Skip to content

Jawapan komen (2) Selamat Hari Guru.

2010 May 16
by Guru Besar Pencen

Semalam saya (selaku Setiausaha Kehormat) menghatar 2 x 10 sms kepada semua AJK NTFA.  SMS saya adalah rasmi – menyatakan maklumat terkini Persatuan dan aktiviti semasa yang memerlukan perhatian.  Panjang kedua-dua SMS itu.  Satu:  mengenai maklumat kejurulatian pemain bawah umur 12 tahun & mengenai pemilihan pemain Pasukan Futsal Negeri untuk kejohanan Futsal Felda peringkat kebangsaan dari FAP> dan satu lagi: maklumat Liga Kalah Mati Piala Presiden NTFA.

Kesemua AJK menerima SMS tersebut, tapi hanya 2 orang sahaja yang memberi respon.  Seorang ialah Abdul Rahman dan seorang adalah Roshyiadi.  Kedua-duanya adalah guru dan AJK  yang tidak memberi respon semuanya bukan guru. Andaian yang saya buat ialah guru-guru memang terdidik untuk bertindak atas maklumat yang diberi tanpa sambil lewa, walaupun hanya dalam pertubahan NGO.  Tahniah cikgu-cikgu kekawan saya,  anda memang hebat !

Terima kasih pada yang mengirimkan ucapan Selamat Hari Gurukepada saya- samada di blog atau melalui sms.  Cikgu yang dimaksudkan oleh mereka ialah saya – seorang cikgu yang telah pencen.  Saya tetap bangga dengan panggilan itu, lebih-lebih lagi ucapan itu.

Saya mengucapkan Selamat Hari Guru terutama kepada cikgu-cikgu yang sentiasa melayari blog ini.   Dan kepada yang bukan cikgu, saya juga tetap mahu mengucapkan Selamat Hari Guru kepada mereka kerana secara tidak rasminya.. juga cikgu kepada anak-anak dan keluaraga mereka.  Tanpa mereka yang menghantar anak mereka ke sekolah.. siapalah kita.

Kepada Aziz yang mengucapkan Selamat Hari Guru untuk saya, terima kasih seadanya.  Anda menghargai petikan ‘entri’ orang yang tertindas, sudah tentu ianya satu lakaran yang patut kita bersama renungkan sebagai satu landasan panduan dalam kehidupan ini.  Begitu juga Suhati yang memberikan komen positif atas entri ini.  Saya percaya bahawa mereka yang menghayatinya bukan saja tersentuh bahkan akan disentuh.

Cikgu Azlanlin :  ada yang bertanya adakan anda bersekolah di SK Sungai Batu.  Zura mungkin berasal atau bersekolah di sana.  Rasanya Zura ada nostalgia di situ; begitu juga saya yang pernah mengajar di SK Sungai Batu, Pantai Remis. Perak.  Setiap kali hendak ke Lumut, tersentuh hati bila memandang bangunan sekolah itu yang pernah saya berada di dalamnya.  Saya turut bersetuju dengan Cg Azlanlin yang memberi penekanan kepada Guru Besar berfokus yang ditujukan kepada rakan saya. GB berfokus pernah di suatu masa diberi penekanan khusus kepada pentadbir sekolah untuk dilaksanakan. Terima kasih cikgu Azlanlin.

Sharifah seorang guru yang berfokus.  Beliau esedang menyorot pendekatan kerana pelajarnya di sekolah menengah yang tidak menguasai 3M – terutama dalam pelajaran Bahasa Inggeris.  Apa yang cuba disampaikannya ialah, setelah 6 tahun di sekolah rendah, murid masih …. apabila ke sekolah menengah.  Apa yang guru Sekolah Rendah buat ?  Begitulah cerita oh ! bangau.. namun hakikat menemukan kita bahawa banyak faktor untuk dikupas.  Banyak sangat kebocorannya apabila baldi di angkat dari telaga dan sering dikatakan, baldi itu terlalu besar dan berat sebenarnya … (?)

Pak Lang dan Md Darus, yang turut sama bersama rakan yang lain, saya mengucapkan terima kasih.. mugkin mereka ini rakan-rakan saya.  Juga anak-anak menantu dan sanak saudara kalau ada yang mengikuti blog ini.  terima kasih saja lah.  Anda adalah inspiriasi saya.

Aku yang membuat kesemuanya.... (‘upgrade’ dari sms cikgu Zarina (yang di fwd kepada saya)

hari ini aku memegang penyapu, menyapu dan mengajar menyapu, kerana aku seorang guru, bukan seorang tukang sapu.

hari ini aku mengadili pertuduhan, meleraikan pergaduhan, kerana aku seorang guru, bukan seorang mejistret yang penuh dengan imbuhan.

hari ini aku merawat kepala, membalut luka, kerana aku seorang guru, bukan seorang doktor berpendidikan luar negara

hari ini aku berhujah, melerai kata waris yang  berbisa, kerana aku seorang guru, bukan sorang peguam yang pandai bicara.

aku seorang guru yang memakai semua dan apa saja topi .  terima kasih kepada kekawan , seorang guru biasa.

…gbpencen…selamat hari guru yang selalu dan pernah membuat segalanya…

Keluargaku tiada berharta..

2010 May 12
by Guru Besar Pencen

Gambar hiasanse raga buah 2nd kualiti yang disediakan oleh Che Norlia Che Rus

untuk perasmi program ‘jasamu dikenang’ .

Hantaran untuk meminang anak saudara saya itu hanyalah se raga buah yang 2nd kualiti.  Hajjah  memang tak suka…. tapi anaknya …  suka.

Anak saudara saya memang seorang gadis yang lawa, cantik, badannya mengiorkan, putih dan lincah.  Semua mengakuinya kelebihan yang ada pada anak saudara saya itu. Hajjah terpaksa mengikut kemahuan anak kesayangannya itu untuk berkahwin dengan anak saudara saya.  Anak hajjah seorang anak yang baik, warak dan menurut  perintah ibu bapa.  Bertanggung jawab, sihat dan berkeyakinan.

Begitulah bermulanya sebuah keluarga bahagia yang diuruskan oleh ahli keluarga yang terdiri dari orang-orang yang warak – yang  disayangi tuhan; diberkati Allah.  Ketika itu anak sudara saya TEE tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan.  Walaupun anak hajjah bekerja tetap tetapi pendapatannya kurang lumayan. Pada pendapat saya, hajjah memerlukan menantu yang berpendapatan tetap agar kehidupan anaknya sekeluarga – lebih terjamin dan bahagia.

Keluarga Hajjah adalah dari kalangan orang yang berharta, dihormati kerana kekayaan dan suaminya pula sangat dihormati .. selaku imam no 1 dalam masyarakat kampung saya.  Sifat berjimat cermat dan berhemah telah menjadikan keluarga ini amat terurus dari segenap segi.  Perlakuan mengamalkan ciri kehidupan keislaman mereka telah memberkatkan kehidupan mereka sekeluarga.  Semua itu telah menjadikan anak saudara saya  sebahagian dari kehidupan ‘keluarga bahagia’ mereka.  Kami amat bersyukur.

Kata emak kata berhikmat‘  Suatu masa dahulu… emak saya pernah berkata hjjah kurang menyenangi TEE kerana dia tidak dapat menjana pendapatan keluarga bahagia ini.  Walaupun begitu sebagai seorang yang disaluti dengan ‘keimanan’, tiadalah tingkah laku hajjah yang begitu ketara untuk menunjukkan yang beliau tidak menyenangi TEE – tetapi sebagai orang tua – sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya.

Bentuk dan rupa hantaran semasa peminangan, se raga buah 2nd kualiti dan insiden terpaksa mengikut kehendak anak kesayangan yang membuat pilihan hatinya untuk berkahwin dengan TEE telah menjadi perkahwinan mereka satu cabaran kepada TEE.  Kehidupan diteruskan dengan keazaman.  Suami TEE mengikut jejak ayah dan bondanya yang cermat dan berhemah dalam segi perbelanjaan rumahtangga. Beliau dan TEE  amat tabah menyahut cabaran melayari hidup.  Dengan pendapatan yang sederhana mereka berjaya membeli sebuah rumah di kota raya.

TEE telah berazam untuk melengkapkan dirinya demi  untuk (?) memenuhi kehendak hajjah – untuk mempunyai pendapatan tetap. Tidak lama kemudian, dengan izinNya TEE memperolehinya. Beliau yang mempunyai kelulusan SPM yang sederhana kini  sudahpun menjawat jawatan dengan kerajaan.  Mereka semakin selesa dan berkemampuan memiliki 2 buah rumah dengan keperluan seadanya.  Kereta juga sudah melebihi ‘sebuah’ – kereta jenama baru pula.

Akhirnya TEE telah diterima baik dalam keluarga hajjah.  Dia sudah menjadi bukan lagi sebahagian tetapi dia telah menjadi sedaging dengan keluarga hajjah.  Semuanya berjalan dengan amat baik.  Kenduri, kenara, sakit, demam, mati, hidup – semuanya sudah sampai ke kemuncaknya.

Saya terus melihat : TEE sebagai anak yang kehilangan ibu semasa lahir dan dipelihara oleh emak saya (neneknya) sehingga berkahwin – kami semua amat senang melihat rentetan sejarahnya berkembang. Saya berkongsi kebimbangan dengan emak saya semasa sejarah perkahwinannya bermula.  Tetapi saya tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan emak saya (yang memeliharanya) untuk melihat sejarahnya yang berakhir (setakat ini) dengan penuh keceriaan dan KeMegahan…. syukur alhamdullillah.

...gbpencen…menghargai pengajaran dari sejarah.

Guru segan Guru Besar penyegan.

2010 May 7
by Guru Besar Pencen


Guru-guru yang rajin

Ada seorang kawan saya yang memang saya kenal sangat malas mengajar.  Dalam penceritaannya dia selalu menceritakan perihal kepenyeganannya.  Dia juga secara bersenda suka memperlekehkan guru yang rajin.  Dia seorang yang cerdik dan pandai ketika bersekolah dahulu.  Rajin dan berkesan dalam pelajarannya tetapi tidak berjaya ke universiti kerana sifat penyegannya setelah dia sudah berada disebuah sekolah elit di Tingkatan Enam.

Saya memang penyegan (malas) ketika bersekolah.  Oleh sebab yang demikian saya tidak kesampaian untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat Tingkatan 5 (SPM).  Setelah saya menjawat jawatan guru,  saya menjadi rajin. Saya tidak berhak mengangkat diri saya sebagai seorang guru yang rajin, tapi sekurang-kurangnya izinkan saya untuk menyatakan yang saya amat minat dengan jawatan yang saya sandang itu.

Kawan saya menjadi guru seperti saya.  Kami ditemukan semula setelah 10 tahun merantau, mengajar di negeri orang.  Setelah kembali ke negeri asal, saya mengajar di sebuah sekolah selama 22 tahun.  Dan kawan saya mengajar di 4 atau 5 buah sekolah dalam masa yang sama.  Banyak cerita penyegan yang saya dengar mengenainya.  Dan banyak juga cerita rajin yang saya dengar mengenai saya.  Cerita dari Guru Besarnya atau bekas muridnya.  Begitu juga dengan saya, cerita dari Guru Besar saya dan bekas murid-murid saya.

Walau apapun sifat beliau, saya menghormatinya. Kami  mempunyai kelebihan masing-masing.  Kami juga mempunyai kekurangan yang tersendiri.  Namun kami tetap juga seorang guru.   Kami terus berkawan baik.  Begitulah contoh perbandingan 2 kategori asas guru – RAJIN dan MALAS.

Begitulah kehidupan seorang guru yang harus difahami oleh semua guru.  Ada guru yang rajin dan ada guru yang penyegan.  Rajin dan malas seseorang guru itu datangnya dari berbagai-bagai dimensi. Pada saya, guru yang rajin disebabkan ia minat menjadi seorang guru.  Dia minat untuk mendampingi anak didiknya.  Dan dia berminat untuk menjadikan anak muridnya pandai, beradab dan berkemajuan.  Maka dia akan menjadi seorang guru yang rajin.  Rajin seorang guru kerana keinsafannya terhadap tanggugjawab yang dipikulnya bersama amanah yang diberi – (lirik : lagu guru Malaysia). Rajin seorang guru kerana kesedaran keagamaan yang menebal – itu yang baik sekali.  Rajin seorang guru kerana hendak memenuhi hajatnya yang tersembunyi….  (?)  Dan jarang-jarang rajin seorang guru itu kerana beliau menghormati institusi pendidikan negara.

Pada pendapat saya, guru yang malas kebanyakannya disebabkan persekitaran sekolah tidak selaras dengan kehendak hati dan naluri azalinya.   Kerana itu dia menjadi bosan dan tidak bermaya.  Selain dari itu guru menjadi malas kerana dia sendiri tahu bahawa dia adalah seorang yang malas kerana komitmennya terlalu banyak atau tidak selari dengan profesyen guru.   Selain dari itu,   guru yang selalu malas disebabkan kehadirannya di sekolah hanya hendak makan gaji (sahaja) samasekali tidak  berjiwa pendidik.  Selain dari itu, oleh kerana terlalu banyak masaalah diluar pagar sekolah yang dihadapi oleh guru berkenaan, telah meruntun minat dan komitmen individu berkenaan untuk menjadi seorang pendidik yang berwibawa.

Dua perenggan di atas memperkatakan mengenai dua karektor manusia yang bernama GURU. Mungkin satu lagi karektor ialah guru yang sederhana – merupakan karektor kebanyakan guru kita.  Kita tidak dapat melarikan diri dari kedua atau ketiga-tiga karektor ini.  Guru Besar berbesar hati mempunyai guru yang rajin.  Dan dalam masa yang sama Guru Besar juga tidak dapat melarikan diri bila berhadapan dengan guru yang penyegan.  Maka bermulalah titik pertama percaturan demi percaturan oleh kepemimpinan organisasi di sekolah untuk menangani permasaalahan ini kalaupun tidak dapat menyelesaikanya.

Akhirnya saya dan kawan saya menjadi Guru Besar.  Adakah dia Guru Besar yang penyegan?  atau  adakah saya Guru Besar yang rajin (?).  Ingin saya nyatakan bahawa Guru Besar tidak boleh malas.  Saya terpaksa menjadi rajin (sebenarnya saya seorang yang malas) kerana saya inginkan semua guru-guru saya menjadi guru yang rajin.  Saya tidak boleh menunjukkan yang saya seorang yang penyegan, kerana saya takutkan guru saya mencontohi kepenyeganan saya.  Maka saya akan merasa letih pada setiap hari kerana saya kena -buat-buat rajin.

Bagaimana pula dengan kawan saya yang saya katakan seorang yang penyegan.  Apabila dia menjadi Guru Besar, dia menjadi seorang Guru Besar yang berkesan.  Saya berpendapat.. terjadinya demikian kerana beliau seorang yang cerdik dan berilmu pengetahuan.  Oleh itu maka beliau telah dapat membentuk sekolah di bawah kepimpinannya  begitu berkesan, terutama di dalam bidang akademik.  Beliau tumpukan sepenuh perhatiannya kepada akademik, maka akdemik sekolahnya menunjukkan kemajuan yang amat membanggakan.  Mungkin lain-lain aspek beliau tidak begitu ambil berat – termasuk beliau hanya berucap dalam perhimpunan sebanyak 2 kali dalam masa 3 tahun.. hebatkan ?

…gbpencen…rajin tidak semestinya bagus, malas tidak semesti baik.