…robohnya Kota Melaka… didirikan Tembok Besar Negeri Cina
Semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah (darjah 3 – 1960) saya melihat padang di sebelah kanan itu amat luas sekali. Disebelah kiri kebun kelapa (lagi luas). Dihadapan sebuah ‘Titi Batu’ yang amat kukuh, di bawahnya mengalir air yang jernih dari Ulu Chempedak, dari atas bukit. Ramai sedang mandi-manda di sungai itu termasuk beberapa ekor kerbau. Nyaman sekali mata memandang.
Aktiviti perhimpunan masyarakat diadakan di padang itu termasuk permainan bolasepak ‘kampung’. Mungkin pertunjukan bakat tempatan atau kempen piliharaya atau sebagainya, saya tidak pasti. Hutan kelapa itu menjana ekonomi desa yang tidak seberapa dan sungai itu tempat anak muda bermain, mandi manda setelah penat bekerja di bendang yang tidak jauh dari situ. Sungguh tenang dan menghiburkan.
Tidak lama selepas itu, pokok di hutan kelapa kelihatan dipotong. Setiap hari saya melaluinya kelihatan makin banyak telah di potong. Terdengar pada suatu hari diberitakan bahawa anak Tok Megat, mati ditimpa pokok kelapa. Itu saya yang dengar dan hilang begitu saja . Akhirnya berdirilah sebuah bangunan yang menjadikan sumber pendapatan penduduk setempat. Sebuah kilang kitar semula kertas dan membuat semula kertas. Makin lama makin besar kilang itu sehinggalah pertengahan tahun ’60an ianya sudah menjadi ikon di kampung saya. Banyak penduduk yang menumpang rezeki daripadanya dengan gaji permulaan $3.50sen, sehari ketika itu.
Tok Penghulu Senawi sebagai MP (Nibong Tebal) ketika itu telah dapat menjadikan kewujudan kilang tersebut tanpa banyak ‘bicara desa’. Ianya berjalan seperti dirangka. Tiada protes dan tiada sengketa; kilang terus menabur jasa di atas pembangunan ekonomi desa. Kilang semakin besar dan pemain ekonomi desaku semakin berkuasa; Tok Penghulu Senawi semakin hilang taringnya. Air limpahan kilang dilepaskan ke Sungai Ulu Chempedak. Keruh, pekat dan berbisa. Perwira desa mula membuka langkah silat. Mungkin perundingan di buat untuk mengatasi masalah yang timbul kerana sudah terjejas huma di bendang, sudah mengelupur keli di sungai, sudah pening haruan di petak, sudah mengapai sepat di aur, kerbau pula enggan ke alur.
Setelah berunding demi berunding maka penduduk kampung telah dianugerahkan sejumlah pampasan kerana kerosakan tanaman. Wang tersebut semuanya dikumpul dan terbentuklah sebuah koperasi-Koperasi Pembangunan Kampung Tradisional Tasek (PEKATRA). Bermesyuaratlah pemimpin kampung (yang terdiri dari generasi kedua selepasa Tok Penghulu Senawi) demi mengendalikan wang anugerah dari kilang kertas tersebut atas nama pampasan.
Tampil pula wira-wira kampung, kononnya (termasuk saya) mempertahankan kewujudan koperasi agar tidak di salah tadbir. Juga menuntut untuk dipertahankan tanah-tanah sekitar agar kilang kertas tidak memperluaskan jajahan takluknya kerana kawasan tersebut adalah kawasan kampung. Juga menuntut agar kawasan yang dulunya padang awam supaya diambil alih oleh pihak berwajib dijadikan semula lapangan perhimpunan masyarakat. Tuntuan ‘gagal’ Dan sah dinyatakan di akhir pada tahun 1990an, koperasi ini berkubur atau pun hidup segan (sebab banyak pengendalinya rajin berjual beli) mati belum lagi.
Ku pandang kira, ku pandang kanan ketika berjalan dari sekolah dalam tahun 60an dulu; hutan kelapa, padang perhimpunan dan sungai mengalir jernih.
Suatu hari dalam abad ke 21, ketika berjalan dari sekolah : kilang membesar hingga ke pinggir sungai, laman perhimpunan masyarakt di jadikan (3) buah stor gergasi. Sungguh megah dan bergaya. Aktiviti ekonomi rancak berjalan, pendatang asing berselerak di dalam perut kilang, penduduk kampung menumpang rezeki (yang mula bekerja semenjak kilang dibuka telahpun bersara). Sebuah kilang yang amat megah dan sombong (sesuai dengan peredaran zaman) dipinggir sebuah sungai yang pekat dan menjijikan.. mengalir lesu bersama-sama dengan penduduk asal sekitarnya yang menggigit jari kerana gagal mengejar kelincahan pembina ekonomi desanya.
Juga diberitahu bahawa ada ‘prosedur’ untuk tidak memberi ruang bagi anak-anak desa menumpang ‘belajar’ di sana. Siapa berada di dalamnya (?) atau dibelakangnya (?) yang terus angkuh dan sombong dengan prosedurnya.
…gbpencen… sedih melihat tembok besar di sekitar kampung..
a’kum.. tn. gb pencen, saya berminat membaca tulisan gbpencen. terima kasih. saya dpt bayangkan melihat perubahan yang tidak diingini, tnpa mengira tuntutan setmpat dn pengaruh pd msa akn datang. smga keamanan msih dpt dikecapi.
Bukanlah kekayaan itu letaknya pada harta tetapi kekayaan itu adalah pada jiwa – Rasulullah SAW
Salam buat GBpencen,
Dulu lain,sekarang lain….dulu hak kita,kini hak orang lain..Inilah risiko yang bangsa kita kena gadaikan demi sebuah ‘pembangunan’katanya… bagi mereka yang berkuasa dan nak untung cepat…Buat MOU kononnya nak wujudkan peluang pekerjaan.Hari ini baru kita nampak siapa yang untung,dan siapa yang rugi…melayu jugakkan yang hilang tanah pusakanya.Tapi kita belum lambat….cuma jalan kita penuh dengan liku-liku…
Yg berbahgia GBpencen,
Semalam ada kursus LDP disekolah..penceramahnya seorang profesional dari ???.apa yang menarik hati saya,beliau ceritakan yang suaminya seorg nazir sekolah.Hasil dari lawatan dan pantauan kesekolah-sekolah,kata suaminya ada lagi guru yang fotostad rancangan tahunan sampai kelabu…maksudnya diulang cetak …saya pun kemukakan satu soalan kpd penceramah tersebut… memandangkan dunia digital yang serba canggih sekarang ini,M,engapa tidak, pihak kementerian wujudkan satu laman rasmi dimana guru boleh download dari internet dan bahan tersebut boleh diedit untuk diletakkan tarikh dan info-info tambahan. Bahan-bahan ini kalau ikut prosidur ,guru yang kena tulis atau taip… apa guna fasiliti yang ada di kementerian kl tidak boleh kurangkan beban guru.Bukankan ada kerani yang pantas menaip, dan pakar IT …dari pengalaman saya dekat tiga minggu saya terkial-kial menaip.Dahlah tu dapat pakai dalam jangka masa tertentu sahaja.Simpan dalam pendrive kena viruslah..dsb..Apa pendapat GBpencen ?
Teacher : wau.. saya hargai komen anda. Betul .. betul …. Saya akan jadikannya – untuk menulis mengenai perkara ini. Saya ada ‘cerita’ mengenainya. Terima kasih kerana mengingatkan kan saya ‘kisah ini’
Tam : nak tengok apa akana jadi pula dengan (1) MALAYSIA. Harap jangan menang sorak kampung tergadai.
Selamat Petang Cikgu,
Sama saja kisah kisah perjalanan tak kira di mana mana,
itulah erti kemajuan. Marhaein yang terpaksa berkorban membiarkan ruang hidup dimanipulasi untuk kerakusan atas nama kemajuan. Tembok tembok ini yang memisahkan darjat manusia dan akhirnya lahirlah sperti apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Setinggan yang hidup di tebing sungai sungai hanyir dihalau seperti sampah. Abdullah Hukum di ganti dengan Midvalley, ditebing Sg. Ampang berdiri tegak Kondominium menenggelamkan kampung setinggan sebelahnya.
Kini setinggan digelar Peneroka Bandar. Satu penamaan semula. Cantik dibibir, namun kepedihan hidup mereka sekarang ini dipolitikkan. Mungkin makan pasir bagi sesetengah orang hanya gurauan hari ini tapi tidur berbumbungkan langit kadang kadang membuat saya merasa rendah diri, malu kerana ketawa disaat orang lain menangis memikirkan anak yang tidur berselimutkan bahang kota yang membakar.
Dan mereka ini lah yang diarak ketika pilihanraya, umpan-umpan menyelerakan sedang mereka sepanjang hayat bergelut dengan matakail kehidupan yang mencengkam tanpa belas.
Kalau itulah cermin gelap kemajuan, wajarkah kita membiarkan mereka dibasahi hujan air liur ketamakan yang berjejer jejer tanpa malu?
Aziz : Teruskan beri sumbangan untuk mempertahankan sejarah yang sudah terpahat haknya kepada yang batil. Tentu sdr. ada cara tersendiri. Di penghujung usia ini terus menaruh harapan kepada anak-anak muda untuk memperkemaskan perjuangan. Jangan gadaikan. Jangan ……