Skip to content

Toyol main bola.

2013 February 18
by Guru Besar Pencen

MESYUARAT AGUNG NTFA KE 14 – 17hb Febuari, 2013 sedang berlangsung.

Ahmad Zakir Yahya bersama Ahmad Zakir Ojaimi berada dalam senarai pemain pasukan gabungan FAP , Ramblers FC yang dikendalikan oleh mendiang Freddie sekitar awal ’80an.  Ketikamana nama-nama besar dalam bolasepak Pulau Pinang, Jelani Wilastra, Redhuan Putah, Isa Bakar bermain dalam Piala Malaysia,  pasukan Ramblers  yang bermain dalam Liga FAP yang menjadi pemangkin untuk melahirkan pemain pelapis bagi pasukan Negeri Pulau Pinang.

Baru-baru Ramblers FC dibelasah oleh NTFA  7 – 0  Liga FAP.  Ramblers sudah hilang sengatnya dan tidak lagi memangkin pemain untuk pasukan negeri.  Satu sejarah lalu yang boleh dijadikan iktibar bukan saja kepada pasukan baru seperti NTFA, malah kepada FAP sendiri  tetapi khasnya untuk peminat bolasepak akar umbi.

Ahmad Zakir Ojaimi telah mewakili Pulau Pinang pada era itu tetapi Ahmad Zakir Yahya tidak melepasi had kelayakan untuk mewakili Pulau Pinang kerana pesaingnya pada ketika itu sungguh mencabar.  Semua pemain begitu bersungguh-sungguh untuk cuba mendapatkan tempat dalam pasukan elite negeri.  Jadi beliau gagal.

Sungguhpun begitu, Ahmad Zakir yang berasal dari kampung saya berulang alik dengan bas dari Simpang Ampat, Tasek ke Pulau Pinang untuk bersama Ramblers.  Dengan bayaran RM5 seperlawanan beliau sanggup berbuat demikian kerana kecintaannya kepada permainan nombor satu itu.

Walaupun begitu dia yang diberi gelaran Mat Toyol oleh penduduk kampung kami menjadi icon setempat kepada Pasukan Kampung saya Seri Lalang FC, sempena nama Cawangan UMNO kampung saya. Kejayaannya memenangi hati Fraddie yang menjadi legenda Ramblers menjadikannya dihormati oleh peminat bolasepak kampung kami.

Kebolehan dan kemampuan yang ada padanya membolehkannya membimbing pasukan kampung, menarik minat genarasi muda bersamanya membina pasukan yang disegani dikedaerahan kami pada masa itu. Pengalaman dan tunjuk ajar yang diterima olehnya menjadi bekalan untuknya membina kemahiran berpasukan. Era Mat Toyol adalah era kegemilangan Pasukan Bolasepak Seri Lalang.

Semuanya berlaku tanpa bayaran, tanpa paksaan melainkan lahir dari rasa hormat kepada Mat Toyol yang berjaya menempatkan diri dalam pasukan Ramblers.

Moral (1) :

Berapakah bayaran yang patut saya terima sekiranya saya mewakili NTFA?  Jawapannya ialah :  Bayaran hanya akan diterima setelah anda melepasi had untuk berada dalam pasukan negeri.  Yang menjadi masaalahnya pula :  Adakah pasukan negeri sudah bersedia dengan penanda arasnya dalam pemilihan pemain ? atau masih lagi berpolitik dalam arena bolasepak seperti sekarang.

Moral (2) :

Apakah pilihan anda, bermain untuk mendapatkan wang atau untuk menjadi Juara ?   Jawapannya ialah :  Van Prise berpindah ke MU dari Arsenal untuk mendapat seberapa banyak kejuaraan bukan hanya semata-mata kerana wang.  Yang menjadi masaalahnya pula :  Pasukan yang saya sertai mempunyai pengurusan yang lemah.  Walaupun saya dibayar tinggi tetapi pasukan saya sering saja kalah dalam kejohanan.

Moral (3) :

Lebih baik saya bertanya soalan ini :  Bagaimana saya akan mendapat kepuasan dalam bermain bola yang saya minati :

Jawapan (1) :  Anda harus berada dalam kelompok pengurusan yang boleh menguruskan bola! Ramai orang boleh bercakap mengenai mengurus pasukan bola, walaupun ada wang tetapi masih belum tentu boleh menguruskannya dengan baik.  Tidak dinafikan tanpa lagsung sumber kewangan ianya juga mengundang kegagalan.

Jawpan (2) :  Tinggalkan pasukan yang tidak boleh diurus dengan baik, Pilih pasukan yang ada halatuju dan yang ada pasukan pelapis yang turut memberi saingan.  Jika serasi dengan pengurusan cuba jadi profesional dengan latihan, kehadiran, komitmen dan kesungguha.  Dengan jujur boleh kemukakan cadangan yang berhemah dan bersedia bertanya kelemahan dan meminta pandangan untuk menagatasi kelemahan untuk melakukan penambahbaikan.

Jawapan (3):  Jangan meminta-minta, sedarlah diri dengan melihat dimana ‘ranking’ permainan sendiri.  Jadikan pasukan sebagai batu loncatan untuk bergewrak keperingkat yang lebih tinggi.Tidak cepat berpuas hati dan tidak melatah sekiranya selalu berada di bangku simpanan.  Pegurusan yang baik akan selalu memerhati.

…gbpencen… main bola untuk kesihatan.

 

Gaji maksimum RM900

2013 January 11
by Guru Besar Pencen

                              Pekerja asing sama nikmatnya dengan pekerja tempatan dalam industri kecil

Hujung bulan ini akan bergembiralah rakan sekerja menerima gaji minimum RM900.  Rupa-rupanya pekerja warga asing juga berkesempatan untuk menerima skim gaji tersebut. Namun saya tidak berpeluang lagi membaca perincian sebenar pelaksanaanya kerana “belum diwartakan”.

Sungguhpun belum diwartakan, ramai majikan terutama di kalangan usahawan berketurunan Cina telah pun bersedia untuk melaksanakannya – nampak seolah-olah amat perihatin – konon. Mengapa mereka bersedia mendahului warta kerajaan ?

Kata orang muda – “Biasalah beb… !”  Kerana jika perinciannya telah diperolehi dari warta kerajaan, tentu banyak garis panduan yang perlu dipatuhi;  Apabila garis panduan itu dibuat sendiri maka akan lebih mudah bagi majikan mewarni gaji yang akan dibayar kepada pekerjanya.

Sebelum ini gaji pekerja yang taat setia dan rajin akan mencecah atau sedikit melebihi RM1000 sebualan – melalui kerja lebih masa (yang terlebih dari had masa sebenarnya) dan elaun-elaun lain. Sekarang … kata majikan, OT hanya 2 jam atau kurang, Hari minggu tidak bekerja dan tekanan kerja akan bertambah dengan alasan pelaksanaan skim gaji minima ini.

Penyelia, mandor atau taukeh sendiri akan sentiasa berlegar memantau pekerja agar 8 jam bekerja itu dimaksimumkan.  Majikan tidak pernah bersuara perkara-perkara kebajikan seperti cuti tahunan, caruman KWSP dan Perkesao mahupun  kemudahan rawatan untuk pekerjanya. Yang penting 8 jam itu mesti di ‘perah’ sepenuh produktivitinya.

Dengan perkataan lain, semuanya “all in” Dan dengan perkataan lain juga, pelaksanaan skim ini memberikan satu alternatif kepada majikan bahawa ianya tidak sangat bezanya kalau dilaksanakan bahkan memberi kelebihan kepada majikan untuk menggunakan slogan ini (gaji minima) untuk meningkatkan kesungguhan pekerjanya.

Dan perlu diingat bahawa gaji minima RM900 bukannya gaji bulanan.  Ianya gaji hari  tanpa cuti tahunan dan cuti sakit yang tidak (akan) diterima.

Apa yang boleh dilakukan ialah menunggu warta kerajaan dan melihat bagaimana dasar dan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan skim ini.  Tanpa penguatkuasaan yang menyeluruh semuanya hanya membuang masa sahaja kerana majikan tetap majikan dan pekerja adalah pekerja dari kalangan anak-anak kita…. terus termanggu-manggu mencari arah…. tiada pembelaan yang sepatutnya.

Saya amat yakin berdasarkan pengalaman lalu…. inilah yang sebenarnya akan berlaku kepada pekerja industri kecil yang kurang diberi perhatian oleh pihak yang berwajib dulu, kini, selepas ini dan selamanya….

terutamanya pekerja bumiputra yang tercicir dari arus perdana pendidikan Malaysia.

