Skip to content

Tunduk dan mengintai.

2010 July 20
by Guru Besar Pencen

kita yang sentiasa perihatin

Semasa menghantar cucu (Tahun 1) ke sekolah, saya sering berselisih dengan waris lain yang turut berbuat demikian. Berbagai-bagai ragam ibubapa dapat dilihat demi anak-anak tersayang. Raut muka ibubapa ini menunjukan keazaman mereka bahawa di sini, anak-anak akan memperolehi yang terbaik dari guru-guru masing-masing.

Saya akan menghantar cucu saya dengan motosikal.  Tangannya dipimpin hingga ke bilik darjah.  Saya melakukan demikian kerana kebanyakan ibubapa yang menghantar anak mereka ke sekolah itu melakukan demikian.  Apatah lagi cucu saya berjauhan dengan ibubapanya yang telah berpisah; jadi saya perlu meminimakan rasa rendah dirinya untuk keselesaannya belajar sepanjang hari di sekolah nanti.

‘Mood’ pagi menceritakan segalanya.  Raut muka waris menggambarkan apa yang berlaku di rumah di waktu pagi.  Apatah lagi gelagat anak-anak yang mereka hantar.  Sebagai GBP ianya telah menceritakan segalanya kepada saya kerana setiap pagi – seboleh-bolehnya,  saya akan berada di muka pintu sekolah menyambut kedatangan anak-anak dan waris.

Di sekolah itu, saya pernah bersua dengan seorang waris yang mengeluarkan kata-kata “aku tendang sat lagi baru tau!” kepada anaknya. Saya mohon supaya anaknya ditinggalkan kepada saya dan meminta dia meninggalkan perkarangan sekolah.  Dia akur dan saya membawa anaknya ke kelas tanpa masalah kerana ‘saya  dekat di hati murid itu’. Dia berpimpin tangan dengan cucu saya dan mereka masuk ke kelas.  Saya mengiringi mereka.

Biasanya saya masuk ke kelas cucu saya dan bermesra dengan anak-anak di situ.  Gurauan senda saya dengan mereka membuatkan setiap pagi mereka menyambut saya dengan berbagai cerita. Cerita saya mengusik mereka mengenai pembelajaran mereka.  Berbagai cerita dan situasi yang saya sengaja reka supaya keceriaan cucu saya dan rakannya terus disemarakkan sebelum mereka menghadapi ‘saat-saat mencabar nanti di bilik darjah sepanjang hari‘.  Itulah yang telah saya lakukan sepanjang 35 tahun yang lalu dan saya sambung kerja terseubut di bilik darjah 1 Melati, Sekolah Convent, Kulim.

Sebelum saya meninggalkan bilik darjah cucu saya, saya membetulkan meja-kerusinya dan meja-kerusi rakan-rakannya agar lebih kondusif.  Saya beredar untuk pergi berjogging dengan rasa puas kerana kerja lama saya dapat saya lakukan (juga walaupun dan pencen) pada setiap hari persekolahan.

Suatu hari saya memerhatikan seorang waris (ibu), tunduk sambil mencangkung di celah-celah pokok bunga sambil mengintai anaknya yang berjalan ke perhimpunan pagi.  Dia bangun dan tunduk semula. Dan bangun semula. Saya faham bahawa dia bimbang anaknya akan dimarahi kerana datang lewat.  Hatinya berdetik takut anaknya mungkin di denda.

Saya menghampirinya dan berkata bahawa dia tidak perlu berbuat begitu, kerana bukan selalu murid datang lewat.  Saya menyatakan bahawa cucu saya juga datang lewat ‘hari ini’ tetapi kita perlu meyakinkan mereka (anak kita) bahawa tidak ada apa-apa yang akan berlaku.  Sesungguhnya cikgu amat perihatin dan akan menjaga anak kita sebaik mungkin. Didiklah mereka agar segera bangun awal untuk bersiap ke sekolah – kita pun kena bersiap awallah (dia tersenyum dan berdar dari situ).

