Skip to content

Tukarkan PPD 24 jam

2009 February 17
by Guru Besar Pencen

Dalam tahun 1982 saya sudah 10 tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan Panchor, Pantai Remis di dalam daerah Dinding (sekarang ini dikenali sebagai Manjung) di negeri Perak.  Sekolah itu merupakan  sekolah pertama saya mengajar selepas tamat kursus perguruan pada tahun 1971 dan 1972. Memang penuh dengan kenangan dan nastolgia.  Bila saya imbas kembali perwatakan saya,  sehingga hari ini  yang saya ‘dengan rasa penuh bangga’ menyatakan yang saya adalah seorang guru yang sangat komited dengan tugas saya.

Suatu hari (dalam tahun ke 10 saya berada di sekolah itu) saya telah diberitahu oleh kerani sekolah itu bahawa saya telah diarahkan bertukar ke sekolah yang berdekatan dengan tempat tinggal saya (di Pantai Remis) iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Batu. Sungguhpun sekolah tersebut sangat hampir dengan rumah saya (kurang dari 1 km jaraknya) tetapi saya tidak gembira untuk ke sana. Saya lebih suka untuk terus berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Panchor yang jaraknya hampir 6 km dari Pantai Remis, tempat tinggal saya. Baru saya sedar ada seorang pegawai yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Dinding (Manjung) datang ke sekolah beberapa hari sebelum itu.  Mungkin beliau lah yang mencadangkan yang saya perlu ditukarkan kerana sudah lama berada di sekolah itu.

Pada masa itu saya sangat aktif dalam persatuan belia yang baru di tubuhkan di kampung tempat saya mengajar itu.  Persatuan Belia itu ditubuhkan semenjak saya ditukarkan ke situ. Banyak aktiviti yang dijalankan melalui pertubuhan itu. Yang paling ketara saya bersama-sama dengan belia-belia tempatan dapat mengembelingkan tenaga muda supaya bergerak dalam satu haluan. Pendekatan turun padang dapat menangani gejalah penagihan dadah yang sudah mula bertapak di kalangan anak muda di kampung nelayan itu. Dengan berkonsepkan ‘mengawal belia yang belum terjebak dadah’ telah membawa kepimpinan saya dan rakan-rakan diterima baik oleh penduduk setempat. Aktiviti sukan dan kebudayaan ternyata berkesan menarik perhatian belia setempat selain aktiviti kebajikan masyarakat.

Semasa surat pertukaran sekolah itu saya terima, saya sudah sekian lama dilantik sebagai setiausaha kerja JKKK kampung berkenaan. Pada ketika itu (akhir era 80an) peranan JKKK mula diaktifkan dan ahli jawatankuasanya mendapat elaun mesyuarat. Tok Sidang (Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung) pada masa itu (Pak Chu Chin) sangat menyukai saya kerana kepimpinan saya dalam Persatuan Belia dan kebolehan saya dalam urusan dokumentasi (surat menyurat) serta sistem fail yang saya wujudkan.  Sebagai ‘orang lama’ kebolehan itu langsung tidak ada dalam dirinya dan rakan-rakan seperjuangannya yang diberi tanggungjawab menerajui kepimpinan JKKK.  Disamping itu, dengan melantik saya sebagai setiausaha JKKK,  beliau juga mendapat kemudahan melalui saya untuk menggunakan kemudahan yang ada di sekolah di kampung itu seperti kemudahan padang, tempat mesyuarat dan peralatan cetakan (Gestetner) kerana Guru Besar sekolah itu sangat mempercayai dan menghargai perhubungan saya dengan masyarakat setempat.

Tok Sidang telah menerima perkhabaran itu dengan rasa amat terkejut.  Beliau merasakan  akan kehilangan sesuatu yang menjadi harapannya selama ini.  Sebagai seorang yang berjawatan politik (JawatanKuasa UMNO Bahagian Pengkalan Bahru) beliau rasa amat tercabar.  Pada suatu malam, di bawah sinaran lampu ‘gasoline’  (kawasan disitu masih tiada bekalan letrik pada masa itu) beliau bersama rakan karibnya (Pak Chu Min) dan beberapa orang penduduk kampung mengambil keputusan untuk berjumpa dengan EXCO Kanan Negeri Perak pada masa itu, Dato Hj Abd Malik bin Ahmad,  yang juga Ketua Umno Bahagian Pengkalan Bahru untuk mengadu bagi membatalkan pertukaran mengejut saya itu.  Saya hanya diminta berdiam diri.

Selang beberapa hari saya pun berangkat meninggalkan sekolah tersebut untuk mengajar di sekolah yang baru (Sekolah Kebangsaan Sungai Batu) kerana saya sedar bahawa sebagai penjawat awam saya terpaksa patuh kepada perintah jabatan. Pihak Jabatan Pelajaran Perak enggan tunduk kepada desakan politik untuk membantalkan pertukaran saya seperti mana yang dikehendaki oleh pemimpin politik tempatan.

Beberapa hari kemudian saya mendapat ‘khabar’  yang pegawai PPD yang menukarkan saya telah diarahkan (oleh arahan politik) untuk bertukar serta-merta (dalam tempoh 24 jam) dari PPD Dinding ke Ipoh.

Moral dari cerita ini bahawa pada ketika itu, ketikamana kerajaan yang memerintah sangat kuat (mendapat sokongan padu rakyat) semua perkara boleh berlaku.  Kadang-kadang kita perlu menerima hakikat yang kita amat  memerlukan pemerintah yang mempunyai ‘kekuatan’ dan menggunakan kekuatan untuk kebaikan masyarakat.  Saya amat sedar yang tenaga saya amat diperlukan di sekolah asal itu.

Ketikamana pemerintah sudah lemah (tiada sokongan padu dari orang ramai) seperti sekarang, maka berlakulah apa yang dapat  kita saksikan ‘sandiwara’ yang dipertontonkan kepada kita (rakyat bawahan) sekarang. Kebetulan apa yang terjadi sekarang dan kepada saya 26 tahun yang lalu berlaku di Negeri Perak tempat saya memulakan karier saya sebagai seorang ‘GURU’

Permohonan saya untuk bertukar ke negeri asal saya, Pulau Pinang berlaku setahun kemudian.

.. gurubesarpencen teringat arwah Pak Chu Chin, alfatihah.

6 Responses leave one →
  1. March 10, 2009

    Cukup menarik pengalaman yang pastinya orang lain tidak melalui sebagaimana gurubesar pencen melaluinya….

  2. kampung panchor boy permalink
    May 19, 2009

    memang menarik… saya dilahirkan pada 1982 dan bersekolah di SKP. Pak Chu Chin n Pak Chu Min mmg antara tokoh2 yg terkenal dikampung Kg. Panchor walaupun telah tiada.

  3. May 20, 2009

    Panchor Boy. Masa anda dilahirkan saya masih mengajar di SKP. Saya selalu ke sana lagi. Kerinduan saya di Panchor sentiasa bersemarak kerana terlalu banyak kenangan. Salam saya untuk Tok Sidang Mat Wancik juga seorang murid saya yang menimba ilmu ‘bola’ dari saya. Selamat berkenalan.

  4. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    May 20, 2009

    Selamat Petang Cikgu,
    Saya dalam kebosanan..suasana pejabat macam dilanda garuda…sunyi sepi dalam kelam kabut.masing-masing sibuk menyiapkan kerja untuk saya bawa ke Johor Bahru esok. Kawan yang selalu berinteraksi semua hanyut dalam beban kerja masing-masing. Jadi,sementara ada peluang saya datang lagi ke blog ini.
    Sejak dari awal karier saya, saya berkerja di sektor swasta, istilah pertukaran serta merta ini tidak pernah berlaku pada saya. Cuma diawal karier saya, saya pernah mengalami suatu keadaan yang mungkin dapat saya katakan seangkatan dengan pertukaran serta merta.
    Dunia rekabentuk dalaman @ interior design di awal 90an masih baru hendak berkembang. kebanyakkan projek-projek hanya tertumpu didalam negara…itupun lebih di ibukota. Bukan seperti hari ni, designer kita telah jauh merantau sehingga ke Dubai , New York dan London.
    Suatu hari , selepas pulang dari tapak projek saya dipanggil masuk ke pejabat boss. ” Aziz, you have passport? ”
    ” No Sir, My salary is to small for me to travel around Malaysia, let alone going somewhere else ” jawab saya sambil menyindir. Maklumlah gaji diwaktu itu..aduhai. Tukang sapu DBKL pun belanja saya makan nasi lemak selepas mengetahui gaji saya yang sebenar. Ha.ha..ha.. itu cerita lain. ” Tommorrow go make your own Passport. Ask 500 frm our account. Priority, first thing first “. Naik binggung pulak saya dengan perangai boss saya ni. Tiba-tiba tanpa salam terus nak saya buat sesuatu. “What for Sir?” ” We are sending you to Bangkok as Retail Project Coordinator ”
    ” Prepare yourself, mention to your family and say goodbye to your girlfriend . In two weeks time you will be there for at least half a year with interval of three months period ”
    Terduduk saya. Bukan apa, terperanjat. Bukan kerana terpaksa meninggalkan Mata Air kerana di waktu itu istilah itu tak ujud dalam jiwa saya. Terperanjat kerana ramai lagi yang layak dipejabat waktu itu dan ramai yang mengidamkan tempat itu sedangkan saya tak angkat port pun.
    Di pendekkan cerita, saya sampai ke Kota Bangkok dengan serba canggung. Walau dekat Bangkok adalah dunia lain. Bahasa, makanan halal, budaya dan kehidupan teramatlah asing bagi saya. Kalau saya ini “Pharang” ( Mat Salleh ) mungkin senang sedikit.Bukan sedikit hamun saya terima maklumlah saya di anggap orang thai menyamar mat salleh. Lama kelamaan saya tenggelam menjadi warga Bangkok. Ramai kenalan bila kita berbahasa yang sama walau bunyinya seperti itik berkokok seperti ayam. Tapi nama saya dieja sebagai Mr. Axix. ha..ha..ha..sebagai kenangan sebab itulah saya letakkan nama itu pada e-mail saya.
    Ayat pertama yang saya belajar ” Khun Pu chai/ Pu ching. Mae phut thai mae dai” “Karp” “Karp pun karp”. Maafkan saya, saya tak bole bercakap dalam bahasa awak” ” i no thai i malaysian” dan paling seronok bila di balas ” Me sepeak no engelis” Ha..ha..ha.. sah ayam dan itik bakal bebahasa isyarat. Kerja pulak untuk projek shopping mall untuk Jusco..parah..parah. Bukan ayam dengan itik lagi ni, kambing pun duduk dalam satu reban. Jepun Malaysia dan Thailand bermesyuarat..bayangkan tanpa jurubahasa.meeting 10 minit jadi 3 jam. Apa pun itulah lapan bulan yang paling manis buat saya.
    Sayonara, Sawadikarp dan Selamat Tinggal Bangkok.
    Di sana saya anak Adam yang sebenar, manusia tanpa batas bahasa dan budaya. masing2 menjadi manusia yang cuba melengkapkan satu sama lain.

    Memang selalunya kenangan terindah itu sentiasa belegar-legar di ingatan tetapi kenangan pahit itu lebih jauh terselit di lubuk hati. Semakin jauh untuk dibuang semakin kerap ia menjenguk.

  5. May 21, 2009

    Aziz : merantau juga u ni ye sambil memperkasakan pengalaman. Indah penglaman itu. Saya tak pernah ke luar negara hatta ke Siam. Dok belengkax kot ni saja le. Walau bagaimanapun tahniah atas pengalaman itu. Anak saya pernah ke Chengmai. Dia mempunyai cerita semirip dengan Aziz. Dia hampir menangis bila taukeh kilang meninggalkannya di kilang tempat mereka belajar di Chengmai. Seronok saya mendengarnya. Cerita makan di tempat orang, cerita bercakap dengan orang asing. Begitulah. Tahniah. Berceritalah lagi.. Terima kasih.

  6. June 15, 2009

    The article is usefull for me. I’ll be coming back to your blog.

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 13 + 11 ?
Please leave these two fields as-is: