Skip to content

Jamong, Kepala Gajah, galah panjang dan soo mak..ilai

2009 September 4
by Guru Besar Pencen

Saya masih anak-anak pada kira-kira tahun 1958/59.  Seingat saya, saya  tidak berpuasa lagi ketika itu.  Pada masa itu penekanan kepada ibadat terhadap kanak-kanak kurang dititikberatkan (rasanya orang dewasa juga begitu). Saya kenalinya sebagai bulan posa (‘puasa’ ).  Saya tidak pernah mendengar perkataan Ramadhan ketika itu.  Semestinya satu masa yang ditunggu-tunggu semasa  kanak-kanak.

Dewasa ini, amalan puasa amat disenangi oleh kanak-kanak mungkin kerana penekanan yang dibuat oleh ibubapa dan pihak-pihak lain termasuk oleh pihak sekolah; apatah lagi kewujudan sekolah agama rakyat di merata-rata kampung menjadikan penerapan ibadat dan ketuhanan di peringkat kanak-kanak sangat berkesan. Terima kasih ustaz/ustazah….

Menjelang petang saya dengan rakan-rakan sibuk mencari daun kelapa luruh (kering) untuk dibuat jamong. Pada masa itu kampung saya, (Kampung Kepala Gajah) masih belum ada bekalan letrik.  Sebatang jamong akan dinyalakan waktu hendak berjalan (dalam kegelapan malam) ke masjid dan satu lagi jamong akan disambungnyalakan sebelum tiba di masjid. (2) lagi jamong akan disorokkan (supaya tidak diambil orang) untuk digunakan ketika balik nanti. Oleh yang demikian pada setiap petang kami akan mencari daun kelapa kering untuk tujuan itu. Kami memerlukan (4) batang jamong pada setiap hari sepanjang bulan Ramdhan.

Mengunjungi masjid pada setiap malam di bulan puasa menjadi kelaziman saya dan rakan-rakan.  Sampai masjid menjelang sembahyang tarawih.  Kami tidak sembahyang, sebaliknya kami diminta untuk berada di suatu sudut di bahagian belakang makmum yang sedang bertarawih tanpa membuat bising. Ramai rakan-rakan sebaya dan ada juga dikalangan kanak-kanak perempuan.  Ada juga kami mencuri untuk berbuat bising tetapi dalam keadaan berani-berani takut (kepada orang tua-tua).  Jika dibandingkan kanak-kanak sekarang, mereka lebih berani dan kurang menghormati tegahan orang tua-tua. Apabila selesai setiap dua rakaat kami diminta menjerit ‘soo mak ilai’ yang ketika itu saya tidak tahu makna dan tujuannya. ‘Selawat nabi’ itu disahut begitu meriah setiap kali ‘bilal’ mendahuluinya. Tidak seperti sekarang, sahutan selawat begitu lemah sekali (?).

Sambil berselawat rakan kanak-kanak akan menyaksikan aksi wira-wira (pemuda) kampung bermain galah panjang di luar bangunan masjid.  Dipenjuru / hujung garisan (galah) akan diletakkan pelita katak berkuasa minyak tanah (kerosene).  Pelita ini akan di simpan semula di suatu sudut di masjid tersebut (dengan kebenaran) sebelum digunakan semula pada keesokan harinya.  Mereka (yang tidak berbaju) (berkain pelikat yang dicawat) akan menunjukkan aksi perkasa,  di mana mereka berentap dalam dua pasukan.  Kadangkala ada diantara wira-wira ini terpelanting ke dalam parit (jalan raya)yang berair dan naik semula untuk meneruskan perlawanan. Perlawanan agak kasar (merempuh lawan  untuk cuba mengelak dari ditangkap di dalam kawasan permainan) tetapi tidak bising sangat. Mengasyikkan kerana semacam satu pertunjukan. Permainan tersebut juga dikenali sebagai ‘Toi Belah’. Berlanjutan sehingga tamat solat tarawikh.

Tok siak (pembantu masjid) akan mengepam beberapa lampu ‘gasoline’ yang semakin malap memandakan tidak lama lagi juadah (more) akan dihidangkan. Satu lagi daya penarik untuk rakan kanak-kanak mengunjungi masjid di bulan puasa. Juadahnya agak istimewa jika dibandingkan dengan hidangan di rumah. Kalau ‘laksa dihidangkan’, saya dan rakan-rakan mengkategorikannya  sebagai ‘A’. Setelah mendengar nyanyian lagu “boya kapi’ (sebutan kami rakan kanak-kanak) kami pun bersiap sedia duduk sebaris menantikan juadah diedarkan. Lambat laun hidangan disajikan jua.  Kami memang suka berebut-rebut ketika makan. Tiada komplen apa-apa melainkan makan apa yang dihidangkan.  Majlis malam itu berakhir dan kami mencapai jamong untuk dinyalakan di lampu galah panjang yang masih terpasang.

Salakan anjing (dari rumah keluarga cina )di sepanjang jalan pulang  tidak menakutkan kami kerana api dari jamong yang bernyala yang kami bawa sudah pun menakutkan anjing yang menyalak tadi untuk menerkam.  Tanpa basuh kaki pun, saya naik ke rumah untuk tidur. Esok datang lagi.

Ini memperkatakan yang zaman kanak-kanak saya seronok walaupun dalam kepayahan: penerapan nilai agama kurang tetapi kanak-kanak ada rasa hormat dan patuh;  semua ada peranan,  yang kanak-kanak (soo..mak..ilai), yang muda (toi belah) dan yang tua (sembahyang tarawih).  Begitulah istimewa Ramadhan untuk saya, ketika itu.

…gbpencen… masih terbayang abang ke 3, mengimamkan solat tarawih itu,  doanya telah  membawanya dikuburkan di tanah suci. Al fatihah.

5 Responses leave one →
  1. September 4, 2009

    Al Fatihah buat abang yang tersayang…

    Kenangan ramadhan semasa zaman kanak2x tiba tiba menghantui diri saya… saya berasa lebih seronok mendengar zaman guru pencen… teringin rasanyer membuat jamong sendiri… teringin pula nak main galah panjang…. klu dibuat zman skarang kan best….

    mengenai ada minum n jamuan selepas terawih memang membuatkan kanak kanak teruja…saya pun teruja…pada zaman saya…saya,adik saya,Al-Amin dan Al-Mubarak sering ke masjid untuk membentang sejadah di masjid…dan melipat sejadah selepas tamat terawih…rasa seronok diberi tugas sebegitu..dihadiahkan kuih karipap…merupakan saat saat indah buat kami…

    Esok hari ke 15 berpuasa… kat sini ada wat Qunut…kat sanerr apa ceriterrr…

    dari http://www.ppictl.blogspot.com

  2. September 7, 2009

    Terima kasih cik gu wan, tentu ada kenangan cikgu yang saya rasa tidak kurang menariknya untuk di kongsi. Saya dah jengok Blog cikgu Wan. Saya tak tahu nak buat macam canggih2. Nak komen pun tak tau nak klik dekat mana. Saya akan terus melayarinya bila ada lapang. Puasa ini, slow sikit le, lagi pun saya masih bekerja sekarang.
    Jumpa lagi.

  3. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    September 8, 2009

    Selamat Tengahari Cikgu,
    Kenangan Ramadhan Dan Syawal masa kanak-kanak adalah suatu yang menyeronokkan. Saya tak tahu apa itu Jamung…mmmm basikal saya ada lampu dinamo.
    Apa yang saya tahu…meriam buluh….yes..kadang-kadang ada projek besar buat meriam tanah. Berdentam dentum lawan berlawan kampung sebelah. Bak kata Arwah Embah Nyai saya…gugur karat atap zing rumah..ha..ha..ha. Bagusnya takder la pulak kami ni terputus jari…zaman dah berubah.
    Hari ini sambutan Ramadhan dan Syawal sudah jauh berbeza. Masa untuk bermain sudah lama berlalu. Tanggungjawab melebihi segalanya..sampaikan kadang-kadang merajuk isteri saya. Apa tak nya, sudah hampir empat atau lima tahun saya sepanjang Ramadhan bertungkus lumus mengejar payment. Hari ini pun sama, yang penting Partner saya, Staff dan Parttimers saya ada duit. Bergembira menyambut Syawal, lebih -lebih lagi ada sikit duit raya selain gaji. Tak sebulan mungkin dua….
    Saya….melihat semua dibawah tanggungjawab saya bergembira adalah satu kepuasan bagi saya…lebih puas dari bermain meriam semalaman.
    Terima Kasih Cikgu

  4. September 8, 2009

    Aziz : Jamong dibuat dari daun kelapa kering yang di ikat sebagai ganti lampu suluh di malam hari. Tak kena bayaran apa-apa, itu saja mesejnya. Saya faham orang yang kerja sendiri, berniaga sendiri. Setiap minit mesti diburu kerana persaiangannya makin sengit. Ada saja yang nak naik ke atas mendahului kita, kita juga kena susun strategi untuk memenanginya. Orang tengok kita berniaga, senang.. tapi (melalui kawan-kawan) kita tahu betapi jerihnya sebelum berjaya. Sabar dan tabah saje lah. Ada tu di mana-mana rezeki anak buah nanti..
    Ok lah tu, nanti malam raya boleh lah main meriam buluh dengan anak-anak…

    Jumpa lagi.

  5. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    September 9, 2009

    Selamat Petang Cikgu,
    Masa nak bersungkai nak tiba, saya masih terperuk kat pejabat. Tadi anak saya yang sulung telefon bertanyakan samada saya berbuka sama dengannya atau tidak. Adalah tu yang dihajatka untuk hari raya nanti tu. ntah ntah ngidamkan kasut Crocs. Mendatar saja suara bila saya katakan yang saya akan kerja sampai lewat malam ni.
    Ha..ha..ha.. nak tergelak bila Cikgu kata malam raya boleh main meriam buluh ngan anak anak…mmm anak saya semua perempuan cikgu. Jangankan nak main meriam, dengar bunyinya pun masing masing dah kecut perut. Setakat bunga api tu bolehlah. Tapi takpe, tahun ini saya beli bunga api KLCC 130 das..biar suma orang puas melihat, dari habis belanja klien ke hal yang tak tentu hala lebih baik saya bakar duit saya malam raya nanti…..sekurang-kurangnya boleh mengubat hati yang lara.
    Terima Kasih Cikgu

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 8 + 12 ?
Please leave these two fields as-is: