Skip to content

Dendam – Al Mubarak

2010 August 25
by Guru Besar Pencen

Mengaji zaman la = mengaji zaman dulu (?)

Banyak paku terpacak di sana-sini dalam ‘balai lintang‘ masjid. Macam-macam benda bergantungan di paku itu.  Senang saja memacakkan paku di tiang-tiang kerana masjid itu 80% diperbuat daripada kayu. Tasbih, kertas, ketayap dan entah apa lagi sedia bergantungan /bergayutan.  Yang ketara ialah baju ‘teluk belanga‘ Haji Mat Poi.  Dia tersandar santai di bawah bajunya sambil mengambil rehat semasa solat sunat tarawikh sedang berlangsung di dalam ruang sembahyang – sambil itu dia memerhati kami bermain di halaman  masjid itu dalam suram kegelapan cerahan lampu gasolin (tanpa lampu letrik ketika itu)

Solat tarawikh ketika itu berlangsung tanpa tazkirah.  Kami bermain sementara menanti jamuan ‘more‘ dihidangkan.  Menanti jamuan (jamuan yang mungkin lebih istimewa dari yang dihidangkan di rumah) di  malam-malam Ramadhan. Kami menanti alunan lunak – buyya kafi (lagu penutup solat tarawikh) berkumandang menandakan makanan sudah mula disajikan.

Kini, selepas bersara saya sempat setiap malam  mendengar tazkirah yang disajikan di surau se taman.  Saya dengar dan saya faham.  Faham dan dengar.  Dengar dan fikir.  Fikir dan kagum dengan janji Allah pada umat nabi Muhammad saw akan ganjaran pahala yang tidak terkira banyaknya.  Harap-haraplah saya akan menjadi sebahagian dari penerima ganjaran itu.  “upgrade” ibadat aadalah satu kemestian.

Tarawikh tidak lari dari menyentuh isu-isu semasa – termasuk mengingati kita akan musibah apa yang berlaku masakini.  Hakikat itu mesti di terima,  bahawa ‘isu buang bayi‘ adalah berkaitan dengan kealpaan dan kegagalan menginsafi akan ketaqwaan kepada Allah.

“Puak-puak UMNO punya kerja lah tu !”  Kata cikgu A yang bersama-sama mendengar tazkirah pada malam itu; memecah kekusyukan malam.  Lantang suaranya dan diulangnya sekali lagi.  “Ini semua kerja-kerja puak UMNO lah tu”

Tersentak saya dengan kata-kata itu.  Saya tidak mahu berfikir panjang dan terus menambat hati bahawa ‘tazkirah‘ adalah untuk mengingati diri saya dan diri semua jemaah yang hadir. Saya tidak lagi mahu  ‘meletihkan diri saya‘ (kerana saya memang telah sedia letih) untuk memikirkan dendam MELAYU yang sedang berlangsung dari dulu hingga sekarang. Sambil Berharap tazkirah yang mendatang nanti akan bertemu  lailatur qadarnya yang boleh melembutkan hati-hati   MELAYU yang masih bergelumang untuk menganjurkan keleraian disamping kecelaruan, termasuk dalam soal-soal ibadat.

Akan hadirlah malam-malam syahdu Ramadhan ini untuk (kalau boleh) membukakan hati pendendam-pendendam ‘tegar‘ dari mana-mana kelompok MELAYU agar terus berusaha merapatkan  perpaduan atas kalimah  yang menjadi pegangan kita sepertimana yang di sarankan oleh  ramai ustaz  (berbagai-bagai stail dan pendekatan) yang saya temui pada setiap sesi tazkirah.

Tok Haji Mat Poi dihormati di kampung saya.  Saya berkira-kira dia dihormati kerana kesederhanaannya menjadi ketua agama (imam) di kampung saya.  Kebolehannya dalam ibadat dan perhubungan sosialnya yang rendah diri (bertaqwa) di kampung telah menambat hati semua penduduk.  Kadang kala dia digantikan untuk mengimamkan tarawikh, dia akan berehat diluar ruang sembahyang. Dia suka bergurau dengan kami remaja yang ke masjid dan yang penting dia gemar mendengar saya dan rakan-rakan memukul gendang raya – sahur.  Kadang-kala dia mencapai kayu pemukul dan turut sama bergendang….

Tiada ada orang yang menonjol diri dalam masjid, termasuk Haji Mat Poi.  Semuanya sama.  Tiada siapa yang lebih baik dari orang lain dan tiada yang lebih buruk dari orang lain.  Yang ada kebolehan ke depan, yang kurang kebolehan berada di saf belakang (maaf, saya berada di luar masjid – bermain toi)  Bertarawikhlah sepertimana orang-orang sebelumnya bertarawikh… maka tiada tazkirah ketika itu kerana tidak banyak masalah yang timbul. Pemimpin-pemimpin peringkat atasan pun tidak ada apa yang hendak ditonjolkan atau tiada ada apa yang hendak di rebutkan.

‘Senafas sahaja -alfatihah dibaca oleh Hj Mat Poi setiap kali dia mengimamkan tarawikh di masjid kami.  Makmum juga bergerak laju mengikut rentak Hj Mat Poi.  Ada yang merungut kerana terlalu cepat pergerakan sembahyangnya.  Yang lain tersenyum sahaja tanpa membantah atau menyokong.  Semuanya mengikut rentak Hj Mat Poi…

Yang penting esok paginya, selepas subuh Haji Mat Poi akan berbasikal pelantar besarnya ke kebun getah untuk memotong (menoreh) bersama isterinya.

Cik gu A (pula), akan ke pasar selepas subuh dengan keretanya. Seronok melihatnya dia begitu selesa dalam persaraannya sebagai seorang guru DG 52. Apa yang dikata, semuanya kena…..

…gbpencen…pesara DG29, kata pun tak kena, tak kata pun tak kena…

2 Responses leave one →
  1. August 25, 2010

    seronok membaca pengalaman-pengalaman GBpencen…. teruskan usaha menulis utk pedoman org muda… semoga diberkatiNya… salam ramadhan =) ….
    (By Guru Novis~~)

  2. md darus permalink
    August 28, 2010

    Dah berumor ni tentulah ingat cerita-cerita lama. Yang penting gbpencen kena sesuaikan diri dengan cara baru orang0orang sekarang berfikir. Banyak kena tengok saja, tak boleh buat apa dah kat geng-geng ni…

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 10 + 5 ?
Please leave these two fields as-is: