Skip to content

Fikirkan “selamat tinggal”

2011 March 20
by Guru Besar Pencen

khas untukmu cikgu Ideris

1.  Walaupun Asmah (kerani) mengenali saya sejak lama dulu, semenjak 12 tahun yang lalu, tetapi bila saya akan kembali ke sekolah asal saya itu sebagai Guru Besar;  Asmah masih mempunyai sedikit curiga. Mengikut ceritanya;  dia dan Sufian, pembantu pejabat menyiapkan juga pejabat sekolah sebagai menyambut dan meraikan Guru Besar baru.

2.  Di sebuah sekolah lain pula, kononnya mereka (kakitangan pejabat) menunggu ketibaan gb baru kerana sudah sekian lama sekolah tanpa gb. Mereka mengharapkan seorang yang tegas dan senang dibawa berunding atau didampingi. Mereka juga mengharapkan perubahan, sekurang-kurangnnya mempunyai kelebihan dari tata laku gb sebelumnya yang kurang menyenangkan mereka.

3.  Dan yang terbaru juga begitu,  kakitangan pejabat mengharapkan gb yang lebih muda; yang akan lebih lama bersama mereka,   yang lebih tegas dan berkesan kerana selama ini sekolah dilihat sebagai tidak berkesan kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari guru – dari kaca mata pentadbiran.  Harapan menggunung bila saatnya telah tiba.

(3)  situasi yang berbeza menjadi “kisah awal seorang Guru Besar” bahawa sekolah memang memerlukan seorang ketua.

Sebagai seorang isteri pasrah menerima suami yang baru dikahwini dengan harapan dapat menjadi pendamping yang berkesan melayari kehidupan.  Begitu juga dengan kakitangan pejabat yang akan menerima kehadiran ‘bos’ baru dalam alam pekerjaan mereka. Pasrah dan menanti dengan penuh harapan.

Selain orang menilai diri saya;   saya juga berhak membuat penilaian di atas rakan-rakan guru besar sengkatan.

Penilaian beradasarkan pengamatan terhadap keterampilannya, gaya cakap dan isi sembang.  Saya dapat mengesan apa yang berlaku atau dilakukan oleh GB itu di sekolah.  Selain dari itu ‘apa yang sebenarnya’ menjadi minat gb itu.  Juga apakah inspiriasinya sebagai gb.  Dan saya kurang jelas akan wawasan saya.

GB akan bercerita cerita dia mula menjejak kaki di sekolah barunya.  Di sana dan di sini menjadi serba tidak kena dengan kemahuan dan inspirasinya.  Begitu juga cita-cita dan harapan yang akan dibuatnya untuk untuk sekolah baru itu.  Apa pun yang dilakukan oleh GB terdahulu akan menjadi tidak kena kepadanya.  Itulah ego seorang guru besar — sebenarnya.

Dar kaca mata staf pejabat;  mereka melihat dan terus menggambarkan bagaimana suasana kerja yang akan mereka tempuhi dengan gb baru itu.  Juga akan dibandingkan dengan gb lama.

Apapun jenis gb yang bertugas di sekolah, staf pejabat akan amat menghormatinya.  Kehormatan itu berlaku kerana ‘guru’ memang di hormati,  tambahan pula gb, maka sudah tentulah lagi dihormati.  Dan dipatuhi.

Walaubagaimana pun, ke egoan, pendekatan dan keberkesanan komunikasi gb itu akan mempengaruhi aspek tatacara kerja staf pejabat.  Dapat di lihat bagaimana staf pejabat boleh mempengaruhi keselesaaan guru bertugas di sesebuah sekolah… tentu saya ada ceritanya (:)

Apa pun yang berlaku dalam keghairahan menyambut kedatangan gb, saya tetap menyatakan bahawa…

…… sesorang gb itu atau hatta guru sekalipun,  harus memikirkan saat di mana, ketika mana dia akan meninggalkan sekolah itu nanti (samaada bertukar atau bersara)  Apa yang akan ditinggalkannya di sekolah itu ketika dia pergi… ?  Apa impak terhadap guru dan murid…?  Impak apa pula kepada prasaranan sekolah, dan lain-lain kemudahan atau kepayahan yang ditinggalkannya.

Apa pula orang berkata-kata tentang dirinya setelah dia tiada… apa ingatan atau kebencian yang ditinggalkannya.

Semenjak saya menapak sebagai gb di sekolah baru,  saya sentiasa memikirkan mengenai hari terakhir saya di situ ketika hendak mengucapkan  ‘selamat tinggal’ …. ketika saya akan melambai selamat tinggal kepada satu institusi – keramat .

Gambar di atas menceritakan, gb sebelum saya melambaikan (gambar)  itu ketika dia meninggalkan sekolah itu… untuk saya…..

…gbpencen… sewa ‘back hoe’ korek lubang, kambus perabut lama yang berselaput tunggul.

Winner is the champ, loser is the best….

2011 March 6
by Guru Besar Pencen

Semua mereka berusia dalam lingkungan 32 tahun .  Duduk dari kiri  : Azman (Kapten)belum berkahwin dan bekerja sebagai pemandu lori;  Razak bekerja kampung, mundar mandir ke sana sini.  Ahmad Zaki bukan pemain yang baik dan kini bertugas sebagai peguam syariah;  Idi Amin seorang Jurutera, sasa dalam permainannya.; Mohd  Aswadi baru berkahwin, permainannya lembut tetapi berkesan  dan Md Noor seorang murid yang tidak pandai, berjawatan “pelbagai kerja”  telah berkeluarga tetapi sangat berbudi bahasa.

Berdiri dari kiri : Zainol pula seorang pengimpal badan kereta, lincah dan baik permainannya;  Rahman tukang gunting rambut;  Syukur Hashim seorang graduan, lama dalam pengajiannya, Ijazah Pendidikan,  Nizam bekerja di Intel sebagai penyelia;  Syukor Bakar (anak saudara saya) baru 2 bulan memperolehi cahaya mata, pengusaha kedai minuman yang agak berjaya;  Kamarul Hisham yang hansem lagi lincah, kini mempunyai  4 anak;  Dan Izralizuddin, pemalu dan tidak boleh membaca ketika bersekolah tapi boleh mengira.. dia amat rajin dan patuh bekerja, berhemah dan pendiam.

Mereka semua dalam satu kelas (hanya satu kelas yang ada) dari Tahun 2 hingga Tahun 6… dan sayalah guru kelas mereka.

2 peristiwa sukan yang penting (dalam kerier kepimpinan bolasepak peribadi saya) berlaku dalam minggu ini.  Pertama :  Hari Jumaat lalu,  setelah saya 3 tahun meninggalkannya, sekolah persaraan saya berstatus Johan Bolasepak bawah 12 tahun Zon Bukit Mertajam.  Kedua :  NTFA (Persatuan Bolasepak Nibong Tebal) berjaya menamat liga 16 pasukan dengan jayanya di perlawanan akhir yang berlangsung petang tadi (6Mach, 2011) yang mana,  juga berjaya mengadakan Mesyuarat Agungnya yang ke 12 pada sebelah pagi.

Kedua-duanya meninggalkan kesan yang signifikan ke atas saya kerana,  sekian saya melibatkan diri secara sungguh-sungguh dalam bidang berkenaan,  (bukan kerana apa) hanya kerana minat yang mendalam dalam bidang itu.  Selain dari itu terdapat banyak rentetan peristiwa yang dapat mengimbau kenangan lalu yang cukup ‘tersentuh’ dalam kenangan.

Disamping menentukan kejayaan ianya akan banyak berkisar kepada  “erti kesukanan” bolasepak’ itu sendiri di peringkat sekolah rendah.  Di sorot kepada pernyataan gambar di atas, digambarkan bahawa anak didik kita adalah satu ‘entiti’ yang unik.  Bimbingan yang kita berikan di peringkat kanak-kanak hendaklah bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan semulajadi mereka.  Di antara mereka ini mempunyai perbezaan yang ketara tetapi dapat kita garapkan dalam sukan sehingga membuahkan kejayaan.  Juga mendidik mereka ertikata kerjasama, persefahaman, kepatuhan, disiplin – dan banyak lagi nilai-nilai yang nyata dan yang kita cerna tanpa kita sendiri menyedarinya.  Sebenarnya dalam tahun 1991 (mereka di Tahun 6) saya tidak tahu apa akan jadi kepada mereka apabila  dewasa nanti.. tapi saya kenali mereka .. hati budi, tingkah laku, kebolehan dan kegemaran masing-masing.. Sehingga menjadi Johan Zon ketika itu.

Sekarang Azman hanya seorang pemandu lori ‘tanah’;  tetapi saya masih dapat ingat dengan jelas bakat kepimpinannya ‘sebagai “last back” yang saya kagumi.  Jeritannya memberi arahan kepada rakan dalam padang walaupun rakannya seorang ‘lawyer syariah’ amat dihormat malah ditakuti.  Walaupun Zainal seorang  pengetuk badan kereta’ kelincahannya dihormati oleh Hisham yang juga lincah.  Idi Amin seorang ‘engineer’  memeluk Izralizuddin ketika meraikan kemenangan walaupun Izralizuddin tidak pandai membaca…. !  Itu lah kehidupan dan itulah kehidupan bolasepak yang menjadi ‘minat’ saya.

Semua mereka bekerjasama, patuh dan baik sangka antara satu sama lain.  Semangat kekitaan yang dipupuk dari kelas hingga ke atas padang.  Hari ini mereka tidak bersama lagi dengan membawa haluan masing-masing kerana.. masyarakat bolasepaklah  yang yang menjadikan mereka begitu (?) (harus dibicarakan untuk mengisi jawapannya)

Hari ini juga berlaku satu peristiwa di lapangannya berbeza tapi dalam aliran yang sama.  Bahawa NTFA merupakan satu wadah perjuangan entiti bolasepak dalam daerah.  Memanjang usia dan minat anak-anak lepasan sekolah demi menghindarkan dan melarikan diri dari ‘luka-luka sosial’ yang ramai orang memperkatakannya saja;  tetapi tidak mempu untuk menterjemahkannya.  Ianya perlu sedikit pengorbanan dan perancangan yang jitu dan terancang bagi memartabatkan ‘bukan sahaja bolasepak’  tetapi ‘ pemain-pemain dalam arena ini supaya betul hala tujunya.

Menjadikan pencinta sukan ini :  berhemah, berperaturan, beradap, bernilai, bersukan untuk kecergasan.  Menyekat : politik dalam sukan keteralauan, pengodam kebangkitan individu, tamak dan kejarkan glamour, rasuah dan tidak beretika.  Semua ini telah dirangkumkan dalam satu cerita pengkisahan bolasepak tanah air kita yang sering didebatkan sehingga kini oleh ‘pandai bolasepak’  yang berselerak diserta tanah air.  Moga ianya akan diterjemahkan sebagai satu kejayaan yang akan dibanggakan dalam sedikit masa lagi (mungkin)

…gbpencen…tunggu respon dari sk Panchor, yang pernah bergelar  Johan Daerah Manjung bawah 12 tahun dalam tahun-tahun ’80an.. buat kali pertama.

Tunjukkan sesuatu

2011 February 27
by Guru Besar Pencen

gambar setiausaha PIBG tahun 1975,  bersama Allahyarham cg Saad Dahamad, PK 1 (yang menjadi sifu saya) merangkap Yang DiPertua PIBG sedang berucap. Di sebelah YDP Allahyarham cg Tn Hj Hasaan Md Johor, orang kaya Lumut,  Guru Besar  saya.  Selainnya Tok Sidang dan orang kuat PIBG Sekolah Kebangsaan Panchor, Pantai Remis Perak.

…antara satu dari beribu ceritanya …..

Saya dikunjungi oleh guru itu.  Dia membawa beg dan berkepit dengan sekeping fail dan masuk ke bilik saya.   Sebelum itu, saya menceritakan tindakan yang perlu di buat selepas satu mesyuarat diadakan.  Sebelum mesyuarat berakhir,  saya menyatakan, sesiapa yang memerlukan panduan, nasihat dari saya… silakan.. !

Saya andaikan tiada siapa yang akan menemui saya kerana siapalah saya yang sedang berhadapan dengan guru-guru yang saya andaikan lengkap dengan ciri-ciri keguruan tulen.   Tapi anggapan saya nyata meleset.

Sebagai setiausaha, ungkapan saya dalam mesyuarat tadi telah  membawanya ke bilik saya selepas solat Zohor;  walaupun saya berkira-kira, tiada siapa yang akan memerlukan panduan dari saya kerana semua guru kelihatan hebat belaka.  Ikhlas nampaknya cg kita ini.

Kerana baru ditempatkan di sebuah sekolah,  pertemuan-pertemuan pertama saya dengan rakan baru  meninggalkan banyak kenangan. Terutama ketikamana pertemuan dengan bos (Guru Besar) (gb) dan guru yang baru dikenali.  Antara bos lelaki dengan staf guru lelaki maupun perempuan.  Begitu juga sebalik – sebaliknya.  Kadang-kadang kenangan yang ditinggalkan  hanya seketika.  Adakalanya kekal beberapa lama.  Dan adakalanya selama-lamanya.

Bagi yang belum pernah menjadi gb… tentu pengalaman ini belum menjelma.  Pada yang sudah menjadi bos, tentunya ada kenangan dari berbagai dimensi.

Saya nyata mendapat satu hidayah.. bahawa guru saya memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dimana yang perlu melalui sedikit sebanyak pengalaman lalu yang ada pada saya.  Dan saya memulakannya… Bahawa hidayah saya itu saya bawa sehingga ke hujung bicara perkhidmatan saya.  Dan hidayah kurniaan Allah itu ternyata benar.

Saya melihat catatan yang dibuat oleh guru tadi.  Saya nyatakan bagaimana seharusnya minit mesyuarat ditulis dan perlu segera disiapkan.  Sebelum beredar dari bilik saya,   guru berkenaan memohon untuk menyiapkan minit tersebut dalam masa seminggu.  Saya agak tercengang, guru tersebut beredar dari bilik saya.  Saya terfikir, semasa di era 80’an (type writer) saya mengedarkan minit mesyuarat sehari selepas mesyuarat dijalankan.   Dan cuba  mengedarkan minit pada waktu petang selepas bermesyuarat diwaktu pagi dalam zaman ‘digital’  kini.  Adakah saya hebat?  Sebenarnya saya tidak ‘hebat’.  Dengan merujuk kepada ‘fitrah’ apa saja boleh berlaku.  Pada saya fitrah itu adalah anugerah.  Anugerah :  kemahuan, komitmen, minat, kemahuan, dan banyak lagi (bukan ?)

Selang beberapa lama selepas itu….

….. setelah ramai antara mereka  faham bahawa dokumentasi, sistem fail, minit mesyuarat, tindakan selepas mesyuarat dan prosedur mengendalikan mesyuarat (untuk membangkitkan dan mengambil tindakan atas urusan  tertunggak yang telah diputuskan) berdasarkan minit dan mesyuarat yang lalu ADALAH merupakan satu wadah penyumbang kepada keberkesanan dalam urusan mengurus sekolah ….. di laksanakan dengan sebaiknya oleh ciri-ciri keguruan yang tulen.

…. maka sedang tidak beberapa lama seorang guru mengakui di hadapan saya secara bersemuka bahawa….

“sebelum ini cikgu, kami tidak pun didedahkan untuk membuat mInit mesyuarat secara agak terperinci.  Kami tidak didedahkan dengan urusan dokumentasi program.. dan kami tak tahu pun yang itu ‘kena buat’ untuk memudahkan kerja…

… bahawa, apabila pihak nazir (yang ditakuti) datang, bahawa dokumentasi, fail mesyuarat adalah merupakan aset agar penyiasatan yang menggerunkan itu tidak mereka panjangkan ke bilik darjah… hatta ke perjumpaan guru secara bersemuka …

….cukup dengan hanya meneliti dokumentasi yang disediakan oleh guru di bilik gb dan fail-fail (pantia dan pengurusan) yang dikemaskini sepanjang masa.

Baru-baru ini, apabila rakan saya ditempatkan di sebuah sekolah baru sebagai gb, bicara dia dengan saya begitu bermotivasi.  Dikupas pengalaman lamanya dan digarapkan dengan cerita-cerita enteng dari saya menjadikan suasana yang ingin ditempuhinya penuh dengan harapan untuk menjadi seorang gb yang dihormati dan disegani.  Saya bangga dengannya.  Insyaalah.

Sedangkal manapun pengalaman atau kebolehan saya, saya dapat bayangkan secara samar apa yang akan berlaku nanti.  Kerana ianya telah berlaku kepada saya.  Terlalu banyak yang perlu berlaku sebelum ianya benar-benar berlaku.. kerana…

… itulah suatu kehidupan manusia.  Fitrah yang diberi kepada seseorang, sama ada guru atau guru besarnya adalah berbeza-beza.  Selamat Bertugas, cikgu. Semoga mendapat hidayah baru.

…gbpencen….  ada yang minta dibimbing tapi  tak sempat ,   eder namanya