Emak saya (Piah bt Dahaman) bersama pengasuhnya (kakak saya) meninggal pada usia 89 tahun(2001).. alfa tihah !
Sampai di rumah Chik Nah mencampakkan nasi goreng ayam yang dibeli oleh anaknya yang bernama Don – ke dalam tong sampah. Malam itu dia langsung tidak makan apa-apa. Sebelum itu, dia bersama anaknya itu berkunjung ke lima buah kedai makan. Chik Nah menyatakan yang dia tidak serasi dengan semua kedai makan yang dikunjunginya itu. Akhirnya Don dan adik beradiknya makan di kedai terakhir itu kerana sudah tersangat lapar. Nasi goreng ayam dibungkus untuk ibunya, Chik Nah. Episod itu berakhir di situ apabila nasi ayam tersebut menjadi makanan tong sampah apabila sampai di rumah.
Pilu hati Don: dan dia pulang ke Kuala Lumpur menyembunyikan diri 2 tahun lamanya. Kepiluan itu dibawanya bersama. Chik Nah ‘serba tak kena’ . Hari kematian suami Chik Nah (ayah Don) , barulah Don kembali. Chik Nah masih serba tak kena.
6.00 pagi, 1 Syawal, 1431, Don kembali lagi dari Kuala Lumpur untuk bertemu dengan emaknya Chik Nah. Belum sempat ke Surau untuk solat sunat Aidil Fitri, menyembur sumpah seranah dari Chik Nah kepadanya. Di sumpah anaknya itu supaya tidak selamat hidup. Di sumpah anak dara Don (cucunya) agar menjadi perempuan yang berdosa. Chik Nah meronta-ronta apabila Don meminta untuk bersalam kemaafan di ‘aidil fitri’.
Don bersama isteri sekeluarga kebingungan. Sebaik saja bersolat sunat Aidil Fitri, sekali lagi Don meningggalkan rumah (saya). Sehingga raya ke 5 saya tidak nampak muka hidungnya.
Beberapa hari raya berikutnya, saya terima panggilan telefon dari Don. Rintihannya amat sebak. Dia menangis. Dia bertanya, “Apa salah saya?” Kalaupun dia bersalah, takkan begitu sekali layanan emak kepadanya. Sudah jenoh dia cuba memuaskan hati emaknya namun emak tidak pernah merasa puas dengan apa saja layanan yang diberikannya. “Abang, apa yang emak hendakkan?” tanyanya pada saya, abang iparnya.
Telah hampir 1 tahun Chik Nah (mak mertua saya) menetap di rumah saya. Makanan semuanya tidak sedap. Apa yang dimasak semua dicemuh, diselerakkan dan dicampakkan ke luar pintu. Mandi minta di jirus. Badan minta disabun. Rambut minta disikat. Lenguh minta dipicit. Selepas makan, tidur dan selepas tidur, makan. Tutur katanya amat memedihkan. Suka melaga-lagakan hubungan suami isteri. Semua anak dibencinya. Tiada seorang pun anaknya yang seramai 9 orang yang disukainya. Yang menyedihkan semua 9 orang anaknya sentiasa berkira-kira untuk melarikan diri darinya.
Namun karenahnya perlu ditangani kerana tiada siapa lagi yang ingin bermesra manja dengannya. Saya kena bersiap sedia menangani tingkah laku (yang saya kira) amat buruk. Moga-moga dia sedar bahawa dia sudah tiada punya apa-apa.
Suaminya dulu diperlakukan sedemikian sepertimana diperlakukan terhadap Don, anaknya. Kini dia sudah tiada bersuami yang meninggal akibat sakit jantung. Rumahnya sudah ditinggalkannya dan tidak mungkinkembali lagi ke sana. Dua anaknya yang remaja juga tidak mahu menjenguknya lagi. Mereka menafikan samasekali untuk tinggal bersama emak. Di mana saja dia menumpang, semua anak-anak di dakwa tidak memenuhi ispirasinya menghadapi hari-hari tuanya. Apalah malang nasibnya.
Kini yang tinggal hanyalah sebuah beg dan seraga pakaian, tersimpan elok di sudut sebuah bilik di rumah saya. Rumahnya terpaksa ditinggalkan dalam keusangan di tanah milik orang. Tiada seorang pun anaknya bertanya khabar. Mereka akan mendapat perkhabaran mengenai chik Nah jika saya menghantar mesej untuk mereka. Sekarang, saya rasa amat berat untuk berbuat demikian; kerana mesej saya tidak pernah dibalas.
Hari semalam saya membawa dia pulang ke rumah dari hospital setelah 4 malam di sana. Hidungnya tersumbat seutas paip untuk menyalurkan makanan. Saya berhenti membeli susu kepadanya untuk menggantikan diet hariannya. Sebulan yang lalu makanan sudah tidak mahu melalui kerongkongnya lagi. . Dua minggu yang lalu dia sudah tidak boleh berjalan walaupun dipapah. Air pun sudah tidak lagi boleh masuk ke dalam rongga kerengkongnya. Nafsu makannya sudah hilang. Dia longlai dalam kesepian. Saya membawanya ke hospital.
Saya melutut di sejadah mengenangkan keAGUNGan ilahi. Betapi tingginya nilai makanan anugerah Allah. Teringat saya kepada emak saya : dimarahnya saya; disuruhnya kutip beberapa butir nasi yang tumpah ke lantai (ketika itu makan bersila – tidak bermeja) katanya : nasi yang tumpah itu akan menangis kalau tidak di makan: ahkirnya sehingga lagi 3 hari sebelum hayatnya akan berakhir barulah saya berhenti menyuapkan nasi ke mulutnya. Saya amat terasa akan betapa berharganya nasi – rezeki anugerah Allah – betapa nikmatnya rezaki Allah yang diperolehi oleh emak saya – sehingga ke akhir hayatnya. Alhamdullillah.
..gbpencen…syukur kerana masih boleh makan dan masih mampu memberi makan kepada ramai orang.
“Salam disuatu pagi Aidil Fitri” bersama kuda putih saya yang pertama dan anak pertama. Bersama adik ipar yang koma dan arwah pak mentua.
Kerana dengki atau cemburu … entri ini ditulis. Sebaiknya jangan dengki dan jangan cemburu. Jangan, tetapi jadikan ianya satu hikmah.
Nampak jelas ‘lobang indung’ (bahasa P Ramlee) yang ternganga. Membelok kereta mewah dengan spek hitam bersekala besar; tapi yang ‘bagus’ nya bertudung. Cantik tudungnya. Pakaian pun nampak cantik. Sungguh cantik dan menarik. Memotong melepasi kereta saya. Bergaya sungguh wanita itu.
Jelas menusuk di hati kata-kata ustaz dalam ceramahnya : Hadith ada menyatakan semasa zaman nabi pembesar dan orang kaya-kaya mempunyai kuda yang cantik – berwarna putih. Berantai emas, ekor yang kembang. Selalu diusap dan dijaga dengan rapi.
Juga kata ustaz : Ada antaranya mempunyai unta yang berkilat dihias dengan kain berenda bermutu tinggi. Juga dijaga dengan rapi dalam kandang-kandang yang indah. Bulu dan badannya dicuci supaya sentiasa kelihatan segak dan bergaya.
Di tonggangi ke sana ke mari, dipacu seceruk rantau padang pasir (mungkin) dengan megah dan bergaya dan adakalanya dengan lagak bongkak lagi sombong tuannya.
Maka tidak hairanlah saya, jika sekarang ini sudah sampai masanya kuda putih dan unta berhias itu kembali ke jalanraya khasnya di Malaysia (sebab saya hanya tinggal di Malaysia (sahaja)) . Semakin menjadi-jadi keegoan pemiliknya dengan kuda / unta (kenderaan / kereta) mereka.
Begitu lagak bergayanya kelihatan pemilik kereta maupun kereta lama, kereta baru, kurang mewah, separa mewah dan kereta mewah memperagakan kebolehan, kecantikan dan keunikan kenderaan masing-masing di jalan raya.
Ketika memandu; dari dalam kenderaan lama saya, jelas kelihatan pemandunya yang berada di dalamnya begitu bangga dengan kenderaan masing-masing. Ketika sama-sama menghormati lampu merah, yang keretanya cantik lagi mewah dari kereta; saya nampak atau dapat merasakan dia ‘membesarkan hidungnya’ . Bagi saya yang tidak mampu, saya mengempiskan idung saya yang besar itu sambil berangan-angan akan memilikinya suatu hari nanti. Kalau tidak mampu pun masih lagi mampu untuk berangan-angan. Begitulah kuatnya pengaruh tentang apa yang ustaz ungkapkan tadi.
Begitulah ringkasan ceritanya.
Sudah dicatatkan dalam ayat Rasul dan ayat Allah yang manusia (pada suatu hari nanti) akan menyayangi kuda putih dan unta berkilat ini secara berlebih-lebihan. Walaupun ketika itu, teknologi yang terkini dalam era kenderaan moden belum wujud lagi tetapi sabda dan ayat sudah mendahului zamannya. Dan sesama manusia akan lebih disanjung dan dihormati jika memiliki kenderaan yang sebegini. Disambut dan dirai, dipuji dan dibelai jika kehadiran tetamu dengan berkenderaan seperti kuda putih dan unta berkilat. Ada… buka tak ada, pernah dilihat di majlis kenduri.. (walaupun bukan semua)
Lihat disekeliling kita dan lihat di kalangan keluarga terdekat dan terjauh, sahabat handai, rakan taulan, rasanya jelas kelihatan pernayataan yang diayatkan. Perlumbaan untuk memiliki keunikan dan kecantikan kenderaan terbaru sangat jelas dan menghantui semuanya. Yang sebaiknya pula mengemukakan berbagai alasan untuk memilikinya. Keluarga besar… Yang lama meragam…. Bila hujan suka tersasar… Terlalu ringan… Tak sedap konar (belok)… Makan minyak…. Tak boleh pecut.. etc..
Yang tidak mampu pula juga ada alasan iatu seperti cerita “musang dengan buah anggur”
Sebenarnya tiada usah dengkidan cemburu. Naiklah kuda yang ada kerana itu kemampuan kita.
…gbpencen… suka naik kuda tetapi memang saya macam musang yang tengok buah anggur di seberang sungai.. .
Anak Permata Kampung – Kenangan mu mengusik jiwa ku
Semasa saya berkunjung ke sekolah lama saya baru-baru ini, saya diberitahu (secara tidak rasmi) bahawa JPN berhasrat untuk menambah lagi (1) kelas Prasekolah untuk sekolah tersebut; bagi menjadikan (3) kesemuanya. Oh ! banyaknya. Tentu ianya ada kebaikannya untuk penduduk-penduduk setempat.
Bangunan usang pra penjajah yang sedia ada akan digunakan untuk program peluasan itu. Tempatnya di atas bangunan pra yang sedia ada sekarang. Bangunan itu hampir reput. Ada pendapat ‘ya’, ada ‘tidak..’ Ada yang iya – begini caranya dan ada yang tidak – begitu caranya. Semua pendapat boleh diterima kerana semuanya ada alasannya yang tersendiri.
Oleh sebab Prasekolah dewasa ini menjadi satu keperluan yang amat sangat, maka keperluan program peluasan tersebut sudah menjadi amat penting kerana (salah satu sebabnya) dapat mengekang pertumbuhan Pra sekolah swasta, NGO atau badan politik daripada membiak tanpa batasan. Pada setengah pendapat ianya mungkin satu masa lagi tidak dapat dikawal penerapan berbagai nilai, ideologi, fahaman di dalamnya. Juga dikira dapat membendung kerakusan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dari mengaut keuntungan berlebihan. Betul ke ? Mungkin iya, mungkin tidak.
Anak Permata Negara, satu nama yang GAH dari seorang isteri Perdana Menteri. Tahniah kerana mengwujudkan satu program yang belum tentu hujung pangkal kejayaannya. Walau bagaimanapun ianya memang program permata kerana lahir bersama seorang pembesar yang paling berkuasa di dalam negara Malaysia. Walau apapun masalahnya tentu dapat di atasi kerana semua keperluan yang dimahukan akan diperolehi – dengan apa cara sekali pun.
Perlukah anak-anak permata ini satu program khas dimana terdapat masih berselerak -taraknya institusi rasmi dan tidak rasmi untuk anak-anak pra persekolahan. Atau mungkin lebih perlu program yang sedia ada di Kementerian Pelajaran itu dimantapkan dengan sebaik-baiknya supaya Prasekolah di sekolah aliran Perdana Kerajaan tidak menjadi seperti Prasekolah Kelas Dua sahaja seperti anggapan setengah-tengah pihak.
Diperhatikan trend di bandar-bandar, galak, waris menghantar anak-anak ke Prasekolah swasta yang memberi cerminan akan parasekolah ‘berkualiti tinggi‘. Di kampung-kampung pula diperhatikan Prasekolah – sekolah kerajaan menjadi tarikan kerana yuran yang rendah tanpa menghiraukan kualiti output yang dihasilkan (?)
Apakah kualiti yang dihasilkan oleh Prasekolah – sekolah kerajaan ini boleh dipertikaikan ? atau boleh dibandingkan dengan Prasekolah swasta ? Persoalannya sangat subjektif kerana kajian ke atas itu belum lagi saya terbaca. Walau bagaimanapun hanya untuk membezakannya – eloklah kita tanya kepada guru besar di sesebuah sekolah. Guru Besar itu akan menjawab… dari segi kemudahan – ianya sudah melimpah ruah.., Dari segi guru mencukupi.. tetapi apakah kualiti guru yang berada di kelas itu.. bagaimana komitmennya, ruang dan peluang yang ada padanya, kesungguhanya dan juga bagaimana pihak pengurusan sekolah memantau perkembangannya. juga di katakan, bagaimana pula kualiti waris dalam kedudukan sosio ekonomi setempat (?) Semuanya ada hubung kait.
Itu lah ungkapan dan telahan yang biasa kita dengar dalam pengurusan sesebuah organisasi sekolah.
Isteri Perdana Menteri begitu tertarik dengan Pendidikan Awal Kanak-Kanak – kononnya. Di sana sini pelancaran demi pelancaran penuh dengan warna-warni. Bukan sedikit yang memakan korban, tenaga wang ringgit, pegawai-pegawai, kakitangan – semuanya sibuk di hari pelancaran. Walaupun begitu (andaian) semuanya tanggung beres, si isteri berbisik je.. semua tanggung ‘lulus’
Apa yang di ingin disampaikan :
1. Adakah Kementerian Pelajaran (yang ditugaskan) tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawab terhadap pendidikan Prasekolah hinggakan terpaksa isteri Perdana Menteri turun padang untuk up grade keperihatinan negara kepada anak-anak pra persekolahan.
2. Adakah ianya demi untuk mencetuskan kepopulariti peribadi seorang isteri Perdana Menteri.
3. Adakah perlu menunjukan yang Permata Negara ini khas untuk menampakkan kehebatan dan kemampuan membelanjakan jutaan ringgit yang mana sepatutunya boleh difikirkan untuk disalurkan ke tempat-tempat lain yang lebih penting dan sangat memerlukan. Dengan lain perkataan adakah program itu Sangat Memerlukan.
4. Penampilan yang bersungguh-sunggah penaraju program ini menjadikan ramai di kalangan kita memikirkan bahawa seperti ada satu lagi tangan untuk menentukan hala tuju negara… kalau tidak sekarang, mungkin pada suatu masa nanti.
…gbpencen… hanya melemparkan senyuman sinis tanda hormat.


