Skip to content

“Mengkuang Road”

2012 February 7
by Guru Besar Pencen

Dalam masa 26 tahun (yang telah lalu) – adalah sekali dua saya mengunjunginya.  Sabtu lepas saya sempat mengunjunginya semula.  Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kechil, Mengkuang Road, Butterworth.  Saya mengajar di sana selama 2 tahun sebelum bertukar dari situ penghujung tahun 1986. Blok barunya menjadikan sekolah kelihatan teratur dan bangunan lama yang masih ada meninggalkan banyak kenangan kepada saya dalam usia 35 tahun ketika itu.

35 tahun adalah usia ‘garang’ .  Badan masih kuat bersemangat.  Darah masih panas.  Ketika umur sebegini, apa yang dibuat semuanya menjadi,   hanya pengalaman yang ada diusia sekarang (61) tidak ada di masa itu.  Juga pemikiran di usia itu tidak sama dengan pemikiran dalam usia saya sekarang.  Kalaulah pengalaman dan pengetahuan yang ada sekarang ada pada ketika itu, tentunya: semua di buat semua menjadi.  Pada usia itu, semua dibuat mengikutkan hati… ikut hati mati.. (kata orang tua-tua)

Sinonim dengan gelaran Mengkuang Road, sekolah tersebut ketika itu dikelilingi oleh rumah pelacuran.  Ketika saya mengajar di darjah 5, di tingkat atas, saya dapat melihat pelacur yang berjalan masuk ke kawasan itu pada waktu hampir tengahari untuk masuk ke rumah-rumah di sebelah pagar sekolah. Usia 35 tidak langsung menarik hati saya dengan kegiatan tersebut.  Saya ingin menyatakan yang saya tidak ikut hati.

Dalam usia emas ini, sekali lagi saya ke situ.  Bangunan dengan rumah-rumah moden 2 tingkat telah menjadikan sekitar kawasan sekolah menjadi kawasan kediaman yang ekslusif. Kunjungan saya kali ini sebagai kunjungan untuk membantu rakan yang baru ditukarkan sebagai Guru Besar ke sekolah itu.  Dengan penuh semanagat rakan saya menjemput saya untuk memberi nasihat dan membantunya merealisasikan hasratnya menjadi seorang Guru Besar yang membuat perubahan.

Tinjauan sekitar sekolah dan pejabatnya, mengimbau kenangan saya yang selama saya menjadi Guru Besar di 4 buah sekolah, saya tidak pernah merasakan sebuah sekolah yang lengkap dan bergaya seperti Sekolah Kebangsaan Bagan Tuan Kecil yang dimilikinya sekarang.  Bertuahnya dia.. dan bertuahnya saya kalau saya mempunyai sekolah yang selengkap itu. Penuh dengan segala kemudahan, cantik;   tetapi…

Terdapat banyak ruang untuk menjadikan sekolah itu lebih terurus di sana.  Bila saya tinjau di belakang sekolah semua perkakasan lama tidak terusus.  Berselerak di sana sini.  Pokok hiasan layu dan kering.  Masih banyak kerusi meja yang tidak digunakan bersepah di merata ceruk.  Walau bagaimanapun susun atur yang segak telah membantu mencantikkan persekitaran sekolah.  Jika penyelenggaran dijalankan dengan konsisten sudah tentu menjadikan sekolah lama saya itu lebih menarik.

Hanya seorang sahaja pekerja sekolah yang bertugas di situ.  Satu rungutan yang perlukan simpati. Saya memang bersimpati dengan rungutan itu.  Ini membuatkan saya berfikir, rakan saya itu bukan setakat menjadi seorang Guru Besar bahkan dia perlu menjadi lebih dari itu.  Tugas dan pengorbanannya perlu lebih besar.  Dia perlu menjadi seorang ahli fikir, arkitek dan motivator yang hebat dan berkesan – untuk berfikir bagaimana terbaik untuk memulakannya – merancang – memotivasikan semua modal insan yang ada di sekolah untuk digarapkan dengan kekurangan yang ada.  Tidak sesekali hanya menunggu mengharapkan belas kasihan dari PPD atau JPN.

Pejabatnya memang cantik.  Ada pamplet, kertas, buku, fail dan makalah yang tidak akan membantunya jika ada lawatan mengejut dari pihak atasan.  Lawatan-lawatan singkat ini akan dapat memberi gambaran kelemahan sesorang menguruskan sekolahnya. Saya mencadangkan, dokumentasi aktiviti semasa yang berlaku dipamerkan di tempat strategik supaya dapat dilihat oleh pengunjung yang hadir.  Didokumetasikanlah dengan kemas serta dilebelkan dengan jelas.  Bila dipegang dapat merasa sentuhannya, bila dibuka dapat gambaran perkara yang berlangsung dan bila ditutup memberi kepuasan.  Pamerkan sebaiknya. Do the basic.

Tuan,

Berikan sedikit sentuhan yang menampakkan yang tuan inginkan perubahan.  Berikan gambaran yang tuan memang bersungguh-sungguh untuk bekerja bersama semua warga sekolah.  Sedikit demi sedikit akan menimbulkan rasa hormat mereka terhadap tuan.  Gambar dan promosikankan kepada mereka bagaimana keseluruhan sekolah yang tuan mahukan. Tuan kena ‘smart’.

…gbpencen…sentiasa besar hati dan sedia hulur tangan bila diminta membantu disamping membuat sedikit keuntungan (?)

 

Senyap sunyi – riuh rendah

2011 December 25
by Guru Besar Pencen

Saya ditunjukan oleh seorang guru kenaikan gaji baru dalam sistem saraan baru yang heboh diperkatakan.  Saya sempat menjengok angka di hujung jadual gaji terbaru itu.  RM6000 ++ untuk gaji mati tanpa pangkat guru siswazah DG41.  Saya tidak terkejut, hanya saya dapat ‘comfirm’ apa yang dikatakan oleh seorang rakan sebelum ini.  Banyak katanya.

Rakan saya itu isterinya seorang guru.  Ketawanya begitu galak sekali.  Dia pula berjawatan ‘engineer’ di sebuah universiti awam.  Kalau dicampurkan gaji kedua-dua mereka tidak ada sebab dia tidak ‘galak tergelak‘.  Rezeki tuhan bagi – kata saya.

Sepanjang perbualan, rakan saya menuduh PM Najib banyak membuat kesilapan kerana memberikan kenaikan gaji terlalu banyak, terutamanya kepada guru-guru.  Ngomelnya bersangkut satu  demi satu untuk menidakkan kemampuan pemimpin no 1 Malaysia (buat masa ini) itu, disamping dia memperagakan kebijaksanaan pemimpin pembangkang yang menjadi idolanya yang masih belum berkesempatan lagi menjadi PM. Begitulah, bagi pun salah; tak bagi pun salah…. PM Najib lagi buat kesilapan, ini kan kita yang tiada bakat kepimpinan nie… kata saya.

Rakan guru saya tadi (DG 41) pula hanya menunjukan reaksi selamba.  Dari raut wajah dan senyumnya nampak jelas yang dia amat lega dengan gajinya yang baru itu.  Saya dapat bayangkan yang dia amat selesa dan bangga untuk menjalani kehidupannya di Malaysia ini bersama suaminya yang berpendapatan sederhana- walaupun dia dan seluruh keluarga berjiwa taksub kepada parti pembangkang yang bercirikan keislaman.  Alhamdulillah kata saya.

Senario seterusnya:

Jiran sebelah rumah saya tidak tahu ke mana akan dihantarnya borang permohonan RM500 untuk warga berpendapatan bawah RM3000 yang diberikan oleh kerajaan yang memerintah.  Saya menawarkan diri untuk menghantarkannya tetapi esoknya baru saya ada kesempatan dan memintanya untuk menyimpannya terlebih dahulu.

Esoknya saya terlupa.  Dalam loghat Indianya dia menyatakan bahawa dia akan mengundi pembangkang, dia tidak mahu mengundi pemerintah berterajukan UMNO kerana UMNO tidak boleh dipercayai.  Saya berfikir-fikir apa sebabnya dia menyatakan begitu hanya disebabkan borangnya tidak dapat disampaikan.  Adakah dia menyalahkan saya, atau sebenarnya kerajaan UMNO yang salah tidak ‘menjemput’ borangnya di rumah.  “Aci boleh antar itu borang sama cg Pin.. dia ketua pembangkang di Taman kita”  kata saya yang sudah tawar hati untuk menolongnnya.

Senario sedih :

Dalam masa kaki tangan awam sedang berkira-kira pendapatan mereka menjelang masa-masa yang mendatang sebenarnya terlalu ramai rakyat Malaysia lain (yang bekerja makan gaji swasta) sedang berkira-kira apa akan dilakukan jika bisnes taukeh-taukeh mereka di tutup. Taukeh-taukeh yang sentiasa berkira untuk memberi bonus.  OT yang telah di sekat. Gaji yang tidak pernah dinaikkan sepanjang 5 tahun yang lalu. Pekerja-pekerja kontrak di berhentikan.

Membawa RM50 ke pasar malam, lesap bila sekelumit keperluan harian berada di dalam raga motosikal.. sedangkan gaji harian sebanyak antara RM30 hingga RM40 sehari – pula – tanpa gaji jika tidak bekerja.  Tapi pandai mereka mengucapkan terima kasih bila borang RM500 diperolehi, disi dan dihantar.

Saya menyatakan “Memang tiada pembelaan terutamanya kepada marhain Melayu Swasta malahan pekerja bawahan badan berkanun Kerajaan”

Tiada Penyelesaian :

Paparan muka-muka akhbar terus mempamerkan perjuangan untuk kakitangan awam tetapi untuk pekerja swasta bukan saja perjuangan, badan untuk memperjuangkan pekerja swasta yang di dominasikan oleh orang lain juga di tiadakan.. kalau pun ada, suaranya begitu lemah di tambah lagi tanpa semangat kepedulian yang sungguh sungguh dari pemimpin no 1, 2, 3 atau 4 di Malaysia.  Dan individu Melayu pekerja swasta peringkat bawah ini hanya memerhati sambil berazam untuk menggunakan hak satu (1) undi mereka masing-masing.

gbpencen…tak banyak bercakap, hanya banyak menyelami hati.

 

RM100 – one off

2011 December 4
by Guru Besar Pencen

Dulu saya sering menyebut one off  ketikamana sumbangan diberikan kepada murid oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran / sekolah  dalam program Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP). Setiap hari perkataan itu bermain-main dalam fikiran saya sehingga diluar waktu kerja.  Kerana ianya “duit”.  Saya perlu berhati-hati dalam menguruskan hal yang sebegini.

Kini wang tersebut datang lagi dalam versi yang berlainan.  Tetapi saya sudah diluar.  Saya menghayati perit maung menguruskannya dari luar (sahaja). Syabas semua gb.

Sekarang saya sudah semakin lupa berapa jumlahnya yang diberi TETAPI saya lebih ingat prosedur dan arahan pembayaran yang disampaikan oleh ‘speaker‘ dari JPN untuk dipatuhi oleh GB di sekolah.  Diberi penegasan semau-maunya dan kadang-kadang digertak takut diingkari.

1… Ketika hadir kesekolah untuk mendapat wang bantuan kerajaan untuk murid-murid RM100, Azrman menyatakan isterinya ada mendengar orang berkata, “Bagus juga kerajaan nie”. Azman lantas menyatakan kepada saya, “mengapa sekarang baru kerajaan nak bagi”, saya menjawab’ ” susah juga kalau jadi kerajaan nie” … untuk menenangkannya yang sedang mencari ruang untuk menegur kesilapan kerajaan.

Kisahnya (1) bagi pun salah, tak bagi pun lagi salah. Jadi semua – sereba salah. Sememangnya betul kata si Azarman nie, kerajaan mengambil kesempatan untuk terus memerintah dengan RM100 (RM500 untuk orang yang rajin melahirkan anak). Itulah politik kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi RM100 kepada wargatua (saya tak dapat) – saling atas mengatasi.  Kebaikannya tetap ada pada orang-orang sangat merlukan dan tidak begitu terasa pada setangah-setangah orang kerana sekali keluarga makan dikedai pun dah langsai RM100.

…gbpencen…bertuahnya kita, dengan (1) undi, macam-macam kita boleh kata.

2…Cucu saya menerima RM35 (sahaja)  dari pada RM100 sumbangan yang diperuntukan oleh ‘Najib” di sebuah sekolah kluster. Setelah dipotong RM65 untuk pembelian buku persekolahan.  Ibunya (janda tanpa nafkah) pulang dengan wang tersebut tanpa apa-apa bantahan walaupun katanya dia ada  mendengar menteri menyatakan -beri semua RM100 kepada waris.

Kisahnya (2). Ini kelebihan sekolah kluster. Sekolah cemerlang, buat apapun orang tak kata. Semua mulut ditutup kerana kecemerlangan.  Nak potang duit ke, nak potang pokok ke, apa-apalah kerana ianya sangat berfokus, tersusun dan terapi. Tapi kadang-kadang teringat juga – mungkin ada waris – dengan duit RM100 yang (sebelum) diperolehi sedang membayangkan untuk ke ‘Kentucky” ? untuk memenuhi hasrat anak yang sudah di darjah 3 dah tetapi belum pernah menjenguk ke tempat yang digembar-gemburkan oleh kawan (berada) di kelas ? – terasa nak berlinang si air mata.

…gbpencen…syukur cucu dah makan macam-macam  walaupun tanpa nafkah dari ayah  – mungkin ayahnya gunakan untuk layan bini baru nya… x pa