saya berjaya membuka akaun ASB untuknya dengan nilai pelaburan RM5000.00 (Juruwang Bank CIMB tercengang kerana terkejut ketika berumur 49 tahun baru isteri saya membuka akaun Amanah Saham Nasional).

Saya juga membeli hadiah untuk anak-anak.  Mereka sangat sangsi untuk menerima hadiah-hadiah itu dari saya kerana saya tidak pernah membeli hadiah untuk mereka sebelum ini.  Ada yang dapat kasut, ada yang dapat menggantikan tayar kereta yang botak, dapat hadiah wang untuk repair kereta, ada yang dapat rantai tangan dan akhirnya dapat sekeluarga bermalam di hotel 2 bintang di Kuala Lumpur selama 2 malam. Mereka semua rasa ayah mereka ini hebat walaupun buat sementera waktu kerana sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Mungkin mereka ini antara anak-anak yang pandai bersyukur.

Belanja dan berbelanja dan berbelanja dan berbelanja dan …..

Sehingga 4 bulan di alam persaaan ‘sepenuh masa’  maka saya pun keletihan ‘duduk saja’ . Dah habis urusan beli-membeli saya lakukan.  Dah selesai mebersih dan mengatur rumah untuk mempersiapkan diri menghadapi hari-hari persaraan selanjutnya…..

Maka saya pun mulalah mencari kerja kerana takut hendak berniaga.

(bersambung bila dperlukan pernyataan)

2 Responses leave one →
  1. hasre permalink
    February 14, 2009

    Selamat Bersara

  2. iryani permalink
    February 16, 2009

    something make me smile when i know my dad is having his own blog. i know he has this dream a long time ago and i wish only the best thing happen in his life. his the greatest dad!
    ** menggantikan tayar yg botak tu..saya ler 😉

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 14 + 8 ?
Please leave these two fields as-is: