Skip to content

Pemulihan Bahasa Inggeris

2010 March 2
by Guru Besar Pencen

Seorang guru Bahasa Inggeris mencuit saya dengan menyatakan bahawa Bahasa Melayu (BM) mempunyai program Pemulihan Khas.  Bagaimana pula dengan murid yang lemah Bahasa Inggeris;   mereka tiada program Pemulihan Khas untuk Bahasa Inggeris  (BI).  Terasa sangat kebenarannya kerana saya banyak  mengomel mengenai Pemulihan BM (sahaja)  sedangkan yang ketara kelemahan dan kegagalan peratusan dalam UPSR ialah subjek BI… betul juga,   dan beliau meminta komen dari saya.

Pemulihan Khas, dengan bilik (hawa dingin) khas,  dengan guru khas, dengan peralatan khas, dengan taklimat khas, komputer khas, dengan asakan bertali arus kepada Guru Besar (GB) juga khas datangnya dari peneraju utama peringkat negeri (Pengarah).   Semuanya khas.  Begitulah pentingnya Program Pemulihan Khas (BM)  kepada KPMalaysia dan tidak juga kurang pentingnya kepada seorang Guru Besar.  Bahkan pada saya itulah agenda saya selamanya berjawatan sebagai GB. Semuanya dikhaskan kepada Bahasa Melayu.  Mengapa pentingnya Bahasa Melayu;  Pemulihannya dikhaskan ?  Umum sudah mengetahui.  Pastinya Bahasa Rasmi Negara, dan sebagai kayu pengukur kepada medium utama dalam aliran perdana pendidikan (hanya sesetangah orang sahaja yang sanggup menafikannya (?)).

Apakah Bahasa Inggeris itu tidak mustahak maka di tiadakan pemulihan ?  Saya dan pelayar blog ini tentunya akan menafikan sekeras-kerasnya…

Pengajaran BI merupakan pembelajaran yang tertua di dunia,  maka sudah tentu ianya telah saling melengkapi sepanjang masa dan cukup dengan segala bahan dan strategi untuk memperkasakan penguasaan bahasa itu.  Di dalamnya merangkumi berbagai kaedah pengajaran,  ia telah menjadi amat sesuai untuk disampaikan kepada semua peringkat umur pelajar. Berbanding dengan BM yang dilengkapan strategi pembelajarannya di sekitar Nusantara ini sudah tentunya ianya memerlukan pendekatan secara berterusan untuk terus memartabatkannya. Maka usaha itu diteruskan oleh KP Malaysia untuk memperkukuhkannya melalui aktiviti Pemulihan Khas seperti yang kita bicarakan.

Oleh yang demikian, rata-rata guru BI di sekolah rendah sudah pun dimengertikan mengenai konsep pemulihan, pengukuhan dan pengayaan dalam P&P yang dibawa oleh mereka. Maka KPMalaysia sedar yang ianya merupakan salah satu pelajaran yang paling kritikal di sekolah.  Maka dengan itu telah diadakan elaun kritikal sebanyak 10% dari gaji pokok guru-guru BI bagi menyatakan betapa kritikalnya pelajaran tersebut.  Diharapkan dari semasa ke semasa mata pelajaran ini akan menjadi tidak kritikal lagi.  Maka usaha dari guru BI ditagih dengan berobjektifkan – mesti  dilipat gandakan (sekurang-kirangnya 10% lagi) bagi menjamin penguasaan BI di kalangan murid-murid dibawah ‘core bussiness’nya – logikkan ?.

Berbalik kepada bahan dan kaedah dalam P&P  – BI :  Sepanjang pengamatan saya, ianya sungguh mengkagumkan, ianya telah lengkap dan sangat berkesan. Maka terpulang-lah bagaimana guru-guru BI menghadhamkan penyampaian, aktiviti, pendekatan dan pengolahan di hadapan murid di bilik darjah.  Kalau ianya masih gagal, pada hemat saya sudah ada silap dan salah-nya di mana-mana :

1.  Kesungguhan guru menganalisis maklumat pengajaran bersama keberkesanan guru menganalisis tahap kebolehan dan pengetahuan murid.

