PLKN ala 70’an .. Asrama 20 – Kem ‘Pembina Negara’ – Kementerian Belia – di Dusun Tua, Kajang, Selangor (1970)
Biasanya orang yang bahagia, dia berselera untuk makan atau melakukan sesuatu. Saya merenung (hanya memerhati) beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang blog ini tidak di ‘update’. Kejadian dalam arena politik – kedua-duanya. Saya tidak berselera untuk menulis dalam hal ini tetapi saya rasakan banyak orang yang berselera untuk mengambil bahagian dalam hal sebegini.
Cg Rabani :
…. menggelarkan orang yang tidak menganggotai PAS sebagai ‘karat’. Saya melihat dia menjajanya sepanjang dia berada di surau tempat yang dia sering kunjungi selepas dia bersara. Dulu dia pun jarang-jarang ke surau itu. Semenjak PAS mendominasi surau itu, Cg Rabani telah menjadi perantara yang lantang mempromosi agenda politik parti ‘barunya’ itu.
Saya menghormati haknya.
Cg Rabani amat berselera kerana dia bahagia. Pesara Pengetua yang mempunyai imbuhan beratus ribu dan pencen mencecah hampir 4K, sudah tentu dia selesa untuk berpolitik secara menongkah arus. Dari seawal subuh sudah selesa dia bergerak aktif mempromosikan partinya sambil mempersenda dan memperlekeh parti pemerintah dinegaranya. En Kasim yang cuba menegakkan kebenaran langkah dan tindakan kerajaan menangani isu rusuhan yang baru berlansung; telah diserang oleh cg Rabani bertubi-tubi, bukan saja hari itu, hari ini dan esok – tetapi setiap kali apabila dia berjumpa dengan En Kasim – perkataan karat itu akan sentiasa dilontarkannya kepada Encik Kasim sambil menggelarkan Encik Kasim sebagai Datuk yang ber ‘karat’ kerana sebelum bersara Encik Kasim bertugas sebagai pegawai polis.
Tanpa rasa sedikitpun syukur.. tanpa rasa sedikitpun kebaikan kepada pemerintah tempat dia mendapat kebahagiaan.. tanpa merenung dan merasakan agenda pemerintah sentiasa berusaha memperjuangkan ramai lagi orang-orang yang tidak selesa; Cg Rabani terus dengan agenda angkuhnya dalam keselesaan dan kebahagian yang dikecapinya.. dulu, kini dan selamanya.
Encik Nanyan:
Menyatakan pendiriannya : yang 2 bangsanya semakin berpecah kepada 2 kelompok. Perpecahan itu telah menguntungkan kaum lain yang sentiasa menginginkan – Perlembagaan yang sedia dipakai di pinda, kelompok raja-raja Melayu akan di tiadakan. Beliau sudah nampak jelas akan kekalutan yang sedang berlaku.
Dia pesara tentera yang mendapat imbuhan pencen RM900 sebulan. Bergelumang dengan hutang 2 buah rumah yang belum langsai, dia terpaksa bekerja sambilan sebagai ‘pomen’ di sebuah kilang dan ber bendang seluas 9 relung. Dia masih boleh mendapat subsidi pada berbelas ribu RM. Namun ( dengan itu) dia sentiasa bersyukur bahawa kepimpinan teraju pemerintahan menyebabkan dia masih boleh bernafas lega, walaupun terpaksa terus bekerja untuk menyara kehidupan.
Nanyan berkata dengan maksud : Kesetabilan menyebabkan keluarganya masih boleh selesa di bumi bertuah ini. Kesetabilan menyebabkan dia masih sihat dan boleh mencari pendapatan. Keselesaan itu membolehkannya dia boleh memiliki sebuah kereta dan beberapa buah motosikal. Untuk isteri dan anaknya membantu kehidupannya. Di bumi bertuah ini, dia meneruskan katanya.
Ada dua sinopsis cerita dalam 2 keadaan dan individu yang berbeza untuk dijadikan ‘topik forum’
Walau melangit manapun pandainya sesorang, sifat angkuh dan tidak bersyukur akan mengheret jiwa dan fikiran untuk terus membenci sesama sendiri. Jika sifat merendah diri dan menghormati orang lain tidak wujud atau sangat kecil dalam jiwanya, maka rasa bersyukur semakin terhakis dan rasa angkuh semakin menebal. Jika kita sentiasa merasa bahagia dan selalu selesa juga akan membuatkan kita tidak merasa penderitaan orang lain.
Kebahagiaan akan hanya akan dirasa nikmatnya yang sebenar : Apabila kita selesa dengan orang lain yang menyebabkan kita sentiasa menjadi selesa. Kita sentiasa merasa selesa apabila kita terus bekerja untuk diri dan keluarga kita di samping kita bekerja uantuk memberi kebajikan dan kebaikan pada orang lain.
Jika kita selesa, kita cuba pula melakukan kebaikan yang kita mahu untuk kebahagiaan dan keselesaan orang lain. Mudah bagi kita lakukan kebaikan jika sekiranya kita dalam bahagia dan selesa – di tempat yang selesa dan bahagia – di negara yang tercinta.
Bukan melakukan kemusnahan ke atas orang lain bila kita sudah rasa bahagia dan selesa.
…gbpencen…sentiasa selesa dan bahagia kerana sentiasa bersyukur dengan apa yang ada kerana itu saja yang ada.
…perjalanan terakhir ayah tiri kami menjadi hikmah…
9 Julai yang lalu entri terakhir saya tulis; hingga ke hari ini baru dapat saya menulis semula. Itulah istimewanya Ramadhan. Dalam masa itu sempat saya melihat semuanya yang boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk diri saya.
Teringat dimasa kali pertama saya berpuasa – sehari sahaja ketika di darjah (?) empat. Jelas dapat bayangkan betapa tidak ambil kisahnya semua orang yang berpuasa. Berpuasa begitu ‘simple’ pada ketika itu.
Minuman yang paling istimewa pada saya selain ‘ais’ ketul dan air ‘liminate’, ialah ‘lychee’ tin; mungkin ketika itu tiada peti ais di rumah. Dan makanan yang istimewa ialah selepas solat tarawikh, di masjid. Hanya golongan dewasa sembahyang tarawikh 20 rakaat – laju, tanpa tazkirah. Setangahnya hanya menyagkutkan baju melayu dan kopiah hitam ‘lasam’ di tiang masjid – memakai baju ‘pagoda’ – menguruskan jamuan moreh – untuk sekalian yang hadir. Simple dan santai.
Jika dibandingkan dari aspek kemeriahan – dalam kedewasaan ini, saya masih tercari-cari kemeriahannya – tidak berjumpa sehingga hari ini. Ketika zaman kanak-kanak saya, kemeriahannya tetap ada – mahu pun kepada orang dewasa.
Bagi kanak-kanak, mereka bebas bermain tanpa kawalan ibubapa – kerana tiada ada apa-apa ancaman keselamatan. Tiada kenderaan yang lalu lalang – tiada ancaman kecurian atau penculikan. Bagi orang dewasa pula, semua penduduk setempat setara sahaja – dari segi pendapatan, pelajaran dan kebolehan agama / ibadat Ramadhan. Kot2 ada seorang dua yang agak lebih sedikit kebolehannya – maka ianya menjadi pemimpin yang tulus dan ikhlas.
Ramadhan ini paling istimewa bagi saya kerana = saya berpeluang menilai diri saya dan orang disekitar saya dalam keadaan yang cukup istimewa:
Pemergian beberapa keluarga menemuiNya telah mendekatkan saya bahawa dunia ini sesungguhnya tempat laluan yang sungguh istimewa. Sungguh kerdil kalau kita bercakap mengenai hal yang besar-besar. Kerana antara mereka yang bercakap angkuh dan besar-besar telah menjadi kecil sekecil-kerdilnya.
Kesedaran memperbanyakan ibadat telah dihebah-hebohkan begitu agresif sekali di media atau di rumah-rumah ibadat. Saya bersyukur kerana saya sempat sedar bahawa kita perlu melakukan perkara ‘basic’ ibadat Ramadhan iaitu ‘hanya untuk Allah’ (lillahhi…) kerana sifat baharu kita dan kebanyakan orang boleh mendorong kita beribadat secara menunjuk-nunjuk dan memperlekehkan ibadat orang lain.
Saya terbaca satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan melalui sebuah akhbar yang membawa maksud– mereka akan ‘all out’ menggunakan medan tazkirah kerana ia merupakan medan terbaik untuk menyerang habis-habisan sebelum piliharaya umum negara yang akan datang. Ianya telah menjadi kenyataan.. bukan sahaja tazkirah sunat tarawikh bahkan Khutbah dalam Fadhu Jumaat juga penuh dengan pengisian serangan untuk melebarkan laluan menjadi pemimpin. Ianya penuh dengan hujah yang berilmu.
Dan saya juga terbaca satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan melalui sebuah akhbar yang membawa maksud – mereka tidak akan menyerang kembali ‘pertubuhan’ tadi dengan menggunakan medium Ramadhan kerana menghormati umat-umat yang redha dan gembira dengan kedatangan Ramadhan kerana ia hanya untuk ‘Allah’ bukan selainnya.
Sampai di surau ketika hampir sangat untuk bersolat isyak, saya mengamati kenderaan yang pakir di sekitarnya. Banyak kereta baru / cantik. Kebanyakannya membawa bersama keluarga untuk meneruskan ibadat malam-malam Ramadhan. Berkesan sungguh peranan media dan tazkirah untuk membawa umat mengimarahkan Ramadhan. Saya pasti semua yang hadir itu menunaikan ibadat dengan penuh rasa rendah hati – tidak sombong – bongkak – bercakap besar – riak hanya kerana “lillah hi.. ta’ala” – bukan untuk selainnya.
Sepanjang perbandingan saya, Ramadhan dulu dan Ramadhan sekarang : terlalu banyak yang boleh dan perlu dilakukan dalam bulan mulia ini dari segi ibadat mahupun perhubungan sosialnya. Dalil yang memperkuatkan hujah patut diterima dengan hati terbuka. Tapi oleh sebab medium yang terhad, negara yang masih mundur, tahap kesihatan yang rendah maka Ramadhan dahulu hanya ‘simple’ dan santai; Oleh itu saya memohon agar ibadat orang dahulu juga diterima oleh Allah. Dan saya juga berdoa agar ibadat orang sekarang juga diterima oleh Allah dan keadaan dunia terbuka ini. Insyaalah. Amin
Saya mahu terus mendengar tazkirah bagi melengkapkan perjuangan yang sangat susah dicapai ini iaitu : untuk mengajar diri kita gembira dengan kegembiraan yang dicapai oleh orang lain.
…gbpencen…hanya layak untuk sujud – kurang ilmu – suka simple dan santai..
“tak banyak pendekar melainkan pendeta.”
Di akhir-akhir ini, berpeluang untuk mendamping kembali rakan guru di sekolah. Banyak info diperolehi dari mereka. Sebagai gbpencen yang berkereter sederhana (tidak menonjol) saya dapat rasakan kesibukan mereka semua; seperti dahulu. Walaupun begitu rentetan tugas dan pendekatan – se ingatan saya – sama sahaja. Ianya bergerak mengikut rutin. Lepas satu-satu, dua dan tiga. Dua tiga kucing berlari. Mana nak sama dengan guru-guru yang sememangnya rajin.
Anugerah yang di tawarkan oleh kerajaan (Kementerian Pelajaran) Malaysia menjelang PRU 13 tidak menarik sangat perhatian guru-guru di akar umbi. Ianya hanya berkisar kepada guru yang diperingkat kepimpinan sekolah yang memang mempunyai prestasi yang baik. Menjadi perbualan di kalangan guru-guru bergradute dan yang sedang melamar jawatan hingga ke peringkat JUSA C sahaja – yang saya tidak berapa arif dengan gred berkenaan.
Namun proses pembelajaran di sekolah tetap berjalan seperti biasa dan akan menjadi lebih sedikit luar biasanya apabila tarikh UPSR semakin hampir. GB baru berbicara tentang program yang sedang dikendalikannya itu dan ini. Pendekatan ‘head count’ plan strategik, latihtubi sudahpun di war-warkan kepada guru UPSR. Baik siang dan malam murid terus di asak bertubi-tubi. Asakan ada kebaikannya kerana, bila pulang ke rumah murid akan diasak oleh berbagai channel dari kaca tv. Saya ingin mengelarkan guru-guru ini adalah guru yang sudah hampir boleh dianugerahkan Anugerah Guru Pendeta…
Saya mengenali perkataan pendeta, bila saya membaca buku ZABA – Pendita Bahasa Melayu pada zaman kanak-kanak lagi. Saya mengandaikan pendeta ini sebagai mahaguru yang memperjuangkan kerjayanya melalui ‘pengajaran’nya hanya semata-mata untuk mengajar. ‘Low Profile Pendeta ZABA, mengingatkan saya bahawa beliau adalah seorang yang tidak mementingkan diri.
Dan.. guru-guru yang bertungkus lumus untuk merealisasikan pencapaian 5A muridnya juga begitu.. tidak kira apa saja, bila mana, kat mana dan sesiapa saja (hatta gbnya) akan berusaha semungkin boleh untuk tujuan itu.
Syabas kepada semua guru pendeta di sekolah-sekolah… !
Perkataan berlawan bagi Guru Pendeta adalah Guru Pendekar.
Jika tanpa kawalan, akan wujud guru pendekar lebih ramai dari guru pendeta dari sesebuah sekolah. Dia tidak mahu memegang kelas peperikasaan. Kalau mahupun kerana ‘ada makna’ Mengajar hanya mata pelajaran ringan dan menyenangkan. Akan sentiasa terlepas dari program peningkatan akademi. Tidak ada jawatan khusus, melainkan hanya menjadi AJK biasa sahaja. Banyak perkara yang disebut “tidak tahu dari yang tahu”, maka tidak akan diberi tanggungjawab dan tugas besar kerana sentiasa tidak tahu.
Kekemasan kerja tidak di ambil pertimbangan kerana akan terlepas amanah yang diberi kerana GB takut dengan apa yang dihasilkan nanti, tidak menjadi kemas.
Walaupun begitu, samaada guru Pendeta atau guru Pendekar – semuanya sama dari segi kemudahan , isentif dan sebagainya yang diperolehi. Yang selalu kebingungan ialah pihak pentadbir.
…gbpencen…masih mempunyai ramai rakan dari kalangan pendeta yang kurang pendekar.