Saya selalu faham akan anak-anak yang terlewat ke sekolah.  Saya tidak jemu untuk mendidik mereka agar datang awal ke sekolah kerana sekolah menyediakan program seawal pagi.  Kalau ianya sudah menjadi satu budaya – budaya lewat – ianya perlu dibenteras dengan berbagai pendekatan yang sesuai. Yang penting, ibubapa perlu awal mempersiapkan diri sendiri sebelum mempersiapkan anak-anak mereka ke sekolah.

…gbpencen…bangun awal sedia beg cucu dan bancuh susu (darjah 1, cucu saya masih minum susu dalam botol).

Yang berkuasa sebenarnya dikuasai.

2010 July 6
by Guru Besar Pencen

Bahan mentah yang boleh di recycle

Belum pernah pengalaman sebegini saya rasai. Belum pernah perasaan begini saya tempuhi.  Belum pernah sehairan ini saya hairan . Belum pernah tergambar sampai begini akan saya lihat sendiri. Itulah ungkapan yang tepat yang saya dapat gambarkan.  Sampai begitu sekali dia membela, menjaga pendapatan dan kekayaan tokehnya.

Pemandu lori di tempat saya bekerja sekarang menyediakan RM3000  untuk membiayai kekangan kewangan tokeh saya (berketurunan Cina).   Kewangan harian kilang semuanya diuruskan oleh pemandu lori ini.  Bila pembiayaannya mencecah RM3000, tokeh akan membayarnya semula.  Begitulah seterusnya saban bulan sehingga kini  kepercayaan tokeh kepada pemandu lori ini sudah sampai ke peringkat optimum, Tanpa diganggu gugat oleh sesiapa.  Tokeh sudahpun memartabatkannya sebagai seorang yang paling berkuasa ke atas semua pekerja di premis itu.  Gah bunyinya.

Sesiapa yang tidak disukainya kerana malas atau ‘curi tulang’ semasa kerja akan diusahakannya untuk menyingkirkannya. Atau sesiapa yang melawan atau tidak sudi untuk berseloroh dengannya juga akan dipulau dari di bayar elaun isentif yang diwujudkannya. Dan sesiapa (perempuan) yang sudi berseloroh akan dibelanjakan makan ke luar kawasan dengan kereta ‘Camry’ anugerah tokeh untuk digunakannya.  Sekarang sudah 3 orang dibuang kerja dan 5 orang telah dipulaukan dari menerima  elaun isentif darinya. Dan 2 orang yang dalam proses pemberhentian kerja

Dira menawan pekerja dengan wang diperolehinya dari urusan pembelian bahan mentah kilang yang diuruskan sewenang-wenang olehnya tanpa pengetahuan tokeh. Nampak dia sangat mewah dan pemurah dengan orang-orang tawanannya.  Pekerja yang menurut telunjuknya akan dilobi supaya membenci dan memulaukan pekerja lain.  Ada pekerja yang tertekan dan ada pekerja yang tidak peduli dengan gelagatnya.

Jika benar dia tidak sukakan seseorang, dia akan mempermainkan emosi tokeh sehingga pekerja itu di berhentikan.  Yang terbaru ialah tingkahnya yang memalingkan muka untuk tidak mahu menegur pekerja yang tidak disukainya.  Dia menjauhkan diri dari berurusan dengan orang sebegini.  Juga dia mempengaruhi pekerja lain yang se bulu dengannya melakukan perkara yang sama sepertimana dilakukannya.  Maka pekerja itu akan menjadi tertekan terutama bila mereka membuat teguran tanpa di sahut lantas dia memalingkan muka,   seterusnya beredar ke lain tempat… hebatkan lakonannya ?.

Dia bekerja bersungguh-lumus sehingga daging punggungnya pun sudah kecut.  Pagi hingga ke malam melakukan berbagai-bagai kerja semata-mata untuk memperkukuhakn kedudukannya di mata  tokeh.  Pernah dia berterus terang bahawa dia akan melakukan apa sahaja asalkan tokeh percayakannya memungkinkan dia dia boleh membuat apa sahaja termasuk dalam urusan kewangan.  Yang terbaru dia mengeluarkan RM 2000 dari ASB nya untuk menambah pembayaran bil letrik tertunggak RM8000 yang mana tokeh (kononnya) hanya dapat menyediakan RM6000 sahaja… maka, makin bertambah sayang dan percayahlah tokeh kepadanya… betulkan strateginya!

Beliau amat ‘tidak suka’ kepada orang yang bekerja dengan  tidak nampak kesungguhan sepertinya. “Dia bekerja kuat tak apalah, gajinya RM5000,  kita nak kerja kuat macam dia – mana boleh, gaji sehari baru RM15.00 sahaja”  kata Mat mempersoalkan kata-kata pemandu lori yang menyatakan yang Mat hanya merugikan syarikat. Dalam erti kata yang lain – pengaruh pemandu lori ini tidak memperjuangkan kebajikan pekerja – yang tertindas dengan perlakuan pengusaha kilang yang tamak dan haloba ini.  Dia akan berusaha untuk melakukan semua kerja termasuk yang bukan tugasannya demi untuk memperlekehkan sesorang dan menaikkan ‘graf’ kepercayaan tokeh kepadanya… ha!.. ha! .. termasuk kerja yang sedang saya lakukan sekarang di kilang itu.

Maka sampailah masanya dia berusaha untuk menyingkirkan saya pula… kerana katanya kepada rakan saya,   saya tidak berusaha untuk menjana pendapatan tokeh. Dan saya sudah bersedia untuk disingkirkan kerana pemandu lori tersebut semakin berusaha untuk menyingkirkan saya juga.  Saya pernah membuat pengiraan sebelum ini, bahawa tokeh saya meperolehi jualan bulanan antara RM 400 hingga RM600 ribu.  Keuntungannya (saya pasti) tidak akan di kongsi dengan sesiapa jua, termasuk pemandu lori dan rakan-rakannya yang angkuh itu.  Yang jelas dah berekar-ekar tanah Melayu yang telah di milikinya dan setiap beberapa bulan, tokeh dan keluarganya akan melancung samada ke Taiwan, Singapura, Thailand, China atau Hongkong.

…gbpencen…tengok pemandu lori pakai tali pinggang dari ‘tali raphia’.

Tidurlah sayang..

2010 June 30
by Guru Besar Pencen

Guru Besar perihatin,  guru perihatin.  Terima kasih cikgu yang perihatin. Dan beri perhatian kepada cikgu yang tidak perihatin.

Jam sudah pukul 12.30 tenghari.  Lagi setengah jam loceng akan berbunyi dan murid Tahun 1 akan dilepaskan pulang. Saya masuk mengajar ke bilik darjah Tahun 1 Abidin (guru ganti), kelas Tahun 1 yang tercorot kemahiran belajarnya. Lazimnya saya mengarahkan PK 1 untuk menyusun jadual guru ganti untuk saya di kelas-kelas tercorot. PK 1 akan melaksanakannya apabila berlaku kekangan guru ganti.

Biasanya saya memilih untuk mengajar kemahiran membaca dan menulis secara minima sahaja, dalam masa yang sama mempromosi dan memotivasi galakan belajar.  Yang penting murid memperolehi sesuatu dari saya. Mungkin kali pertama saya masuk ke kelas saya akan menilai kebolehan menulis murid.  Murid akan rasa kaku bila berhadapan dengan saya.  Kebanyakannya akan merasa takut dan ada yang gerun. Bengiskah saya ?. Tidak. Saya seorang guru yang penyayang tetapi lagak garang.

Cerita mengenai saya tersebar luas di kalangan murid sekolah saya. Murid yang pernah melakukan salah laku akan menceritakan tingkah laku saya yang tidak menakutkan kawan-kawan mereka.  Jadi senanglah saya melakukan tugas murni saya ini di kalangan murid-murid yang ‘nakal’.  Murid-murid rasa curiga untuk melakukan pelanggaran peraturan asas sebagai seorang pelajar. Tambahan Tahun 1, yang selalu menyaksikan hukuman dan denda saya secara sepontan saya laksanakan terutama selepas saya melakukan teguran di perhimpunan pada setiap hari Isnin.

Pujukan saya termakan juga, mereka semua akan mula menyukai laokonan saya di bilik darjah.  Gelak tawa berderai-derai.  Tujuan saya menghilangkan rasa curiga mereka terhadap saya. ” Tulis nama kamu di papanhitam”. Itulah tugasan saya setiap kali measuk ke kelas ganti.

Di sini dapatlah kita menilai kebolehan murid menulis.  Mohd Khairulnizam – mOhd KHairUL nizAM.  Begitulah antara contoh-contoh tulisan murid di papan hitam yang boleh dilihat.  Bukan saja kita dapat  melihatnya di Tahun 1, hatta saya masuk di darjah 6 sekalipun, masih banyak terdapat tulisan-tulisan murid yang sebegini.

Itu baru ejaan yang bercelaru, belum lagi bentuk tulisan mereka.  O tidak seperti O, A tidak seperti A.  Bentuk huruf  K yang terkangkang, bentuk ekor G yang terputus – pendek dan j, yang titiknya hilang entah di mana dan banyak lagi yang menggeli dan menyusahkan hati saya sepanjang masa.

GB memberi tunjuk ajar bagaimana menulis nama ‘anda‘ yang betul.  Giliran murid lain juga hadir dengan tulisan nama mereka yang bermacam-macam.  Sambil mengambil pendekatan menyindir, murid diajak berseronok belajar dengan kaedah yang begitu – mungkin tidak ada dalam pengkaedahan pengajaran yang diajar di maktab atau di universiti pendidikan. Setiap masa murid hendaklah diajak menulis nama mereka dengan betul, menulis tarikh dan hari dengan tepat sebelum meminta mereka menulis selainnya.  ‘Drill’.

Adakah guru melakukan itu di awal persekolahan murid?. Jawapan yang tepat ialah ‘tidak‘.  Dan dengan yang demikian, terhasillah murid Tahun 6 Abidin yang masih tidak betul menulis nama sendiri;  apatah lagi menulis karangan.  Itu yang selalu saya promosikan kepada guru-guru – ‘do the basic‘.

Semua sudah letih,  lagi 10 minit loceng akan berbunyi;  ” Cikgu nak semua orang rehat sekarang,  semua orang kena tidur ”.  Semua murid membaringkan kepala di atas meja dan melindungkan mata dari penglihatan saya.  “Tidur !” herdik saya,  “Tidur” dengan nada lebih keras.  Semua tidur. Saya memulas telinga seorang murid ” Tak mau tidur ya… saya pulas telinga kamu… hahhh.. ! sakit ?” Aksi saya tanpa memulas telinga sesiapa pun, hanya lagak sahaja seperti melakukan denda kepada murid yang tidak mahu tidur, kerana tiada siapa yang melihat aksi saya.

Akhirnya separuh dari kelas terlena.  Ada antaranya yang sampai meleleh air lior di atas meja.  Hanya ada beberapa orang sahaja murid yang bergerak-gerak, tidak terlena.  Perlahan-lahan saya menguiskan murid berkenaan dan meminta mereka beredar meninggalkan kelas secara senyap dan meninggalkan yang lain di kelas.  Saya juga turut beredar dari kelas tersebut. Memerhati dari jauh.

Tidak lama kemudian loceng pun berbunyi, ada yang terkejut, terjaga dan meninggalkan kelas mereka untuk pulang ke rumah.

“Guru Besar !, ada orang dalam kelas dok tidur lagi….”,   “Kamu pergi gerakkan dia suruh balik.”  Kata saya ringkas,  memberi respon kepada maklumat seorang murid dari kelas Tahun 1 Abidin.   Agak riuh rendah juga dalam kelas tersebut selepas itu, mereka ketawa satu sama lain.  Mungkin mereka mentertawakan murid yang sungguh-sungguh terlena tadi.  Mereka bangga keran mereka telah berjaya – tidak terlena.

…gbpencen… terus menyambung tugasan sebaik murid Tahun 1 Abidin pulang hingga murid sesi petang meninggalkan sekolah.