Skip to content

Titik, huruf besar dan tetapi.

2013 April 3
by Guru Besar Pencen

Saya suka mengajar mengarang.  Saya suka mengajar karangan.  Saya suka mengajar penulisan. Malahan saya juga suka mengajar menulis.  Saya suka mengajar tulisan.  Saya suka mengajar tulisan sambung.  Saya suka mengajar tulisan berangkai.

Antara beberapa perkataan dalam perenggan di atas menggambarkan beberapa istilah yang sama, serupa dan semacam.  Ianya berkaitan dengan pengajaran menulis dan mengarang.  Semuanya saya suka.  Ianya juga menggambarkan perubahan istilah yang dibuat dari semasa ke semasa.  Dari mengarang ke karangan dan seterusnya ke istilah terkini iaitu penulisan.  Daripada istilah tulisan sambung ke istilah tulisan berangkai.

Semenjak dari darjah satu lagi cikgu mengajar tanda titik.  Selepas titik, ayat mesti dimulakan dengan huruf besar.  Semasa saya mengajar darjah 6 ditahun-tahun akhir perkhidmatan saya,  saya masih perlu menekankan penggunaan tanda titik dan huruf besar. Berkali-kali dan berbagai cara digunakan untuk mengukuhkan pengusaan murid untuk patuh menggunakan tanda titik dan diikuti dengan huruf besar – sebelum mereka menghadapi peperiksaan UPSR.

Ini menggambarkan bahawa proses pengajaran tanda titik ini bermula dari tahun satu hingga tahun enam tidak berhenti-henti.  Belum lagi masuk aspek lain atau matapelajaran lain. Oleh yang demikian kita sedar betapa kita golongan guru harus sedar betapa susahnya untuk mendidik anak-anak kita.  Dan kita harus sedar bahawa komitmen yang cukup tinggi adalah amat diperlukan.

Pada suatu hari, PK1 saya cikgu (arwah) Aishah menegur saya : Sekarang lepas titik boleh guna perkataan ‘tetapi’.  Sebelum ini dalam pengajaran saya:  selepas titik tidak boleh menggunakan perkataan itu (tetapi).

Dalam zaman yang berubah, saya sudah semakin tidak nampak tanda titik.  Dalam satu penganjuran ceramah yang bertemakan perpaduan ummah di surau; 3 orang penceramah penuh dengan ungkapan memperlekehkan orang Islam yang dari bukan golongannya sehingga tiada lagi ada tanda titik.  Di akhir ceramah perpaduan itu saya tidak nampak pun tanda titik pertemuan untuk menyatupadukan antara ummah dari golongan penceramah tersebut dan ummah dari golongan yang diperkatakannya.  Tiada ungkapan yang nampak akan terdorong kepada tema perpaduan.

Oleh yang demikian apa yang arwah cik Aishah ajar saya sudah sangat relevan kerana dalam situasi sekarang  (perpaduan ummah) perkataan TETAPI mesti  digunakan selepas tanda TITIK.

 

…gbpencen… menggunakan beberapa koma dan diikuti dengan perkataan ‘tetapi’.. sampai bila-bila.

Tolonglah bekerja walaupun tanpa isu

2013 March 14
by Guru Besar Pencen

“Lupa-lupa ingat” kata orang tua-tua;

Apa beg yang saya bawa ketika di awal persekolahan di sekolah rendah ? (1957).  Kalau tidak silap saya beg yang saya gunakan ialah beg mengkuang.

Beg mengkuang ada hubungan kekeluargaan dengan saya.  Emak saya sangat  pandai menganyam tikar mengkuang, membuat raga dan serkap ayam dari  buluh,  membuat ‘lekar’ dari lidi kelapa.  Kagum dengan minat dan kebolehannya dalam menghasilkan kraf tradisional yang kemas dan rapi.  Bermula dari menebang pokok mengkuang di pinggir bendang, diraut durinya, dibelah, direndam, dijemur , ditumbuk dengan “alu” hinggalah boleh dianyam.  Semua proses produksi dihasilkan sendiri olehnya. Begitu juga proses menghasilkan kraf dari buluh dan lidi kelapa. Saya hanya tukang tengok dan mengacau. Sebenarnya pada masa itu  penghasilan barang tersebut tidak boleh dipanggil kraf kerana semuanya dihasilkan untuk keperluan, ada sedikit-sedikit yang dijual ketika ada pembelinya.

Baru bermula bulan ketiga sesi persekolahan 2013, beg awal tahun telah rosak.  Saya sudah berkira-kira untuk membeli beg yang kedua. Cucu saya sudah complain beg yang saya beli awal tahun itu – kecil. Saya mengiyakan saja kerana saya menerima hakikat bahawa buku yang di bawanya ke sekolah sudah melimpahi begnya. Setiap kali saya menyusun (sevis)  buku dalam begnya dia akan sekali lagi complain – ada buku yang saya cicirkan kerana saya rasa tidak perlu di bawa.  “Buku itu, buku ini, itu dan ini” katanya,  cikgu suruh bawa setiap hari. Saya rasa saya faham situasi ini.  Dan saya tertanya-tanya adakah guru ” sedar” akan hal seperti ini.

Disuatu ketika tidak lama dulu, isu berat beg hangat didebatkan.  Sampai masuk kabinet.  Tampil cerdik pandai, tokoh guru, professor, pakar orthopidik berhujah sampai keperingkat nak berkelahi. KPM pun tampil dengan hujah kejaguhan masing-masing termasuk hendak bekalkan ‘locker’ ke sekolah-sekolah, nak bekalkan buku teks dalam bentuk lap top dsb.. GB dan cgu-cgu pun kelamkabut buat laporan, beli penimbang, timbang beg murid, adakan program dan dokumentasi tindakan. PIBG pun memberi hujah dan cadangan kepada sekolah.  Masing-masing dengan ego dan kebolehan masing-masing untuk mengatasi isu yang diketengahkan. Akhirnya…. selesai.  Yang masih dok heret beg sampai sekarang  ialah murid-murid.

Sebenarnya isu ini masih tidak selesai hanya kerana  ia sudah tidak menjadi isu sebab yang berhujah panjang tadi sudah tidak kena dengan tempias isu tersebut. Ke mana sudah hujah, cadangan, tindakan, laporan dan pendekatan yang dibuat.  Semua dokumentasi telah diletakkan di arkib KPM sebagai satu khazanah proses pendidikan di Malaysia.  Biasalah tu… !  Walaupun biasa, apakah di sekolah,  gbnya  masih perihatin dengan masalah berat beg ini.  Pada saya ianya patut ditangani dengan berhemah, bijaksana dan bersungguh-sungguh oleh guru.  Perlu dilaksanakan kerana ianya membazir kudrat murid dan meringankan kesusuahan waris.  Walaupun saya mampu membeli sebesar manapun beg yang cucu saya perlukan tetapi ianya tetap membazir – tenaga dan wang ringgit -diambil contoh :

Cikgu Bahasa Melayu

Hari Isnin, bawa buku teks, Selasa, buku kerja, Rabu – bawa buku Karangan dan buku tulisan berangkai, Rabu buku tulis pemahamam dan  tatabahasa, Khamis bawa pula buku modul yang sekolah hasilkan dan hari Jumaat – bawa pula buku latihan tatabahasa dan Buku teks.

Cikgu Agama Islam – J Qaf :

Hari Isnin, bawa Jawi dan Arab, Selasa, Teks Pendidikan Islam, kita nak belajar Sirah dan akhlak, Rabu – bawa buku Al Quraan dan buku berkaitan ibadat, Rabu buku Aktiviti Bahasa Arab dan Jawi, Khamis bawa pula buku aktiviti Pendidikan Islam dan  hari Jumaat – bawa pula buku ……

Rasionalnya, takkanlah dalam satu hari semua buku matapelajaran Matematik perlu di bawa.  Tidak cukup dengan 5 atau 6 buah buku latihan, ditambah lagi dengan membawa kesemua modul pembelajaran yang sekolah hasilkan termasuk buku teks, buku aktiviti, buku fakta asas dan buku aktiviti tambahan, sedangkan pembelajaran khusus harian untuk matapelajran matematik hanya 1 jam sehari,

Membekalkan buku teks pada setiap matapelajaran adalah langkah yang proaktif. Bukan hanya sekadar sebuah atau dua buah buku malah ada matapelajaran dibekalkan dengan 5 buku oleh KPM.  Ini tidak termasuk buku yang dibeli atau yang dihasilkan oleh sekolah. Tapi wajarkah semuanya perlu di bawa ke sekolah setiap hari.

Akhirnya, kembali kepada cerita “bangau oh bangau” –  Sebenarnya organisasi sekolah harus menjadi seperti bangau, putih dan bersih – cantik.  Oleh itu :

Pada setiap hari, guru dikelaslah patut merancang apa bahan, bahan buku maupun bahan bukan buku yang harus dibawa oleh murid ke sekolah.  Untuk  mengajar kefahaman, mungkin sebuah buku rujukan dan sebuah buku tulis sudah memadai untuk pengajaran Bahasa Melayu pada hari Isnin. Mungkin sebagai tambahan, lampiran photostat yang guru sediakan sebagai bantuan tambahan ke atas p&p berkenaan. Yang penting :

Adakah cikgu matapelajaran merancang ? dan adakah sekolah memantau ?

…gbpencen…nampak macam tidak perihatin.

 

 

 

Mulakan dari darjah 1.

2013 February 25
by Guru Besar Pencen

Mula mengajar saya diminta mengajar di Tahun 1.  Mula belajar pun saya belajar di Tahun 1 (Darjah 1), kerana ketika itu masih tiada PRA Sekolah. Pengalaman mengajar dan mengajar di Tahun 1 ada hubungkaitnya kepada seorang guru. Seorang guru perlu tahu apa kehendak murid Tahun 1. Apatah lagi kalau masih dalam ingatan apa kekurangan dan kelebihan, keseronokan dan kesugulan ketikamana berada dalam darjah 1 ( dalam tahun 1957). Ianya tidak dipelajari di maktab atau kolej perguruan.  Hatta jika seorang guru yang berijazah sekalipun perkara yang dianggap sekecil ini tiada dikhususkan untuk dipelajari.

Bila saya mengimbaskan kembali guru-guru yang pernah saya damping ternyata guru yang memulakan kariernya dengan mengajar di Tahun 1 dan di kelas di Tahap 1; mereka ini ternyata mempunyai beberapa kelebihan yang sangat berguna untuk bergelar guru. Walaupun tidak dinyatakan tetapi konsep mendidik itu semakin sebati dengan jiwa seorang guru tadi.  Antaranya; lembut lidahnya, tingkahlakunya, beliannya, kemesraannya dan yang paling penting ialah teknik mengajarnya.  Selain dari itu bahasa yang digunakan adalah bahasa yang mudah, mesra dan difahami juga sesuai dengan kehendak dan naluri insan yang baru d ialam persekolahan.

Baru-baru ini…

Saya bertemu dengan seorang rakan GB yang masih bertugas.  Sudah banyak sekolah beliau bertugas dan tugas terakhir beliau sekarang ialah di JPN. Isu yang sama juga beliau bangkitkan kepada saya sepertimana  pertemuan kami sebelumnya.  Isu beliau tidak sesuai menjadi pengurus di banyak sekolah.  Beliau ditukarkan ke banyak sekolah dan beliau selalu bermasalah dengan guru di bawahnya.  Dan yang paling ketara beliau selalu bermasalah di kalangan pengawai atasan dari Pejabat Pelajaran Negeri dan Daerah. Tekaan saya hampir tepat.  Saya menyimpulkan bahawa beliau mulakan tugas sebagai guru di sekolah menengah sebelum diangkat menjadi pengurus di sekolah rendah.  Beliau tidak mulakan kariernya dengan  mendidik  anak-anak kecil di Tahun 1.  Beliau adalah Guru Menengah di Sekolah Rendah. Adakah itu punca masalahnya atau sekadar picisan sahaja.

Dalam situasi yang lain :

Apakah sesuai guru sebegini menjadi GB di sekolah rendah.  Kalaupun jawapannya sesuai tetapi ianya masih terikat dengan apa yang saya nyatakan di atas. Sebagai contoh, Belaiu menyatakan bahawadia tidak mempu untuk mengajar di bilik darjah rendah.  Pengakuan ikhlas yang dibuat oleh rakan saya itu saya terima dengan hati yang terbuka.  Beliau tidak dapat menyesuaikan diri dengan karenah anak-anak kecil ini.  Dan banyak lagi perkara-perkara yang belum pernah beliau lalui semasa di sekolah menengah berada di dalam bilik darjah sekolah rendah.  Menyulitkan beliau.

Yang lebih menyulitkan apabila Guru Besar sebegini berinteraksi dengan guru kelolaannya.  Beliau tidak mendapat gambaran yang jelas kerana beliau tidak memiliki pengalaman sebelumnya di sekolah rendah.  Apatah lagi beliau samasekali gagal untuk memberi bimbingan dalam  ‘banyak hal’ berkaitan P&P dalam bilik darjah rendah.  Kadang-kadang menjadi kurang enak dan rasa kurang hormat guru kepada bosnya.

Lanjutan dari cerita tadi  ialah beliau mempunyai komunikasi yang berbeza ketika menyampaikan ucapan di perhimpunan.   Beberapa kali beliau mencuba, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak berucap dalam setiap perhimpunan sekolah sehingga ke hari persaraannya.  Sungguhpun begitu beliau berjaya memikat kehadiran sebagai GB dengan cara lain.

…gbpencen…sesiapa pun boleh jadi GB.