Skip to content

Buah melaka, buah lengkenang, buah keduduk dan buah riang.

2009 March 17
by Guru Besar Pencen

Hari raya kali itu,  (dalam tahun 1961) saya bernasib baik.  Saya ada seluar panjang dan baju tangan panjang yang baru.  Abang saya yang beli semuanya menjelang hari raya.  ‘Baju raya itu tidak boleh dibasuh, kerana dia akan hancur’  kata abang.  Saya terus mempercayainya kerana mengagumi kecantikan baju itu.  Saya akan menceritakan kepada kawan-kawan tetapi ada diantara mereka yang ‘cerdik’ tidak mempercayainya. Banyak juga yang percaya.

Selepas aktiviti di masjid di pagi hari raya itu, saya mengajak sepupu saya berbasikal ke pekan yang berdekatan.  Dua orang sepupu lelaki saya hanya memakai kain pelikat lusuh dan berbaju, juga lusuh.  Mereka tidak mempunyai pakain baru di hari raya itu.  Ayah mereka bekerja sebagai penoreh getah.  Ayah mereka tidak rajin bekerja.  Ibu pula tidak bekerja.  Masih ada lagi adik-adik mereka. 

Begitulah kehidupan kami pada masa itu.  Saya bersama ibu (bapa sudah meninggal) mampu hidup agak selesa kerana abang yang menyara kehidupan kami, bekerja dengan kerajaan. Tetapi saya dapat merasakan kehidupan sepupu saya dihimpit kemiskinan.  Walaupun saya agak simpati dengan mereka, apakan daya saya.

Biasanya apabila tiba waktu makan tengahari, saya akan makan bersama ibu saya.  Tidak jauh dari rumah saya ketika itu akan kelihatan sepupu saya merayau-rayau mengintai kami makan.  Biasanya kedua-dua mereka tidak berbaju dan dalam keadaan letih lesu.  Ibu akan memanggil mereka makan bersama.  Biasanya mereka menolak, tetapi akhirnya mereka akan makan bersama kami.

Sama juga dengan saya, pada waktu petang kami akan bermain seperti budak-budak yang lain. Bila kehausan kami sama-sama akan ke telaga (perigi) menceduk air dan meminumnya melalui timba yang sedia ada di situ.  ‘Telaga’ adalah sebuah lubang yang di korek di tanah untuk mendapatkan air. Tiada langsung rasa kekok minum air telaga yang letaknya tidak jauh dari ‘jamban’ itu.  Seingat saya air itulah yang diminum oleh seluruh keluarga dan jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah saya.

Kemudian kami akan pergi di pinggir kampung.  Sepupu saya akan memanjat pokok  melaka dan menjatuhkan buahnya.  Kami akan makan bersama sebagai ‘makanan petang’.  Sepupu saya memang handal memanjat pokok.  Kadang-kadang kami akan mencari buah keduduk.  Pokok keduduk sejenis pokok kecil. Buah keduduk suka dimakan oleh burung merbah.  Rasanya manis dan warnanya kebiru-biruan.  Mulut kami akan berwarna biru selepas makan buah itu. Itu juga adalah makanan petang kami.

Buah lengkenang adalah sejenis buah makanan burung.  Batangnya boleh dibuat rangka sangkar burung. Buahnya juga boleh di makan.  Ia juga satu lagi hidangan makanan kami pada waktu petang.

Biasanya pada hari cuti, pada waktu pagi kami akan ke tepi sungai yang tidak jauh dari rumah. Di tepi sungai itu ada sebatang pokok ‘riang’.  Pokoknya tinggi dan besar.  Sepupu saya akan memanjatnya dan menggoncangkan (menghinggut) rantingnya.  Buah riang yang kecil dan masak akan jatuh kedalam sungai yang airnya mengalir ‘lesu’.  Kami akan turun ke sungai untuk mengutip dan memakan buah riang yang ranum itu.

Sekarang pokok buah-buah ini telah semakin tidak kelihatan walaupun rasanya belum pupus.  Ada generasi sekarang sudah tidak tahu lagi buah ini. Pokonya jarang kelihatan kecuali jikalau kita masuk lebih jauh ke dalam hutan.  Buah-buah ini sudah tidak lagi menjadi makanan manusia kecuali haiwan dan unggas.

