Skip to content

Harisun sanggul lintang

2012 June 21
by Guru Besar Pencen

Suaminya mengajar anak-anak mengaji Quran.  Harisun duduk bertelekung ‘berwirid’ dalam diam sambil menanti masuknya ‘Isyak’..  Lama dia di sejadah sambil mendengar bacaan anak-anak dan suaminya. Suaminya tegas mengajar, mengherdik, membetul dan membaca bersama anak-anak mereka.

Tiba-tiba -lantas suara Harisun, lembut tapi agak tinggi membetulkan bacaan anaknya di sudut sebuah bilik di rumah mereka. Diulang ‘suara’ bacaan ayat suci agar diperbetulkan kesalahan  ‘sistem’ bacaan salah seorang anaknya.  Lancar,  bersemangat dan penuh dengan keyakinan.  Begitu ‘arif ‘ sekali Harisun menegur kesilapan bacaan ayat suci anak-anaknya itu.  Harisun seorang  ibu yang amat tinggi nilai budi dan keagamaannya.

Begitulah caranya si ibu. Dia begitu menghayati ayat-ayat suci yang dibacanya.  Dia mahir dan telah dimahirkan kerana selalu membacanya.  Dia dididik untuk memahirkan Quraan selamanya, seingat-ingat saya, begitulah si ibu yang bernama Harisun.

..

“Oh!, comelnya Con ni, macam nyonya”  Kata Kak Chah (Aisah) yang mungkin 15 atau 20 tahun lebih tua dari Harisun pada suatu pagi ketika Harisun melalui halaman rumahnya.  Tersenyum bangga si suami mendengar pujian itu.  Memang Harisun cantik.  Walaupun orangnya agak ‘pendek’ tapi kulitnya yang putih, lagi licin dengan pakaian baju kebaya pendek menambahkan lagi kejelitaannya.  Sanggul lentangnya di dandan rapi.  Mukanya berbedak sejuk.  Dikuatkan lagi dengan ramahnya, mesranya, berbudi bahasanya.. santunya dan agamanya.

..

Ketika era ’60an tidak ramai wanita dewasa yang memakai tudung (termasuk Harisun) .  Seingat saya Harisun jarang memakai tudung.  Wanita tidak bertudung ketika itu adalah perkara biasa sahaja.  Saya hanya melihat wanita bertudung pada majlis-majlis tertentu sahaja,  bukanya bertudung tetapi  kelumbung… disebut ‘kain kelumbung’.

Adakah Harisun seorang yang berdosa (kerana tidak bertudung).  Akan ada banyak jawapan untuk menterjemahkan ungkapan tersebut.  Berdosa atau  tidak berdosa. Atau ada lagi hukum-hukum lain yang mengatakan berdosa .. dan tidak berdosa.  Ada berbagai andaian.

..

Zaman itu mungkin pada anggapan genarasi ketika itu semacam tidak berdosa.  Zaman kini tentu sekali akan dianggap berdosa sepertimana yang selalu ditekankan. Maka berbagai hujah dan kesimpulan boleh dibuat dalam memperkuatkan andaian atau hukum yang dijatuhkan. Dan bagimanakah kita hendak menetapkan hukum-hukum ini ? Ketika zaman itu dan ketika zaman ini ?

Yang pasti di zaman itu (’60) penekanan keagamaan agak  berlainan.  Ketika itu, mengaji Quran tetap menjadi satu kewajipan.  Belajar sembahyang sudah tentu dititik beratkan. Semuanya berlaku dalam pendidikan agama yang tidak formal – secara santai.  Modus operandinya : Bila senja, semua kena mandi, cari ‘kepiah’ (songkok – hitam) dan berlari ke rumah ‘tok guru’.  Sampai di rumah tok guru berlari ke telaga cari timba, kena angkut air naik ke atas pelantar rumah tok guru.  Naik atas rumah kena basuh kaki di air tempayan di kaki tangga.. semuanya tidak formal tapi ‘tanpa’ Quran di depan mata, Harisun masih boleh menegur anak-anak dan suaminya. Masih boleh bercakap mesra, ramah, berbudi bahasa, disegani  dan dihormati juga menghormati jiran tetangga.

Bagaimana pula sekarang ini.  Pendidikan agama begitu formal.  Legkap dengan data dan media.  Lengkap dengan gaji dan imbuhan. Adakah yang selainnya (penerapan nilai) juga lengkap selengkap-lengkapnya (?). Tentu sekali lengkap (?).

..

Kini Harisun dan suaminya sudah tiada.  Bagaimana dengan anak-anak yang diwarisinya ? Juga cucu-cucunya ? Harapan saya ialah semoga semua mereka menjadi Harisun Jr.  Wallahu’alam.

…gbpencen…suka makan sambal belacan dan gulai rempah giling Kak Con.

 

PK 1 mesti diikat

2012 June 9
by Guru Besar Pencen

Bila saya masuk ke sesebuah sekolah tentu ada saja aura saya yang tidak disenangi oleh guru. Mulanya saya tidak sedar tetapi selepas beberapa tahun menjawat jawatan GB saya mula mempunyai pengalaman / kemahiran menangani situasi itu.

Yang saya pasti 2 orang guru memohon bertukar dengan kehadiran saya. Seorang PK dan seorang lagi yang bercadang untuk menjawat  jawatan PK.

Pegawai di JPN pernah memberi azimat kepada Guru Besar:  “Kalau kita nak senang kerja, kita kena berbaik dengan PK1” .  Saya kurang bersetuju dengan ungkapan itu. Ungkapan yang sebenar (pada pendapat saya)  ialah ” Kalau kita nak senang kerja, kita kena berbaik dengan semua orang“.

Ada juga kebenaran kata-kata Pegawai JPN itu;  Guru Besar seharusnya berbaik-baik dengan  PK1 untuk  memantapkan perjalanan  pengurusan akademik di sekolah,  tetapi  jika kebergantungan ini sudah melampaui hadnya, maka ruang’ untuk menimbulkan masalah akan berlaku.

Jawatan yang diperolehi oleh PK1 adalah jawatan yang diwarisi.  PK1 dilantik berdasarkan pemilihan dan penilaian yang dibuat oleh pihak atasan.  Penilaian dibuat dari aspek-aspek yang tertentu yang ‘tidak pasti’ ketepatannya setelah mengambilkira dari banyak sudut. Maka sudah tentulah ketepatan itu mengalami sedikit atau (se) banyak  kebocoran.

Maka kebocoran itulah  yang menjadikan  kebergantungan sepenuhnya GB kepada PK1 itu menjadi sudah tidak relevan. Perkara tersebut akan hanya menjadi relevan sebab GB sendiri sendiri tidak mempunyai kebolehan tertentu yang harus dimilikinya, tetapi kelebihan itu ada pada PK1.  Tetapi sekiranya GB sendiri mempunyai aspek-aspek yang positif yang perlu ada pada  GB, maka GB akan hanya berperanan sebagai mentor yang baik kepada PK1 untuk kesinambungan perkhimatannya yang cemerlang di masa hadapan.

Pendek kata, kemahuan GB boleh di susuli dengan tindakan sepositif mungkin dari PK1nya.

Apabila PK1 sudah diberikan mandat sepenuhnya oleh GB untuk membuat keputusan besar, menyusun atur urusan guru dan gerakerja harian mereka;  apabila GB mengiyakan semuanya keputusan dan tindakan PK1 seolah-oleh PK1 lebih mengetahui segala-galanya.  Maka khalayak pula akan menggambarkan yang GB pula tidak berani untuk membuat keputusan berisiko.  Dengan itu kelihatan pula PK1 terlalu berani untuk mengambil risiko.  Maka susuanan carta organisasi yang sedia terpampang itu sudah mula bergoyang.

Maka kedua-dua pemerintah tertinggi di sebuah sekolah ini sudah mula merasi kebocoran di sana – sini ; dari segi nilai dari kaca mata semua orang bawahannya. Kebocoran ini akan mendorong persepsi negatif untuk organisasi, pengwujudan kelompok dalam sekolah di kalangan guru dan yang merbahaya ialah ‘demontrasi senyap’

Perkara begini sebenarnya bukanlah yang dicari oleh seorang GB di sekolah. Untuk mencari kaedah yang terbaik ialah dengan melihat geraklaku PK1 dan khalayak di bawah.  Ansur maju tindakan dan ketegasan.  Merasakan detik hati (penerimaan) sesuatu gerakerja, tindakan,  atau arahan yang dibuat.  Membuat pengubahsuaian secara beransur-ansur.  Insyaalah.

…gbpencen…selalu minta PK1 (lelaki) buat kek.

 

 

Headmaster

2012 June 2
by Guru Besar Pencen

“Saya sedang buat master sekarang ini tok su.” kata Faizal, cucu saudara saya bila ditanya mengenai status terkini persekolahannya. Saya tidak terkejut kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran dewasa ini amat terbuka.  Bukan pelajar mencari tempat belajar tetapi tempat belajar yang mencari pelajar.

“Kalau begitu, tok su lagi hebat dari Faizal”.  Dia pula terkejut kerana setahunya saya hanya berkelulusan SPM sahaja. “Tok su dah Head.. master“.  Senyum hensemnya menceriakan saudara-mara disekeliling kami di majlis terima peminangan sepupunya.

Saya teringat ketika saya memberi ucapan di perhimpunan setiap pagi Isnin. Saya juga akan bercakap (memberi ucapan) dalam Bahasa Inggeris secara berselang seli dengan Bahasa Melayu. Berselang seli kerana yang mendengar tidak arif menguasai bahasa berkenaan dan yang memberi ucapan juga kurang mengusainya.  Berhempas pulas dengan pengawalan bahasa GURU BESAR  harus cuba  menunjukkan komitmen menguasai Bahasa Inggeris di kalangan murid-muridnya.

Biasanya ucapan dalam Bahasa Inggeris dibuat ketika guru Bahasa Inggeris yang mengepali perhimpunan (Guru Bertugas). Cikgu Parameswari akan menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah difahami oleh rata-rata murid.  Saya suka ucapannya ketika dia mengendalikan perhimpunan.  Dan dia akan jadi pembantu setia sepanjang saya membuat ucapan.

Saya terpanggil untuk mencoret nota ini kerana :

Baru-baru ini saya terbaca di dalam akhbar satu berita di mana satu program (baru) telah dilancarkan oleh Bahagian Kurikulm, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan lagi Bahasa Inggeris di sekolah rendah. Sejumlah guru Bahasa Inggeris telah diimport masuk ke Malaysia untuk tujuan itu. Maka berlakulah satu lagi program peningkatan (Bahasa Inggeris) yang baru… setelah…

Setahu saya sudah banyak program sebegini dilancarkan sebelum ini, sepanjang saya bertugas.  Banyak sungguh. Berbagai pendekatan, teknik, modul, buku dsb dibekalkan melalui berbagai media. Dan secara berterusan penambahan program,  cara kerja, cara mengajar, cara belajar  dari dalam dan luar negara diperkenalkan – terutamanya – setelah pehak-pihak yang arif belajar serta mendapat idea setelah melawat ke luar negara… namun…

Secara berterusan ia masih belum menepati kehendak sebenar yang diharapkan oleh yang arif (unit kurikulum Kementerian Pelajaran) Dan program baru terus diwujudkan kerana murid masih di takok lama penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

Perkara tersebut adalah satu fenomena biasa dalam mengendalikan kurikulum Bahasa Inggeris khususnya untuk sekolah-sekolah di kawasan perkampungan tradisional Melayu. Semua orang tahu puncanya kerana budaya dan amalan Bahasa Inggeris itu tidak wujud di sekolah dan dipersekitaran berkenaan. Termasuk Guru Besarnya sendiri juga tidak menjadikan ianya satu budaya.

Yang ariff boleh membuat kaji selidik (mungkin) bertajuk “Amalan menggunakan Bahasa Inggeris dalam Perhimpunan Sekolah” Ia tentu akan mendapat jawapan dan resolusinya.  Tetapi mengapa di perhimpunan kajian tersebut harus dilakukan?

Di Perhimpunan Sekolah lah bermulanya persekolahan sebenar kerana guru memberi ucapan (bermacam-macam jenis ucapan dari guru)  Guru Besar memberi ucapan (sepatutnya – ucapan berfokus) yang menentukan arah tuju sekolah (sekurang-kurangnya)  sepanjang minggu – itu.  Kalau Bahasa Inggeris – kata GB, maka Bahasa Inggerislah sekolah itu.  Kalau sukan kata GBnya, makan sukanlah sekolah itu. Kalau Tasmiq kata GBnya, maka bertungkus lumuslah guru j-Qaf sekolah itu.  Pendek kata apa kata GB maka begitulah jadinya sekolah itu.

Besarkan ? pengaruh Guru Besar. Ya.. besar pengaruh Guru Besar di sekolah.  Maka sudah tentu dialah orang yang pertama akan cuba memuaskan hati Unit Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.

gbpencen…nak tergelak dengar kawan gbpencen tak pernah beri ucapan dalam perhimpunan.