Skip to content

Mimpikan FAM disiang hari

2010 January 24
by Guru Besar Pencen

NTFA (Nibong Tebal Football Association) sedang menyediakan pasukan bolasepak untuk beraksi dalam Liga Malaysia / Liga FAM 2010.

Pada tahun 2002 NTFA mula beraksi dalam Liga Malaysia, merebut Piala FAM.  2003 berjaya ke separuh akhir Piala tersebut.  Dan 2004 menjadi Johan Piala FAM mengalahkan Pasukan Lada Langkawi. Seterusnya 2005 dan 2006 beraksi dalam Liga Malaysia / Liga Perdana,  Liga yang membuatkan kami terpaksa merana kerana perbelanjaan yang sangat tinggi.  2007 juga layak tetapi FAM terpaksa meminggirkan kami kerana tidak dapat meyakinkan FAM yang NTFA boleh membiayai pasukan dari segi kewangan.  Itulah bola sepak, wang, wang, money, money, dan itulah FAM  dengan bolasepak profesional ala Malaysia. NTFA digantung selama 3 tahun penyertaan dalam Liga M.  Tahun ini adalah tahun ke 4.. kami kembali lagi.

Fax terbaru saya terima dari Persatuan Bolasepak Malaysia minta dibekalkan beberapa maklumat tambahan dalam penyertaan Liga FAM.  Yang penting minta disegerakan pembayaran wang pertaruhan RM 30 000 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Ribu sahaja) bersama RM1 000 (Ringgit Malaysia Satu Ribu sahaja) untuk yuran mengambil bahagian. Maklumat tambahan selesai,  RM1 000 juga diselesaikan tapi .. satu surat terpaksa saya utuskan kepada Leftenan Jeneral Bersara, Setiausaha Agung FAM memohon penangguhan bayaran tersebut sehingga 5hb Febuari, 2010.

Kenangan lalu sudah menghantui saya semula. Dek kerana gila bola maka surat pengguhan itu saya majukan ke Persatuan Bolasepak Pulau Pinang untuk disokong dan dipanjang ke FAM. Dari dulu lagi sudah menjadi kebiasaan saya akan menyediakan berbagai-bagai surat (untuk FAM pertimbangkan) yang berkonsepkan : penangguhan,  pindaan,  rayuan, mohon simpati, mohon digugurkan dan ada yang sehingga ke peringkat rayuan.  Kebanyakannya melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan kewangan. Dan sekarang episod lakonan itu akan dimulakan kembali, insyaalah.

Walauapa pun SAH yang NTFA sekali lagi akan berada dalam arus perdana bolasepak Malaysia pada tahun 2010 ini.  Kerana terdapat beberapa orang gila sudah berada di dalam NTFA.  Dengan penuh yakin orang-orang ini sudah menjelajah seluruh perlusok negeri, rantau sebelah sini juga di sebelah sana mendapatkan sokongan terutama sokongan kewangan.  Saya telah diminta jasa baik dan akan terus menjalankan peranan saya selaku Setiausaha Kehormat (tanpa gaji) samaada ada atau pun tiada sumber kewangan. yang sedang dicari  Kerana saya juga salah seorang dari orang-orang gila yang berada di dalam NTFA.

Malangnya…

Semalam terima satu lagi satu fax dari FAM dengan meletakkan syarat penyertaan yang baru supaya NTFA menjelaskan hutang tertunggak 3 pemain import dari Nigeria dan Agentina, sebelum dibenarkan menyertai Liga anjuran FAM.

Pada bulan Mach atau April 2007,  Setiausaha Agung FAM yang terdahulu (Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad) telah pun memaklumkan kepada saya bahawa semua hutang-hutang tersebut termasuk hutang yang dituntut oleh beberapa orang pemain lain berserta semua perbelanjaan yang didahulukan oleh FAM kepada NTFA sudahpun dijelaskan dengan menggunakan wang dsposit penyertaan RM50 000 dan grant sumbangan dari FAM.  Sungguhpun begitu Dr Ibrahim tidak pernah memperincikan perbelanjaan (kira-kira kewangan FAM/NTFA ) itu kepada NTFA selama penyertaan kami dalam Liga Malaysia.

Persiapan sudah dibuat,  pemain sudah dicari,  pemilihan sudah dimulakan tapi semakan yang dibuat oleh Leftenan Kolonel (B) ini ke atas Dato’ Seri dr Ibrahim Saad telah mengubah suasana.  Apa yang disemak, mana yang betul dan mana yang salah (?) : Dato’ Seri Dr Ibrahim,  Dato’ Azizuddin, FAM atau NTFA.  Saya amat pasti NTFA yang bersalah dalam hal ini kerana ianya datang dari kelompok akar umbi, bukan dari mana-mana menara kaca atau tokoh-tokoh besar yang berjiwa bolasepak (kononnya)

…gbpencen…tulis surat rayuan lagi untuk memberi penjelasan.

LINUS – sama, serupa, semacam.

2010 January 16
by Guru Besar Pencen

3 sms saya panjangkan kepada 3 orang guru lama saya.  Seorang pun daripada mereka bertiga belum menjawab seperti kebiasaannya .  Jam sudah hampir 4.20 petang.  Mungkin mereka tidur sebentar setelah penat mengajar pada waktu pagi.  Saya bertanyakan ejaan sebenar nama program baru pemulihan LINUS (?).  Entri ini saya tulis kerana tertarik dengan penjelasan dan perincian yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah KPM mengenai program ini.  Saya mula memikirkan untuk berkongsi pengalaman dengan guru / pemulihan lantas saya mula menulis mengenainya.

Tertarik saya bila seorang rakan GB yang masih bertugas memberi tahu impak program barupemulihan ini  ke atasnya.  Katanya ‘dia tidak perlu takut, kerana ketika program ini hampir tamat nanti (3 tahun dari sekarang) dia sudah pun bersara… Saya tertarik untuk berfikir… berfikir mengapa dia menggunakan perkataan takut (?).  Adakah dia takut ? Dia takut kepada siapa ?

Di sekolah, Program Pemulihan adalah satu kemestian.  Ianya bukan satu program ‘baru’ seperti yang beliau nyatakan,  mungkin baru kerana namanya ditukar dan dinaik taraf pengurusan program tersebut.  Umum warga pendidik sudah maklum akan perkara tersebut.   Sebelum ini pun berbagai-bagai nama telah diberikan kepada program yang berkonsepkan pemulihan oleh KPM.  Malah sekolah juga sering menganjurkan program khas pemulihan dan memberikan berbagai-bagai nama sendiri.  Pemulihan sentiasa di ‘upgrade‘ setiap tahun kerana .. murid yang tidak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sentiasa menghantui semua warga pendidikan termasuk KPM pada setiap masa.

Apa pun yang akan berlaku, sehebat manapun Guru Besar bertindak,  Pengarah mana pun yang akan memantau, Ketua Pengarah mana pun yang akan memberi penjelasan,  Menteri Pelajaran mana pun yang akan mencanangkan program baru.. tetapi keberkesanan pemulihan untuk murid yang tidak menguasai 3M adalah menjadi duri dalam daging KPM. Kalau waris mempersoalkan penguasaan anak kami di Tahun Tiga tidak sampai tahap untuk layak belajar di tahun 4.. maka ianya menunjukkan KPI setiap yang dipertanggungjawab itu juga  GAGAL (terutama GBnya)

Sebenarnya ia (kegagalan penguasaan3M) tidak memberi apa-apa impak kepada GB atau guru-guru tetapi impak yang ketara ialah kepada murid yang menghadapi masaalah menguasai 3M diperingkat awal persekolahan.  Mereka ini  sudah tidak bersedia untuk belajar dalam matapelajaran yang lebih mencabar apabila mereka di Tahun 4 nanti.  Mereka pasti akan ditinggalkan.  Dan mereka akan meninggalkan kesan yang hebat sehingga banyak gejala yang tidak mahu kita dengar,  bermula dari murid Tahun 3 yang tidak menguasai 3M.

Mengapa tidak : Umum rakan guru mengetahui murid yang tidak menguasai kemahiran asas ini akan : berkongsi masaalah tidak minat belajar, sering terpengaruh gejala tidak sihat, ingin melakukan vandlism, mengwujudkan gangguan sesama rakan, suka melakukan perkara yang tidak baik dan tidak mahu mengurus diri dan harta benda sendiri – sama ada di sekolah atau di luar sekolah.  Mereka akan terus terpinggir terutamanya setalah guru-guru sudah berada di luar batasan kemampuan untuk menanganinya dan lebih malang lagi sekiranya pihak pengurusan sekolah juga ambil sikap lepas tangan.

Maka dengan itulah LINUS (pula) diwujudkan, di upgrade dari program Pemulihan Khas, Pemulihan dalam kelas, Program PROTIM atau program lain yang bersangkutan dengan pemulihan. Satu penambahbaikan yang memberi lebih penekanan kepada guru dan GB untuk memantapkan komitmen agar ianya lebih berkesan.  Tapi apa yang berlaku saban waktu,  pemulihan tetap pemulihan,  murid masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya tapi rekod pemantauan guru yang akan bertambah, catatan guru makin bertambah,  ruang waktu semakin mengecil dek kerana tugasan perkeranian semakin juga bertambah.   Hanya satu saja (pada pendapat saya) yang boleh menjamin kejayaan program ini ialah kesungguhan dan budi bicara GB bagi menentukan guru dan murid dapat berjalan seiringan walaupun dengan membuat catatan dan rekod dengan kadar yang minima.

Kalau GB hanya memikirkan, saya akan pencen tak lama lagi,  program ini program hanyalah program lama,   cuma baru pada nama,  siapkan segera laporan bertulis hendak di hantar ke JPN/PPD, biarlah guru-guru mencari pendekatan yang sesuai, maka berilah apa saja nama yang untuk program pemulihan ini – saya yakin,  pi mai, pi mai dok tang tu jugaklah …..

Dek terasa amat pilu bila murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan6) , tidak boleh membaca,  saya mengajar Tahun 6C di akhir-akhir tempoh perkhidmatan saya.  Selepas kami mengwujudkan program Pemulihan dalam Kelas, dalam cuti pertengahan penggal kedua, kami mengwujudkan pula program pemulihan, PERKACA (namanya).  Sepanjang hari bekerja dalam masa cuti itu,   saya mengajar murid-murid tahap 2, yang tidak menguasai 3M.   Tidak banyak yang boleh diselamatkan tetapi sekurang-kurangnya kita telah menunjukan keperihatinan kita.  Dan yang membanggkan saya ada ramai guru yang menawarkan diri untuk bersama-sama dengan saya.  Mereka memberi isyarat kepada saya bahawa guru memerlukan GBnya untuk menjayakannya.  Saya masih kenal dan ingat guru-guru berkenaan yang memang sama-sama perihatin akan murid 3M ini.

Terima kasih cikgu.

…gbpencen…suka mengajar murid lemah.

Naik taraf amalan ibadat

2010 January 12
by Guru Besar Pencen

Cikgu Nick, nama sebenarnya Nick Ritchie De Souza berketuruana Spanyol Islam.  Dia telah dimelayukan oleh isterinya,  Kak Timah jiran saya. Mereka sahabat baik kami sekeluarga.  Tabiatnya suka ‘complaint’ rancanagan televisyen ketika itu – sekitar di penghujung tahun 70an ketika tv masih hitam-putih.

Antara ‘complaint’ yang pernah disanggah oleh isterinya ialah ketika beliau menegur seorang penyanyi satu program pertandingan nyanyian di televisyen yang tidak pandai menyanyi.  ‘walaupun saya tidak pandai menyanyi, tidak semestinya saya tidak tahu nyanyiannya itu tak sedap didengar’ katanya.

Saya,   walaupun saya tidak warak atau alim,  tidak semestinya saya berdoasa jika memperkatakan sesuatu mengenai amalan agama yang mencelarukan beberapa individu mengikut peringkat kematangan dan kebolehan agamanya.  Hanya satu yang menjadi kesalahan kerana ceteknya ilmu agama saya.

Beberapa tahun dahlu saya rasa agak hairan kerana ada murid-murid saya menepuk tangan menggunakan bahagian belakang tangan.  Kerana kejahilan saya, saya  memberanikan diri untuk bertanya mereka mengapa dilakukan demikian (?)  Jawapan yang saya terima ialah kerana bertepuk di bahagian dalam tangan akan mengeluarkan (membiakkan) syaitan. Mereka terus bertepuk begitu cara.

Melalui pengalaman saya, dari dulu lagi kita melakukan tepuk tangan ialah untuk sesuatu yang menggembirakan –  hanya dengan menggunakan tapak tangan.  Tidak pula ada ustaz dulu-dulu yang  menceritakan sedemikian.  Ustaz-ustaz dulu pun bertepuk melalui bahagian dalam tangan juga.

Adakah ketika itu tiada nas yang ditemui , atau masih belum terjumpa kaedah baru ini dalam kitab-kitab lama dan adakah ajaran ini ditemui dalam kitab-kitab agama moden yang baru dikeluarkan atau amalan ini dikeluarkan oleh tok-tok guru dalam zaman moden.  Jika ini dijadikan persoalan,  maka adakah orang itu dari kalangan orang jahil (?) kah.

Duduk bersimpuh makan bertalam di dalam masjid di suatu ketika.  Saya bersama 3 orang rakan makan bersama.  Salah seorang dari kami menyepit nasi dengan dua jarinya.  Maka bila ditanya, beliau menjawab inilah cara makan yang diamalkan oleh nabi – mengikut sunnah.  Untuk tujuan kesihatan, makan begitu akan mengurangkan gelojoh dan kapasiti makanan.  Kita sebagai ahli sunnah patut mengingkutnya.  Secara jujur saya tidak selesa makan begitu.  Saya terus menggunakan tangan dan kesemua jari saya untuk menyuapkan makan.  Salahkah saya ?

Selepas solat berjemaah, doa dibacakan.  Dari dahulu lagi amalan doa dan wirit sudah menjadi sebati dengan semua jemaah.  Diamalkan dengan sebaiknya.  Dihayati dengan penuh keinsafan   Tetapi pada  suatu ketika,  tidak berapa lama dulu terdapat satu alunan lagu tambahan di dalam doa tersebut.  Beberapa kali saya mengikutinya,  saya juga telah boleh melagukannya.  Tapi diakhir-akhir ini pula, saya tidak pernah pula terdengar imam melagukan alunan tersebut semasa berdoa.   Mungkin saya tidak selalu mengikuti kuliah tapi mengapa dulu tiada, kemudian ada, kemudian tiada pula.  Sekejap ada sekejap tiada ..

Di suatu masa dulu,  di sana sini akan kedengaran bunyi suara berbisik-bisik membaca ayat-ayat dalam rukun sambil bersembahayang jemaah.  Semuanya antara dengar dengan tidak saja bunyinya. Bacaan Al Fatihah dan lain-lain ayat lazim juga begitu.  Perbuatan itu tidak menarik perhatian jemaah lain kerana pada masa itu (dulu-dulu) , bunyi sebutan-sebutan itu perkara biasa sahaja.  Di akhir-akhir  ini pula,  saya berperasan suasana begitu sunyi ketika berjemaah.  Sebutan-sebutan yang saya nyatakan tadi yang sebelum ini antara dengar dengan tidak sudah tiada lagi.  Hari demi hari saya semakin perasan.

Saya belum lagi mendengar rasional yang perkara ini harus berlaku,   dan dari mana amalan sedemikian diperolehi dan dipraktikkan.  Jahilnya saya yang mana ketikamana ibadat telah dinaik taraf.. tapi saya masih ketinggalan.

Sekarang saya tidak berani memperdengarkan bisikan ayat-ayat sembahyang saya lagi, namun warga lama sebelum saya masih meninggikan bunyi bacaan seperti ketika saya berjemaah semasa kecil-kecil dahulu di masjid (??). Tapi, ada jemaah muda menjeling-jeling kepadanya tapi warga lama ini  tidak menghiraukannya (buat deek saja)

Begitulah ketika siak di kampung saya merungus lantas mempamerkan sebidang papan kenyataan di tepi kolah wuduk di masjid yang berbunyi :  Jangan masukkan kaki ke dalam kolah semasa membasuh kaki ketika mengambil wuduk‘  Sebelum itu saya ada juga terdengar seorang mualim berserban besar di kampung saya menyatakan – Lebih “afdal” (sangat baik) jika memasukkan sepenuhnya kaki dalam kolah ketika menyelesaikan ‘wuduk’ – saya diam saja kerana ini satu amalan ‘baru’ bagi saya yang kurang mengetahui. Semenjak itu saya selalu mengambil wuduk di pili air, lebih bersih dan selamat.

…gbpencen… tidak tergamak memasukkan kaki dalam air yang makmun lain menggunakannya  untuk berkumur. .