Terasa yang teramat sangat begitu banyak MASA ketika mula bersara. Tidak lagi kelamkabut bergegas memburu waktu untuk sampai ke sekolah mendahului deringan loceng. Walaupun saya tidak sekelamkabut kebanyakan guru yang isteri / suami bertugas, tetapi bila di penghujung perkhidmatan, bila semuanya makin ‘selalu lupa’, terasa juga kelamkabutnya.
Bila saya hitung-hitung, pakaian yang saya simpan dalam almari besi peribadi saya – rasa cukup untuk saya pakai sampai saya mati.. tak payah beli lagi. Begitu juga dengan tempat kediaman, kereta, motosikal dan basikal. Rasanya tidak payahlah saya bersusah-susah untuk membelinya lagi. Sudah cukup rasanya.
Hari Raya yang lepas, isteri saya mengeluarkan sehelai kain palayakat (tulisan dikertas ‘cop’ kain pelikat dari India) baru. Saya tidak pernah tengok kain pelikat itu sebelum ini. Isteri saya memberi tahu “Itu adalah kain hadiah dari cikgu abang semasa bersara“. Kain pelikat itu amat cantik kerana saya amat suka melihat coraknya. Saya memakainya kali pertama selepas 3 tahun bersara. Sebelum itu ada 2 / 3 helai kain pelikat yang baru yang saya pakai, tapi yang ini yang saya paling suka (?)
Megah pula rasanya – tua-tua ini berpakaian baru. Tapi yang menjadi lebih megah kerana ianya adalah hadiah dari seorang bekas guru – saya. Cikgu Subhi namanya. Di samping saya megah memakainya, saya mengimbau kenangan bahawa ramai di kalangan guru yang menghulurkan hadiah ikhlas yang menjadi kenangan saya sepanjang masa pada hari-hari terakhir sebelum saya meninggalkan perkhidmatan. Sehingga sekarang saya masih berbaur – apakah ertinya ini ?
Almari besi saya, saya buka untuk mendapatkan pen (dakwat) merah. Saya ingin menyemak latihan yang saya beri untuk cucu saya. Lama dah tak pegang pen merah. Sudah tentu dahulunya pen merah akan sentiasa berkawan dengan pen biru dalam poket baju ke mana saja saya pergi. Sekarang saya perlu mencarinya. Bila saya buka sebuah ‘tupper ware’ saya dapati satu tupperware penuh, dengan pen yang belum di gunakan lagi. Merah, biru, hitam bahkan ada yang dakwat hijau, kuning ungu dan sebagainya. Itulah sumbangan anak murid saya sebelum saya bersara. Itu yang termampu oleh mereka dan saya boleh gunakan sampai sekarang ini. Saya ingat ‘muka-muka’ mereka tetapi saya tidak dapat ingat nama-nama mereka. Oh Ya.. ! Haris pun ada memberi hadiah pen pada saya. (*Haris : pernah saya rotan, rambut kerinting, hitam dan tak makan saman oleh semua rakan dan gurunya).
Boleh dikatakan, setiap hari saya ‘mengaji’ (dengar ceramah agama) sebanyak 2 atau 3 ceramah sehari . 2 di radio dan kalau ada masa (1) di waktu maghrib – isyak di masjid – dan setiap minggu mengkyusukkan diri mendengar khutbah Jumaat. Makin lama termakan juga hati saya yang degil dan jahil ini. Makin lama saya makin tahu bahawa sebenar gbpencen ini tiada apa lagi yang istimewanya. Kekudusan memperhambakan diri kepada Allah adalah ketentuan yang tidak samasekali boleh digapai oleh insan seperti saya, maka ..
Saya membawa sejadah di rumah – ke tempat saya bekerja kerana sejadah di tempat kerja saya sudahpun uzur. Saya perlukan sejadah baru. Bila isteri saya menghulurkan sejadah, dia bertanya, ‘Abang nak yang mana satu?” Dikeluarkannya berhelai-helai sejadah untuk saya pilih. Semuanya cantik-cantik. “Ini sejadah-sejadah hadiah dari cikgu abang le…” Salah satunya datang dari Mekah (dibuat di mana entah?). Itu pilihan saya. Saya dapat mengimbas kembali , sejadah itu hadiah dari cikgu Rahmah, Penolong Kanan HEM saya yang setia (sekarang Penolong Kanan nombor 1) di sekolah lama saya.
Bergantungan di sana-sini hiasan di rumah saya, yang sebelum ini tanpa hiasan. Semuanya ayat-ayat Allah dari bekas guru dan murid saya. Ada lukisan bunga yang di belakangnya – ditandatangan oleh semua murid dari sebuah kelas. Seolah-olah mereka semua memperingatkan saya bahawa persaraan itu telah hampir-hampir membawa maksud sudah sampai masanya saya mendekati diri dengan Ilahi… saya insaf.
Bila suatu hari saya menyambung bacaan quraan – yang bertahun di baca (belum pernah khatam), saya melayani surah yusuf dan teringat untuk mengetahui terjemahannya. Saya buka sebuah buku terjemahan dan tafsir. Lantas membacanya. Kemudian terasa untuk saya meng sms kan kerja buat saya kepada tuan empunya buku itu yang meng hadiahkannya kepada saya. Begini bunyi sms itu :
“setakat ini, saya telah membaca tafsir hadiah dari puan hingga ke surah yusuf… terima kasih atas hadiah ingatan puan kepada saya.” (bukan sekadar hadiah tetapi kedua-dua kerani saya itu memperingatkan saya) Saya rasa berpahala mereka.
…gbpencen…hingga ke hari semalam ada guru yang tidak jemu-jemu beri hadiah kepada saya… siapa ? (rahsia)
Dalam satu majlis perjumpaan jabatan, ingatan disampaikan oleh Tuan Pengarah JPN : “GB perlu melakukan perubahan, kalau tidak dia (GB) akan diubah“. Kata-kata itu sedikit mengganggu saya. Walaupunbegitu saya yakin untuk melangkah ke sekolah yang telah dinamakan untuk saya terajui. Langkah saya sudah tidak lagi sumbang setelah melalui 5 tahun pengalaman sebagai GB di sekolah sebelumnya.
Gangguan tersebut berpunca dari kesedaran akan kekurangan yang ada pada diri saya. Saya bukan seorang akademis. Semasa di sekolah pun saya bukan pelajar yang cemerlang dan saya boleh dikatagorikan sebagai pelajar yang ‘tidak bodoh’.. sahaja. Saya menyedari tuntutan yang paling ketara ke atas saya ialah mencemerlangkan pelajar sepanjang masa agar dapat bersaing dengan sekolah-sekolah yang menunjukkan prestasi tinggi dalam UPSR.
“Saya akan cuba” itu jawapan untuk menenangkan hati saya. Maka bermulalah penghijrahan ke sekolah baru dengan meninggalkan kenangan pahit dan manis di sekolah lama.
Sampai sahaja di sekolah (gambar di atas dirujuk), hala tuju saya sudah berbeza. Bagaimana sebuah sekolah yang lengkap dengan kemudahan dan tenaga kerja juga tenaga pengajar disamping tenaga pengurusannya yang ‘hebat’ sampai begini jadinya – bisik saya dalam hati tanpa didengari oleh sesiapa – takut ada yang berkecil hati pula. Saya terus menyingsing lengan mengerjakan apa yang dikehendaki oleh Tuan Pengarah sepertimana dalam perjumpaan penyampaian watikah pertukaran saya.
Saya bernasib baik kerana guru-guru saya juga tanpa menoleh belakang terus mendidik dan mengasuh anak-anak di sekolah yang saya terajui tanpa menghiraukan saya yang sedang melayan beberapa lagi ceruk dan rantau di dalam sekolah itu yang pemandangannya seperti dalam gambar yang saya rujuk di atas. Satu demi satu saya perlakukan tanpa menoleh belakang walaupun ada suara-suara yang tidak menyenangkan kedengaran.
Suara
…saya masih ingat suara itu. Ia amat berkesan dalam ingatan saya : “Dia buat kita macam kita tidak buat kerja sebelum ini” Rintihan suara itu saya amat faham. Rasanya; suara itu ingin menyatakan kekesalannya atas kehadiran saya yang melakukan perkara yang sepatutnya dilakukannya sebelum ini. Saya amat yakin yang saya lakukan adalah satu perkara yang sepatutnya dilakukan sebelum saya melakukannya. Saya tidak merasa bersalah sedikit pun. Sebaliknya satu demi satu sudut seperti gambar di atas saya perlakukan. Ianya tidak mengambil masa yang sedikit dan banyak memerlukan korban untuk dilaksanakan.
Di akhir perkhidmatan saya di sekolah itu, di hari terakhir – saya berdiri seorang diri di pinggir padang disuatu pagi hari cuti … Dengan megah saya menyatakan kepada diri sendiri bahawa saya telah melakukan perubahan.
Suara itu (saya diberitahu)
…banyak menumpukan perhatian kepada urusan pejabat dan pentadbiran termasuk usaha-usaha meningkatkan prestasi pelajar. Memperkemaskan sistem aliran kewangan dan perbelanjaan sekolah secara yang cukup tetliti dan berhemah. Membuat semakan dengan teliti dalam urusan kantin dan pengusahanya supaya tidak mengabaikan anak-anak dalam program RMT. Mungkin suara itu telah terlepas pandang – padang sekolah yang telah hampir menjadi rimba, meja kerusi dan perabot lama telah diselaputi ‘selaput tunggul’ dan ….
Kepada Suara
Saya berterima kasih kepada suara itu kerana telah meninggalkan satu sistem pentadbiran dan kewangan yang ampuh untuk saya teruskan pengurusan sekolah dengan lebih selesa….
Walaupun begitu
…saya tetap di ubah… untuk meninggalkan terus perkhidmatan yang saya amat sayangi.
…gbpencen… terima kasih kepada suara, kerana anda telah mencabar saya.
Gaji murah, bahan terbuang dan tiada kualiti menjana keuntungan.
