Skip to content

Pak Lah bela kerbau.

2009 November 28
by Guru Besar Pencen

Pak Lah (Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi) telah semakin dilupakan.  Berada dipuncak kekuasaan (memang benar) bukan sesuatu yang senang dan sentiasa tidak disenangi.  Keperkasaan dari segenap segi harus diberi perhatian, kalau tidak begitulah jadinya.  Kalau adapun yang hendak dikenang kerana terpaksa mengenang atas sifat-sifat ‘kelembutan budi dan pekerti’ masyarakat ‘kita’.  Semoga Pak Lah terus sihat dan menjalani kehidupan dengan penuh bermakna.

Guru Besar juga begitu.  Meninggalkan pintu pejabatnya di sesebuah sekolah dengan seribu macam kenangan. Semasa dipuncak kuasa tentu ada sesuatu yang dilakukan untuk kemajuan sekolah, yang akan meninggalkan kesan kepada warga yang dikepalainya sebelum ini. Atau sebaliknya.  Impaknya sama seperti yang berlaku pada Pak Lah. Sama ada ianya terus menjadi ingatan atau akhirnya akan dilupakan.  Dilupakan – sebab tidak meninggalkan kesan, atau sekurang-kurangnya kenangan.

Pak Lah yang ingin saya ceritakan adalah Pak Lah biasa, bukan Tun Abdullah. Orang kampung biasa seperti saya, sepermainan dengan saya semasa kecil. Namanya Abdullah, tetapi dia sedikit tua dari saya.  Dan saya adalah rakan bulinya. Sebagai orang kampung dia tidak mempunyai pendidikan yang tinggi hanya sekadar menamatkan persekolahan di darjah 3, sekolah rendah.  Tugas beliau ialah ‘bela’ (memlihara) kerbau kepunyaan keluarganya.  Kami sering mandi di sungai bersama kerbaunya.  Dia juga mandi bersama saya dan kebau-kerbaunya.

Melalui kehidupan seperti orang kampung biasa, biasanya tidak banyak aktiviti yang diceburinya. Dia tidak menyertai kami dalam persatuan belia di kampung kami.  Dia juga tidak berminat bermain bolasepak.  Dia juga tidak terdedah dengan aktiviti kami yang bersekolah di sekolah menengah. Kami akan temui Pak Lah selepas kami bermain bola sepak ketika dia memandikan kerbaunya di sungai.  Ketika itu dia akan cuba membuli kami di sungai.  Dia akan menunjukkan kejaguhannya di air dan kepakarannya mengendalikan kerbau belaannya.  Kerbaunya memang kerbau terdidik  yang boleh digunakan untuk mengerjakan tanah di bendang.

Bila dewasa, beliau menyertai politik.  Parti berteraskan keagamaan, PAS.  selepas beberapa ketika penglibatannya dalam politik, dia sering berulang alik ke masjid.  Menjelang petang dia akan bertenggek di tebing titi batu masjid memerhatikan orang yang lalu-lalang.  Kumpulan yang seangkatan dengan kefahamannya juga akan melakukan perkara yang sama – mencari mangsa untuk berhujah. Pak Lah sudah begitu taksub dengan partinya.

Pada masa itu ramai antara kami menyertai Pergerakan Pemuda UMNO di cawangan. Ketika itu UMNO telah mendominasi politik tanahair dengan begitu ampuh sekali seperti tiada tolok bandingnya.  Pak Lah begitu rakus sekali menyerang saya dan rakan-rakan saya  Setiap kali saya berjumpanya dia akan mempersendakan politik perdana terutama kepimpinannya (Tun Mahathir).  Oleh sebab kedengkelan dan informasi yang diperolehinya agak terhad maka, hujahnya agak sumbang.  Walau bagaimanapun Pak lah tidak patah semangat.  Semangat yang diperolehi dari ketaksubannya dan pemimpinnya telah menjadikannya sentiasa mendabik dada dengan penglibatan dan kebolehannya.  Saya tetap menegurnya.

Kemuncak ketaksubannya, suatu hari dia menyatakan kepada saya : ” Di tengah rumah Dr Mahathir itu ada sebuah pongsu yang lilin nya sentiasa menyala,  dia selalu memuja pongsu itu – tok dia, tu lah sebabnya dia susah nak jatuh (ditumbangkan)”. Saya tidak hairan dia mengeluarkan kata-kata itu tetapi yang menghairankan saya, begitu sekali lah dia mengagumi kebolehan Tun Dr Mahathir. Kesanggupan dia mengeluarkan kata-kata itu tidak menghairankan saya, kerana itu lah Pak lah, sahabat saya yang saya kenali.

Setelah bersara dari bela kerbau, impak yang diterima oleh Pak Lah tidaklah sehebat dengan Tun Abdullah, juga berbeza dengan impak ke atas saya sebagai seorang Guru Besar. Pak Lah masih sihat seperti saya.  Langkah politiknya sudah longlai, sama seperti saya.  Kudrat sudah kurang tetapi tiada apa kesannya ke atas orang lain, keluarga, masyarakat dan negaranya. Dia tetap seperti dahulu, menikmati arus pemodenan negara bersesuaian dengan kebolehan pendidikannya.  Pegangan politiknya juga sama.  Pak lah beruntung kerana tanah pusaka datuk neneknya membolehkannya berteduh di sebuah rumah dengan anak cucu cicitnya melalui kehidupan sederhana seperti saya. Kami sama-sama tidak mempunyai misi yang jelas dalam politik, melihat dan mengikuti dari jauh sahaja.

Apa ayng ingin saya nyatakan bahawa pendidikan memainkan peranan dalam mencorakkan kehidupan kita .. dan ..

