Salam cikgu…Cikgu ajar saya masa darjah empat.Saya sering menceritakan pada anak-anak saya yang tulisan cikgu sangat cantik.Lepas cikgu mark periksa buku,cikgu mesti tulis A dan baik.Di bawahnya mesti ada awanlarat.Sayalah yang cikgu selalu suruh nyanyi bila dekat dekat nak balik.Terutamanya lagu Si baju hijau.Dan saya masih ingat bila cikgu cerita Pinocchio,satu kelas boleh teriak!Dah tua ni baru terfikir,takdalah sedih sangat.Saya doakan supaya cikgu sentiasa sihat dan dilindungi Allah.Insya-Allah.
Tengahari itu saya masuk kelas seperti biasa. Saya selalu berkaca mata hitam ketika mengajar sesi petang. Guru baru selalunya di bully ke petang. Guru-guru senior kebanyakannya ke pagi. Guru-guru lembam di tolak ke petang juga kecuali guru yang mengajar kelas lembam. Guru muda, datang dari Pulau Pinang mengajar di sebuah kampung yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas dan taraf sosio ekonomi – tentunya ia diberi perhatian oleh penduduk setempat termasuk murid-muridnya.
Seingat saya, saya mengajar geograpfi, pada masa itu dipanggil Ilmu Alam. Tiba-tiba saya melihat Wahid sedang bermain-main dengan kayu pembaris di mejanya. Saya rasa agak marah dan mengarahkannya memberhentikan tingkah lakunya. Murid lain melihat sahaja Wahid. Dia memang seorang murid yang agresif. Saya teruskan sesi pengajaran yang makin lama makin menarik perhatian semua murid lain. Saya melukis peta Tanah Melayu secara free hand. Meletakkan simbol-simbol dengan kapur warna seceruk rantau Tanah Melayu di papan yang memang hitam. (belum ada papan hijau di masa itu).
Sekali lagi saya terpandang Wahid yang sedang meneruskan aktivitinya. Saya memberhentikan pengajaran dan memberi amaran ‘terakhir’ supaya dia jangan melawan kehendak saya. Dia meneruskannya juga dengan senyum sinis. Saya memintanya bangun di kerusi duduknya. Dia akur berdiri di atas kerusi. Saya menghayunkan pembaris panjang dengan sekuat-kuatnya ke punggungnya. Dia terkejut besar termasuk seluruh kelas darjah 4 itu. Dia duduk dan memekupkan mukanya di meja. Saya rasa dia sangat sakit.
Sebelum sempat saya meneruskan pengajaran, Wahid sudah meninggalkan kelas. Dia berjalan keluar dari kawasan sekolah dengan meninggalkan begnya di kerusi. Saya tidak memberi sebarang respon sebaliknya meneruskan pelajaran seperti tiada apa yang berlaku. Murid-murid lain kelihatan termanggu-manggu atas tindakan saya yang tidak seperti sebelumnya.
Esoknya Wahid tidak datang sekolah. Tengahari saya nampak ayah Wahid datang. Saya kenal ayahnya. Di ‘pelantar’ basikalnya ada sebilah parang. Kecut perut saya melihatnya. Dia datang dengan seorang rakan saya, Man. Dia menongkatkan basikal di tepi bangunan setingkat – lama – sekolah ‘pattern’ orang putih’ dulu. Mereka terus menuju ke pintu kelas bilik saya. Saya melihat pintu satu lagi terbuka. Hanya ada dua pintu saja di kelas itu. Dan ada 2 tingkap yang cukup besar untuk saya meloloskan diri. Semuanya bersedia jika ‘apa-apa’ berlaku.
“‘Cikgu!, Wahid ni memang ‘jahat’ cikgu…. cikgu pukullah dia, jangan bagi patah, pekak ke, bisu ke… tak palah”. Lega… saya tak perlu lagi melihat pintu atau tingkap untuk melarikan diri. Dan tak perlu lagi melihat parang pemotong pelepah nipah di pelantar basikal ayah Wahid.
“Tu… dia, sebiji lukis peta Tanah Melayu, tak tengok buku pun”. Kata Man, rakan saya yang datang bersama ayah Wahid. Tidak terasa apa-apa pun dengan pujian Man, tetapi rasa amat lega dengan selesainya episod pembaris panjang semalam. Saya menyerahkan beg Wahid yang ditinggalkan ‘semalam’ kepada Man untuk di bawa balik.
…
SMS yang saya terima (di atas) melalui facebook mengungkapkan semuanya. Dari seorang murid tentunya ada kenangan dengan gurunya: dari seorang guru ada kenangan bersama gurunya. Satu perkara yang menjadi perbezaan antara pengirim SMS ini dengan Wahid adalah jurang digital dan aras pendidikan antara mereka.
Pengirim SMS ini, seingat saya adalah seorang murid yang taat dan patuh kepada perintah gurunya. Berdisiplin, berhemah dan berbudi bahasa. Gurunya sudah berjaya menambat hatinya untuk belajar bersama antara keduanya. Minat yang di tanam oleh guru akan membuatkan murid begitu ‘hormat & kasih ‘ kepada gurunya. Gurunya (saya) bukanlah seorang guru yang berpelajaran tinggi tetapi kemahiran mendidik (menulis, melukis dan bercerita – contoh) yang digarapkan dengan situasi dan persekitaran yang sesuai dan tepat telah menjadikannya beliau murid yang lengkap untuk belajar.
Berbeza dengan Wahid, ianya mempunyai minat yang berbeza. Dia berlari keliling kampung bersama saya dan cik gu Faizol untuk meningkatkan tahap stemina. Akhirnya kami, buat kali pertama dan kesekian kalinya menjadi Johan Bolasepak bawah 12 Tahun di daerah Dinding (sekarang Manjung). Beliau seorang kapten dalam pasukan itu. Semua murid menghormatinya. Dia boleh memimpin pasukan dan semua rakan menghormati kebolehannya. Di dalam kelas, perhatiannya tidak terarah. Beliau gagal di situ. Akhirnya menjadi penagih tegar….
Guru dan murid. Murid dan murid ada bezanya. Guru dan guru tidak semestinya ada perbezaan. Satu nama yang perlu di dokong adalah Guru itu Pendidik – perlu bekerja keras untuk mendidik murid yang berbeza-beza. hakikat yang mesti di terima.
...gbpencen… ada kenangan bersama guru. Ada kenangan bersama murid. tidak semua boleh dicerita dan sebahagiannya adalah rahsia.
“dia hanya salah seorang insan penghuni bumi Allah ini”
Jangan!, jangan kata Nor. Abang jangan tulis. Abang dengar dan abang rakam dengan hati dan perasaan abang. Kata hati itu akan merakam dan menganalisis semuanya. Bila ditulis kembali ia akan lebih tersentuh. Bila abang melakonkannya abang akan terasa ‘feel’nya. Bersediakah abang mendengarnya ?. Abang bersedia, Nor… jawab penulis yang telah bersedia untuk mendengar cerita Nor seterusnya….. :
Perkahwinannya di restui. Atas dasar cinta acara majlis perkahwinan meriah. Seluruh keluarga meraikannya. Bahtera di layari dengan laju. Rumah dibeli, kereta dimiliki dan akhirnya anak diperolehi. Chahaya mata comel dan membesar dengan belian manja mesra.
Sudah 2 tahun usia perkahwinan. Cinta isteri dan suami mula pudar. Satu demi satu alasan yang timbul. Alasan-alasan biasa dalam kehidupan berumah tangga. Tuntutan dunia ada yang berjaya diperoleh dan ada yang tidak. Untuk memenuhi tuntutan berbagai strategi digubal, diubah dan dipinda. Ada yang berjaya tetapi tidak memenuhi tuntutan dengan kemampuan yang ada.
Lebih malang bila pihak ketiga mula mengorak porakperanda. Yang betul jadi tidak betul, yang elok jadi tidak, yang manis jadi masam, yang masam terus pahit. Hempedu kehidupan berarus tersangkut-sangkut. Tuntuan tidak sama dengan kemampuan yang sedia ada. Gelora selalu membadai. Dulunya cakap sedikit ketawa yang banyak, sekarang tak cakap pun tak ketawa, cakap pun tak ketawa…. semuanya jadi – marah !.
Peranan keluarga menjadi penentu keputusan untuk melabuhkan bahtera dalam badai yang sedang melanda. Akhirnya sauh dilabuhkan, layar diturunkan namun angin sepoi bahasa masih tidak kunjung tiba. Gelombang terus menghempas dinding bahtera. Beralun, berolak, berkocak dan penghuni bahtera masih mencari haluan….
Akhirnya angin berhenti dan ombak tidak sanggup membadai. Bahtera sudah hampir tenggelam. Bocor di sana sini kerana tempat perhentiannya penuh dengan karang yang menggila. Perlahan-lahan penghuni bahtera turun membawa haluan masing-masing. Si isteri menggendung anak kecilnya yang dalam kebingungan. Lambaian terakhir telah memisahkan dua insan yang sekian lama memadu kasih merangka sinar yang tidak sangat jauh dihujung trowong..
Gigih menempuh haluan masing-masing. Kedua-dua insan yang pernah memadu asmara ini berjaya dalam kelas tersendiri. Masing-masaing mendabek ego menuntut sanjungan antara satu sama lain. Mempamer kejayaan dengan sindir dan cerca. Anak dipelihara oleh ibu secara total tanpa dibantu oleh ayahnya sebagai sepatutnya.
Hati ibu ditenteramkan bahawa anak ini sudah ada rezekinya dari Allah. Maka Allah perturunkan rezeki itu melalui ibu dan kaum kerabat ibunya. Maka membesarlah anak bersama ibunya dan ayahnya yang kerap mempersendakan bantuan yang diberinya.
Si suami sudah amat berjaya. Dari jauh ibu yang geram mermerhati. Kereta Mercedesnya merayap menjemput anak di depan rumah. 2 bulan RM50 sebagai bantuan ayah kepada ibu yang memelihara anaknya yang sudah bersekolah. Kereta mewah yang dibeli kerana kejayaan berniaga sambil bekerja dengan kerajaan. Kereta itu dibeli setelah menjual motosikal yang berkuasa tinggi yang dibelinya sebelum itu tersungkur di bumi sehingga ayah si anak patah tangan dan pening-pening lalat apabila topi keledar menghentak di batu jalan ….
Ayah sudah ada pasangan baru, berambut merah dan comel. Belajar hingga ke peringkat Master. Sepadan dengan Mercedes Kompressor menjalar seceruk rantau Pulau Mutiara. Si isteri berpindah randah mencari cinta. Cinta sepadan tidak ditemui. Tanggung jawab berganda kerana anak semakin dewasa menuntut pembelaan dan pengorbanan ibu. Rezeki anak juga ada. . – belum kering tekak kerana dahaga, belum pernah dikecewakan bila diminta…
Kini ayah bergelora dengan pendarahan kepala, luka bekas lama (?) Ibu membawa anak mengunjungi ayah yang sakit bukan kepalang. Ibu menyegerakan penemuan agar ayah tidak kecewa dan sengsara kerana kesakitannnya amat membara, takut-takut tidak sempat berjumpa.
Penulis termenung. Apakah ini cinta ? Penulis perlu rakan untuk bercerita. Rakan mengangguk mendengar cerita – bahawa dia amat tersentuh dan kagum dengan kekuasaan Ilahi. Saya juga mengangguk dan …..
…gbpencen…kita perlu berusaha, tetapi kata putus di tangan NYA. Redhakan lah.
Presiden FAM adalah golongan istana, institusi beraja zaman moden. Pemerintahan di FAM hebat sebenarnya. Menafikan kritikan dan terus menerus beroperasi tanpa diganggu gugat sesiapa. Berjaya dalam kegagalan mewarnai komen dan kritikan. Akhirnya menjadi satu ikon bolasepak Malaysia yang dibanggakan, sekurang-kurangnya oleh peneraju di dalam institusi itu. Dan bolasepak terus merangkul minat ramai dan terus dimainkan. Mengapa ?
Tanpa campur tangan kerajaan dalam pentadbirannya – itu amaran FIFA badan induk bolasepak dunia yang berwibawa. Menjadi pengetahuan umum jika kerajaan mencampuri mana-mana urusan pentadbiran ianya akan berbaur politik yang seterusnya akan mengganggu-gugat bukan kepalang. Amaran itu jelas memperkasakan FAM. Maka dengan itu berkorbanlah YM Tuanku Presiden FAM untuk terus menerajui dan memperkasakan badan itu. Tahniah YM Tuanku. Apa pengajarannya kepada kita ?
Saya telah diberitahu oleh cerdik pandai bahawa di zaman fuedal, raja mempunyai kuasa mutlak untuk mengadili yang mana baik dan buruk, betul dan salah, pelik dan sesuai, serang atau bertahan, suka dan benci …… kalau waras seorang raja, adillah pemerintahannya, pelik seorang raja maka zalimlah pemerintahannya. Banyak juga raja yang tidak waras.
Kini pada pendapat ramai, raja sudah tidak sesuai lagi memerintah dengan kuasa mutlaknya . Maka disebutkan pula oleh cerdik pandai sebagai pemerintahan raja perlembagaan (seperti di England). Maka berpolitiklah rakyat untuk berkuasa bagi menentukan keharmonian dan kemajuan negara. Siapa yang memerintah bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan juga harus bersedia menerima kritikan(malahan dijatuhkan melalui pilihanraya) jika amanah yang diberi tidak dipertanggungjawabkan dengan sempurna.
Maka perlembagaan pun berfungsi dengan aktif bersama-sama dengan orang-orang (peguam) yang mempelbagaikan tafsiran untuk menghalal atau mengharamkan cara.. Berbagai-bagai cerdik pandai yang mempunyai berbagai ilmu sama-sama membantu membuat tafsiran ke atas perlembagaan dan undang-undang.
Sekali sekala raja yang berpelembagaan ini terpaksa campur tangan atas rasa tanggungjawabnya kepada negara dan segala jajahan takluknya. . Orang pandai perlembagaan ini pun akan mentafsir semula perlembagaan berraja tadi dan dirujuk pula ke mahkamah jika tidak dapat memuaskan hati masing-masing. Mahkamah akhirnya membuat keputusan. Rakyat masih tidak puashati keputusan itu. Maka Raja pun bertanya, “Adakah beta yang patut buat keputusan ?”.
FAM memuktamadkan bahawa pemain import tidak dibenarkan lagi beraksi dalam Liga Malaysia, pemain bawah umur 21 hendaklah seramai 5 orang mesti berada dalam senarai 30 orang bersama pendaftaran Liga Super, Pasukan Negara mesti beraksi diluar negara, Harimau Muda tidak boleh bermain dalam Liga Perdana, Pasukan Negeri Pahang layak bermain dalam Liga Super, NTFA tidak boleh main dalam Liga FAM, Akaun NTFA tahun 2006 – FAM tak payah beritahu dan banyak lagi keputusan yang dibuat oleh YM Tuanku – Presiden FAM bersama dengan Bendahara, Shah Bandar, Temenggong, Laksamana, Panglima, Hulubalang, Bentara, dayang dan gundik-gundiknya di istana FAM. Bolasepak Malaysia terus berjalan dengan sempurna, tanpa campur tangan politik. Sekali lagi ucapan tahniah kepada FAM khasnya YM Tuanku Presiden.
Saya kira kita dapat membuat perbandingan :
Sampai bila pun mahkamah membicarakan sesuatu kes, maka sampai bila pun tidak seorang pun akan berpuashati. Pandai Perlembagaan akan mencari arah untuk menentukankan mahkamah memihak kepada pihaknya. Maka ianya memerlukan seorang yang akan membuat keputusan barulah ada keputusan. Samada Hakim atau Raja. Betul atau salah keputusan itu sudah tentu satu pihak akan tidak puas hati. Pihak yang puas hati pula belum tentu betul kerana pandai perlembagaan itu mungkin memang pandai mencari arah dan ruang dalam perlembaagaan untuk melepaskan diri. Yang betul-betul tahu keputusan yang betul ialah orang yang melakukan perbuatan (kes) yang dibicarakan itu (sahaja). Raja pun tak betul dan perlembagaan pun tak betul.
Malaysia 1 – Indonesia 2 (AFF prediction)
...gbpencen…berkawan dengan RAJA segaran (sahaja)