…gbpencen…selalu buat kenduri ‘mini’ untuk yang termanggu-manggu !

 

Sharifah di Sekolah Menengah

2013 January 6
by Guru Besar Pencen

Salam…
Saya mula mengajar pemulihan untuk sekolah menengah pada tahun ini. Apa yang saya dapati pelajar lelaki lebih lemah daripada perempuan. Majoriti pelajar saya adalah lelaki. Saya mula mencari buku latihan yang sesuai untuk mereka malangnya saya dapati buku tahun satu pun masih tak sesuai untuk mereka. Adakah silibus yang terlalu tinggi menyebabkan mereka tertinggal ? Apa pendapat cikgu? – Sharifah

Begitulah bunyi komen cgu Sharifah yang mengajar pemulihan di sekolah menengah.

Dalam situasi ini ; seorang guru sekolah menengah berkata : “Apa yang cgu sekolah rendah buat?” Apabila soalan itu diajukan kepada rakan di sekolah rendah, dia pula menjawab : “Apa pula yang cgu sekolah menengah buat?” katanya pula. Saya ibaratkan sebagai :  Yang mana datang dahulu, ayam atau telur ?.

Matlamat P&P di sekolah rendah ialah memberi penguasaan 3M sepenuhnya kepada murid.  Penguasaan dibahagikan kepada 2 tahap – 1 dan 2. Jika penguasaan murid di kedua-dua tahap itu lengkap maka terlengkaplah murid itu untuk selesa berada di sekolah menengah.

Apabila cgu Sharifah merungut sedemikian bermakna persediaan asas murid tersebut ke sekolah menengah tidak lengkap dan sekalgus  tidak dapat menerima kurikulum yang disampaikan di sekolah menengah. Secara jujurnya bermakna murid tersebut gagal di sekolah rendah.

Siapa yang bertanggungjawab ?  GB adalah orang yang pertama dipertanggungjawabkan kerana asas pembelajaran di sekolah rendah ialah melengkapkan penguasaan 3M murid-muridnya.  Ianya sangat jelas dalam pekeliling Kementerian Pelajaran. Dalam hal ini aspek yang ditekankan ialah,  adakah GB menepati matlamat tersebut?

Menjadikan sekolahnya  sebagai sekolah yang cemerlang, menjadikan sekolahnya dalam senarai terbaik di mata PPD dan JPN, sebagai sekolah yang paling ramai mendapat 5A, sekolah yang bersih, indah.  Berusaha menjadikan sekolahnya sebagai sekolah yang menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah lain, sering dilawati untuk dijadikan contoh.. itu dan ini… itu… dan ini ….! menjadi matlamat utama.

Berbagai program peningkatan akademik diadakan.  Tidak cukup siang, belajar waktu malam, tak cukup hari, ada kelas tuisyen pada hari cuti persekolahan.  Tak cukup pagi, datang petang, tak cukup petang datang  hari Sabtu, datang hari Ahad.  Bersungguh-sungguh GB untuk menepati matlamatnya.  Harapannya satu hari nanti dia akan bergelar GB contoh, cemerlang, didikasi dan berbagai gelaran lagi.

Pada asasnya, semua gelaran akan datang kemudian sekiranya semua murid yang telah digraduasikan di Tahun 6 sekolah rendah boleh menguasi 3M dengan baik sebelum ke sekolah menengah. Dengan yang demikian GB akan menjadi cemerlang di kalangan murid dan guru sekolahnya (sahaja) – walaupun tidak menjadi cemerlang di kalangan rakan-rakan GB, pegawai PPD atau JPN.

Kepada GB :

Biaralah muridnya berfokus, gurunya tidak sangat tertekan. Belajar untuk menguasai 3M sebaiknya secara bijaksana.

Kepada cgu Sharifah :

Ini suatu habuan dalam sistem kita, sistem pendidikan kita dan sistem kemanusiaan kita.  Terimalah habuan ini.  Mengajarlah setakat mana kebolehan mereka.  Ajarlah huruf “Z”, kalau tidak boleh, ajarlah”Y”, jalau masih tidak boleh, ajarlah “W” atau mulakan menulis “A” di mangkuk pasir. Cgu akan mendapat habuannya kerana cgu juga ada matlamatnya iaitu ingin menjadi  jujur dan ikhlas.

…gbpencen… mengajar 3M masa cuti sekolah di kantin.