Semakin tinggi kita dipertanggungjawabkan maka kesannya ke atas orang lain makin besar andainya kebertanggungjawaban itu tidak dilaksanakan dengan ‘yang terbaik’.

…gbpencen…kenangan mengusik jiwa.

4 Responses leave one →
  1. November 29, 2009

    Salam:

    :: Ketaksuban terhadap sesuatu membuatkan kita berkeyakinan penuh dengan apa yang kita fikirkan.. Bukan mudah untuk membina ketaksuban dalam kalangan orang sekeliling kita..

    :: “Memberi” yang terbaik belum semestinya kita “mendapat” pulangan yang seperti diharapkan…

    :: Banyak udang, banyak garamnya… kan?

    :: Itulah indahnya hidup ini…warna-warni kehidupan, mampu mematangkan kita dalam segala tindak-tanduknya…

  2. gbpencen permalink
    November 30, 2009

    Terima kasih :

    Bahasa tuan saya kena pikir panjang nak faham, itulah orang kata semakin tinggi mengaji makin banyak ilmu yang boleh kita perturunkan kepada orang yang tak berapa nak mengaji.

    Walau bagaimanapun warna-warna kehidupan ini berwarna-warni, kekadang bila dicorakkan elok di padang, kekadang hodoh pulak – semuanya terpulang kepada penilainya.

    Yang diharapkan semuanya akan memberi menfaat kepada kehidupan sesorang, semoga semuanya di terima sebagai satu ibadah .. seperti yang tuan dan tuan-tuan diluar sana telah lakukan.

    … saya …..edang membina kesedaran

  3. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    December 14, 2009

    Assalamualaikum w.b.r Cikgu,
    Lama saya tak jengah, jenguk jenguk blog ni,Dari Aidil Adha saya ke Singapura, pulang KL dua hari lansung ke Bandung.Selepas tiga hari saya pulang kembali dan kemudian esoknya pulang ke Batu Pahat. Ada projek kecil dengan Abah dan Mak.Hendak menambah 3 bilik lagi dirumah kampung tu, ha..ha..ha hampir macam Dewan Sivik rumah saya…bukan nak menunjuk Mak kata…sepupu sepupu kau banyak dah kahwin. Bila Raya semua balik nak jumpa Mak Tok kau.Tahun lepas kereta sahaja dah lebih sepuluh biji, malam tu ada yang tidur depan pintu bilik air…kesian. Yelah Mak, besarkan sikit Ruang Tamu Mak nih…anak murid mak yang datang mengaji pun bukan sorang dua dah naik puluh puluh. Isyallah tahun depan Pengantin baru tak payah tidur depan TV, boleh tidur dalam bilik.
    Pulang dari Batu Pahat saya masuk pejabat sehari lansung ke Penang bersama keluarga dan staff bercuti empat hari.
    Semalam saya pulang ke kampung, ada kenduri kahwin sepupu isteri saya. Orang Kota Singa membuat kenduri untuk saudara mara yang taidak berkesempatan ke Singapura tempohari.Kalau di Batu Pahat, sibuk Rewang membantu apa yang kurang.Jadi Kendarat nih memerlukan niat yang ikhlas, kalau tidak mula la mata tu berbulu melihat yang lain duduk berborak di hujung khemah.Walau begitu kerana muafakat sanak saudara semua gembira keja kenduri selesai tanpa masalah. Lauk pauk cukup tanpa banyak lebihan. Tak ada pula yang mengadu tak dapat makan. Alhamdulillah.
    Dalam pada sibuk kehulu kehilir sempat pulak saya terdengar kata-kata sepupu isteri saya, seorang pemandu lori trailer. Entah apa dengusnya tapi yang sampai kehujung telinga saya.”Sekolah aja tinggi tapi belajar rendah.Baik aku sekolah aja rendah tapi belajar ada sikit tinggi”.
    Faham la saya sebenarnya dia menyindir saudara-saudaranya yang duduk macam boss, arah sana arah sini tapi bila suruh angkat pinggan dia pulak angkat kaki.Betul jugak, inikan acara keluarga,di ofis memang la kau tu boss tapi kat sini kau tu cuma pangkat anak saudara, ringan ringankan tangan la sikit.Tu la dia Sekolah tinggi tapi belajar rendah.
    Dengan sanak saudara masih nak jadi Boss.
    Hari ini walau hari pertama saya masuk opis staff suma komplen. Muka U nampak penat.saya diam sahaja .Hanya tuhan yang tahu…ni esok lusa nak ke Johor Bahru dan ada kemungkinan nak ke Bangkok pula.
    Alangkah nikmatnya kalau dapat melelapkan mata seharian…tanpa gangguan.
    Maafkan saya Cikgu tumpang melepaskan lelah sebentar di Blog Cikgu…dapat jugak melepaskan stress yang bersarang.

  4. December 15, 2009

    Wau.. pusing-pusing merata tuan kita ni keliling Asia Tenggara dengan bisnesnya. Bangga tidak terkata saya kerana ada anak melayu di blog ini terus memacu kecemerlangan bersama kecemerlangan negara. Tahniah.

    Juga bereksempatan menabur keringat bersama keluarga berkenduri – KENDARA. Kenduri tu tidak mengapa, yang jadi masaalah sikit ialah KENDARA – kata orang Utara.

    Nak layan, nak basuh, nak saji, nak angkut, nak susun, nak hidang, nak simpan..

    Yang nak sembang (lama tak jumpa), yang mengata, yang dikata, yang tak berkata apa-apa, yang banyak berkata-kata.. wah semua asam dan garam dan belacan kehidupan ini.

    Sabar, rumah adat dah dibesarkan dan sanak keluarga dah dieratkan.. insyaalah, benda baik, niat baik.. maka baiklah jadinya..
    Amin.

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 4 + 7 ?
Please leave these two fields as-is: