Sentiasa 30 tahun ..
Setiap kali ada kontoversi, akan kedengaran ungkapan ‘Aku sudah 30 tahun jadi Guru Besar (GB)’. Begitu juga kalau ada sembang-sembang kosong, cabar mencabar, ungkapan itulah yang terkeluar dari mulutnya menggambarkan begitu banyak pengalaman yang dilaluinya. Rasanya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa antara kami GB yang lain .. tambahan lah saya.
Kerja dan penglibatannya dalam berurusan dengan JPN memang tidak dapat dipertikai. Kebolehan kawan saya ini untuk bersemuka dan berkomunikasi dalam banyak hal mengenai pengurusan sekolah jarang dapat di tandingi oleh sesiapa di kalangan kami. Sering dapat dilihat beliau mewarnai perjumpaan-perjumpaan dengan info-info terkini dan merujuk kepada maklumat Jabatan dan Kementerian dengan tepat (mungkin – sebab saya tidak banyak yang tahu). Calang-calang pegawai di JPN dan di PPD, jarang berani bersemuka dalam banyak hal. Suaranya yang tegas dan penuh yakin selalu membuatkan rakan-rakan GB lain hanya mampu mendengarnya sahaja.
Beliau juga manusia biasa, sama seperti kita semua. Saya cuba menghidu bagaimana menangani keperkasaannya. Saya cuba memudahkan keadaan untuk mendekati beliau moga saya dapat mempelajari sesuatu dari orang yang se gah ini. Dengan berhemah saya selalu memuji kebolehannya. Saya suka bertanya mengenai perkara-perkara yang telah saya buat untuk menguji pandangannya. Nampaknya tiada banyak bezanya antara apa yang saya dan dia lakukan di sekolah. Malah ada antaranya yang saya lakukan yang beliau belum lakukan dan juga yang sebaliknya.
Saya pernah menjadi GB di sekolah peninggalannya selepas beberapa orang GB selepasnya . Lama dia di sekolah itu. Saya dapati hasil peninggalannya memang banyak dan boleh dikatakan mengagumkan. Tetapi semasa saya mengambil alih semua hasil tangannya masih ada tetapi semakin pudar. Ada guru-guru yang seangkatan dalam masa pemerintahannya mengakui dan mengaguminya. Kepudaran itu disebabkan tiada ‘folow up’ apa yang telah dilakukan oleh GB hebat ini. Dalam erti kata lain, tiada tindak ikut, pemantauan pembaikan dan naik taraf. Akhirnya tinggal bekas, tinggal kenangan. Saya pula cuba melakukan yang terbaik yang saya fikirkan, tetapi oleh sebab baru ke jawatan itu, saya masih tercari-cari rentak untuk terus menabur khidmat dan meninggal jasa di situ.
Hasil peninggalan saya di sekolah lama juga akan menjadi pudar .. seperti itu akhirnya (?)
Di akhir kariernya beliau berada di sebuah sekolah yang diberitakan tidak kurang juga hebatnya. Oleh sebab kehebatannya, maka sekolahnya jarang dijadikan ikon mencari kesalahan. Banyak pihak beranggapan sekolah yang beliau kendalikan adalah hampir kepada taraf ‘perfect’. Jadi bermaharajalela lah dia untuk membuat apa saja berdasarkan pengalamannya yang ‘jenuh’ di masa-masa lalu.
Di akhir kariernya juga, perhubungan dengan GB lain penuh rasa hormat. Perhubungannya dengan rakan kongsi perniagaan semakin menjadi. Beliau berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebagai bekalan menjelang persaraannya. Produk Pendidikan menjadi asas kepada perniagaannya. Jualan secara kecil-kecilan dibuat melalui rakan-rakan GB kami. Nampak dia sudah mula menempa kejayaan. Sehubungan dengan itu dia telah layak untuk mempunyai isteri kedua yang muda, segak dan bergaya.
Tarikh persaraan semakin hampir. Audit terakhir sebelum persaraannya menimbulkan banyak masaalah. Dokumen kewangannya bertaburan disebabkan pemantauan ke atas kerani kewangannya dialpakan. CC sekolah saya juga diarahkan untuk membantu sekolah GB rakan saya ini untuk menyelesaikannya tetapi masih tidak berjaya kerana kurang kerjasama. Audit sekolah juga datang menetap di sebuah hotel berhampiran dengan sekolahnya untuk membantu. Tidak tahu apa kesudahan.
GB ini terus menyepi diri dari rakan-rakan. Sebagai kawan saya mengunjunginya tapi tidak banyak yang saya dapat membantu sekadar menyampaikan simpati. Dia bersara awal sedikit dari saya pada usia 55 tahun. Saya tidak dapat menghubunginya sehingga sekarang. Begitu juga dengan rakan-rakan GB yang lain. Saya terus berharap beliau selamat dalam persaraan.
Semoga menjadi satu iktibar kepada semua.
…gbpencen… sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang kerani tegur-tegurkan.
Salam cikgu,
Terlalu banyak ilmu yang perlu ditimba untuk menjadi seorang GB yang berwibawa dan dikagumi oleh semua tapi apa yang pasti saya kagum dengan cikgu.
Maaf Cikgu Kairiza, tiada apa yang boleh saya kagumi dengan saya. hanya sekadar minat yang mendalam terhadap profesion yang saya pilih. Saya rasa inilah kehidupan saya. Selagi ada kehidupan .. bahawa inilah kehidupan..
Terima kasih.
Saya rasa saya kenal GB itu,pernah terjumpa baru-baru ini di Tesco menjelang raya,bersama isteri muda sedang memilih baju untuk babynya.
Semoga berbahagia di samping isteri-isteri dan baby barunya. Alhamdullillah..