Apa yang perlu kita tahu bahawa, sekiranya manusia terdesak maka semuanya akan menjadi makanan.  Bagi kami, pada waktu petang, tiada menu yang disediakan untuk mengalas perut.  Makanan akan dihidangkan pada waktu tengahari dan malam selain dari makanan tradisi untuk sarapan pagi.  Oleh sebab ianya satu rutin harian,  kami tidak merasakan apa-apa kejanggalan.

Hidup mesti diteruskan sementara menanti dunia berubah. Saya terus bersekolah hingga tingkatan 5 dan kedua-dua sepupu saya berhenti sekolah ketika di darjah2 dan 3.

Syukur saya kerana dunia telah berubah dari sehari ke sehari.

Pada tahun 1967, kedua-dua sepupu saya telah bekerja di ‘kilang kertas’  yang baru dibuka di kampung saya dengan gaji RM2.50 sehari. Saya sedang menunggu keputusan SPM dan bekerja sambilan sebagai penoreh getah dan membanting padi di sawah.

Sekarang kami bertiga telah pun bersara dari pekerjaan masing-masing.  Kedua-dua sepupu saya memperolehi wang KWSP hampir RM180.00.  Kami semua sudah bermenantu dan saya telah pun bergelar ‘datuk’ (kerana telah bercucu). Kedua-dua sepupu saya pun sudah agak selesa, begitu juga saya, gurubesarpencen.  Kami tetap bersama seperti dahulu.  Kami terus  bersyukur dan tabah melayari kehidupan yang mendatang.

Kita perlu mengimbas kembali detik-detik di ketika itu.  Dengan itu akan timbul keinsafan untuk terus berjuang menabur bakti dengan membina kebajikan diri kerana keinsafan itu.

.. gurubesar pencen … nak pergi meminang untuk anak sepupu di Pulau Pangkor Ahad ini.

5 Responses leave one →
  1. March 17, 2009

    Pokok riang (keghiang) memang sedap. Sempat juga dulu-dulu dok kutip di tanah atau punggai yang masih di ranting. Pokoknya kat rumah Arwah Pak Asin (sebelah rumah Pak Bakag di Sungai Batu… Juag dekat sekolah arab lama di sg batu…

  2. iryani permalink
    March 18, 2009

    tak kenal semua buah yang diceritakn n teringatkn arwah tok piah..

  3. Abdul Aziz Md. Kassim permalink
    March 23, 2009

    Assalamualaikum Cikgu,
    Saya bukan orang Utara kerana asal saya nun jauh di Selatan,
    Buah dan pokok yang cikgu ceritakan agak janggal bagi saya kecuali buah yang kita makan habis biru mulut dibuatnya.
    Agaknya begitulah hidup dikampung, sama macam cikgu rakan sepermainan saya semua dari sepupu sepapat sendiri.Hari ini makan tengahari di rumah saya, esok di rumah Mak Su. Semalam di hambat Pakcik kerana pecahkan tambak parit mandi tak ingat dunia. Hari ini Nenek mengamuk ayam kesayangan hilang seekor kami kendurikan di kebun.Nostalgia itu kini tinggal dalam ingatan, Nenek ( arwah Nyai dalam bahasa Jawa )telah lama pergi. Abah pun dah pencen, Wak Ju pulang ke Rahmatullah sebulan lalu kerana Ganggren di kaki. Hari ini kami sepupu sepapat walau berbeda pendapat dan kerjaya masih berkumpul setiap kali kenduri kendarat dan Hari Raya.Kerana bagi kami itulah harta yang kami ada.Keluarga kami.
    Hmmmm. Kenangan berlalu tapi kehidupan masih kehadapan.
    Terima kasih cikgu

  4. May 31, 2010

    Salam Cikgu.. Boleh saya tahu.. mana nak cari pokok tersebut.. saya berminat untuk mengambil gambarnya..

  5. August 9, 2011

    I strictly recommend not to wait until you get enough amount of cash to order all you need! You can get the loan or just student loan and feel fine

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 5 + 9 ?
Please leave these two fields as-is: