Skip to content

Perintah tuanku patek junjung

2009 February 22
by Guru Besar Pencen

Yusoff bin Hussain (Chop ) telah membenarkan permohonan saya untuk mengambil bahagian dalam lakonan drama purbawara kendaliannya bersama-sama dengan beberapa orang rakan yang lain.  Sekeping kertas yang sebesar separuh wang kertas RM1.00 ditulisnya dengan tergesa-gesa dan diberikan kepada saya.  Saya mengambil dan membacanya : ‘Perintah tuanku patek junjung di atas batu jemala patek’.  Kami pun beredar ke pentas persembahan (sebuah pondok yang dibuat dari keratan pelepah kelapa). 

Pada petang itu, beberapa orang rakan saya mula melakonkan watak-watak dalam drama purbawara dengan menggunakan skrip yang diberi oleh Chop.  Ada diantara ‘pelakon’ petang itu yang tidak berbaju, kebanyakannya berseluar pendek dengan memperagakan tengkolok yang dibuat dari kain atau kertas surat khabar lama. Boleh dikatakan semua ‘pelakon’ akan mengenakan keris (yang dibuat dari pelepah daun pinang) yang di sisip dicelah seluar (bahaya) di pinggang. Ramai di antara kami yang bermisai yang dilukis dibibir dengan menggunakan arang.  Ada juga yang nakal menghitamkan seluruh muka mereka dengan arang tadi.

Saya berdiri di sudut ‘pentas’  yang berlantaikan tanah dan tidak berbumbung.   Sambil menunggu giliran untuk saya membaca skrip yang diberikan tadi,   saya memerhatikan rakan-rakan lain berlakon melalui skrip yang mereka perolehi dari Chop.  Satu babak demi satu babak berlalu dan saya makin bercelaru menunggu giliran skrip saya.  Akhirnya drama purbawara sampai ke kemuncaknya.  Babak pergaduhan pun bermula.  Pelakon yang terlibat mula memencak silat, bertikam-tikaman dan sebagainya.  Masing-masing menggunakan ‘keris’.  Akhirnya drama purbawara itu tamat dengan perkelahian sebenar.  Skrip saya tidak dapat diteruskan.

Peristiwa itu berlaku berlaku pada saban petang dalam tahun 1960 atau 1961 ketika saya bersama Chop di darjah 3 atau 4.  .  Kami dipengaruhi oleh pementasan yang sering diadakan di padang sekolah oleh pemuda-pemuda kampung kami pada sebelah malam. Pentas sebenar didirikan dan diterangi oleh lampu letrik yang dijana dengan kuasa enjin.  Kami amat gembira sekiranya dapat menyaksikan pementasan itu kerana pentas akan diterangi dengan lampu yang terang benderang.  Pada ketika itu di rumah kami tiada bekalan letrik. Sebagai kanak-kanak kami amat gembira apabila disajikan dengan berbagai pertunjukan pada malam tersebut.  Ada nyanyian, lawak jenaka, boria dan yang tidak ketinggalan ialah Drama Purbawara.  Kebanyakan pelakon atau pelawak adalah lelaki ; walau pun watak perempuan, lelaki yang melakonkannya.

Ketika itu Radio Singapura sering memperdengarkan rancangan  ‘Bangsawan di udara’, drama purbawara yang diminat dengan mendalam oleh generasi ketika itu.  Lanjutan daripada itu terdapat filem melayu yang menonjolkan cerita-cerita istana.  Ia berkaitan dengan ketaatan kepada raja dan peranan orang-orang di bawah raja dan rakyat biasa.  Walaupun ramai antara kami tidak berpeluang untuk menonton wayang gambar tetapi saya dapat melihat gambar-gambar filem itu melalui ‘majalah filem’ yang amat diminati ketika itu.  Semuanya menjadi pujaan saya dan rakan-rakan.

Bertitik tolak dari situ, ketaatan kepada istana (raja-raja) telah bersemi.  Secara ketidak langsung taatan itu telah bersemai seterusnya telah menjadi darah daging kepada kami dari zaman kanak-kanak lagi.  Sehingga sekarang, generasi sezaman dengan saya, masih menebal semangat ketaatan kepada institusi raja.  Pendek kata tidak perlu lagi dipertikai, diperkatakan malah diubah samasekali ketaatan kepada raja dan institusi istana itu.  Ia merupakan satu kehidupan yang tetap berada bersama kehidupan seharian. Persoalannya mengapa ia berlaku begitu ?  Kerana Bangsa Melayu mesti mempunyai raja untuk memayungi Bangsa Melayu…

 Ampun tuanku beribu ampun, sembah patek harap diampun, perintah tuanku patek junjung

Tentunya tidak akan berlaku :  Ampun tuanku beribu ampun, sembah derhaka patek sembahkan. Patek tak mahu letak jawatan sebagai bendahara negeri Perak .  Ampun tuanku.

…. gurubesarpencen …..      pernah memenataskan drama purbawara ‘seuntian kasih di rimba neraka’ yang dilaporkan oleh pemberita sambilan, Anuar Asmadi dalam akhbar Berita Harian sekitar tahun 1972 semasa dimaktab perguruan.

3 Responses leave one →
  1. Zainal Abidin Mustafa permalink
    February 22, 2009

    Rajinnya cikgu tulis cerita. Ada ke orang baca cerita macamni. Tapi tak pe, saya baca dan tahniah kerna tak dak kerja dan mau menulis.

  2. iryani permalink
    February 24, 2009

    bila membaca nukilan ini, saya teringatkan satu gambr lama simpanan “guru besar pencen” mengenai pementasan teater ini. Kalau tak silap saya, “guru besar pencen” juga berlakon di dalam pementasan tersebut.

  3. Abdul Aziz Md. Kassim permalink
    March 6, 2009

    Salam Cikgu,
    Maaf , saya menggunakan gaya bahasa saya yang tunggang langgang ni . Agak mengujakan jugak bila ada warga emas yang celik komputer seperti cikgu ada blog sendiri. saya melawat blog ni pun atas saranan anak cikgu, Iryani.
    Mana tau ada benda yang dapat dikongsikan . lebih-lebih lagi tentang pengalaman hidup. dulu masa saya di sekolah pernah jugak terlibat dalam teater, tapi saya tak pandai berlakun.Jangankan watak utama, pak pacak pun tak layak.Saya hanya layak buat kerja-kerja di belakang pentas.Kira macam pengarah seni la sekarang ni. Buat saya terkenang zaman persekolahan saya pulak.
    Terima kasih cikgu

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 8 + 6 ?
Please leave these two fields as-is: