Ah… adakah terbaik dari 2007 atau menyamai 2007 atau 2007 terbaik dari 2010; atau sebaliknya. Begitulah interpretasi-interpretasi yang boleh dibuat dari tajuk utama akhbar Utusan Malaysia sehari selepas keputusan UPSR 2010 dikeluarkan. Perbandingan dibuat ke atas keputusan 2007.
2007 merupakan tahun istimewa saya yang sangat menjadi kenangan kerana 2007 adalah tahun persaraan saya pada bulan Disember selepas keputusan UPSR 2007 diumumkan. Seramai 7 orang murid mendapat 5A di sekolah terakhir dalam perkhidmatan perguruan saya , satu pencapaian (peribadi) yang tertinggi sepanjang saya menjadi guru / Guru Besar. Juga pencapaian sebuah sekolah berorentasikan perkampungan nelayan di pinggir bandar.
Sebagai seorang GB ianya BUKAN satu pencapaian yang boleh dibanggakan: j ika dibandingkan dengan rakan-rakan GB yang lain yang mengungguli puluhan murid memperolehi 5A. Kalau hendak dikira 7 orang memperolehi 5A itu, sebagai satu pencapaian yang harus saya (GB )banggakan kerana, sebagai seorang GB biasa, tiada yang luar biasa, kerana saya adalah GB yang mengurus seperti biasa-biasa.. saja.
Seingat saya tiada siapa yang menyatakan apa-apa kepada saya mengenai pencapaian itu. Secara peribadinya saya syok sendiri sahaja – bahawa keputusan itu merupakan sebagai hadiah persaraan saya. Tahniah GBP.
Saya berlagak macam biasa, saya berkawan macam biasa, dan saya mengelola macam biasa. Beramah mesra, bergurau senda, bertegas, menghukum, mengarah; semuanya serba sederhana – macam biasa.
Walaupun 4 tahun di sekolah itu, saya tidak membuat banyak perubahan dari sudut ‘ingin’ meningkatkan kesungguhan guru untuk memencapaikan matlamat lebih banyak 5A. Seingat saya, saya sering berpendapat setiap tahun, setiap guru mempunyai jati diri sendiri untuk meningkatkan pencapaian murid masing-masing. Saya hanya perlu menjadi ‘motivator’ dengan mengemaskan urusan biokrasi dan menyediakan prasarana pembelajaran sebaik dan semampu yang saya/sekolah mungkin.
2010 dan tahun sebelumnya, sekolah yang saya tinggalkan mempunyai anjakkan paradigma yang agak ketara. Mengemaskan sisitem pemantauan guru. Meningkatkan intigreti keguruan menjadi salah satu agenda yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berkesan. Peranan yang dimainkan oleh GB baru, (JPN and English orinted) berkesan untuk mendisiplinkan guru – tidak seperti semasa saya ‘memerintah’. Saya memang angkat topi kerana sebelum ini perkara-perkara sedemikian tidak dapat saya lakukan.
Diberitahu, kerjasama PK 2 telah banyak memberikan inspirasi kepada guru-guru agar lebih komited untuk hadir ke sekolah tepat pada masa, menjalankan tugas dengan berkesan dan mematuhi semua kehendak, KPM, JPN, PPD dan Pengurusan sekolah sendiri. Guru lebih berhemah dan lebih berhati-hati menjalankan tugas agar dapat mengurangkan kecacatan di sekolah.
Sistem cacatan kehadiran secara manual di upgrade kepada sistem thumb print dan di upgrade lagi kepada sistem perakam waktu. Surat tunjuk sebab satu demi satu dikeluarkan demi meningkatkan keperihatinan guru dalam tugas masing-masing. Sistem kewangan yang lebih teluas dan berhemah diperkenalkan. PK diberi kuasa penuh untuk memantau dan menyelia perjalanan guru agar lebih memberi penekanan kepada ‘pengabaian murid sifar‘. Semuanya tidak dapat saya lakukan sebelum ini…… maafkan saya cikgu !.
2010 merupakan tahun lonjakan gaya pengurusan yang cekap dan berdisiplin. Saya pula merasa bersalah kerana tidak dapat melakukannya pada 2007 dan 4 tahun sebelumnya.
Tapi
...gbpencen…2007 – 7 orang 5A dan 2010 – 7 orang juga 5A.
Mencari keredhaan, insyaalah….
Tahun 2005 ketika banjir besar di Kedah, khatib yang berkhutbah Jumaat menyatakan banjir itu berlaku kerana Allah menurunkan bala kepada kerajaan yang memerintah pada masa itu kerana tidak mengikut ajaran Islam sepertimana yang tuhan kehendaki. Allah murkah.
Tahun 2010 ketika sekali lagi banjir (lebih) besar berlaku di negeri Kedah, khatib menyatakan banjir itu adalah satu ujian kepada seluruh umat supaya bertaqwa kepada Allah, mematuhi ajarannya kerana bala (khatib menyebut dengan bunyinya ‘balak’) yang datang itu kerana ada seorang dua antara kita (bukan semua) yang sering melakukan maksiat – kepada Allah. Saya berdoa agar yang sorang dua itu bukan saya.
Semua makmum diam. Kerana sebelum itu bilal yang bertugas berpesan : ‘hendaklah kamu diam ketika khatib sedang membaca khutbah’ -‘jika tidak hilanglah pahala Jumaatnya’. Saya pun diam dan saya rasa saya mendapat pahala dan solat Jumaat hari ini / itu. Saya diam dan berfikir sehinggalah saat saya menghadapi komputer untuk melakar coretan ini.
Sunat berulang-ulang : Berkali-kali khatib menyebut dan mengulanginya. Berkali-kali beliau menyeru agar semua jemaah mempraktikkan suruhan Allah dan menghidarkan diri dari melakukan perkara-perkara yang mungkar. Berulang kali juga beliau mengulangi bahawa yang datang ke masjid adalah tergolong antara orang-orang yang diredhai amalannya dan membuat penegasan bahawa masih ramai di luar sana yang tidak bersolat Jumaat tetapi terus menerus melakukan kemungkaran dan melakukan maksiat.
Saya faham yang diluar itu bukannya anak-anak yang leka bermain ketika semua makmum dewasa sembahyang di dalam masjid. Umat di luar maksudnya di pusat hiburan, pusat membeli belah atau di pusat….
Dengan suara yang besar, khatib yang bertubuh besar itu bersemangat memberikan khutbahnya melalui pembesar suara. Maka bertambahlah kesungguhannya meyakinkan saya dan makmum lain dengan khutbahnya itu. Setidak-tidaknya seminggu sekali saya akan diperingati akan amalan-amalan baik yang wajib dilakukan.
Khatib mengajak semua makmum mencegah kemungkaran dan salah pekerti yang berlaku. Berulang-ulang dia mengajak saya dan semua yang hadir. Khatib memberi petujuk yang berlaku diluar sana perlu diberi perubahan. Perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Perlu dilakukan secara berani dan penuh dengan ketegasan.
Khutbah disambung lagi, diulangnya beberapa kali kerana kekuatan perlu ada bersama ketegasan dan keberanian. Dihuraikan oleh ayat-ayat suci dan sunnah nabi. Ditafsirkan kehendak al quraan dan sunah dengan sebaik dan setegas mungkin untuk memberi keyakinan tambahan kepada sya dan makmum lain yang memang sudah pun yakin akan initipati khutbah yang disampaikan.
Di ulangnya lagi… diulangnya lagi…
Setelah tamat, dengan punuh khyusuk dan tawadhoz, solah Jumaat di teruskan dan ditamatkan dengan doa yang syahdu memohon kemaafan dan keampunan serta kerdhan ilahi… insyaalah !
‘Khutbah ini sebenarnya boleh diringkaskan jika khatib menyatakan – sokokonglah parti PAS yang mendokong Islam, dan janganlah undi BN (UMNO) yang tidak islamik…
Penggiat politik PAS tentu akan marahkan saya jika saya katakan demikian, mungkin pula penyokong UMNO akan menyatakan saya betul. Mungkin ramai yang akan menyatakan saya telah menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Pada saya apa yang penyokong (2) parti yang saya sebutkan itu tidak betul kerana mereka tidak berkecuali. Kerana saya faham, amalan agama tidak menjurus kepada persengketaan anatara saudara saagama atas kalimah syahadah.
Katakanlah apa sahaja atas nama demokrasi tetapi janganlah memperjudikan saudara seagama semata-mata kerana kita menyokong sebuah parti politik – sama PAS atau UMNO. PKR atau DAP. PAS memerintah pun kita ikut dan UMNO memerintah pun kita turut. Kita tinggal di Kedah, PAS perintah, kita tinggal di Malaysia UMNO memerintah – sedangkan kita tinggal di Pulau Pinang, kita akur dengan DAP – kita tak boleh buat apa-apa ! Kerana kita umat Islam yang bernegara.
” Baru ‘Malaya akan jadi aman, kalau tidak haru Malaya” Kata Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia – dalam loghat Kedah.
…gbpencen…lebih kusyuk mendengar khutbah tanpa disaluti politik melampau.
Walaupun kurang disenangi tetapi UMNO banyak membantu saya di sekolah
Terbayang kemeriahan disuatu masa suatu ketika dahulu. Saya bersama-sama dengan yang lain berbondong-bondong mengunjungi Perhimpunan Agung UMNO. Terasa bersemangat menyertai rombongan UMNO Bahagian Nibong Tebal sebagai ahli UMNO yang setia. Berbagai cerita dan kenangan ada di sana masih terasa hingga ke hari ini.
Kini Perhimpunan itu kembali lagi. Terasa kemeriahannya walaupun sudah tidak bersama di perhimpunan itu. Perhimpunan kali ini tidak seperti beberapa tahun sebelum ini. yang rata-rata perhimpunannya tidak menimbulkan kepedulian bukan sahaja dari saya bahkan dari rakan-rakan sebaya seperjuangan (kononnya) dengan saya.
Tentunya pehimpunan kali ini mempunyai kelainanannya. Ucapan Presiden UMNO yang lantang dan berani penyebab kepada kelainan yang saya rasai. Bersama mengheret citarasa dan kemahuan sebenar UMNO – orang Melayu. Itulah sebenar yang dimahukan oleh ahli setia seperti saya yang mendokong UMNO bukan untuk ‘kita‘ tetapi untuk UMNO; yang satu-satunya –penerus kewujudan umat Melayu. Presiden berani, semua orang berani dan kita akan terpanggil untuk sama-sama berani.
Di sebuah motosikal buruk terlekat lambang bulan putih, berlatar belakangkan warna hijau – menunjukkan keberanian ahli PAS untuk menyatakan pendirian mereka. Motosikal buruk itu berulang alik membawa baja subsidi kerajaan ke kebun sayurnya di hujung bendang. Tanpa ada segan silu, penunggang motosikal itu terus bangga dengan lambang yang diheretnya ke sana -sini. Keberaniannya tercetus kerana pendiriannya jelas, tiada apa-apa salah yang pernah dilakukannya terhadap umat Melayu.
Lihat … atau, pernahkah anda lihat penyokong kuat UMNO mempamerkan logo UMNO di motosikal buruk atau di kereta mewah mereka. Kalau adapun hanya boleh dikira. Kerana penyokong setia seperti saya malu untuk mempamerkan logo itu. Dan takut untuk mempamerkan logo yang sebenarnya berkeramat itu. Malu dan takut kerana….
kerana… (1) MALU
Malu dengan gelagat pendokong UMNO diperingkat pertengahan bermula dari Cawangan, Bahagian dan juga ahli-ahli yang menjadi pengapit kepada peneraju di peringkat nasional.
Banyak daripada mereka yang telah me… layukan UMNO dengan sikap ketidak pedulian mereka kepada penyokong-penyokong setia di peringkat bawahan (akar umbi – istilah popular). Juga sikap mementing diri lebih dari mementingkan Melayu – UMNO. Dan sikap yang paling keji ialah menggunakan apa saja kedudukan atau jawatan tanpa memberi sumbangan untuk menyemarkakan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO.
kerana… (2) TAKUT
Takut kepada orang Melayu UMNO sendiri; yang telah membuka ruang dan peluang yang luas untuk orang Melayu dan bukan melayu: memperlekeh dan mempersendakan Melayu UMNO. UMNO tiada panglima yang ke hadapan untuk – ‘membuka gelanggang’ – ‘memecah pencak’ – ‘membuka buah silat’ – ‘melagang kata’ – ‘menghentak bumi’ bagi mempertahankan UMNO sehinggalah – apa yang diungkapkan oleh Presiden UMNO dalam Perhimpunan kali ini.
Selepas itu,
dari jauh saya dapat rasakan gelombang sudah mula membadai, kalaupun lah ianya tidak sampai ke pantai, diharapkan sekurang-kurangnya derumannya akan disambut oleh penghuni rumah usang deretan kampung nelayan di tepi pantai. Moga cetusan itu menghilangkan risauan di hati yang gundah selama ini yang seolah-olah ketuanan Melayu masih ada yang mahu membelanya
Sejarah terdekat telah membuktikan bahawa ungkapan Melayu Mudah Lupa hendaklah dirujuk kepada beberapa kerat Melayu yang sudah melupakan paksi bahawa pemimpin yang dipilih oleh UMNO harus ada pengorbanan untuk mempertahankan UMNO yang merupakan tunjang kekuasaan Melayu. Apabila ada ramai dikalangan pemimpin ini berpaksikan kemegahan, ketamakan, kekuasaan maka…..UMNO yang mereka terajui semakin tersungkur di hadapan kerakusan Melayu dan bukan melayu itu sendiri
Pemimpin mesti ada pengorbanan…
melainkan jika ia hanya semata-mata pemimpin politik. Atau hanya semata-mata pemimpin yang menggunakan kedudukan dalam politik.
…gbpencen…selepas ini akan mempamerkan logo UMNO.


