Skip to content

Emak bercerita – semangat padi

2010 February 7
by Guru Besar Pencen

Suatu hari seorang musafir (orang susah kata emak saya) berjalan di pinggir sebuah bendang.  Bila kepenatan dia berhenti berteduh di sebuah ‘dangau’ (tempat pesawah berteduh kepanasan).  Perutnya terasa sangat lapar. Tiada sesiapa berada  di situ. Dalam masa dia berehat itu dia terdengar bunyi seakan-akan suara orang menangis.

Dia mencari serata tempat kalau-kalau ada sesorang tersembunyi dimana-mana.  Tetapi tidak  ditemuinya di mana-mana jua. Didongakkan kepalanya ke atas kerana suara itu seolah-olah datang dari atas atap nipah dangau tersebut.  Makin jelas bahawa suara itu memang datang dari atas atap dangau tempat dia berteduh.  Dia mendekatkan pandangan ke sisipan atap nipah bumbung dangau tadi.  Semakin dia menghampiri, semakin jelas suara tangisan itu kedengaran.

Diamati betul-betul, Rupa-rupanya yang mengeluarkan suara itu ialah sekeping kerak nasi yang telah keras,  di sisipkan ke atas bumbung dangau itu.  Musafir tadi memegang kerak nasi tersebut.  Suara tangisan itu terhenti.  Dia membawa kerak nasi tersebut ke air di bendang di situ lalu membasuhnya. Musafir tersebut mengunyah dan memakannya sehingga habis.

Emak menyambung ceritanya :  Tidak lama kemudian apabila musafir itu pulang ke kampungnya untuk bertanam padi, tanamannya amat ‘menjadi’  sehingga berkunca-kunca* hasil padinya.  Ini telah menjadikannya seorang yang kaya raya di akhir ceritanya.

Semasa saya budak-budak dahulu, emak saya suka dan pandai bercerita.  Ceritanya berkisar kepada cerita-cerita yang berunsur nasihat dan bersesuaian dengan pengalamannya sebagai petani tradisional. Ceritanya mempunyai moral yang tersendiri dan mempunyai hubungkait dengan kehidupan petani seharian.  Secara tidak langsung, cerita emak saya mempunyai hubungan tentang perlakuan saya semasa budak-budak.  Ianya secara tidak langsung untuk membentuk saya menjadi seorang anak yang ‘berdisiplin’.

Singkatan peristiwa dibawah adalah jawapannya :

Setelah saya selesai makan nasi,  emak selalu berkata : Kalau sudah makan nasi, mesti mengairkan pinggan agar tanaman di bendang sentiasa berair dan menyebabkan padi menjadi subur (banyak hasilnya)

Bila saya sudah kekenyangan makan dan mahu berhenti, emak pun berkata :  Nasi dalam pinggan mesti di habiskan bila dimakan .  Jangan ditinggalkan barang sebiji pun,  nanti nasi menangis, yang boleh menyebabkan tanaman tidak menjadi di musim mendatang.

Setelah selesai makan, sebiji dua nasi tentunya akan tumpah ke lantai, emak pun berkata : Nasi yang tumpah dari pinggan dilantai (ketika itu makan di atas lantai beralaskan tikar mengkuang) hendaklah dikutip dan di makan juga.  Kalau sekiranya lantai kotor,  jangan sesekali menyapunya dengan penyapu (lidi, di masa itu) ianya hendaklah di sapu dengan kain agar nasi tidak rasa terhina.

Setelah saya menyapu dengan kain, emak pun berkata : Jangan pula dibuang ke bawah rumah nasi yang disapu itu, sebaliknya hendaklah dikumpulkan untuk makanan ayam di reban nanti.

Keluarga saya  seorang pesawah tradisonal. Perkara-perkara sebegini memang di ambil berat oleh emak saya.  Mungkin kerana penat jerih di sawah, tanpa bahan kimia dan peralatan moden, restu dari Maha Berkuasa amat di tagih .. untuk mendapat sesuap nasi. Semangat padi sentiasa dipertahankan.

...gbpencen… selalu ke  bendang untuk main serunai padi je..

4 Responses leave one →
  1. February 7, 2010

    Ibu…..itulah kuatnya pengaruh ibu terhadap anak-anaknya. Bayangkan jika ibu berpersonaliti garang dan mengomel tak tentu arah (luahkan emosi yang tak tenang) pada anak-anak. Personaliti itu akan terpalit pada anak-anak. Ramai ibu bapa dulu, lebih menekan konsep nasihat tanpa jemu. Secara tidak langsung, anak-anak akan lebih berdisplin berteraskan nasihat. Ini kemungkinan, anak-anak tidak ada sumber lain yang mampu mempengaruhi personaliti mereka. Ianya berbeza dengan situasi sekarang. Terlalu banyak sumber lain yang boleh mempengaruhi jiwa dan personaliti anak-anak.

    Sebab itulah, proses memilih isteri telah diterapkan dalam agama. Bergantung pada 4 pilihan yang telah digarapkan. Agama juga akan menjadi asasnya. Ini kerana isteri yang memeliki asas agama yang tinggi mampu mendidik dan mempengaruhi jiwa anak dan membentuk personaliti mereka. Oleh itu, isteri memainkan peranan utama terhadap anak-anak. Bapa lebih kepada meletakkan garisan sempadan untuk anak-anak. Maka gabungan didikan ibu dan bapa adalah gabungan yang mantap….

    Pesanan untuk diri saya dan rakan-rakan pembaca, hargai apa yang kita ada. Perbaiki cacat-cela yang menjadi kelompongan dalam hidup.

    Ingat lagi pesan ibu saya :

    Rupa paras tidak boleh diubah kerana ianya ketentuan Ilahi. Sikap dan sifat masih boleh diubah dan dibentuk kerana kita yang membentuknya… Apa komen tuan?

  2. February 7, 2010

    Cikgu Azlan Lin :
    Pandai ibu cg bermadah. Kata-kata itu diluahkan ketikamana ibu cg sudahpun membentuk peribadi cg sehingga menjadi cg .. tugasan mulia. Dari ungkapan cg saya dapat juga bayangkan bahawa hebatnya ibu kerna walaupun tidak berpelajaran (ibu saya) tetapi beliau mempunyai kualiti seorang ibu sejati. Semua ibu sayangkan anaknya.. maka keberkatan itu telah menjadikan ‘ibu’ seorang yang paling hebat.. kepada anaknya.

    Isteri kita juga seorang ibu.. kita boleh merenung bagaimana isteri kita dalam kehidupan peribadinya dalam penitian menjadi seorang IBU – mithali (?)
    Terima kasih cg.

  3. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    February 8, 2010

    AsSalam Cikgu,
    Dalam memuja dan merindui kasih Ibu, ramai yang lupa untuk bersedekah Al Fatihah saban hari untuknya, sedangkan dia sehari pun tak pernah putus doa untuk kita.
    Saya akui saya lalui zaman remaja membesar jauh dari ibu.Dewan Makan menjadi tempat saya mengadu lapar,tangan ini sekian lama menjadi teman mencuci pakaian saya.Tidur saya jauh dari ketiak ibu, pergi dan pulang saya ke asrama hanya berteman bayang bayang sendiri.Asal saya bukan ditatang, kerana saya adalah harapan keluarga.Ibu saya mengorbankan belayan manjanya supaya saya nanti menjadi tabah, gagah melayari dunia dengan sampan kecil saya.Tetapi jiwa remaja ketika itu hanya tahu memberontak, saya mula merokok.Satu tanda protes, selain meluahkan perasaan pada lakaran lakaran kecil yang memenuhi buku latihan saya.Sehingga hari ini itulah teman lara saya, kebiasaan yang terbawa bawa sehingga kini. Menjadi manusia berjari sebelas,andai tak diselit rokok pasti terselit pen.Ibu tahu , dan saya pun tahu. Saya jadi seperti menumpang bila pulang sewaktu cuti sekolah.Saya tak punya bilik sendiri, yang ada ibu beri pada adik-adik perempuan saya.Ruang saya hanya berkongsi dengan peti televisyen.Ruang privasi saya hanyalah sebuah stor kecil dirumah nenek. Syurga saya yang penuh dengan buku buku lama, suratkhabar dan majalah lebihan hasil jualan pakcik.Sanggup seharian membaca tanpa jemu.Satu kedamaian.Semua itu menjadikan saya seperti ini.
    Korban kemanjaan ibu membawa saya berdiri sendiri, doanya yang tak pernah putus buat saya sentiasa merasai kasih sayangnya.Saya keluar dari kepompong kerana ibu membuat saya berani mengharung perjalanan.Pengorbanan Ibu tak terbalas,duit yang dihulur saban bulan tak ada nilai bila dikenang air mata ibu membesarkan saya.Anak nakalnya.Rumah yang saya besarkan sekarang lebih kecil nilainya dari hadapan televisyen dahulu. Sayu wajahnya melihat anak harapanya liar tak terganti dengan senyumannya hari ini.
    Mak [pangillan untuk ibu],anak mak ini tak terbalas jasa mak.Segunung harta dan sebuah mahligai pun hanyalah ibarat hama. sekulimit pun tiada taranya.
    Hanya sedekah Al Fatihah saban hari untuk mak agar mak tak dijilat api neraka kerana tidak ada dosa mak pada saya, yang banyaknya saya. Anak nakal mak.Abah pun sama.Tanpa mak dan abah, entah dimana saya.

  4. February 11, 2010

    Aziz : Begitulah kehidupan.. saya begitu percaya pada hikmah ke atas sesuatu yang berlaku. Ianya terjadi kepada anda dan ia sangat bermakna kerana perjalanan anda masih jauh. Kerana anda akan menjadi pemimpin kepada keluarga dan masayarakat. Andaikata anda pergi lebih jauh lagi, tentunya hikmah yang berlaku menjadi bekalan yang baik. Yang penting adalah kesedaran kita menerima apa yang berlaku sebagai satu ‘ilmu’ yang tidak ternilai – seperti mana yang anda selalu katakan. Pengalaman tidak akan bererti kalau kita tidak menjadikannya satu pengajaran – dan boleh dikongsi dengan ramai orang yang sudi mendengarnya.

    Terima kasih kerana mengingatkan saya sedekah bacaan ‘surah al fatihah’ .. untuk ibu pada setiap masa… ianya juga satu pengalaman anda yang boleh saya / dan semua orang kongsi bersama (ingat, mengingati).. terima kasih ibu.. al fatihah.. !

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 14 + 10 ?
Please leave these two fields as-is: