Skip to content

Guru yang tidak membebankan

2010 April 10
by Guru Besar Pencen

Seronok sungguh.  Di sana sini,   dari guru hingga ke menteri memperkatakan mengenai beban guru. Melingkar-lingkar fikiran membayangi berbagai pendapat dan andaian mengenainya. Adakah ini perkara baru ?.  Apakah guru dahulu tidak dibebankan ? Jika dibuat perbandingan tugas guru sekarang dan tugas guru dahulu sudah cukup untuk menjawab soalan-soalan di atas.

Sebelum pelaksanaan KBSR, saya mengajar di sesi petang. Bangun tidur hari sudah meninggi. Singgah di kedai sebelum ke sekolah untuk bersarapan tengahari.  Masih bujang.  Seingat saya tiada apapun yang saya bawa dalam peti motosikal  Vespa saya,  Mungkin (kalau ada) kasut getah untuk bermain sepak takraw selepas sekolah nanti.  Mungkin juga terselit dua batang pen dipoket, satu merah dan satu lagi biru.  Tiada ada lain-lain bekalan selain daripada bekalan kegunaan peribadi.

Sampai di sekolah pun begitu juga.  Mencapai buku ringkasan dan dua tiga buah buku terus masuk ke kelas dan mengajar.  Buku panduan memang ada dan ada sedikit-sedikit buku teks murid.  Begitulah seharian mengajar.  Rehat hanya waktu rehat dan waktu guru agama masuk kelas saya.  Waktu Bahasa Inggeris di kelas saya, saya mengajar  Bahasa Melayu di kelas sebelah.    Sepanjang hari penuh bersama murid kelas saya.  Seingat saya di tahun ’70an , guru pusingan di sekolah saya hanyalah guru agama dan Guru Besar sahaja.

Sambil menulis di papan hitam saya menghisap rokok.  Murid, guru lain dan sesiapa sahaja tak kisah mungkin (kerana) ramai yang tidak menghisap rokok dari yang menghisapnya.  Sekolah tiada bekalan letrik tapi tidak pula terasa panas sampai berkuap-kuap macam sekarang. Semua berjalan lancar dan tiada pun ada guru yang merungut apa-apa.  Tertekan ke, beban ke,  marah-marah ke;  semuanya macam biasa saja.

Guru Besar tidak pernah menyuruh saya berbuat apa-apa pun selain dari menulis buku ringkasan, memeriksa buku latihan murid dan mencatat jadual kedatangan.  Mudah dan ‘simple’. Tiada jawatankuasa Panitia, tiada jawatankuasa kesihatan, tiada jawatankuasa disiplin, tiada dan tiada apa-apa.  Yang ada hanya tv pendidikan, itupun kena hidupkan generator baru tv boleh berfungsi. Murid seronok menonton tv, kerana rumah mereka tiada tv..

Mesyuarat hanya diadakan untuk membuat sesuatu acara seperti sukan. Tidak banyak persiapan yang dibuat kerana kebanyakan kerja-kerja persiapan dijalankan oleh orang kampung. Nak Mesyuarat Agung  PIBG pun tidak bermesyuarat, hari anugerah pun tidak diadakan, hanya beri hadiah diperingkat kelas sahaja.  Kalau ada peperiksaan, guru yang berkaitan dengan Peperiksaan Darjah Lima sahaja yang melakukannya.  Yang lain buat kerja masing-masing. Yang saya pernah mesyuarat tunggang langgang ialah apabila PIBG mengadakan pertujukan pentas bagi mengutip derma dengan menjemput Jamal Abdillah (ketika itu belum terkenal sangat lagi) sebagai penyanyi utama. Itu pun kerana penduduk kampung sukakan acara itu.

Senangkan (?) Tidak membebankan kan  (?)

Saya tidak pernah dengar arahan dari Kementerian.  Saya tidak pernah dengan Pengarah memberi amanat.  Saya tidak pernah nampak pegawai dari JPN atau PPD yang datang ke sekolah bertanya itu dan ini. Tidak pernah saya mengumpul apa-apa data pun selain data peperiksaan setengah dan akhir tahun sahaja. Hanya kadang-kadang ada penyelia (PPD) datang bertanya hal-hal berkaitan sekolah dengan Guru Besar. Guru Besar pun jarang bercakap dengan guru / murid sebab perhimpunan pun dihadiri oleh seorang dua guru sahaja. Jam 10.00 pagi Guru Besar saya pergi minum kopi di Pekan Pantai Remis. Arahan hanya datang dari satu pihak sahaja, iaitu pihak sekolah. Semua pihak ketika itu menyerahkan tanggung jawab mengajar kepada guru di kelas.  Maka guru di kelas pun buatlah, mengajarlah dengan senang hati.  Cukup jam, balik ke rumah periksa buku, buat soalan dan membuat kerja-kerja peribadi dengan senang hati.

Tapi gaji sikit saja.

Hanya selepas KBSR mula dilaksanakan maka guru diberi sedikit penekanan untuk mengalihkan paradigma P&P.  Guru dikehendaki menyediakan alat bantu mengajar dengan lebih sistematik.  Tetapi masih tidak membebankan kerana alat dibuat sendiri.  Tidak banyak yang dapat disediakan, cukup untuk memanipulasi alatan yang sempat dibuat.

Dengan merujuk kepada perkara di atas,  persoalannya ialah : Mengapa tugas guru sekarang dikatakan membebankan ? Kalau anda tidak mahu menjawabnya, nantikan jawapannya dari saya.

…gbpencen…sedang mencari anak muridnya  yang berjaya (walaupun cikgunya merokok ketika mengajar) di pejabat LHDN Negeri Perak.

5 Responses leave one →
  1. paklang permalink
    April 13, 2010

    Dalam kelas boleh hisap rokok, kira hebat la cikgu2 dulu. Dalam padang masa PJ mungkin lagi banyak rokok yang dihisap ye.

  2. Suahati permalink
    April 14, 2010

    Yg beban bukan mengajar tp lain2 urusan kerja pengurusan yg diminta buat oleh jabatan samada pkt ppd,JPN dan Oleh Ketua2@ Sektor. Bayangkan sekarang ada 10 Ketua Sektor dok kirim surat minta itu minta ini pd sekolah. Pengetua dan Guru Besar senang aja tlis kt surat PK1,PKKo,PKHem sila ambik Tindakan kemudian, Last2 Cik Gu juga kena buat…..Dulu mana ada ini semua….Cik Gu dok dalam kelas keja mengajar aje…….sebab tu murid2 dulu geliga lebih……Cik Gu sekarang asyik dok kursus sana sisni,ceramah sana sini,murid2 dok bising dlm kelas tampa cikgu…..

  3. jhyvtec11 permalink
    April 16, 2010

    menarik.. saya nantikan jawapan cikgu..

  4. Mohd Fazli Norizab permalink
    April 18, 2010

    hehehe..tergelak bila saya membaca kisah cikgu..bukan lucu tetapi bila cikgu cerita tentang menulis di papan hitam sambil menghisap rokok ,itu yang buat saya ketawa…sungguh indah kah pengalaman di waktu itu..tiada tekanan,tiada bebanan,walaupun dengan hanya gaji yang kecil namun jasa dan bakti ditabur dengan penuh tulus dan ikhlas…Sebagai anak seorang guru yang seangkatan dengan (kini suda arwah)..saya dapat menyelami betapa indah dan harmoninya zaman ketika arwah bapa saya dan juga cikgu mengajar…dengan segala kekurangan dan kemiskinan,namun ramai dikalangan anak2 murid arwah abah dan ckgu kini telah berjaya..Ini terbukti apabila rumah sentiasa dikunjungi bekas anak2 murid arwah abah dan juga apabila sesekali pulang ke kampung di Kulim,Kedah..orang akan mengangkat tangan menhormati arwah abah…Bukan saya ingin berbangga di sini,apa yang saya ingin kongsi di sini ialah keadaan dahulu dan sekarang mmg terlalu jauh bezanya….Mujurlah saya tercampak di kawasan pedalaman sarawak ni..sekurang2nya dapat lah jugak saya merasa sedikit sebanyak kesusahan serta kepayahan yang telah cikgu lalui dulu…tiada jalanraya,masih mnggunakan generator,keadaan murid2 yang serba kekurangan..semua ini cukup untuk menginsafi betapa kita harus rasa bersyukur dengan segala apa yang kita ada..bukan hanya pandai komplententang ketidakpuasan hati kita terhadap org lain…bagi saya,apa yang ada itu lah yang harus kita pergunakan sebaik2nya lalu menterjemahkannya menjadi titik permulaan bagi kejayaan…
    Saya amat bersyukur kerana dapat melalui sedikit sebanyak pengalaman sepertimana yg cgu rasa…bahkan di sini..saya juga boleh menghisap rokok daun di bilik GB..walaupun GB saya bukanlah perokok..namun mungkin jiwa serta sikap rendah dirinya sepertimana juga sikap cgu,saya amat2 menghormati dan menyanjunginya sebagai seorang Ketua Jabatan yang berjiwa rakyat…tiada jurang pbezaan antara kami..bahkan kami boleh sama2 memancing di tepi sungai rejang ni setiap hari serta berkongsi masalah…
    Bagi saya,bebanan dan tekanan itu datang dari diri kita sendiri..jika kita sering bersikap suka menyalahkan org lain..maka selama2nya lah kita akan sentiasa menuding jari mencari kesalahan pihak lain…Padahal,di zaman ini..guru-guru KPLI seperti kami terutamanya di pedalaman nie dibayar gaji serta elaun yg agak lumayan..yang xmungkin dapat di semenanjung…Namun bukan wang menjadi persoalannya.Keikhlasan,kejujuran,serta pengorbanan kita sebenarnya yang lebih penting..apa salahnya kita berkorban tenaga dan keringat demi niat serta cita2 yg murni iaitu melihat anak2 di pedalaman ini berjaya….Kan Cikgu?hhehe…
    salam serta jumpa lagi…

  5. iryani permalink
    April 19, 2010

    mengikut komen suahati.. memang banyak betul kerja cikgu-ckgu sekarang.. tetapi gajinya pun boleh tahan 🙂

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 15 + 2 ?
Please leave these two fields as-is: