Ghazal Parti Sungai Bakau ke Orkes Suara Gunung.
Sebaik saja perwatakan saya dikenali sedikit sebanyak oleh warga sekolah dan penduduk setempat, saya telah dilantik menjadi setiausaha Persatuan Ibubapa (sekitar awal 70an). Ketika itu belum lagi dikenali sebagai Persatuan Ibubapa dan Guru. Guru mentor saya ialah allayarham cik gu Saad bin Dahaman. Salah satu aktiviti persatuan ialah menganjurkan pertunjukan pentas untuk mengutip derma.
Saban tahun aktiviti itu menjadi kemestian. Tiada ada apapun bantahan ketika cadangan untuk mengadakan pertunjukan pentas dibincangkan. Semua AJK mengiyakan saja, tanda kata ; bukan saja merestui tapi sudah siap sedia untuk memberi kerjasama.
Boleh dikatakan kawasan Kampung Panchor itu agak pendalaman ketika itu. Tiada bekalan letrik dan jarang-jarang penduduk kampung memiliki peti televisyen. Pertunjukan pentas merupakan aktiviti kemuncak dalam kategori hiburan di kampung itu. Secara tersiratnya Persatuan Ibubapa lah yang dipertanggungjawab untuk mengendalikanya.
Saya menemani cik gu Saad untuk merayau-rayau mencari ‘host’ untuk pertunjukan pada tahun itu. Saya ajukan cadangan agar Ghazal Parti Sungai Bakau di jadikan ‘host’ pada tahun itu. Cik gu Saad kurang setuju dengan alasan Pasukan Ghazal itu baru saja mengadakan pertunjukan di sebelah kampungnya. Akhirnya kami bersetuju untuk melamar Kumpulan Orkes Suara Gunung, dari Gunung Semanggul.
Bermulalah langkah kedua saya menimba pengalaman menjadi ‘promoter’ pertunjukan pentas. Saya dibimbing dengan sebaiknya oleh ‘mentor’ saya(yang sangat saya hormati dan kagumi).
Dari urusan surat menyurat hingga ke permohonan permit dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh. Dari urusan cetakan tiket hingga kepada susunan petugas. Dari mendirikan khemah, hingga ke pada menyusun bangku ‘kelas satu’ untuk penonton di hadapan pentas. Dari penjual tiket, hingga kepada petugas kawalan pagar sekolah. Dari penyediaan ‘janakuasa letrik’ hingga kepada urusan ‘PA System’. Semuanya dibuat dengan kerjasama yang sangat erat dari penduduk setempat.
Dengan penuh yakin, semuanya saya pelajari demi menimba pengalaman baru. Saya menggunakan sedikit sebanyak pengalaman lama (ketika di kampung) bila mana saya diasuh sebagai Setiausaha Persatuan Belia Tasek oleh beberapa orang guru ‘lama’ saya.
Petang itu (menjelang pertunjukan pada malamnya, saya bersama cik gu Saad dengan keretanya (KE 20 – baru beli), ‘pusing keliling kampung-kampung sekitar membuat hebahan melalui pembesar suara mengenai pertunjukan pentas itu. Sungguh seronok; kelihatan anak-anak kampung kegirangan mendengar suara saya menjemput ‘hadir menderma .. sambil berhibur’. Saya (orang muda teruna) sungguh bangga kerana bukan semua orang berpeluang berbuat demikian ketika itu. (kalau difikirkan sekarang …rasa nak tergelak pun ada).
Malam tiba, saya semakin sibuk. Penonton mula tiba, tiket laris dijual dan muzik mula berkumandang. Orkes Suara Gunung memang hebat pada masa itu. Gigih pemimpin orkes itu dengan tiupan merdu seksopfon nya ala P. Ramlee. Berbudi bahasa pula orangnya.
Beberapa orang guru bersama dengan AJK kuasa, penduduk setempat dan para belia juga sibuk. Lampu ‘gasoline’ (minyak sendiri) yang di bawa dari rumah mereka, di pasang di merata tempat. terutama di tempat-tempat strategik yang boleh dimasuki oleh ‘penceroboh’ ke ‘kawasan hiburan’. Kawalan ketat dilakukan. ‘Torch light’ (ubat sendiri) juga di bawa dari rumah. Tiada merungut, dan tiada merenget atas sumbangan yang diberi. Cuma sekali sekala merungut kerana terkena balingan ketul batu oleh budak-budak nakal yang tidak berjaya ‘menceroboh masuk’
Malam semakin larut, saya di bilik urusetia menguruskan tiket yang dikeluarkan, wang jualan tiket dan cukai gerai makanan yang diterima. Jualan tempat duduk khas (di hadapan pentas) juga laris. Semuanya di terima dan dikira untuk diagihkan kepada ‘host’ diakhir pertunjukan malam itu nanti. Di situ hanya diterangi oleh lampu gasoline sahaja kerana semua bekalan letrik di tumpukan ke kawasan sekitar pentas persembahan.
Ramai AJK dan petugas akan sama-sama mengira wang yang diterima. Mereka begitu bersemangat dan gembira di akhir persembahan. Raut wajah mereka begitu bangga kerana berjaya bersama-sama menganjur ‘charity’ untuk sekolah. Juga ada suara-suara yang menyatakan kejayaan penganjuran itu adalah kebanggaan kampung. Ada antaranya yang membandingkan dengan kampung-kampung lain pula.
Gotong royong membersih kawasan, ramai yang turut serta. Ada sedikit jamuan disediakan. Gelak ketawa, se mesra sebelumnya. Dari mula pembikinan sehingga selesai pertunjukan, hanya sekali sahaja mesyuarat .. untuk membuat keputusan, selepas itu akur dan bekerja tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Luhurnya budi mereka ….
