PPSMI dimansuh (2) : sama tapi tak serupa.
Perubahan struktur rumah melibatkan keseluruhan rumah terpaksa di runtuhkan. Perubahan bilik air supaya lebih canggih (seperti di hotel) melibatkan sedikit ketukan dan turapan semula dengan bahan lebih baik dan bermutu tinggi. Melibatkan struktur akan melibatkan kos, tenaga kerja dsb. Tentunya semua orang sependapat sebegitu.
Dula tiada PPSMI, sekarang ada, kemudian tiada. Dulu belajar SAINS dan MATEMATIK dalam Bahasa Melayu boleh, kemudian tak boleh kemudian BOLEH pula. Apa sebenar yang ada dan apa yang tiada. Apa sebenarnya yang boleh, dan apa pula yang tidak boleh.
Maka berkata-katalah cendikiawan-cendikiawan melayu, cina dan tamil. Maka bermesyuaratlah peneraju utama pendidikan di Malaysia. Maka berhujah lah pemimpin-pemimpin politik (yang kesemuanya ada berkepentingan) untuk survival politik mereka. Maka berdemontrasilah pejuang-pejuang bahasa melayu, bahasa cina dan bahasa tamil. Bergegak gempitalah dunia pendidikan di Malaysia. Yang tidak bersuara ialah guru semacam kita. Terus mengajar membimbing anak bangsa dengan keputusan lalu atau yang mendatang… demi memartabatkan etika perguruan.
Perubahan dalam pendidikan tetap sama tapi tidak serupa. Menjangkau 2012 struktur pendidikan dimana murid yang kini berada di Tahun 3 akan mula distruktur semula sedangkan mereka sudah hampir 3 tahun bergelumang dalam Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik. Dah pandai mereka ini berjinak dengan Bahasa Inggeris (yang akan dinaik taraf penekanannya) kemudian diajak pula berjinak dengan Bahasa Melayu semula. Penstruktur semula insan seawal umur 9 tahun nampak mudah, sebenarnya tidak mudah untuk dipermudahkan – tidaklah semudah penstrukturan semula Unit PPSMI di Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (ada ke unit ini di KPM?).
Oleh itu dengan tegas kita harus menyatakan bahawa sebarang perubahan yang di buat dalam alam pendidikan hendaklah berasaskan kepada murid.
Demi pendidikan maka berbillion ringgit sedia dan rela dibelanjakan. Walaupun kerajaan sanggup berbelanja (demi pendidikan masa depan generasi akan datang – iya ke ?) untuk mengubah struktur yang sedia ada tapi kemusnahannya kepada pelanggan kita adalah lebih mudarat. Kemudaratan kepada murid (pelanggan terhormat kita) tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sebenarnya tiada siapa sangat yang memikirkan kemudaratan kepada manusia-manusia kecil ini. Yang selalu memikirannya ada manusia-manusia yang berada di bilik darjah (insan kecil dan guru-guru mentornya). Tentu ada soalan sumbang yang bertanya (?) Apa mudaratnya. Jawapan yang mudah ialah : sekejap itu, sekejap ini, itu, dan ini, ini dan itu, ianya akan lebih keliru dan haru biru, hijau, kuning, merah dan pelbagai warna yang mewarnai insan kecil ini dan guru-guru mentornya.
Kita tidak sangat memikirkan kemusnahan yang berlaku ke atas struktur PPSMI kerana ianya telah dapat mememberikan impak yang berkesan kepada ekonomi, (bisnes) sekurang-kurangnya (kalau tidak pun ‘kesenangan’) kepada pemain-pemain pekej (bekalan dsb) PPSMI di seluruh Malaysia. Mungkin masih ada pekej yang belum sempat dibekalkan lagi. (?) Semua pemain-pemain ini tidak akan mengalami apa-apa, bekalan dah sampai, LO dah ditandatangani dan habuan atau keuntungan sudah diterima. Nak mansuh ke, nak lingkup ke, nak pandai ke, nak bodo ke, … tidak jadi hal pada i.
Selepas ini akan berlaku lagi tsunami bagi melengkapkan perubahan. Tidak akan terkira banyak aktiviti yang akan berlaku. Semuanya sudah faham. Dari kursus, susunan jadual, perubahan matapelajaran, pencerapan, pemantauan, kajian, penilaian hinggalah ke tekanan. Buku teks, buku panduan, modul, kertas konsep, penulisan buku ringkasan hinggalah ke tugasan pekeranian. Maka tinggallah murid dengan guru ganti, tinggallah bahan ICT yang akan bertukar ganti, tinggallah buku teks lama untuk dihapus kira dan tinggallah Guru Besar yang menunggu sampai jam 5.30 petang menunggu bekalan baru yang akan sampai. Semua terus berlaku berperingkat-peringkat sehingga (menanti) perubahan apa pula akan berlaku pula.
Secara negatifnya bergitulah. Tetapi haruskah kita tidak memikirkan bahawa perubahan besar melibatkan struktur akan memakan korban. Disebabkan itu semua orang akan berkata dan berkata, tak kira siapa tetapi guru yang menurut perintah akan terus mewarnai kehidupan anak kecil di sekolah. Nampak semacam sama, hakikatnya tidak serupa.. sekiranya pengubahsuaian dilakukan setelah mengambil kira kecacatan yang akan berlaku kerana yang sedia ada (Sebelum PPSMI) sudah banyak ‘baiknya’ mungkin hanya satu dua perkara sahaja yang perlu diperlengkapkan, di buang atau di tambah.
Secara positifnya : Berubah lah demi untuk anak kita setelah PPSMI dihina dan dicerca oleh orang yang bijaksana. dan setelah ibubapa (istimewa) puas menggaru kepala. Secara positif juga kita boleh mencongak sejumlah wang yang akan dibelanjakan demi pendidikan yang sentiasa memerlukan perubahan yang kadang-kadang tidak memerlukan perubahan.
Dan akan berlakulah pula Pakej Rangsangan Ekonomi Pendidikan Pemansuhan PPSMI, yang akan menjana ekonomi Pendidikan Malaysia. Ianya telah menjadi sebahagian daripada aspek pemansuhan ini. Kita semua meneruskan doa agar pemain ekonomi dalam pekej ini akan beroleh keuntungan disamping memikirkan juga kemudaratan, kepayahan dan pengorbanan insan-insan yang berada di bilik-bilik darjah. Juga kita menangih bijaksana dari pemain utama dalam perubahan kembali ini.
…gbpencen… boleh mengajar dengan pakai LCD/ICT, boleh juga dengan pakai manila kad dan boleh juga mengajar dengan tidak pakai apa2…