Betul ke cikgu ni…
Sifatnya memang kritikal. Ada kebaikannya dan ada wawasannya. Saya sering menghormati pemandu lori ini. Antara pekerja di situ (tempat saya bekerja sekarang), dialah yang berfikiran rasional. Pandangannya saya hormati dan dia amat menghormati saya. Berprinsip dan rajin bekerja juga sedikit wara’. Oleh yang demikian dia bijak mengelola keluarga dan mempunyai kebolehan menguruskan kewangan dengan baik. Simpanan ASBnya dan isterinya semakin hari semakin meningkat. Saya angkat topi.
Pagi itu dia menyatakan yang cikgu anaknya di sekolah (menengah) meminta wang sebanyak RM15.00 untuk tujuan mengadakan jamuan kelas. Dia begitu tersentak dengan jumlah wang yang diminta itu. Bukan kerana dia tidak mampu membayarnya tetapi jumlahnya adalah ‘banyak’ berbanding dengan ‘event’ pelajar sekolah Tingkatan 2.
Dia terus menghuraikan bantahannya : kalau dengan tujuan jamuan perpisahan akhir tahun cukup pelajar-pelajar ini makan dengan RM5.00 sahaja, itupun sudah lebih (katanya disokong oleh Rosli rakannya) Beliau membandingkan yang makan tengahari beliau yang sebegitu teruk bekerja hanya dalam lingkungan jumlah itu sahaja. Juga huraiannya bertambah yakin dengan membandingkan bahawa pekerja di kilang tempat kami bekerja hanya berupah sebanyak RM 15.00 sehari – lapan jam bekerja.
Jika Pah, Mariam, Che Jam, Biaeah dan Nora (ibu tunggal) dan Aishah (suami uzur) diminta oleh cikgu kelas untuk membiayai RM15.00 untuk jamuan perpisahan anak mereka, maka habislah gaji untuk sehari mereka bekerja. Bayangkanlah. Itu adalah antara berapa banyak (entah) cerita ibu tunggal yang senasib dengan mereka.
Dipendekkan huraian rakan saya itu beliau menyimpulkan bahawa pada setengah orang RM15.00 itu tidak ada nilai apa-apa tapi pada setengah orang RM15.00 itu adalah seharian gaji mereka untuk membiayai seluruh kehidupan dalam sehari. (?) Sedarkah kita (?) Jawapan yang sering kita lihat (bukan kita dengar) ialah ramai antara kita tidak sedar dan jarang atau tidak pernah mengambil kisah perkara ini.
Esoknya dia datang lagi membawa rentetan dari keluhan wang jamuan RM15.00 anaknya. Pertanyaan beliau dijawab oleh anaknya dengan menyatakan banyak rakan-rakan di kelas tidak dapat, tidak mampu atau tidak mahu menjelaskan bayaran jamuan itu. Ha… (katanya) itu menunjukan bahawa pada kebanyakan orang yang senasib seperti Nora tadi, begitu besar nilainya (RM15.00) kepada mereka.
Maka begitulah berakhir cerita Dira, pemandu di kilang tempat saya bekerja.
Kalau saya sebutkan saya pernah susah, semua akan menyebutnya begitu juga tetapi dapatkah kita benar-benar menginsafi kesusahan orang ?. Kesusahan zaman moden perlu digarapkan oleh setiap Pengetua dan Guru Besar di sekolah. Dipersekitaran kesibukan pengurus-pengurus sekolah ini akan kita terlepas pandang dan selalunya kita akan terlupa kesusahan waris-waris diluar persekitaran kita. Di keliling perkarangan sekolah penuh dengan kereta model masa kini yang menggambarkan ‘kita’ (cikgu) tidak susah. Tapi diluar perkarangan sekolah kita terselit berbagai-bagai episod -beberapa keping wang yang berjumlah RM15.00 itu sangat tidak ternilai – nilainya.
Setiap sumbangan yang diberi, setiap sumbangan yang dipohon ianya haruslah melingkari kedaerahan yang mempunyai banyak episod duka. Mampukah kita mengisafinya, atau PK HEM atau PIBG sendiri mengisafinya sebelum apa-apa langkah / keputusan yang membabitkan kewangan dibuat. Sudah cukupkah maklumat yang kita perolehi jika kita hanya berlegar-legar sahaja di kawasan dan bangunan sekolah ?. Kita perlukan satu keinsafan yang waris sedang memerhati kita dari luar pagar ‘daerah’ kita.
Disamping kita akui banyak juga waris yang merupakan pelakon-pelakon yang tergamak melakonkan ‘kemiskinan’ dalam kemampuan dek kerana ketamakan dan salah urus diri sendiri. TAPI yang paling berbisa ialah Guru Besar melakonkan beberapa episod membeli ‘buku-buku kerja tambahan’ untuk murid-murid masing-masing tetapi diakhir tahun – buku tidak bertulis, yang bertulis pula tidak bertanda, yang bertanda pula tidak disemak’.
Malang sungguh anak Dira, anak Rosli dan anak-anak mereka yang bergaji RM15.00 sehari.
…gbpencen…konsep beli buku kerja RM4.75, jual RM5.00 dan beli RM4.25, jual RM4.00 – kerana keinsafan.
Salam cikgu,
Kekadang kita terlepas pandang kerana bagi kita ianya tidak penting, kita terlalu alpa di atas keperitan insan lain. Ada yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata….semoga dijauhi dengan sifat ketamakkan dunia
Salam Cikgu,
Semalam saya bentangkan satu proposal pada satu syarikat yang bakal akan mengegarkan negara sedikit masa lagi. Managing Directornya seorang yang sangat simple, umurnya pun sudah melebihi 60 tahun. Dengan izinNya insyaalah mulai bulan 12 ini dapatlah saya kontrak baru.
Melihat harga yang saya tawarkan , beliau memandang saya sambil tersenyum. kemudian beliau berkata, berniaga jangan tak untung….tapi tamak pun jangan. kemudian saya bertanya. Tamak tu bagaimana Tuan Haji? Tamak tu bukan mengambil untung berlebihan. Tamak itu bila kita ambil hak orang lain. Saya angguk dan faham kata-katanya. Harta dunia tak habis dimakan, yang masuk dan jadi urat saraf kita ni sahaja rezeki kita. Yang lain kita kumpul tu untuk orang lain. Jangan Tamak dan jangan cuba untuk ambil hak orang lain.
Termenung sejenak saya. Entah apa yang dipandang pada saya. Cuma didepannya saya rasa saya ditelanjangkan tanpa lindungan.Bagai anak anak diberi nasihat oleh bapa.
Sehabis presentation, salah seorang Pengarah menepuk bahu saya. Tuan Haji suka kat kau, jarang dia panggil orang dia tak kenal ngan nama . Congratulation both of you.
Insyaalah bertambah rezeki JADE.
tapi sampai hari ini kata-kata jangan ambil hak orang tak luput dari ingatan.
jumpa lagi.
Semoga visi dan misi menepati ramalan kerana usaha sedang di buat bersungguh-sunggu.. selamat berjaya.
salam cikgu.
sungguh insaf membaca kisah ini. inilah realiti yg kekadang kita(guru2) terlupa. andainya ada antara kita yang merupakan anak petani@ golongan bawahan pastinya mereka mengerti. namun bagi antara kita yang tidak pernah merasa susah, berbagai-bagai cerita dilemparkan sekiranya ada murid yang tidak dapat melunaskan yuran atau apa2 bayaran yang diminta.
saya sendiri anak FELDA. dan saya tahu kesusahan hidup di FELDA. Namun ada segelintir antara kita yang terus menerus menekan murid2 tanpa usul periksa. Apakah yang manpu saya bantu jika tekanan itu dari pihak pengurusan sendiri. Jika di tegur katanya melawan ketua. bagaimana?
Si Pitong : Kesusahan dan kepayahan adalah sebahagian dari kita. Kalau kita benar-benar menyedarinya, maka kita akan lebih kuat bekerja untuk golongan ini. Bila kita (saya) bekerja kuat untuk golongan ini kita akan menjadi susah, payah dan mencabar. Dengan itu kita akan tergolong di kalangan mereka. Maka kita akan terjauh dari sikap ego yang selama ini kita pupok dan kita semai. Akhirnya kita akan menjadi seorang pendidik yang tiada apa yang hendak di kejar… hanya kita akan menjadi kita yang tiada apa-apa melainkan menamatkan kerjaya dengan penuh bergaya.. macam saya… Terima kasih tuan.. saya bersetuju dengan tuan !.