Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya ( saya adalah penulis – bukan gbpencen – membuat serba sedikit penyesuaian) kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang. “Mengapa?” balas saya. “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, fokus saya kepada kerja sahaja.”
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai, saya bertanya kepadanya, “Kakak punya berapa orang anak?”. Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan. “Oh ramai encik…”. “Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya lagi?” . “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi. “Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”. Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “Antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “Hati ibu encik, tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!” Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya. “Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik. “Maksud encik?”. “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”
Kakak mula bernafsu untuk bercerita. “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah ‘ what you give, you get back‘ Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.” “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” “Maksud kakak?”
“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?” “Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kadang-kadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya. “Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”
Kakak itu tersenyum dan berkata, “Tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.” “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’ “Pasti ada! Insya-Allah.” “Ya, begitulah. Padahal besar kemungkinan kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong, tetapi Allah lah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
“Subhanallah!” “Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.” “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!” “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.” “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di duniaNya lagi.”
“Maksud encik?” “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.” “Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
Giliran saya pula tersenyum. “Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?” “Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…” “Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.” “Kenapa?” “Kita akan sakit jiwa!” “Kenapa?” “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… ” kata kakak itu perlahan. “Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?” “Ah, kita terlalu ego…”
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?
..gbpencen…menarik petikan ini, terkena batang hidung saya, saya telah mendapat nikmat kesihatan – anugerahNya – saya selalu ingin nyatakan terima kasih atas anugerahNya itu, amin.
Lahir pada 11.11.1911 – En Abdullah bin Awang – warga paling berusia di kampung saya.
En Bakar menjemput ADUN PKR, Ustaz Makhtar Hj Sapee untuk perasmian majlis ‘jasamu dikenang’ sempena sambutan Maulidur Rasul. En Ahmad Suhaimi mungkin mahu menjemput Dato’ Hj Zainal Abidin bin Osman, Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, yang kalah dalam piliharaya lalu atas tiket BN. En Ahmad Suhaimi tidak hadir dalam majlis itu kerana berkursus dan En Bakar memonopoli keseluruhan majlis. Kedua-dua mereka adalah AJK Masjid kampung kami. Mereka dilihat sebagai generasi muda yang akan ditonjolkan dalam pemerintahan kampung.
Lama mereka meninggalkan saya. Semenjak berundur dari ketua pemuda di kampung (saya) lama dahulu, mereka menjemput saya semula menyertai program terbaru di kampung kami. Mesyuarat kali kedua saya diminta membentangkan dokumentasi program Jasamu di kenang yang telah mereka rancangkan tahun lalu. Semua rakan kepimpinan kampung yang lebih muda dari usia saya membincangkan dokumentasi yang saya garapkan. 1 jam, selesai perbincangan dan 2 hari lagi program akan berlangsung.
Ramai nama-nama besar yang disebutkan dalam program berkenaan berbin dan berbintikan Hj Man, Hj Osman, Lebai Man, Lebai itu dan lebai ini. Keluarga nama-nama besar ini telah lama mendominasikan pemerintahan dan kepimpinan kampung saya – secara turun temurun. Hari ini En Bakar bin Hj Rashid bin Haji Man jugalah yang mempengerusikan mesyuarat dan mempengerusikan program yang akan berlangsung. Pendominasian itu berjalan sehingga ke saat saya mencoret pengkisahan ini. Hebatkan ? mungkin juga berlaku di kampung-kampung lain.
Semenjak dari dahulu lagi, pemerintahan di kampung saya berpaksikan masjid sebagai ibupejabat pentadbiran, dan ibadat adalah terasnya, juga tuan imam adalah jurumudinya. Haji dan Lebai yang bernama sedemikian adalah imam-imam besar yang amat diseganai disuatu masa dahulu. Anak cucu dan cicitnya pada masa ini terus menerus merasakan mereka berhak mendominasi pentadbiran masjid dan segala urusan- urusan kampung. Semua anak khariyah mengakurkannya. Dari masjid lama ke masjid baru, dari imam lama ke imam baru, dari bilal lama ke bilal baru dan dari siak lama ke siak baru, dari pengerusi, setiausaha dan bendahari; baru dan lama silih berganti. Masjid terus menjadi tempat menampung penghormatan – mungkin glamour atau populariti; itulah hakikatnya.
Jenerasi baru / muda terus menghormati institusi masjid. Walau sebagaimana jahil sekali pun orangnya, orang -orang yang berdampingan dan mengusai institusi masjid terus dihormati. Begitulah dengan En Bakar, dia merasakan satu keperluan untuk menonjolkan dirinya sebagai pelopor bidang baru dalam pentadbiran masjid. Maka program Jasa mu di kenang telah dilaksanakan dengan jayanya (katanya). Dalam ucapan pengkisahan sejarah kampung, dia bukan sahaja mempelopor kemabali datuknya, Hj Man, dipanggil Hj Man tua, bahkan ramai lagi pembesar-pembesar kampung yang disebutnya. Dengan Suasana sebak syahdu, para hadirin yang turut merasa hiba dan pasrah. Maka ramailah hadirin yang memberi ucapan tahniah kepada En Bakar atas kejayaan program itu. Sayangnya En Ahmad Suhaimi bin Hj Man tiada di majlis itu.
Kini generasi kedua pula mentadbir masjid. Keluarga Hj Man A (En Bakar bin Rashid) di satu pihak dan keluarga Hj Man B (En Ahmad Suhaimi bin Hj Man) di satu pihak yang lain, sama-sama mempunyai peranan dalam pengurusan dan pentadbiran masjid juga khariyah. Tiada nampak apa-apa pertentangan antara mereka, tetapi dalam sembunyi terdapat demontrasi senyap antara keduanya semasa majlis itu diadakan. Demi kampung bertuah ini, dan demi menghargai pengalaman warga berusia dan menghormat majlis penganugerahan kepada pegawai dan pengiat sosial masjid, sebagai tanda ingatan sejarah jasa yang tidak pernah dikenang selama ini maka perbezaan itu sanggup mereka ketepikan. Sebab itu jugalah setelah lama meninggalkan kampung, saya sanggup juga bersama mereka – rakan lama saya.
En Bakar mempelawa saya bersamanya kerana saya adalah sifunya, kata En Zamri menyindir saya. . En Zamri bin Lebai Hussain adalah anak kepada bilal tua di kampung saya lama dahulu. Zamri sudah kurang aktif di kampung tetapi, nastolgia ayahnya sebagai bilal telah meruntun hatinya untuk bersama dengan kami menghadiri majlis tersebutut. Sambil mengintai-intai ruang kalau-kalau sesuai untuk menempatkan diri sebagai salah seorang yang boleh menyumbang kepada pembangunan sosial masjid kampung yang tercinta. Majlis berjalan lancar dengan kompang dan hadrahnya, dengan sajak dan seloka juga dengan tangis dan tawanya. Allhamdullilah
Oleh sebab berpaksikan masjid, perpaduan dan perselisihan kecil telah dapat diredakan. Lebai dan Haji telah dapat menyatupadukan kelompok-kelompok manusia Melayu era baru. Walaupun secara senyap ada perbezaan tetapi simboliknya penyatuan tetap wujud kerana orang tua dihormati dan institusi khariyah dimantapkan dan perselisihan politik dapat diketepikan, sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Apabila sampai ke satu tahap dimana semua peringkat masyarakat berjaya diajak menanam rasa hormat dan insaf atas jasa generasi berusia dan yang terdahulu (yang telah meniggalkan kita), mungkin (diharapkan) semua akan / boleh akur untuk sama-sama merapatkan barisan dan menghulur tangan-tangan untuk terus bekerjasama… setulus yang mungkin.
…gbpencen…menanti program dari Ahmad Suhaimi bin Hj Man pula, rakan saya (juga).
Saya kurang berfikir mengenai cuti guru lelaki tetapi saya sering memikirkan cuti guru perempuan. Cuti sakit mereka kerana masalah keluarga disamping cuti guru perempuan yang akan bersalin. Saya harus memahami tanggungjawab guru yang berperanan sebagai ibu dan isteri di rumah, sememangnya amat banyak. Pernah seorang guru perempuan yang awal-awal lagi melapor diri kepada saya membawa surat pengakuan doktor – rawatan sakit lutut – dan selepas itu saya sering menerima mc nya 3 kali dalam seminggu. Ada pernah dilihat guru yang tidak kelihatan seperti mengandung dan tidak pernah memberi tahu yang dia mengandung, tiba-tiba pihak sekolah menerima surat cuti bersalinnya. (?)
Isu pendidikan kurang menarik perhatian akhbar tetapi isu guru sangat popular di kalangan mereka. Biasanya guru digambarkan sebagai profesion yang ‘bekerja senang’ , banyak cuti, selesa dan bergaji tinggi. Semuanya patut kita bersetuju. Yang susahnya menjadi cikgu, ialah kita berhadapan dengan pelanggan yang disayangi oleh ibubapa dan keluarga mereka.
Isu terbaru: KP ingin menambahkan kouta guru lelaki. Sepatutnya isu ini sudah lama dilaksanakan kerana isu tersebut adalah isu lama yang dirintihkan oleh pentadbir sekolah. Oleh sebab saya hanyalah seorang Guru Besar – rendah – maka rintihan itu telah hilang atau telah dihilangkan dalam arus kekelamkabutan pemodenan pendidikan. Sekarang isu itu menjelma kembali dari peringkat tertinggi KP.
Punca sebenar kekurangan guru lelaki di sekolah hanya KP sahaja yang boleh menjawabnya. KP sendiri telah menentapkan kehendaknya, maka ia telah berlaku, Andaian yang di buat oleh kebanyakan orang ialah : (?) Guru perempuan dianggap layak untuk mendidik sebab mempunyai sifat keibuan. Guru lelaki berperwatakan keras. Guru perempuan minat menjadi guru. Guru perempuan kebanyakan mempunyai kelayakan akademik yang dikehendaki. Guru lelaki malas (maksud – guru perempuan, rajin) Guru perempuan lebih teliti, guru lelaki sambil lewa sahaja. Tapi fakta tidak rasmi tersebut hanyalah sebahagian saja kebenarannya.
Nalurinya memang begitu, daya penarik kepada seorang perempuan melebih dari lelaki. Maka juru temuduga telah menjadikan guru perempuan ramai di sekolah. Terbukti di sekolah sekitar tempat saya bertugas terdapat ramai Guru Besar perempuan, dan ramai sekali guru perempuan yang berjawatan Penolong Kanan (PK). JPN menukainya, maka ianya telah pun berlaku sedemikian. Bagaimanapun andaiannya, hakikatnya telah disebutkan bahawa sebaik-baik pentadbir/ pemimpin adalah dari kalangan lelaki – yang panjang akalnya.
Belum pun sekali seorang guru lelaki menangis di hadapan saya. Tetapi setiap sekolah yang saya terajui, saya sering berhadapan dengan guru perempuan menangis, termasuk PK yang menangisi kegagalannya menangani masalah guru yang keras kepala. Hatta saya pernah diberitahu bahawa GB perempuan juga pernah menangis di hadapan gurunya. Kita harus berbangga dengan kegigihan dan kesungguhan guru perempuan tetapi kita tidak boleh menidakkan guru lelaki yang pandai (smart) membuat tugasan. Bukan sekadar membuat kerja tetapi boleh mengurus dengan baik. Perlu diingat, membuat kerja dan menguruskan kerja adalah sesuatu yang sangat berbeza.
Tanya seorang guru lelaki, apakah kelemahan pentadbir perempuan; pasti dia dapat menghuraikannya dengan terperinci. Begitu juga sebaliknya bila ditanya guru perempuan. Seorang guru perempuan agak senang diurus kerana semua maklumat dan arahan akan dipatuhi sepenuhnya tanpa banyak soal. Seorang guru lelaki pula akan berlaku sebaliknya; mereka akan memikirkan yang mana yang terbaik dilaksanakan melalui satu pendekatan yang menyenangkan tetapi masih berkesan.
Sekolah akan kurang serinya jika guru lelaki jauh melebihi guru perempuan. Tetapi sekolah akan bertambah serinya jika guru lelaki seimbang jumlahnya dengan guru perempuan. Jumlah sedemikian akan memberi kekuatan kepada pengurus sekolah untuk mentadbir. Mengambil hati guru perempuan secara berlebih-lebihan akan membawa padah tetapi kalau pandai mengambil hati guru lelaki, ianya akan banyak membantu.
Apa saja isu baru dalam pendidikan adalah sebenarnya isu lama yang tidak ditangani dengan sesuai. Penyelesaian sesuatu isu sangat berkait rapat dengan maklumat yang tepat yang harus diperolehi dari akar umbi. Akar umbi umumnya mengetahui apa yang berlaku sebenarnya di sekolah hatta di bilik darjah. Oleh itu Guru Besar merupakan landasan yang tepat untuk mengumpul maklumat, bukan hanya dari orang-orang yang berkepentingan di peringkat pertengahan dan atasan tambahan pula dari orang yang amat rakus mempolitikkan isu.
…gbpencen…guru perempuan, patuh; guru lelaki, ikut; terima kasih cik gu saya.
