Menteri Belia sudi jumpa saya.
Bukan senang orang seperti saya boleh berjumpa dengan seorang menteri.
Pada 6 Februari lalu, jam 8.30 malam, saya bersama rakan-rakan dari Persatuan Bolasepak Nibong Tebal (NTFA) telah dijemput ke Jamuan Mesra bersama YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakop, Menteri Belia dan Sukan di Bertam Golf Resort, Kepala Batas. Majlis tersebut adalah Majlis Perjumpaan Menteri tersebut dengan pemimpin-pemimpin belia, NGO dan pemimpin Sukan di Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanapun hadirin pada malam itu kebanyakannya datang dari sebelah Seberang Perai.
Ada bersama dalam majlis itu adalah pemimpin-pemimpin UMNO dari beberapa Bahagian UMNO di Seberang Perai yang sama-sama datang meraikan YB Dato’ Sri.
Sementara menunggu ketibaan YB Menteri (kami sampai kira-kira jam 8.00 malam) saya mengelamun. Saya merasakan bahawa usia saya sudah agak tua untuk berada sebaris dengan pemimpin-pemimpin persatuan sukan yang ada di dewan pada hari itu. Walau bagaimanapun bila kita imbas kembali senario kepemimpinan sukan di Malaysia sekarang, semakin tua seseorang itu semakin bernafsu pula menonjolkan dirinya untuk memimpin persatuan sukan. Dalam pada itu kadang-kadang di dapati penuh pula dengan aksi-aksi politiknya sekali dalam usaha merebut jawatan-jawatan tertentu.
Ketika perbualan dalam perjalanan semasa datang tadi bersama dengan 3 orang rakan AJK NTFA (yang kira-kira 20 hingga 30 tahun lebih muda dari saya) saya menyatakan yang saya hadir ke sini hanya untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada mereka agar dapat menerajui NTFA selepas ini, kerana sudah tiba masanya yang saya akan meninggalkan jawatan itu kepada mereka.
“Buat masa ini cikgu belum boleh meninggalkan kami lagi, kerja boleh kami buat tapi cik gu kena ‘ada’ ” . Itulah antara jawapan yang saya perolehi.
Pemimpin Sukan yang ‘berusia’ memang diperlukan oleh generasi muda sebagai pembimbing dan penggalak. Tetapi pemimpin yang ‘berusia’ ini perlu berhemah, jujur dan amanah supaya menjadi ‘role model’ kepada bakal pemimpin yang masih muda. Dalam ertikata yang sebenar pemimpin yang ‘berusia’ tidak perlu mengejar glamour, sanggup merendah diri, tidak mengejar wang dan tidak langsung mementingkan diri (atau keluarga).
Tidak dapat dinafikan kepimpinan sukan yang ‘berusia’ mempunyai pengetahuan dan kemahiran kepemimpinan yang tinggi, tetapi kegagalan mereka ialah kerana mereka gagal mendamping pemimpin muda dari segi isihati, stail dan kehendak orang muda disamping mereka gagal mengadaptasi kelemahan pemimpin muda ini. Disebab yang demikian maka berlakulah perselisihan pendapat yang menyebabkan kegagalan kepimpinan di peringkat persatuan yang seterusnya gagal mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Memorandum yang saya bawa untuk diserahkan kepada Menteri saya tertinggal di dalam kereta. Kesempatan YB Dato’ Sri Menteri belum hadir saya gunakan untuk turun mengambil memorandum itu. Sebaik sahaja mengetahu yang YB Dato Sri Menteri akan mengadakan lawatan ke Seberang Perai, Jawatankuasa NTFA mengambil keputusan untuk menyerahkan padangan Persatuan Bolasepak Daerah (bukan permohonan – lazimnya kalau serah surat kepada Menteri akan mengandungi ‘permohonan’) untuk dikongsi bersama dengan YB Menteri memandangkan YB Menteri Belia dan Sukan masakini dapat mengimbangi keperihatinannya terhadap pembangunan bolasepak di Malaysia.
Sebagai sebuah pertubuhan bolasepak yang mewakili sebuah daerah, kita tentunya merasai apa yang sebenarnya berlaku di peringkat paling bawah dalam permainan bolasepak. Dari segi infrastruktur, pemain, kepimpinan bolasepak daerah, kepimpinan bolasepak negeri (FAP), keterlibatan pejabat belia dan lain-lain agensi kerajaan, kepimpinan politik (pertukaran kerajaan dari Barisan Nasionl ke Kerajaan Campuran DAP PAS dan Keadilan), sesitiviti masyarakat, di peringkat bawah banyak mempengaruhi keberkesanan dan kejayaan pembangunan bolasepak.
Baik agensi mana sekali pun(buat masa ini yang ketara ialah FAM, Persatuan Bolasepak Negeri dan KBS sendiri) yang mendominasikan sukan bolasepak di Malaysia, pandangan dari peringkat daerah dan kampunglah merupakan sumber yang paling tepat untuk dirujuk.
Oleh yang demikian isi kandungan memorandum itu hanya ingin berkongsi padangan mengenai pembangunan akar umbi kerana pengalaman NTFA dalam bidang ini dapat membantu Perancangan Pembangunan Bolasepak Malaysia (KBS) yang lebih berkesan.
Antara pengalaman NTFA ialah : pernah beraksi dalam Liga Malyasia / Piala FAM dan Liga Perdana dalam tahun 2003 hingga 2006, mempunyai Akademi Bolasepaknya, mempunyai pasukan bawah umur yang beraksi dalam Liga Persatuan Bolasepak Pulau Pinang(FAP), ada penganjuran Liga Tempatan (buat masa ini sudah tidak berdaya menganjurkannya), mempunyai Pasukan Bolasepak Vetran yang aktif dan penyertaan kelab-kelab kampung juga penganjuran aktiviti bolasepak futsal, sembilan sebelelah secara amatur. Memorandum itu diharapkan akan membantu YB Menteri dalam merangka pembangunan bolasepak Malaysia di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan nanti.
Menteri telah tiba dan hanya ucapan YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakop, Menteri Belia dan Sukan sahaja yang dibuat (beliau tiba lewat sejam dari aturcara kerana jadual lawatannya ke Pulau Pinang sangat padat). Banyak informasi yang diperolehi dari ucapan beliau yang merangkumi aktiviti dan perancangan KBS. Para belia yang hadir amat tertarik dengan perancangan yang disediakan dan perlu mengambil tindakan (bukan sahaja perhatian) terhadap perancangan itu. Tapi yang paling menarik perhatian saya dan rakan-rakan saya ( mungkin juga orang lain yang amat berminat dengan permainan bolasepak) bahawa KBS akan menganjurkan Liga Bolasepak Komuniti di setiap daerah di Malaysia. Satu lagkah yang baik yang ditunggu-tunggu oleh pemain bolasepak di peringkat bawah (kampung dan daerah).
Walau bagaimanapun, lama dahulu pihak KBS melalui pejabat Belia Daerah pernah juga menganjurkan liga seperti ini tetapi malangnya ianya tidak langsung memberi kesan terhadap pembangunan bolasepak kerana beberapa perkara. Antaranya seperti berikut :
1. Kegagalan pihak Pejabat Belia mendamping Persatuan Bolasepak Daerah untuk dijadikan penganjur bersama kerana kepakaran dan komunikasi yang berkesan ada kepada Persatuan Bolasepak Daerah dengan kelab-kelab kecil di peringkat kampung dan Taman. .
2. Menggunakan dengan melantik rakan yang rapat dengan Pejabat Belia Daerah sahaja untuk dijadikan Ahli Jawatankuasa penganjur yang mana kebanyakan diantara mereka tidak mempunyai jiwa bolasepak dan kurang mendampingi kelab-kelab kecil tadi.
3. Penganjuran sebelum ini lazimnya berkonsepkan ‘ada peruntukan, ada aktiviti’ ; pada hal penganjuran secara bersendirian oleh Persatuan Bolasepak Daerah tanpa bantuan KBS bukan sahaja tidak dapat keuntungan bahkan banyak pengorbanan dari segi masa dan wang yang dibuat oleh beberapa orang Jawatankuasanya (kerana penganjurnya berjiwa bolasepak ).
4. Tiada tindakan susulan dan tiada penilaian dibuat selepas penganjuran Liga tersebut. Ini sudah tentu tidak memberi apa-apa kesan kerana tiada Jawatankuasa Khas untuk tujuan Pembangunan Sukan Bolasepak itu sendiri.
5. Kemudahan dan pengurusan sukan yang ada di dalam daerah (yang dikendalikan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah dan agensi-agensi kerajaan yang lain) tidak dimaksimakan penggunaannya. Kemudahan ‘sumber manusia’ yang ada di PBDSD juga tidak dioptimumkan. Mungkin tiada kepakaran atau pengkhususan di dalam satu-satu bidang sukan.
Akhirnya memorandum itu saya serahkan kepada menteri. Dalam sapaan ringkasnya YB Dato’ Sri Menteri bertanya saya “Dari Persatuan Bolasepak kah?” . Pada saya beliau sudah dapat mengagak. Dalam jawapan ringkas selanjutnya kepada saya beliau menyatakan ” Ya, saya akan baca, terima kasih”
“Dato Sri bacalah, ia hanya akan mengambil masa 5 minit sahaja untuk menghabiskannya, ia mengandungi dua helaian mukasurat sahaja. Hanya sekadar untuk berkongsi pengalaman. Terima kasih Dato’ Sri”
Saya sungguh berbesar hati.
Makanan sedap.
gurubesarpencen .. sedang buat persiapan untuk mengadakan mesyuarat agung NTFA dan pemilihan Presiden pasti berlaku kerana Presiden lalu En Ooi Teng Hoe telah meninggal dunia 2 bulan yang lalu akibat serangan jantung. Takziah.
bagus la kalau ada menteri yang sudi mendengar pandangan dari akar umbi.. usaha cikgu dalam bolasepak sepatutnya dijadikan contoh kepada semua organisasi yang terlibat.. selalunya bolasepak di Malaysia hanya mahir dan hebat dalam perbalahan pendapat, penggantungan dan tunding menunding antara 1 sama lain bila sesuatu kekalahan atau masalah yang timbul, cuba la pihak2 atasan ambil masa dengar rintihan orang2 kampung di kedai2 kopi, yang xboleh pakai tapis, yang berguna jadikan la modal untuk pelaburan masa depan bolasepak negara.. PS: kagum tengok usaha cikgu dalam pembangunan bolasepak tanpa mengejar populariti dan wang ringgit, malah duit poket sendiri yang keluar.. 🙂