2. Kesedaran guru mentakrifkan pengajarannya sebagai pengajaran bahasa kedua.  Pengajaran seharusnya tidak terikut-ikut dengan pengajaran Bahasa Ibunda.  Dengan itu satu pengorbanan yang luar biasa harus ada dalam memperkasakan pengajaran BI (Pengajaran bahsa Kedua).

3.  Keberkesanan memilih program yang yang sesuai untuk dilaksanakan bagi memantapkan penguasaan BI.  Pihak panita BI dan pengurusan sekolah harus memperkuatkan jalinan kerjasama agar program yang dipilih berkesan melalui kaedah pemantauan, post mortem, kepaduan dan kejituan proses.

4.  Program BI harus dimakmurkan oleh keseluruhan warga sekolah dan sebaiknya BI adalah dijadikan satu budaya di sekolah.

5.  Guru BI kena membulatkan hati dan bertindak sebagai Guru BI yang amat diperlukan dan amat dipertanggungjawabkan

Sejauh mana asas lima perkara ini disentuh oleh Guru Bahasa Kritikal ini. Atau hanya tersentuh dengan elaun 10% sahaja (yang tidak diperolehi oleh lain-lain guru).  Semua guru BI dan semua murid termasuk kalangan waris pula ingin juga merasai sentuhan GB sesebuah sekolah kebangsaan yang menjadi peneraju utama di sekolahnya.  Kita amat mengharapkan (sangat-sangat) guru-guru BIyang kebanyakannya bukan dari kalangan keturunan melayu juga sama-sama  tersentuh dengan kelemahan murid keturunan melayu di Sekolah Kebangsaan – yang juga adalah salah satu punca yang perlu diperhatikan.

…gbpencen…mengakui tiada banyak kejayaan dan merintis pemulihan Bahasa Inggeris.

Kahwin rompak ‘Colombo Plan’.

2010 February 23
by Guru Besar Pencen

Sebak saya dan emak melihat Pak Lang Mea (Ismail – adik emak saya) mengacu-acukan tangannya ke hadapan seperti mahu memegang sesuatu.  Bila ditanya apa tujuannya berbuat demikian dia menyatakan dia nampak anaknya,  ‘Ax’ (Ishak) berada di hadapannya dan dia hendak memegangnya.  Kami tahu, rindunya kepada Ax bukan kepalang.  Isteri Pak Lang Mea turut memerhati tetapi tidak berapa kisah kerana lumrah Pak Lang memperlakukan sedemikian semenjak demamnya semakin hari semakin tinggi.

Selepas tamat Form Five di sekolah Penang Free School, Ax sepupu yang sebaya dengan saya berangkat ke Autralia dalam tahun 1969. Dia melanjutkan pelajaran disana dalam bidang akauntant di bawah biasiswa Colombo – Projek UNICEF Bangsa-Bangsa Bersatu. Bangga sungguh keluarga kerana bukan senang ketika itu nak masuk universiti, inikan pula belajar keluar negara.  Ax memang seorang pelajar yang pintar (rajin dan tekun – tidak sepeti saya).

Selepas Pak Lang bersara dari menjadi buruh  ‘harbour boat’ di pelabuhan Bagan Dalam, Butterworth pada tahun 1966 dia membimbit raga kuih di kedua-dua belah lengannya di serata pekan Bagan (Butterwrth) untuk menyara anaknya termasuk Ax yang ke luar negara. Gigih sungguh dia.  Dengan penampilan seorang yang pendek (rendah – seperti emak saya) nampak jelas kepayahan yang diharungi demi anaknya.

Lagi setahun Ax akan kembali ke tanah air dengan segulung ijazah yang cemerlang,  Pak Lang Mea (ayah Ax) telah meninggal dunia.  Kami menziarahinya hinggalah  disaat kematiannya, kerana emak saya sangat akrab dengan adiknya itu.  Emak menitiskan air mata mengenang gelagat Pak Lang Mea melepaskan kerinduannya semasa mayat diusung ke perkuburan.  Yang paling memilukan kerana dia tidak dapat merasai hasil penat jerihnya atas kejayaan Ishak, anaknya itu.

Kapal Terbang dari Australia telah mendarat.  Tiada keluarga kami yang menyambutnya di lapangan terbang. Emak Ax (Mak Lang Mah – isteri arwah Pak Lang Mea) juga tidak mampu untuk ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur bagi menjemput Ax.  Sebaliknya (pula) keluarga ‘girlfriend’ nya telah bersedia di lapangan terbang dengan beberapa buah kereta menjemput Ax terus ke rumah mereka di Bandaraya Kuala Lumpur.  Persediaan rapi telah dibuat di sana oleh keluarga ‘girilfrend’nya untuk Ax ditunangkan.

Entah bagaimana abang sulung saya dapat menghidu cerita begitu dari salah seorang keluarga Ax.  Beliau amat marah . Mendengus-dengus percakapannya, dengan penuh ketegasan dia  memberitahu Mak Lang untuk disampaikan kepada Ax…

Kalau iya pun.. balik lah dulu ke Bagan. Kita pun ada adik beradik (maksudnya hormatilah instituisi adik beradik (?)).  Kemudian kita p  kira elok2, bukan kita tak mau;  bukan kita nak halang.  Balik dulu – sinopsis kemarahan abang saya yang menjadi induk keluarga ketika itu.

Walaupun saya tidak begitu ingat apa yang berlaku selanjutnya tetapi Ax telah pulang ke Bagan dan selepas itu rombongan peminangan telah dihantar ke  Bandaraya Kuala Lumpur.  Kemudian jadilah mereka suami isteri yang bahagia sambil tidak lupa menunaikan tanggungjawabnya kepada keluarganya terutama emaknya dan adik-adiknya.

Jadi juga perkhwinan ini,  walaupun untuk pulang ke Bagan dari Australia, Ax terpaksa transit di bandaraya rumah ‘girlfriend’nya kerana …. keluarga girilfriendnya tidak yakin atau salah takrif ke atas Plan Colombo.  Mereka mentakrif plan tersebut secara negatif tetapi kami sekeluarga mentakrifnya secara positif. Sekarang tinggallah mereka dengan mewah sejahtera di sebuah kawasan perumahan eksklusif – TTDI saya diberitahu (entah kat mana). Syukur…

...gbpencen…tak boleh jadi induk keluarga seperti abang saya kerana tak reti marah mendengus-dengus.

Pra ‘Satu Malaysia’

2010 February 17
by Guru Besar Pencen

Saya berkayuh basikal tua peninggalan arwah bapa dengan membawa sebuah bekas guni gula terikat kuat di ‘plantar’.  Kayuhan menghala ke pekan Simpang Ampat dengan tujuan untuk membeli keperluan  dapur yang disuruh emak.  Ketika itu saya berada di usia 9 tahun.  Basikal tua yang saya naiki tidak mampu untuk saya duduk di ‘seat’nya.  Hanya bertenggek sahaja dibesi galang dan mengenjut ‘rakap’  ke kiri dan kanan.

Kurang dari 15 minit saya pun sampai.  Tan Poh Guan memasukkan barang keperluan ke dalam guni gula separuh penuh.   Gula, beras tepung, minyak, sabun buku cap Kapak , agar-agar, susu cap Junjung dan …  Semuanya dibungkus dengan kertas kecuali yang berbotol dan bertin.  Yang saya tak nampak, sabun mandi, syampu, ubat gigi, susu tepung, minyak rambut ..  Tapi yang saya pasti saya tidak pernah menggunakan benda-benda tersebut pada masa itu.

Saya tidak perlu bayar apa-apa.  Tan Poh Guan akan menulis harganya di buku dan saya akan menyerahkannya kepada emak saya bila sampai di rumah nanti.  Dengan tidak banyak soal saya berkayuh balik ke rumah dari kedai runcit di pekan itu.  Saya suka ke kedai itu kerana Poh Guan mesra orangnya.  Dia jarang berbaju tetapi sentiasa menguruskan kedainya dengan teratur.  Saya pasti bila cukup sebulan, bila abang saya mendapat gaji dia akan membayar hutang barang tersebut kepada Poh Guan. Itu saja.

