Skip to content

Bala di kepala titi.

2009 October 28
by Guru Besar Pencen

Sekarang titi itu telah bertukar kepada titi baru.  Letaknya bersempadan dengan Bandar Tasik Mutiara di tengah-tengah Kampung Kepala Gajah.  Dulu titi itu titi kayu yang kemas.  Digunakan sebagai laluan orang kampung untuk pergi menoreh (memotong) di ladang getah ‘orang putih’.  Titi itu juga digunakan oleh ‘tuan beruk’  (Brooke) sebagai laluan keluar kereta jenis ‘Borg Ward’nya masuk keluar di ladangnnya ke bandar – Pulau Pinang atau bandar berdekatan.

Titi bukan sebarang titi.   Titi kayu itu digunakan oleh penduduk kampung untuk melepaskan hajat mereka pada setiap tahun.  Mereka akan berkumpul pada sesuatu masa yang tertentu untuk ‘menolak bala’ yang mungkin akan menimpa kampung, atau orang-orang tertentu di kampung saya itu.

Sungguhpun saya tidak begitu pasti tetapi saya masih ingat bahawa hari berkenaan meriah bagi kanak-kanak kampung seperti saya.  Kami akan berkumpul pada kira-kira jam 5.00 petang di kepala titi itu.  Orang-orang dewasa akan beransur-ansur memenuhi kawasan tersebut.  Tok Hashim Bomoh akan mendahului upacara ‘tolak bala’.  Berpinggan-pinggan pulut kuning dengan gulai ayam kampung akan diletakkan berbaris di atas titi.  Jambangan sirih dalam bekas mengkuang lengkap dengan sintok, limau, rokok daun dan tembakau mendahului barisan pulut kuning tadi.

Tiada pun seorang yang bercakap kecuali Tok Bomoh saja yang menyerapah (berjampi).  Tidak jelas perkataan yang diucapkan hanya mulutnya yang berkumit-kumit mengeluarkan suara mendengus-dengus memecah suasana hening penuh konsantrasi hadirin yang kira-kira hampir 40 orang. Orang tua dan dewasa duduk mencangkung (bertinggung) sekitar kepala titi itu sambil memerhati dan menghayati serapah bomoh.

Air di bawah titi jernih, mengalir lesu dicelah-celah pokok keladi dan rumput rampai sepanjang parit jalanraya Tasek ke Simpang Ampat.  Anak-anak ikan kemeras berenang memecut laju.  Kepalanya yang berbintik putih menarik perhatian kami melihatnya.  Ditebing parit berkerumun siput pahit memanjat pokok keladi dan pokok paku rawan.  Akhirnya bekas sirih itu dihanyutkan perlahan-lahan di dalam air parit itu.  Aliran air diharap akan membawa sirih jampi itu ke jambatan keretapi ke sungai Simpang Ampat terus ke laut di kuala hampir dengan Bukit Tambun.  Semua orang merenung bekas itu dihanyutkan air sambil mengharapkan bala yang akan menimpa juga akan hanyut bersamanya (?)

Serentak dengan itu, kaum ibu akan menebarkan bertih ke atas kepala hadirin di majlis itu.  Bersorak kami semua bila bertih itu turut diberi kepada kami untuk ditaburkan.  Melompat-lompat kegembiraan.  Akhirnya majlis itu berakhir apabila pulut kuning dan gulai ayam kampung dihidangkan kepada semua yang hadir dalam ‘istiadat’ tersebut.  Semua kembali ke tugas masing-masing petang itu setelah puas bahawa bala yang bakal menimpa kampung kami sudah diikhtiar dihindarkan.

Sebab saya masih anak-anak lagi (ketika itu)  saya tidak pasti samaada ada pihak yang menegah amalan tersebut kerana (seperti yang kita maklumlum)  ianya adalah amalan kurafat. Walaubagaimana pun begitulah antara berbagai-bagai amalan yang dilakukan di masa-masa dulu.   Sudah banyak ‘amalan” seperti  itu ditinggalkan oleh generasi sekarang.  Sungguhpun begitu dengan senang juga kita  boleh dapati amalan sebegitu dalam bentuk yang lain berleluasa dilakukan.

Itulah dahulu dan itulah kenangannya.  Tanpa menyedari batasan keagamaan, ada saja ‘aktiviti’ sedemikian dilakukan pada zaman itu demi mengisi masa lapang (masa terluang). Tapi sekarang,  kesibukan manusia telah  menghindarkan orang ramai dengan amalan kurafat ini. Akhirnya wujud pula kurafat dalam bentuk lain (?) pula…

…gbpencen…adik ipar saya dah jadi bomoh

3 Responses leave one →
  1. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    October 28, 2009

    Selamat Dinihari Cikgu,
    Saya masih di Opis, terperuk berendam kerja yang tak putus-putus di hujung tahun ini. Rasa bagai Cencaru makan petang pulak, di penghujung tahun di bulan orang sudah berkira-kira nak makan angin hujung tahun nanti atau sibuk membilang hari nak naik Haji . saya masih lagi mencongak-congak mengira berapa suap lagi yang dapat saya hulurkan di tembolok kami sekeluarga Jade Design S/B. Membaca tulisan cikgu hari ini membuat saya tersenyum sendirian, baru tadi saya mengimbau kenangan silam semasa bekerja di KLCC. Cerita cerita seram zaman pembinaan KLCC untuk menerangkan mata budak-budak praktikal yang semakin layu. Teringat saya, pembinaan KLCC bukanlah bersih tanpa korban. Hari pertama sahaja ketika kerja-kerja meruntuhkan astaka lama kelab lumba kuda seorang pekerja hilang nyawa. Sehingga siap sepenuhnya, dari pekerja am sehingga jurutera asing menjadi korban menara kembar. Sehingga hari ini masih ada yang menawarkan nyawa di KLCC dengan melompat terjun di depan Petrosains. Rahasia untuk umum tapi bukan untuk mereka yang hari-hari saban pagi mewarnai kehidupan di Menara.
    Apapun apa yang akan saya ceritakan ini bukan untuk apa, sekadar untuk memberitahu , bukan titi kayu dikampung sahaja di Raikan sebegitu. Bangunan tertinggi didunia pun wal hasil balik asal. Orang Asia ini masih kuat animismanya. Hatta kununnya Pemikiran kelas pertama.
    Menara satu di bina oleh kontraktor Jepun manakala yang satu lagi dibina pula oleh kontraktor Korea. Awal awal lagi mereka telah bertanyakan pada sub-kontraktor tentang apa -apa ritual yang lazim dilakukan sebelum kerja kerja pembinaan dilakukan di Malaysia. Si Korea sub kontraktornya Cina Malaysia, yang Jepun bawahannya Melayulah pulak. Akhirnya, satu Menara merasa darah kambing manakala yang satu lagi kenduri doa selamat.
    Habis ribut satu KL pada hari bersejarah itu sampai ada yang mati terhempap pokok dalam kereta di Jalan Pinang.
    Antara Redha Allah dan murkaNya hanya Dia yang Maha mengetahui. Wallahuallam.
    Pokoknya cikgu, zaman berlalu tapi amalan sering dipromosi dalam kulit buku yang baru, walau isinya sama cuma gaya bahasanya berubah.

    terma kasih cikgu,artikel ini sangat sangat mengujakan saya. cuma tang ikan kemeras tu saja tak terjumpa dalam memori saya, nama Jawanya lain kot.

    Wassalam

  2. October 29, 2009

    Aziz : cerita dari sdr. memang hebat. Begitulah antara banyak cerita yang kita sering dengar. Hanya saya seronok mengimbau kenangan lama.. kalau di dramakan tentunya filemnya hitam putih. cerita dulu-dulu. Terima kasih kerana bersama saya mengimbau kenangan dalam situasi berbeza.. darama lama dan drama zaman moden ini (KLCC).

    Ikan kemeras tu kecil saja, kepalanya besar dari badan.. montok kepalanya, besarnya saiz jari kelingking dewasa, panjangnya seinci lebih sikit dan di kepalanya ada tanda putih berkilau seperti ‘timah’. Ia bergerak laju (lincah). Senang ditangkap tapi tak tahan lama.. mati. Ikan air tawar, tinggal dalam parit yang airnya tidak laju tapi.. sekarang saya tak pernah nampak pun ikan ini.. dah pupus rasanya..

  3. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    October 30, 2009

    Selamat Tengahari Cikgu,
    Hari ninsaya masuk kerja dalam keadaan mamai, apataknya empat hari bekerja 18 jam…ha..ha..ha… semalam lewat tengah malam baru pulang, panjang muncung yang menyambut… apalah saya nih kerja bagai nak gila. lupa malam semalam malam kaum Ibu…..nak macam mana dah nasib badan.
    Terima kasih tentang info ikan kemeras tuh. dahulu semasa kecil habis parit-parit saya godak, pantang nampak anak ikan haruan menyusur parit. Mak Haruan bole jadi ganti lauk sardin dan ikan kembung, sekali sekala makan haruan bakar kemudian direndam dalam kuah lemak cili padi…mak oiiiii, manalah petang-petang jumaat ni nak cari di KL.
    Itu bab perut, bila musim ikan laga, guppy dan tiger fish lain pulak ceritanya, habis satu tempayan nenek penuh dengan ikan guppy.
    Itu dulu, zaman seronok, zaman tiada nestapa walau hidup bukan senang mana. Sekarang saya tak kumpul Guppy lagi,
    sekarang gila kumpul model kereta Ferrari. Keluarga saya kata… orang tak ada anak lelaki dia, dialah sampai ketua jadi budak-budak…ha..ha..ha… nak macam mana malam kaum ibu pun lupa.
    Maaf kalau terlebih…tumpang lalu.

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 6 + 4 ?
Please leave these two fields as-is: