Bulan Febuari ( 12) hari ini, blog kerdil saya menyambut ulang tahun pertama kelahirannya. Saya senang mengingati kelahiran itu kerana ianya sama dengan tarikh saya memiliki sebuah lap top. Sebelum saya membeli lap top saya menemui rakan anak saya untuk mengajar saya asas pengendalian blog. Sebaik saja saya balik dari PC Depot, tempat lap top dibeli, saya memulakan entri pertama saya – apa yang guru besar pencen buat selepas pencen.
Sehingga saat ini, 78 entri telah saya tulis, dengan 355 komen (terima kasih) dalam berbagai-bagai kategori. Saya senang mengendalikan blog ringkas ini. Ianya adalah tempat saya menghabiskan masa terutama waktu petang ketika pulang dari bekerja, anak saya yang bekerja tidak menggunakan bilik ketika itu, dan cucu-cucu selalu tidur pada waktu begini. Suasana aman sementara menunggu petang yang akan larut.
Dalam perantauan dari blog ke blog saya sering membaca coretan Bloggers guru. Terlalu ramai guru yang menulis blog dalam berbagai-bagai dimensi. Kebanyakan mempunyai blog yang cantik. Mereka semua menulis semau – maunya seperti saya. Saya dapat rasakan yang perasaan mereka juga sama dengan perasaan saya. Mungkin yang membezakannya adalah mereka kebanyakannya berdarah muda tidak seperti saya seorang guru yang dah bersara/ lanjut usia.
Tidak ramai yang melayari blog saya, sekitar 5000 pengunjung (terima kasih) dalam masa setahun kerana ia tidak banyak informasi dan kurang interaktif. ‘Tidak mengapa” pujuk hati saya. Saya hanya sekadar melontarkan coretan dan memenuhi usia santai ini. Kita dapat mengenali diri kita jika kita merantau di Blog Dr Mahathir, pada saya blog yang hebat. Tidak menghairankan.. beliau seorang negarawan yang tiada tolok bandingnnya. Dapat dicontohi untuk dimenegerti dalam banyak aspek. Selain dari aspek politik, beliau seorang yang memegang prinsip yang tinggi. Moderator dan berpandangan jauh. Rajin membaca, berpengetahuan dan kritis. Tegas dan berhemah.. siapalah kita (dan apalah blog kita.. jauh semanggang dari api)
Kalau pun begitu ianya akan menjadi penanda aras yang baik kepada semua bloggers guru. Anda semua masih muda dan berpengetahuan. Kebanyakakannya dididik dengan baik dalam era komunikasi pendidikan yang terkini. Oleh itu anda boleh ke aras sebaik itu.. kalau mahu. Masa masih ada, kudrat masih kuat dan ganjaran pun tidak ‘kalah’ dengan orang-orang diluar institusi pendidikan.
Setiap antara 5 hari hingga seminggu saya akan mempamerkan coreta terbaru dalam berbagai kategori. Tidak kurang dari 5 / 6 kali saya membaca entri yang saya tulis sebagai semakan. Cuba meminimakan kesalahan dan tidak lupa memperbaiki persembahan. Tetapi dek kerana cetek sangat ilmu saya, maka tentu banyak lagi kekurangan yang dapat di kesan. Maafkanlah saya dalam masa setahun ini.
Saya updatee profile saya sebab peringkat awal ada pelayar yang memberi komen yang saya cuba menyembunyikan diri melalui profile saya yang ringkas. Saya berbuat demikian sebab kalau saya memperkenalkan diri sekali pun bukan ramai yang mengenali saya kerana saya hanya ‘ seorang guru biasa, yang mengajar tulis dan baca‘ Yang kenal pun hanya rakan atau bekas murid saya. Saya dapat rasakan tidak ramai bekas murid saya yang rajin membaca – seperti cikgunya juga. Sungguhpun begitu saya rasa, sudah tibanya saya menjengukkan sedikit diri saya ke depan agar dapat saya berkomuikasi dengan lebih berkesan .. mugnkin melalui media-media yang lain.. (entahlah..)
Banyak antara blog cikgu-cikgu ini memuatkan lakaran dan cerita keluarga tersayang, aktiviti kekeluargaan dan juga tugasan kerjaya. Semua ini menambahkan lagi keinginan sahabat handai, rakan taulan. adik beradik dan saudara mara untuk melayari blog bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keluarga. Hubungan rapat dan kasih sayang nyata terserlah melalui paparan di blog-blog cikgu-cikgu. Ianya telah menjadi sebahagian lagi menfaat kecanggihan teknologi bagi membentuk keluarga bahagia.
Antara perkara yang menarik sepanjang saya mengendalikan blog ialah seorang penulis blog akan di dakwa kerana mempersendakan undang-undang. Beliau telah menggunakan blog untuk mengatasi undang-undang. Walaupun setengah pihak berpendapat bahawa undang-undang tersebut ialah undang-undang manusia tetapi tanpa ada dan mematuhi undang-undang itu maka sesebuah komuniti itu akan menguruskan komuniti berdasarkan siapa kuat dia kudrat. Saya menganggap tiada berlaku keterbatasan dalam penulisan blog tetapi keterbatasannyanya ialah undang-undang (yang mungkin setengah bloggers tidak tahu dan arif – termasuk saya)
Banyak blog politik yang ditulis oleh penganalisis blog dan penyokong kepartaian dari keturunan Melayu. Blog-blog tersebut mendapat sambutan ramai, Oleh itu tidak sesuai untuk saya menjadikan blog saya sebagai blog politik untuk menarik perhatian ramai; walaupun politik menjadi sebahagian dari kehidupan saya. Tulislah apa saja falasafah politik anda asalkan tidak melanggari undang-undang yang mesti ada dalam kita bernegara. Saya lebih suka politik yang sederhana, yang telah menyemarakan semangat petriotisme dan tidak mendorong kepada keadaan yang kelam kabut yang menjurus kepada perpecahan Melayu.
…gebpencen…selamat harijadi pertama blog syok sendiri…
Suatu hari seorang musafir (orang susah kata emak saya) berjalan di pinggir sebuah bendang. Bila kepenatan dia berhenti berteduh di sebuah ‘dangau’ (tempat pesawah berteduh kepanasan). Perutnya terasa sangat lapar. Tiada sesiapa berada di situ. Dalam masa dia berehat itu dia terdengar bunyi seakan-akan suara orang menangis.
Dia mencari serata tempat kalau-kalau ada sesorang tersembunyi dimana-mana. Tetapi tidak ditemuinya di mana-mana jua. Didongakkan kepalanya ke atas kerana suara itu seolah-olah datang dari atas atap nipah dangau tersebut. Makin jelas bahawa suara itu memang datang dari atas atap dangau tempat dia berteduh. Dia mendekatkan pandangan ke sisipan atap nipah bumbung dangau tadi. Semakin dia menghampiri, semakin jelas suara tangisan itu kedengaran.
Diamati betul-betul, Rupa-rupanya yang mengeluarkan suara itu ialah sekeping kerak nasi yang telah keras, di sisipkan ke atas bumbung dangau itu. Musafir tadi memegang kerak nasi tersebut. Suara tangisan itu terhenti. Dia membawa kerak nasi tersebut ke air di bendang di situ lalu membasuhnya. Musafir tersebut mengunyah dan memakannya sehingga habis.
Emak menyambung ceritanya : Tidak lama kemudian apabila musafir itu pulang ke kampungnya untuk bertanam padi, tanamannya amat ‘menjadi’ sehingga berkunca-kunca* hasil padinya. Ini telah menjadikannya seorang yang kaya raya di akhir ceritanya.
Semasa saya budak-budak dahulu, emak saya suka dan pandai bercerita. Ceritanya berkisar kepada cerita-cerita yang berunsur nasihat dan bersesuaian dengan pengalamannya sebagai petani tradisional. Ceritanya mempunyai moral yang tersendiri dan mempunyai hubungkait dengan kehidupan petani seharian. Secara tidak langsung, cerita emak saya mempunyai hubungan tentang perlakuan saya semasa budak-budak. Ianya secara tidak langsung untuk membentuk saya menjadi seorang anak yang ‘berdisiplin’.
Singkatan peristiwa dibawah adalah jawapannya :
Setelah saya selesai makan nasi, emak selalu berkata : Kalau sudah makan nasi, mesti mengairkan pinggan agar tanaman di bendang sentiasa berair dan menyebabkan padi menjadi subur (banyak hasilnya)
Bila saya sudah kekenyangan makan dan mahu berhenti, emak pun berkata : Nasi dalam pinggan mesti di habiskan bila dimakan . Jangan ditinggalkan barang sebiji pun, nanti nasi menangis, yang boleh menyebabkan tanaman tidak menjadi di musim mendatang.
Setelah selesai makan, sebiji dua nasi tentunya akan tumpah ke lantai, emak pun berkata : Nasi yang tumpah dari pinggan dilantai (ketika itu makan di atas lantai beralaskan tikar mengkuang) hendaklah dikutip dan di makan juga. Kalau sekiranya lantai kotor, jangan sesekali menyapunya dengan penyapu (lidi, di masa itu) ianya hendaklah di sapu dengan kain agar nasi tidak rasa terhina.
Setelah saya menyapu dengan kain, emak pun berkata : Jangan pula dibuang ke bawah rumah nasi yang disapu itu, sebaliknya hendaklah dikumpulkan untuk makanan ayam di reban nanti.
Keluarga saya seorang pesawah tradisonal. Perkara-perkara sebegini memang di ambil berat oleh emak saya. Mungkin kerana penat jerih di sawah, tanpa bahan kimia dan peralatan moden, restu dari Maha Berkuasa amat di tagih .. untuk mendapat sesuap nasi. Semangat padi sentiasa dipertahankan.
...gbpencen… selalu ke bendang untuk main serunai padi je..
Tidak semena-mena selepas bermain badminton di gelanggang jiran se taman ustaz Mamat mohon ingin berbicara dengan kami semua. Nampak seperti amat penting permintaannya itu. Diselak rambutnya yang dibasahi peluh, menyerlahkan bahagian hadapan kepalanya yang tidak berambut Beliau memulakan ‘majlis‘. Bahasanya menggunakan bahasa mesyuarat rasmi.
Sekarang kita kena buat giliran berjaga malam kata ustaz Mamat, kerana diberitahu ada rusuhan yang mungkin berlaku dalam masa terdekat ini. Beliau menggambarkan bahawa perselisihan kaum seperti retak menunggu belah sahaja. Persediaan harus di buat. Lebih kurang sepuluh keluarga (kebanyakannya guru) yang tinggal di Perumahan Murah Kerajaan Perikatan di pekan Pantai Remis seolah-olah dipaksa untuk berkerjasama menjaga ketenteraman malam.
Ketika itu saya baru saja berkahwin, sekitar tahun 1978. Tarikh 13 Mei 1969 telah lama berlalu. Saya / kami nampak seperti tiada apa-apa ketegangan. Tenteram sahaja sekitar pekan Pantai Remis yang kebanyakan dihuni oleh keturunan Cina. Kami semua bersetuju tanpa banyak membantah, mungkin kerana yang bercakap itu seorang ‘ustaz’. Selepas itu kami meneruskan permainan badminton malam itu tanpa ustaz yang berpuashati atas persetujuan kami. Beliau terus berlalu ke rumahnya sebaris di kawasan perumahan itu juga. Mungkin pulang untuk membuat jadual giliran bertugas.
Telah tiga hari jadual giliran berkawal (12.00 malam hingga 5.00 pagi) telah berlalu. Kebanyakan yang terlibat sudah mula merungut. Tiada apa-apa pun berlaku. Giliran saya di hari ke empat bersama dua orang guru seorang dari SK Sungai Batu dan seorang lagi dari SM Dato’ Idris, Pengkalan Bahru. Kami berkawal tanpa banyak bersembang. Tersenguk-senguk di ‘dangau’ yang kami gotong royong membinanya sebelum itu. Kami semua merungut juga kerana akan bersekolah keesokan paginya.
Pada suatu hari, seorang rakan telah datang menemui kami digelanggang badminton bahawa ustaz Mamat telah menyatakan yang ibadat haji itu tidak WAJIB. Oleh sebab yang memberitahu itu juga seorang ustaz, dia begitu perihatin dengan ungkapan itu. Beliau menyatakan yang ustaz Mamat juga mempertikaikan makanan yang kami makan tidak suci dan harus disucikan dengan tunjuk ajar beliau. Kami mendengar sambil bersahaja menganggukkan kepala. Sokongan ke atas kawalan malam semakin longgar kerana tiada tanda-tanda akan berlaku rusuhan. Selang beberapa hari kawaan malam ditamatkan. Selesa rakan guru di situ bermain badminton.
Mungkin ustaz Mamat telah membuat post mortem atas kelemahan arahan berkawalnya, maka beliau telah mengundang kami ke satu perjumpaan bersama-sama dengan ustaz Khazai pada suatu malam. Ustaz Khazai adalah tok guru yang sangat dihormati di Pantai Remis kerana ilmu dan amalannya. Beliau menghabiskan 30 juzuk al quraan pada setiap 30 hari (sebulan).
Selepas set kedua permainan badminton malam itu berakhir ustaz Khazai pun sampai. Salam dan senyum untuk semua yang hadir dari ustaz Khazai semasa ketibaannya. Ustaz Mamat menyediakan sebiji periok besar (melebihi satu pemeluk besarnya) penuh berisi air. Kami agak kehairanan; nak minum ke, nak mandi ke, nak masak ke. Kalau kenduri tak nampak hidangan pun.
Ustaz Mamat memulakan : Tuan-tuan……….. saya nak minta ustaz (Khazai) buatkan air untuk menguatkan hati kita semua menghadapi apa-apa yang akan berlaku. Itulah antara intipati mukadimah perjumpaan pada malam itu.
Dengan senyuman ustaz Khazai menyatakan : Tiada apa-apa yang dia boleh buat dengan seperiok air ini. Beliau meminta sebatang pen dan mula menuliskan potongan ayat-ayat suci al quraan di kertas.
Ustaz Khazai menamatkan majlis : Ustaz Mamat! …… (lembut kata-katanya) Minta kawan-kawan amalkan ayat ini, wiridnya selepas solat Isyak.. insyaalah Allah akan memberi petunjuk kepada kita semua. Begitulah seingat-ingat saya kata-kata ustaz Khazai menamatkan sepekulasi pada malam itu. Permainan badminton disambung kemudiannya..
Selepas itu ustaz Mamat makin bercelaru dengan hujah-hujahnya. Walaupun dia cuba mempengaruhi kami dengan hujah keagamaan yang agak luar biasa, tetapi kami sering duduk berbincang untuk tidak meperjudikan agama dengan amalan yang luar dari pengetahuan kami. Kesimpulannya kepada saya / kami, amalan yang kebiasaan kita lakukan itulah yang sebenarnya.
Kawalan malam sudah tiada lagi, ustaz masih bermain badminton tetapi sering berkira-kira dengan kawan-kawannya untuk meneroka Bukit Sungai Batu kerana di sana ada harta karun. Kami guru-guru jiran setaman juga berbincang mengenai hal itu tetapi ianya tidak menarik perhatian kami. Lebih baik bermain badminton untuk menyihatkan badan.
…gbpencen…melakukan amalan ibadat secara biasa saja sebab takut tersesat.