Skip to content

Antara F 1 dan R 1

2012 May 5
by Guru Besar Pencen

Bertolak dari minat yang mendalam mengenai pembangunan negara semenjak saya dilahirkan (6.12.1951) hingga kini (2012) maka saya mengenangkan betapa bahagianya ‘saya’ berada dalam sebuah negara yang bernama ‘Malaysia’.

Dalam usia emas ini saya amat selesa mengerjakan solat zohor dalam dingin bilik berhawa dingin di ruang tidur rumah saya.  Selepas mengajar cucu  ‘juhama‘ (juz amma) saya terus menghadap komputer untuk melakar kenangan yang telah lama ditinggalkan.  Semacam satu KEBAHAGIAAN juga.  Masih selesa di bumi tercinta ini untuk beribadat secara basic – tanpa ada sebarang halangan. kecelaruan maupun pertikaian. Secara basicnya saya boleh memberikan sebanyak-banyak syukur ke atas izin dan limpah kurnia Nya.

Bila saya fikirkan :  Sebuah kereta lumba Formula One (F1) meluncur di litar di luar negara maupun di Sepang Curcuit (khasnya), nilainya dan nilai kos pengendaliannya menjangkau jutaan ringgit, saya merasa diri ini jauh dari realiti kehidupan sebenar di Malaysia. Saya tidak sepatutnya merasakan tetapi saya merasakan bahawa diri ini begitu kerdil  kerana mempunyai peluang tetapi kekurangan ruang untuk menggapai pencapaian seperti pengendali-pengendali F1 tersebut.

Bila anak saya menyemak Jawatan Kosong dalam Jabatan Kerajaan, dia bertanya R1 tu apa maksudnya.  Saya teringatkan jawatan Pembantu Pejabat di sekolah yang gred hakikinya begitu. Gred jawatan yang paling rendah dalam sektor awam yang gaji asasnya RM700.

Saya fikirkan pula :  Antara F1 dan R1 perbezaannya amat ketara. Merujuk kepada pepatah orang tua-tua, untung sabut timbul dan untung batu tenggelam.  Semuanya mendapat keuntungan sekiranya kita terus berpuashati dengan apa yang kita perolehi dalam kehidupan ini.

Moral yang saya sendiri tafsirkan dari coretan di atas ialah :

Apa saja amalan kehidupan dalam sesebuah negara, dengan apa gelaran sekalipun   ianya tidak dapat mengimbangi kepuasan seseorang manusia. Kepuasan seseorang hanya boleh dibentuk apabila dalam dirinya  sudah tiada perasaan tamak dan dengki. Kepuasan harus dibentuk melalui usaha yang telah dijalankan oleh dirinya sendiri.  Dan kepuasan sebenar hanya boleh segar apabila kita redha dengan ketentuan Ilahi setelah kita berusaha. Akhirnya kita tidak lagi sombong dan bongkak.

Senario terkini :

Ke mana sebenarnya kita sedang menuju.  Ramai yang beranggapan kita sedang menuju ke arah penambahbaikan – di dalam sistem kerajaan – dalam penghayatan Islam – dalam sistem pemerintahan – dalam pengurusan keselesaan hidup.  Ramai yang menganggap apa saja yang sedang berlaku sedang melalui keaadaan yang tidak baik dan perlu dibaiki lagi.

Walaupun begitu ianya akan serba tidak menjadi jikalau semua kita tidak redha dengan ketentuan ilahi melalui garis panduan asas yang telah diletakkannya (perasaan tamak, dengki, sombong dan bongkak).

Akhir kalam :  Gaji minima pekerja swasta telah ditetapkan RM900 oleh kerajaan.  Gaji minima R1 penjawat awam hanya RM700.  Sudah tentu nanti ada pihak yang mempertikaikan – Penjawat Awam masih rendah dari swasta.  Kalau diletakkan pendapatan taikun koprat F1 mencecah puluhan jutaan ringgit tentu ada juga yang akan mempertikaikan gaji Ketua Setiausaha Kerajaan masih rendah berdasarkan sumbangannya.  Pi, Mai, Pi Mai… sampai bila pun tiada siapa yang akan berpuas hati’ kecuali orang-orang yang bersyukur.

…gbpencen…ada perkara yang yang sukar untuk diredhakan lagi.

 

 

 

 

 

Kami tiada Panglima… !

2012 March 25
by Guru Besar Pencen

Bukan senang untuk membuat satu keputusan atau satu perubahan yang melibatkan kewangan.  Namun demi servival – ianya harus dilakukan.  Tambahan pula, ianya bertepatan dengan masa – masa yang sesuai untuk mengambil kesempatan.  Bila ada kesempatan, semuanya akan bergerak dengan lancar apabila sesuatu permintaan itu berkemungkinan akan dapat ditunaikan.

Begitulah berakhirnya episod gaji penjawat awam menjelang PRU13 oleh Kesatuan Sekerja Sektor Awam.

Episod berkenaan  mesti mempunyai seorang panglima.  Tambahan pula panglima itu telah dipakaikan baju besi dan peralatan perang, seperti pedang sakti, keris lok tujuh dari keturunan Taming Sari dan tengkolok yang tidak lut api.

Begitulah peranan yang dimainkan oleh ‘cuepecs’  yang telah berjaya membela soal gaji (bukan soal nasib yang sudah sedia terbela) penjawat awam. Sebagai bekas penjawat awam, saya harus merasa bangga dengan perjuangan tersebut.  Ada 2 orang (sahaja) rakan penjawat awam yang saya temui memberitahu saya bahawa beliau memperolehi kenaikan yang banyak.  Tetapi ramai rakan-rakan (yang lain) hanya mendiamkan diri – seolah-olah tiada apa yang berlaku dalam keputusan terbaru PM mengenai gaji penjawat awam. Kata orang – buat dek aje… Tidak mengapalah, hakikatnya begitulah.. tst lah.

Selepas pengumuman itu, saya tercari-cari dalam akhbar kalau-kalau ada ruangan yang akan menampilkan seorang lagi panglima untuk memperjuangkan nasib (termasuk gaji) pekerja diluar sektor awam. Akhirnya – selang 2 hari, satu ruang kecil menyatakan – sistem gaji minima pekerja swasta – akan dilaksanakan.  Dalam huraian berita tadi dinyatakan berbagai-bagai halangan perlu ditempuhi dan diperhalusi untuk merealisasikan impian yang sudah begitu lama tidak menjadi kenyataan; terutamanya kesediaan sektor-sektor berkenaan.

  • Hakikat yang perlu diketahui umum bahawa golongan pekerja biasa peringkat bawahan  di sektor swasta ini tiada panglima untuk membela.
  • Dengan yang demikian akan menjurus kepada tiada pembelaan yang dibuat.
  • Kerana pekerja dan pekerjaan ini tidak ‘glamour seperti penjawat awam.
  • Yang paling utama ialah tiada banyak yang dilakukan untuk berdepan dengan pihak swasta yang menjadikan keuntungan peribadi agenda utama.
  • Dan yang paling menyayat hati ialah  PIHAK KERAJAAN buntu (gagal) untuk memberi tekanan kepada taukeh swasta ….

… untuk menimbangkan bahawa pekerja bawahan di sektor swasta adalah pekerja marhain seperti “Foreign Workers‘ bahkan adakalanya diperlaku (dengan maaf – dengan bukti) lebih hina dari mereka lagi.

Bila diperdebatkan dengan anak-anak/adik-adik pekerja swasta, mereka menyatakan bahawa – bertuahnya jika bekerja dengan sektor kerajaan walaupun sebagai buruh kasar atau Pembantu Am Pejabat – penuh dengan pembelaan dan semakan gaji sepanjang masa.

Mesejnya (jelas) yang mereka juga mahu diperlakukan sedemikian. Dibela. Mereka juga berhak mendapatkan semua itu kerana golongan swasta beginilah yang sebenarnya merupakan penyumbang terbesar kepada setiap RM kenaikan gaji yang diperolehi oleh pekerja sektor awam (??).

Tanggal 1 Mei akan datang PM akan mengumumkan satu plan pembelaan untuk pekerja swasta (rujuk berita akhbar). Ianya rentetan dari ‘sudah beberapa lama’ rundingan demi rundingan berjalan.  Dan yang paling utama bukan pengumumannya tetapi lebih kepada penerimaan sektor berkenaan dan pelaksanaan serta penguatkuasaannya.

Masih terlalu awal untuk membayangkan kemampuan semua itu tetapi lebih banyak menjurus kepada kegagalan demi kegagalan seperti yang ditempuhi sebelum ini.  Berharap satu kuasa yang ‘ajaib’ dalam melaksanakannya.  Kuasa ajaib yang dimaksudkan ialah ketegasan yang tidak ada batasannya dari pihak yang berkuasa untuk merealisasikannya – biar pun apa terjadi termasuk risiko (tentangan dari taukeh swasta) yang bakal mendatang … insaflah… bahawa swasta adalah hak awam.

...gbpencen… sedang bertugas di sektor swasta,

 

Blog di BLOCK

2012 March 10
by Guru Besar Pencen

“Masuk pejabat mesti ada sistem.  Kalau tiada sistem, mesti wujudkan sistem – yang sesuai dengan saya (kita).  Kalau sudah ada sistem, patuhi sistem yang kita buat.  Bila kita sudah patuh, saya ajak semua orang ikut sistem saya.  Sesiapa yang tidak mahu ikut sistem saya, tolong beri sebab, alasan dan cadangan balik untuk memperbaiki sistem. Lepas itu semua orang mesti mematuhi sistem berkenaan.. kerana saya bos.”

Begitulah yang terjadi kepada blog saya apabila sistem kewangan yang tidak bersistem.  Akhirnya blog saya di ‘block’ bila saya tidak membayar yurannya.

Apabila blog sudah di’block’, saya menjadi kelamkabut kerana ‘apa yang terbuku’ dalam hati tidak dapat diekspresi kepada khalayak. Maka saya tergesa-gesa untuk membuat bayaran… malangnya; alamat pengendali ‘domain’ tidak ada, no telefon pun tidak ada, e mail saya dalam blog, saya lupa ‘passwordnya’ – saya tercari-cari hari demi hari.  Yang menakutkan saya ialah nanti semua entri saya hilang dari dalam sistem… eee takutnya tidak terkira.

Sebulan kemudian barulah saya menerima invois dari syarikat pengendali blog saya dengan penambahan sebanyak RM80.00 untuk membuka semula blog saya,  tidak termasuk lain-lain bayaran tahunan. “dok tak dok” (tidak semena-mena) saya kerugian RM80.00 kerana sistem saya mengendalikan blog tidak saya wujudkan.

Saya mengambil sikap sambil lewa (mengenai sistem) setelah tidak lagi bertugas sebagai gb.  Dalam usia emas ini, rupanya ‘sistem’ masih amat diperlukan dalam hidup kita walaupun dimana atau apapun keadaan kita.  

Ada banyak gelaran kepada perkataan sistem – mungkin disiplin, tatacara kerja, prosedur dan mungkin lebih tepat ‘peraturan’.

Dalam perniagaan ‘tokeh’ saya sekarang pun saya cuba mengwujudkan sistem kerana tokeh sayayang sudah mempunyai sistem, tetapi masih kelamkabut. Bila saya cuba mengwujudkan proses penambahbaikan sistemnya, dia sudah menjadi kelamkabut pula untuk menyesuaikan diri.  Akhirnya dia melarang saya untuk meninggalkan (berhenti) dari syarikatnya kerana dia tidak lagi perlu selalu datang ke pejabat melainkan untuk mesyuarat dan untuk menandatangai cek. Maknanya: dia (mungkin) sudah boleh menerima pakai penambahbaikan ke atas sistemnya yang terdahulu.

Walaupun begitu, masa masih diperlukan untuk menjadikan sesuatu sistem itu mantap dan berkesan – seperti saya mengambil masa selama 4 tahun di sekolah terakhir saya untuk memantapkan sistem – yang melancarkan kerja saya. Namun saya menerima hakikat bahawa, sehebatmana pun sistem ianya masih boleh di ‘upgrade’kan lagi.

Akhirnya selepas lebih sebulan saya tidak mencoret entri, hari ini saya memulakannya semula.  Dan dalam masa sebulan itu bermacam ‘cerita’ yang berlaku.  Saya seronok dengan semua cerita dalam masa sebulan berlalu – yang saya tidak dapat berkongsi bersama tetapi yang saya paling seronok (bersyukur) ialah kerana saya masih sihat.

 Salam bertemu semula kepada sesiapa yang membaca (kalau ada).

…gbpencen…kena upgrade sistem kewangan peribadi dalam menanti hari…