Lima puluh tahun kemudian, saya berjalan dihadapan bekas kedai lama Poh Guan  di Jalan Tasek (Tasek Road) yang telah lama sudah ditutup.  Poh Guan pun sudah lama meninggal dunia.  Saya meneruskan rondaan santai saya ke kedai barunya  di Jalan  Main Road,  Simpang Ampat.  Kelihatan anaknya sedang  menguruskan kedai racun dan bahan pertanian berbahan kimia yang terbesar di dalam daerah ini, lengkap dengan kemudahan tercanggih dan terkini.  Ada 3 / 4 buah kereta berjenama dikedainya. Kedainya berruang 3.  Anaknya (mirip wajah Poh Guan) sudah tentu tidak mengenali saya tetapi saya teringat Tan Poh Guan yang gigih bekerja hingga ke generasi anaknya – kaya raya.  Saya bukan ‘pelanggannya’ jadi tidak perlu dia menegur saya tetapi ayahnya pula (limapuluh tahun dahulu) p sangat akrab dengan abang saya( seorang Pegawai RISDA) yang mula-mula mempromosi bekalan racun dan baja kepada  Poh Guan.

Kita (Melayu) kembali merenung diri kita –  masa silam.  Ketika itu tidak ramai orang yang mengejar kebendaan.  Banyak masa terluang untuk berkomunikasi.  Selalu mempunyai ruang untuk bekerjasama.  Dapat bekerja dengan selesa.  Mempunyai makanan berkhasiat dari tumbuh-tumbuhan menghijau.  Sihat dari penyakit yang ‘kronik’. Awal 60’an dirasakan peluang telah terhidang untuk yang rajin ketikmana negara semakin dihambat kemajuan. Perlumbaan telah bermula.  Pemimpin begitu jujur memperkasakan jati diri rakyat.  Namun tiada seorang pun motivator yang tampil untuk mendidik abang kakak ketika itu untuk memperkasakan diri bersedia untuk dihambat kemajuan.

Antaranya ada yang pandai, yang bijak, yang rajin dan sedikit berpengetahuan.  Mereka berlari ke hadapan sambil mendahului kemajuan dan mereka berjaya.  Dalam masa yang sama ada yang terus dibuai mimpi enak menonton kemajuan yang makin terasa…Kebanyakan ketika itu,  ramai yang masih bersembang (leka -rilexs)) dan bekerja secara rutin cukup untuk makan pagi dan petang.. secara tradisional. Bekerja sebagai petani tradisional dan ‘enjoy’ kemerdekaan yang telah dituntut oleh orang-orang Melayu, kepimpinan terdahulu  ke atas bumi bertuah ini.

Ketika itu sudah ada jalan raya, ada sekolah,  pejabat kerajaan, seadanya ; kereta tidak banyak,  hospital juga ada walaupun kecil (tidak perlu dibesarkan kerana tidak ramai yang mahu mengunjunginya kerana mungkin tidak sakit).  Semuanya ada .. dan semuanya ala kadar,  seadanya. Itu pun sudah cukup untuk keturunan Melayu yang sudah  (pun terasa)  menjadi tuan dibuminya sendiri.

Terus asyik melihat penguasaan saki baki orang-orang Inggeris menguruskan ladang dan syarikat-syarikat besar sambil menumpang bekerja mencari pendapatan. Ramai orang-orang Melayu yang menjadi asykar (termasuk abang kedua saya) dan orang-orang Cina terus berniaga seperti biasa, (sepertimana  perrnah diungkapkan oleh YM Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Malaysia – orang Melayu jadilah asykar, biarlah orang-orang Cina meniaga).  Orang berketurunan Cina terus berniaga dan berniaga dan berniagaaa……

Saya mundar mandir di Jalan Tasek memerhatikan pembinaaan landasan keretapi berkembar.  Di antara deretan kedai peniaga Cina kelihatan motosikal anak-anak sekolah memecut laju membelah jalan raya tanpa topi keledar.  Beberapa buah kereta guru separa mewah keluar dari SMK Bandar Tasek Mutiara.  Bergaya dan ceria dengan kemewahan dan keselesaan yang ada..

…gbpencen…sudah MEWAHKAH KITA ? atau kita makin ditinggalkan kemewahan oleh orang lain?