Saya akan mendokumentasikan kira-kira kewangan dan jualan tiket. Kemudian saya akan ke Ipoh untuk mendapatkan semula wang deposit di Pejabat Duti Hiburan setelah dokumentasi diserahkan nanti. Selepas itu saya bersedia untuk mengadakan pembentangan dalam mesyuarat yang akan datang.
Juga bersedia (selepas beberapa bulan kemudian) menjemput Kumpulan Orkes El Suraya dan Indonesia – dengan lagu nasyid popular mereka ‘selimut putih’ – pak cik Desa (orang tua yang agak miang di kampung itu) pernah berkata kepada saya, selimut putih.. peha pun putih). Kami meneruskan kesinambungan tradisi di sekolah / kampung itu. “sekolah itu kampung ku, kampungku itu sekolah ku” mungkin itulah prinsip yang tersirat kepada penduduk di situ
....gurubesarpencen .. teringat ketika mengendalikan persembahan Kumpulan Budaya Guru-Guru Pulau Pinang (hai.. cg Nasrun & cg Baha) dan Jamal Abdilah mengadakan persembahan di sekolah itu.
Zaman dulu-dulu memang seronok,semuanya muafakat,ringan sama dijinjing,berat sama dipikul.nak buat majlis apa pun senang,kenduri-kendara pun tak dak masalah,
semua menyinsing lengan tolong-menolong.Nak anjur apa pun senang.
Pertunjukan pentas menjadi hiburan utama di kala itu,
Orkes El Suraya dengan lagu selimut putih terkenal sampai
hari ini.Di mana-mana buat persembahan pasti ramai yg datang.
Penganjuran pihak sekolah dengan kerjasama orang kampung,penat lelah pun tak terasa.
Tetapi semangat tolong-menolong,rewang(mentara kenduri),berderau dll makin hilang ditelan zaman.
Selamat Hari Guru untuk Gur Besar Pencen,
Semangat gotong-royong semacam sudah lama ditelan zaman. Zaman ini adalah zaman individualistik. Aku -aku dan engkau-engkau. Seperti apa Zag kata diatas,bagi saya zaman ini masyarakat lebih suka tidak menjaga tepi kain orang dari sifat muafakat. Sifat-sifat asas bermasyarakat telah diketepikan. Beruntung dizaman cikgu masyarakat sanggup bergotong royong demi untuk sedikit kegembiraan agar semua masyarakat dapat melepaskan penat lelah mereka. Hari ini hiburan telah menjadi milik peribadi. Ada duit lebih, bolehlah menonton Akedemi Fantasia. Kalau tidak tonton sajalah Bintang RTM. Itupun masing-masing di depan Kotak Hiburan sendiri. Kadang kadang saya dapati semakin jauh kita kehadapan semakin kebelakang pula sifat bermasyarakat kita. Kalau tak, masakan orang yang kemalangan terbiar saja ditepi jalan. Bantuan kemiskinan diberi mengikut kuota sedangkan jumlah perut yang kebuluran tetap sama. Setiap perbuatan mengharapkan balasan dan orang yang tak meminta apa-apa balasan di anggap manusia aneh yang membuat perkara sia-sia.
Kepada Zag- Dahulu Rewang di kampung adalah suatu yang ditunggu-tunggu tapi kini di kampung saya rewang semakin hilang sama dengan Nasi Ambeng.
Sekali lagi Cikgu… Selamat Hari Guru
Aziz : Sekali lagi saya membaca komen kritis anda. Ungkapan yang bersahaja menggambarkan segala. Pengalaman yang saya lalui sekadar imbauan kenangan yang sentiasa meniti diingatan. Semakin kita jauh ke hadapan, semakin pekat ingatan lampau menjadi kenangan. Perkataan ‘kotak hiburan’, umpamanya menunjukan anda bijak berbicara. Ceritalah, dan cerita lagi, saya sedia membacanya. Terima kasih.
Terima kasih zag atas komen dan perhatian anda. Terimalah ini :-
kalau cikgu dapat bunga : tandanya dia mengharumkan dunia didiknya.
kalau cikgu dapat pen : tanda dia pandai melakar kata.
kalau cikgu dapat pemadam : tanda dia sedia membetulkan kesalahan anak didiknya.
kalau cikgu dapat sms : tanda ‘saya’ menghargai jasanya.
‘saya’ ialah seorang ustaz dari sekolah lama saya. Saya sungguh tertarik dengan sms yang saya terima darinya.
teringat dizaman kecik kecik tengok gazal godennya besao
pernah tengok di Parit Tok Ngah masa tu mak nyah dok tengah
gencok .tiba tiba pentas sebelah kiri runtuh disebabkan depa
ikat tiang dekat pokok butut(macam pokok bakau ) dengan itu
majlis ditamatkan/kalau ada pentas tinggi adala ghazal
ataupun kugiran
Budak 70an : Nice to hear from u. Saya berminat dengan cerita sebegini dan cerita anda mirip rangka cerita yang ingin saya persembahkan. Tahniah. Sehati sejiwa nampaknya. Terima kasih kerana melayari blog se kerdil ini.
aku memang minat ghazal parti cik putih batu 5 dg lawak harun kustela ada lagi depa dg arena muzik kpg keliling kpg parit buntar,buat la CD ke VCD untuk tontonan anak2 kita di zaman ini.
nanpkpk: cuba cari-cari kat pekan Parit Buntar kot-kot kita boleh jumpa harun kastela, kita mintak orang buat CD untuk jana pendapatan mereka dan kita tumpang tengok untuk menghilangkan rindu kat lawak depa yang ‘hebat’ tu. Anda memang ariff dengan pelawak ni. Saya tabik kepada anda sebab saya besa gelak sampai terduduk kat perdu pisang.