MGB : harapan tidak kesampaian
Disuatu masa cik gu (cg) Wan Din telah mencadangkan nama abang sulung saya untuk dilantik sebagai Guru Besar (GB). Nama itu dicadangkan kerana beliau telah dapat mengesan yang calon ini mempunyai keriteria untuk dilantik ke jawatan itu. Ketika itu (arwah) abang saya sebagai PK 1 di Sekolah Menengah Bakti, Tasek Gelugor dan (arwah) cg Wan Din adalah Pengetuanya. Cg Wan Din adalah seorang guru yang hebat keguruannya. Dikenali di seluruh negeri kerana keikhlasan dan ketulenan aura ‘cikgu’nya. Pandangan dan cadangannya jarang di tolak oleh pihak atasan pendidikan dan selalu dipertimbangkan dengan sebaiknya. Itulah prosedur ketika itu.
Prosedur masakini pula, GB dipilih oleh Pengurusan di JPN. Apa kriteria maka saya dipilih oleh Ketua Unit sebagai GB, saya juga kurang pasti. Oleh yang demikian maka terlantiklah GB yang berbagai-bagai ‘jenis’. Saya juga adalah antara GB dari berbagai-bagai jenis itu. Oleh yang demikian maka bekerja keraslah pegawai JPN ‘ mendidik dan membimbing’ GB yang baru dilantik itu. Ianya jelas diperlihatkan di dalam perjumpaan-perjumpaan, GB sering kali ditegur tidak menepati kehendak JPN; yang menegur itu pula ada diantaranya tidak pun pernah menjadi GB.
Seorang GB baru, baru bertugas dan baru dalam pentadbiran tercari-cari arah tuju untuk melayari bahtera bernama ‘sekolah’. Pengalaman bersama GBnya dahulu dijadikan panduan. Pengalaman PK di sekolah baru dijadikan pedoman. Rintihan guru bawahan dijadikan bekalan. Maka belayarlarlah bahtera itu sambil tercari-cari arah angin yang bertiup. Makin lama makin kuat angin yang membadai. Ombak di hujung tanjung mula bergelora. Air menghempas bahtera. Pelabuhan masih ada tapi samar-samar. Misi dan Visi di genggam erat. Amanat juragan kuat disemat. Laut terus mengganas, hati semakin bergelora. Itulah ungkapan yang sebaiknya untuk GB baru. Tercari-cari.
Apakah peranan Majlis Guru Besar (MGB) untuk rakan baru (GB) ini. Seingat saya tiada satu modus operandi yang disediakan oleh MGB bagi membantu insan ini untuk melayari bahtera ‘sekolah’nya. Sesibuk manapun program orang besar-besar MGB, harus diingat bahawa GB-GB baru ini adalah kedaerahan kita yang kita perlu perkasakan untuk sama-sama dapat membina kejayaan bukan untuk peribadinya tetapi lebih penting ialah untuk pendidik anak-anak dan anak didik di bawah kelolaannya. Pandai-pandailah sendiri. adalah satu ungkapan yang tidak mungkin dikeluarkan oleh pucuk pimpinan MGB kepada mereka. Masih tidak jelas bimbingan yang diberi oleh peneraju MGB. Atau lebih tepat lagi ialah- seperti enau, melepaskan pucuk masing-masing – mempertahankan populariti diri dan sekolah sendiri di mata…. (dot..dot..dot..).
Silap tanggapan jika menyatakan yang GB dinilai oleh peneraju MGB atau oleh JPN. GB dinilai oleh guru-guru, murid-murid dan masyarakatnya. Guru, murid dan masyarakat menyaksikan GB pada setiap hari dan setiap masa, termasuk hari cuti. Penilaian umum boleh diperolehi dari mereka itu. Tanyalah pandangan pihak (PK, guru dan staf bukan guru) terhadap kepimpinan GB di sesebuah sekolah (dengan ikhlas) pasti anda akan mendapat jawapan yang sepatutnya, yang sebetulnya dan seikhlasnya. Baru anda boleh membuat penilaian yang betul terhadap sekolah dan kepimpinannya.
Maka betullah kata seorang rakan GB: Bukan untuk mencari kelemahan sesiapa tetapi atas rasa hormat kepada ‘ketua’, saya sering menunjukan rasa hormat kepada semua pucuk pimpinan MGB yang pernah saya ‘tumpang lalu’ (istilah bloggers). Kepimpinan yang berkrisma. Ramai yang menawarkan diri telah menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh mencurahkan idea dan berkerja keras untuk MGB. Maka terbentuklah satu himpunan cerdik pandai GB di dalam MGB. Merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti.
Kepimpinan MGB harus boleh merendahkan martabat, duduk semeja dengan GB baru, bagi membincangkan arah angin yang bakal bertiup dengan kaedah terbaik pengendalian kemudi menuju pengkalan maka banyak antara sesama kita akan lebih terarah dan terbela. Tidaklah kami (GB bawahan) hanya diajak menonton kelincahan perhubungan dengan pihak atasan di JPN, keboleham memperagakan gaya yang hebat juga ketokohan berkomunikasi di dalam sesuatu hal sahaja. Ianya tidak memberi apa-apa erti kepada GB bawahan ini. Ianya bererti untuk kami daripada mereka yang tidak mengerti isi hati kami. Yang lebih parah, ada ketikanya memperakui keruntuhan dan kegagalan GB baru di khalayak yang tidak sepatutnya. Juga memberi kesan luka ketika mana-mana kegagalan GB bawahan tanpa pembelaan, walaupun ternyata tidak benar.
MGB boleh membuat apa lebih dari apa yang dibuat sekarang. Contoh : Keputusan untuk melaksanakan dan memansuhkan dasar PPSMI tidak melibatkan peringkat kepimpinan bawahan. Pandang dari ‘pemain’ sebenar dalam pelaksanaan dan pemansuhan PPSMI tidak pernah diminta, maka akhirnya ia akan mencelarukan seluruh arus pembentukan generasi – anak-anak kita. Peranan kepimpinan MGB ialah menghayati apa yang berlaku di peringkat bawah (sekolah) dibincang dan diketengahkan sebagai satu wadah dari akar umbi. Bukan sekadar hadir mesyuarat untuk mendengar aktiviti dan mengundi kepimpinan baru dan lama.
Di peringkat MGB atau sekolah, semua orang yang saya temui bernafsu untuk menjadi peneraju. Sesiapa juga sentiasa terdorong untuk menjadi ketua. Sesiapa juga sentiasa ingin untuk mempunyai kuasa, sama ada untuk memerintah atau menggunakan kedudukan. Ia dapat dilihat melalui pandangan, komen, teguran dan kata-kata yang diucapkan jelas menunjukan semua berminat untuk memperbaiki keadaan mengikut idea masing-masing, dalam lingkungan tugas masing-masing dan melalui jawaatan semasa yang disandang. Saya sentiasa menghormati semua itu. Oleh itu ….
Ianya harus diperhati, dilihat, difikir-fikirkan, diubahsuai, diadun, digaul dan digarapkan dalam satu ramuan yang boleh di bawa ke mana-mana dalam kehidupan.
Jadilah payung kepada semua GB. Tentukan makanisme penanda aras bagaimana peranan yang sepatutnya dimainkan oleh GB di sekolahnya. Ianya akan lebih berfokus dengan kemudi, layar, juragan dan bahtera yang terurus. Dan sentiasa akan dihargai dan di hormati.
…gbpencen…selalu teringat sumbangan guru bawahan yang sentiasa menghormati saya hingga ke hari ini.