Membalas dendam
Didiklah mereka semau-maunya walaupun kadang-kadang kita tersasul atau tersilap
Berada di hujung perjalanan ini, saya menginsafi ada perkara-perkara yang pelik atas kesilapan dan kejahilan saya telah berlaku atau telah dilakukan. Banyak. Sehari ke sehari saya akan ‘riflex’ balik semuanya; semua berlaku dengan banyak sebab. Antaranya ialah jahil, gopoh, nafsu, tekanan dan banyak lagi. Saya redha dengannya.
“‘Saya tak tahan dengan cikgu D. Dia menghentak kepala Rashid dengan rotan bulu ayam dengan kuat sekali. Saya sungguh marah dengan perbuatan itu. Sampai hari ini saya masih ingat (masih marah).” Kata Azman yang kini berusia 31 tahun, ketika saya berbual-bual dengan saya di suatu hari.
Saya menggambarkan, ketika saya mengajarnya selama 5 tahun di sebuah sekolah , dia dan Rashid memang berkawan baik. Dia seorang yang nakal tetapi baik hati. Kurang pandai tetapi rajin. Kapten pasukan bolasepak sekolah ketika saya menjadi jurulatih dan ada bakat kepimpinan dalam pasukan. Kini dia bekerja sebagai seorang pemandu lori. Rahid kini seorang Kapten tentera laut.
Dia pasti memendam rasa. Dengan selamba saja guru menghukum murid. Selepas itu guru mungkin tidak lagi merasa apa-apa tetapi sebaliknya murid itu, atau kawan-kawan murid itu menjadikan insiden itu satu tragedi, atau satu insiden ‘yang tidak dapat dilupakan‘. Mungkin pula merasa terluka; atau sayu dan sedih – dikenang dan diingati. Dia sungguh terasa dengan perbuatan cikgu D
Masa terus berlalu, dan murid semakin dewasa. Seperti saya mengingati tingkahlaku guru saya dahulu (yang biasa menapar muka saya sehingga menyebabkan telinga saya bengang dan bernanah sampai sekarang); mereka juga demikian. Banyak kemungkinan perkara itu telah terjadi pada saya atau cik-cikgu yang lain…
Murid semakin dewasa; mereka sudah memiliki semuanya ketika ini. Apa yang hendak dihairankan dengan cikgu-cikgunya yang di dendami oleh mereka selama ini. Keretanya hebat dari kereta guru, pangkatnya besar dari pangkat guru, gajinya banyak dari gaji cikgu, sihatnya lebih dari sihat guru. Maka riak untuk mereka membalas dendam jelas kelihatan. Termasuk ketika mereka menyembang-nyembang kosong, rasa dendam mereka diluahkan, seperti yang Azman ceritakan pada saya.
Dulu keluarga murid kita (mungkin) kurang berada dan disebabkan kejayaan murid ini berjaya meneroka pelajaran, sekarang keluarga mereka sudah boleh dikategorikan sebagai keluarga berada. Ada diantara mereka sombong sambil memalingkan muka. Ada di antaranya sedang berada dalam ‘misi membalas dendam‘ seperti yang saya nyatakan.
Perlakuan guru terhadap murid-murid yang tidak begitu bersalah atau yang bersalah mesti setimpal. Bibit tidak puas hati itu akan menular dalam jiwa mereka dan boleh di bawa sehingga ke alam dewasa yang boleh mereka mengingingati kita dalam berbagai bentuk dan tindakan, kemudian.
Selain dari itu, kata-kata guru merupakan ‘kata azimat‘. Ungkapan bahawa ‘lidah itu lebih tajam dari pedang‘ semestinya menjadi azimat dalam kerjaya guru kerana guru sentiasa bercakap – sepanjang hari. ‘Cakap siang pandang-pandang dan cakam malam – dengar-dengar‘. Guru tidak perasan ungkapan-ungkapan yang bersahaja di depan murid kadang-kadang membawa padah sehingga ada yang membabitkan orang lain terutama keluarga murid.
Tingkahlaku kita yang keterlaluan sudah tentu mempunyai kesan yang mendalam di kalangan murid-murid. Kadang-kadang guru tidak menjangkakan bahawa gurauan yang berlebihan itu juga boleh menjadikan sesorang murid kemurungan sepanjang hari / minggu dan kadang kala membawa kesan yang mendalam sepanjang kehidupannya. Ada antaranya yang terus menjauhkan diri dari guru berkenaan sehingga murid berkenaan meninggalkan sekolah – bahkan setelah mereka dewasa – ia telah berlaku kepada saya dalam beberapa kes.
Juga saya merasai kenikmatan setelah meninggalkan anak-anak di sekolah, murid-murid kita dahulu begitu mengingati kita. Tanpa saya kenali (sebab terlupa) murid ini mendekati saya. Sapaan mereka begitu hormat dan saya dapat membayangkan betapa gembiranya mereka ketika bertemu dengan bekas gurunya. Kebanyakan murid yang ditemui itu bukanlah murid yang kita melayannya secara istimewa semasa di sekolah tetapi mereka ini menerima sentuhan kita sebagai seorang guru yang berhemah dan penyayang. Teguran dan tunjuk ajar yang kita berikan kepada mereka memberi kesan kepada penghidupan mereka. Walaupun mereka tidak berjawatan tinggi tetapi ‘jasa guru tetap mereka kenang‘
Pernah juga saya mengalami situasi bersama murid yang pintar, berpendapatan tinggi dari keluarga yang berada. Langsung ‘tidak pandang‘ saya. Bukan saya sahaja bahkan rakan-rakan sekelasnya. ketika sempat bertemu dalam satu majlis, tingkahnya kepada saya, seperti saya – gurunya tidak pernah wujud di dunia ini . Begitu juga dengan waris – ibubapanya – yang saya amat kenali. Selepas itu saya meninjau-ninjau, apa salah saya ?
Terdapat dua keputusan dalam sistuasi di atas iaitu :(1) : Oo.. saya yang bersalah kepadanya, atau :(2): Oo.. begitulah dunia sebagai seorang guru.
…gbpencen…jika peguam menang bicara, jika hari ini seorang raja menaiki takhta, ianya bermula dari seorang guru biasa yang hanya naik kereta Proton Saga….

gbpencen dulu nampak bergaya dengan kereta volvo..
Salam Cikgu,
Kebetulan saya menghadiri Majlis Makan Malam Alumni sekolah saya dua tiga bulan yang lepas. Berjumpa teman-teman sekelas. Senior-senior yang dahulu kuat meragging, kini berkongsi rokok di luar dewan. Junior-junior yang datang bersalam sambil menyanyi lagu yang kami paksa mereka nyanyikan 25 tahun dahulu.Guru-guru yang masih ingat lagi tentang anak muridnya, yang mana bijak yang mana nakal. Akhir pertemuan kami semua akur dengan kenyataan seorang kawan, ya..memang kita dahulu nakal dan tanpa bimbingan guru guru, kita mungkin tak sampai ketahap ini.
Dan dalam keriangan itu ada juga muka hitamnya, ada juga cikgu yang masih enggan mengalah untuk mengakui kesilapan yang lalu, mungkin Egonya semakin liat, walau cuba dicairkan dengan kata maaf anak-anak murid.
Juga ada kawan kawan yang masih menjauhkan diri dari alumni kerana mungkin kami kawan kawan sepersekolahan ini tidak sepadan dengan mereka.
semua itu sama dari zaman persekolahan, tidak berganjak dan tidak berubah menampakkan sehingga kini. Dulu kini dan mungkin nanti.
Terima Kasih Cikgu