Saya ada ramai kawan. Yang bernama Omar hanya ada 2 atau 3 orang sahaja. Tetapi Omar yang saya catatkan dalam ‘tajuk’ di atas adalah seorang yang sangat berpengaruh, bukan sahaja kepada rakan-rakan saya bahkan amat berpengaruh kepada ramai manusia di Malaysia. Saya belum lagi bersahabat dengannya. Saya akan cuba add dia menjadi sahabat saya. Saya yakin dia tentu tidak sudi…..
Semua orang yang bekerja dengan kerajaan amat kenal dengan Omar ini. Dia adalah ketua kepada pekerja-pekerja kerajaan – atau kepada semua kakitangan awam. Bila dia menjadi ketua pekerja, kerajaan pun akan takut kepadanya. Tugas Omar memang mencabar kerana dia perlu sentiasa menuntut gaji untuk semua penjawat awam supaya kehidupan penjawat awam makin hari makin selesa. Asas tuntutannya ialah kerajaan semakin berkebolehan untuk menyediakan wang yang banyak untuk kenaikan gaji dan bonus.
Omar bukan orang politik tetapi dalam kerajaan semuanya orang politik. Orang politik memerlukan orang yang berpengaruh dengan harapan untuk mendapatkan undi dari kaki tangan kerajaan bila sampai tarikh pilihanraya nanti. Oleh itu, bakal sahabat saya ini adalah sangat penting kepada orang-orang dalam kerajaan kerana – dengan harapan Omar boleh mempengaruhi semua kakitangan kerajaan untuk mengundi BN, kerajaan yang memerintah sekarang. Maka, seboleh-bolehnya kerajaan akan berusaha menunaikan permohonannya bagi pihak semua anggota pejawat awam.
Alhamdullilah…. bila saya melalui deretan kereta guru di sebuah sekolah, jenama dan bentuk kereta-kereta mereka sudah mencerminkan limpahan rezeki yang tuhan kurniakan melalui pengorbanan sahabat saya dan kerajaan. Limpahan kurniaan itu sama seakan tarafnya dengan tokeh-tokeh perniagaan yang berlegar-legar mengatur dan mengaut rezeki limpan allah di bumi bertuah ini…. syukurnya saya.. !
Namun….
Saya nak minta sahabat saya ini supaya mencari penggantinya yang sesuai (yang telah dilatihnya). Setelah penggantinya diperolehi, saya mohon dia meninggalkan kerjayanya sekarang dan berpindah ke kerjaya yang sama juga (memohon tuntan gaji dan bonus) yang mana lebih mencabar. Omar perlu beralih kerjaya bagi tuntutan (kepada pengusaha swasta yang telah terlebih kaya dan raya) bagi memperkasakan kehidupan ramai lagi pekerja-pekerja swasta Melayu yang berselerak di seluruh cerok rantau di Malaysia.
Dalam pembelaannya ke atas penjawat awam, saya kira beliau sudah banyak berjaya; dan saya, sebagai sorang bekas penjawat awam, saya ucapkan tahniah atas kejayaan itu walaupun ada di antara mereka masih belum berpuashati atas pencapaian itu. Wahai Omar, sekarang marilah pula kita memperjuangkan tuntuan gaji di sektor swasta berdasarkan …….
Satu…
Ramai pekerja Melayu yang bekerja dalam perusahaan Cina mendapat gaji yang berbeza dengan pekerja sebangsa dengan mereka. Selalu kedengaran: walaupun tidak mempunyai kepakaran tertentu; baru masuk kerja sahaja gaji mereka sudah melebihi gaji yang diperolehi oleh pekerja Melayu yang lebih senior.
Dua…
Gaji minima yang diperolehi oleh pekerja Melayu adalah gaji ‘sengsara’ dibandingkan taraf kehidupan sekarang. Bayangkan gaji yang di bawah paras RM20.00 sehari memaksa pekerja ini menjalankan kerja lebih masa 3 jam untuk mencukupkan belanja menyara kehidupan seharian – dalam negara yang semakin pesat membangun.
Tiga…
Prosedur prasarana pekerja yang digariskan dalam Akta Pekerjaaan (?) diabaikan sepenuhnya oleh pengusaha ini bagi mengaut keuntungan yang lebih tinggi. Tiada caruman KWSP dan tiada skim pembelaan SOCSO. . Tiada jaminan keselamatan di tempat kerja dan langsung tiada mempunyai pembelaan dari segi perubatan dan kemalangan. Tiada boleh ditanya atau dibantah, kelak akan kehilangan pekerjaan … pula.
Empat…..
Pengusaha ini akan membuat apa-saja dengan memanipulasi peraturan, akta, garis panduan dalam premis atau pengurusan kewangan termasuk cukai yang disediakan oleh kerajaan – demi menguwujudkan keuntungan yang maksima.
En Omar….
Kalau anda hebat, anda akan lebih dihormati oleh umat yang tertindas ini. Kerana tiada satu langkah yang serius (oleh mana-mana pihak) yang dilihat untuk manangani kemlut ini – dari dulu sehingga sekarang.
…gbpencen…ramai mereka yang masih lagi mengundi BN





