Skip to content

Bermain bola jaring dengan ustaz

2009 June 24
by Guru Besar Pencen

Ustaz Mahmud pendek dan gempal orangnya.  Sepadan dengan isterinya Ustazah Rogayah,  tapi isterinya tidak meminati bola jaring. Ustaz berlari di sekeliling gelanggang sambil meniup wisel.   Sebagai peminat bola jaring, ustaz menjadi pengadil setiap kali pertandingan bola jaring MSSPk Zon Pengkalan Baharu.  Ketika itu saya baru mula menjadi guru.  Saya merasa satu kelainan mungkin juga satu kekaguman pula, tambahan dia adalah jiran saya tetapi tidak mengajar di sekolah yang sama.

Selepas musim itu, ustaz Mahmud sudah tidak kelihatan lagi mengadili pertandingan bola jaring MSSPk di Zon Pengkalan Baharu.  Diberitakan bahawa pengadil lelaki tidak dibenarkan lagi mengadili pertandingan bola jaring – yang dimainkan oleh orang perempuan  / murid perempuan /wanita.  Mengapa? Sedangkan pada pandangan saya, pengadil ‘guru perempuan’ kelihatan gagal melakukan ketegasan, tiupan wisel pun lemah, tidak yakin dengan keputusan, larian masih lemah  dan sering menyalahkan antara satu dengan lain – pengadil ke (2) dan .. dan ..  dan (pada masa itu)

Bukan kerana saya lelaki untuk memperlekehkan pengadil-pengadil perempuan tetapi saya juga pernah menjadi pengadil bolasepak yang berkesan. Di ajar, di latih dan di bimbing dengan sebaiknya untuk menjadi pengadil yang berkesan.  Tok Guru saya (dengan bangganya) ialah Mohd Nazri Abdulah (allahyarham) yang nama sebelum Islamnya ialah Letcumanasamy. Jawatan terakhirnya setelah menjadi pengadil FIFA ialah Penyelaras Kepengadilan Persataun Bolasepak Asia (AFC).  Seorang lagi Tok Guru saya ialah Cik gu Wahab bin Mohamed, pengadil kebangsaan, bekas setiausaha Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan pernah menjadi Guru Penolong Kanan di SK Juru yang sekarang ini masih aktif sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Bukit Mertajam (BMFA)   Jadi tahulah saya sedikit sebanyak etika sebagai pengadil. Walaubagaimanapun pengadil bolajaring (wanita) MSSPP sekarang.. memang hebat dan mantap tapi masih terbawa-bawa …. (rujuk perenggan terakhir artikel ini)

Saya terpanggil untuk melakar-rapu coretan rencana ini  setelah saya menyaksikan Pasukan Bolajaring Malaysia mengalahkan Pakistan untuk berada di tempat ke 12 kejohanan yang baru selesai di adakan di Malaysia. Dalam perlawanan tersebut saya melihat kelibat pengadil lelaki mengadili perlawanan tersebut.   Punyai ketegasan, tiupan wisel kuat, yakin dengan keputusan, larian bersemangat dan tidak menyalahkan antara satu dengan lain – bertindak profesional. Boleh pulak ? . Pada ketika itulah saya mengimbas kelibat Ustaz Mahmud (dengan lariannya yang hebot-hebot dan ketajaman pemerhatiannya) dalam tahun 1975. Ketika SK Panchor (sekolah saya) melawan SK Sungai Batu (selepas 5 tahun kemudian,  juga menjadi sekolah saya) untuk mengadili bola jaring MSSPk yang di adakan di Zon Pengkalan Baharu. Hati kecil saya menyatakan bahawa 30 tahun dahulu ustaz memang telah mengambil tindakan yang ‘betul’  bukan kebetulan.  Suara-suara sumbang yang menafikan hak Ustaz Mahmud sebagai pengadil bolajaring (lelaki) yang sah itu lah yang tidak betul.  Walau bagaimanapun perjuangan ustaz 30 tahun dahulu telah berhasil. Kesian dan tahniah untuk Ustaz Mahmud.

Setahun sebelum persaraan saya, sekolah saya diberi tanggunjawab menganjurkan Kejohanan Bolajaring MSSPP, Zon Bukit Mertajam. Dengan kerja kuat dan kerjasama dan kerja rapat rakan-rakan (Syabas Cik gu Mazlan – PKKK dan semua yang dalam senarai panjang saya)  saya amat yakin untuk menyatakan itulah kejohanan yang terbaik yang pernah ‘saya’ kelolakan.   Antara unsur-unsur lain yang membantu menjadikannya ‘terbaik’ ialah kerana saya seorang ketua yang mahu bekerja keras untuk yang terbaik (yang saya minati – sukan).  Juga dengan kerjasama  dan kerja kuat Unit Pengadil Bola Jaring MSSPP. Berlaku pula hari ini dalam sejarah, sekolah kami berada di tempat ke 4 kejohanan di mana kesemua 8 pasukan yang layak ke suku akhir mendapat hadiah masing-masing (yang ditaja oleh PIBG kami yang sungguh murah hati – Tahniah Encik Md Noor, Yang DiPertua PIBG merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian  Batu Kawan) dan 2 orang sahabat akrab yang menjadi jurulatih pasukan sekolah – tahniah .. tahniah .. tahniah .. nana dan khairatul.

Seperti yang saya nyatakan (penganjuran kejohanan terbaik (?) saya) ada pula cacatnya konon.  Seorang waris dan seorang jurulatih sekolah mempertikaikan beberapa keputusan pengadil dengan tindakan yang ‘agak agresif’. Memang kurang sopan dan kurang patut. Semasa jamuan makan di akhir majlis penyampaian hadiah  saya terus mempromosikan kekemasan penganjuran tetapi pengadil  mempromosi rasa tidak puas hati atas bantahan si waris dan guru tadi.  Terbawa-bawa rasa tidak senang hati dengan insiden terakhir itu (mereka  seperti kurang selera makan) walaupun dari hari pertama kejohanan pengadil-pengadil ini (guru wanita) nampak sangat selesa dengan penganjuran.

Pada saya, ini lah asam garam menjadi seorang pengadil.  Yang diluar sana (penonton) lebih pandai dari pengadil  – kononnya (walaupun mereka tidak di latih untuk menjadi pengadil). Pangadil mesti adil tetapi lebih ramai pengadil (dari kalangan penonton dan penyokong) yang sedang mengadili pengadil yang sedang bertungkus lumus menengakkan keadilan di dalam padang.  Apa yang puan-puan kena ingat   ialah : pedulikan mereka.. anda telah dilatih untuk menlakukan pengadilan, tegakkan keadilan.  Tahniah cik gu Saadiah dan rakan-rakan, anda memang hebat.

…gbpencen… pernah di’hambat’ dengan tiang bendera tepi padang oleh penyokong bolasepak, lari ke masuk ke balai polis Jalan Dato’ Keramat mencari perlindungan ketika mengadili perlawanan Liga FAP di padang Broom, George Town, Pulau Pinang sekitar awal ’80an.

No comments yet

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 5 + 11 ?
Please leave these two fields as-is: