2 January adalah merupakan hari-hari awal dalam kalendar 2010. Jam 5.00 petang memandu berseorangan balik ke Kulim dari makan kenduri di Junjung. Sampai di hadapan Sekolah Menengah Teknik, Kulim, saya memperlahankan kereta Wira 1995 saya (disebut dalam entri 1 Januari baru lalu) kerana banyak kereta waris berada di kiri kanan jalan. Kereta terus bergerak dalam kelajuan antara 30 hingga 35 kmh menghampiri selekoh garisan berkembar dari arah hadapan. Kelihatan kereta dari arahan bertentangan bergerak teratur dan perlahan seperti saya..
Tiba-tiba..
meluru dengan laju sebuah motosikal dari arah hadapan memotong deretan kereta betul-betul diselekoh itu. Penunggang remaja itu telah melampaui garisan berkembar. Motosikal sudah berada di laluan saya. Saya cuba sedikit mengelak ke kiri dengan harapan dapat memberi laluan kepadanya untuk mengelak dari melanggar kereta saya. Namun dia tergamam. Saya nampak jelas raut mukanya yang sangat panik. Saya hanya membrek dan menunggu.
Saya fikirkan ke mana dia akan terjatuh dan bagaimana seriusnya dia nanti. Saya fikirkan apa yang bakal terjadi kepada saya, samaada badan motosikal atau pennggangnya akan menghempap cermin hadapan kereta saya. Motosikal itu meluru ke arah kereta saya tanpa melakukan apa-apa. Motosikalnya terus menghentam bahagian hadapan kereta saya dengan kuat. Sempat saya melihat badannya melambung ke udara mengatasi bonet kereta saya tetapi saya tidak sempat nampak tubuhnya jatuh kerana terlindung dengan ‘bonet’ depan saya telah terkopak ke atas.
Saya tidak lantas keluar. Saya memerhati keliling bahagian dalam kereta saya. Semua benda yang berada di atas kusyen tercampak ke lantai. Telefon saya entah kemana. 20 minit kemudian barulah telefon bimbit saya ditemui, nun jauh terpersosok di celah pedal brek kaki, malangnya baterinya sudah hampir habis.. hanya sempat mengambil 2 keping gambar untuk facebook saya (ideris_rejab@yahoo.com) Saya pasti saya membrek dengan kuat kerana terkejut. Sungguhpun begitu tindakan saya itu (memberek) tidak membantu memperlahankan kenderaan saya kerana motosikal remaja itu meluru laju. Saya begitu tenang dengan memujuk perasaan bahawa ‘tiada apa yang saya boleh buat selebih dari itu‘ Saya hanya menunggu kedatangannya untuk menghentam dan meranapkan semua bahagian depan kereta saya. Berkecai berberai-berai..
Radio kereta masih berbunyi. Saya membuka pintu dan terus keluar. Remaja itu menangis, sesal dan sedih. Saya takut menghampirinya kerana dari mata kasar saya kecederaan kakinya agak serius kerana seperti terkulai. Sungguhpun begitu saya rasa lega kerana dia boleh bergerak, bersuara, bangun dan baring kembali di atas jalanraya, mungkin kerana kesakitan yang amat sangat. Saya minta dia bertenang dan jangan banyak bergerak. Saya memujuknya dengan mengatakan bahawa kecederaannya tidak serius. Orang ramai memberhentikan kenderaan dan berkerumun di tempat kejadian. Ada seorang saksi dari sebuah kereta 4×4 yang mengekori saya; sibuk memberi kenyataan kepada orang ramai yang tertanya-tanya. Dia yang melihat kejadian itu dalam jarak yang paling hampir kerana kereta itu mengekori saya dari Pekan Junjung lagi. Ada juga yang bertanya saya…
Sebuah kereta Mercedes berhenti di belakang kereta saya. Tuan punya kereta Mercedes itu sibuk menelefon ke sana-sini melaporkan kejadian kemalangan saya dengan begitu sistematik sekali. Dia bertanya maklumat diri saya dan saya memberi kerjasama kepadanya. Dia bertanya nombor telefon saya, saya menjawab telefon saya belum dijumpai – berkali-kali. Dia dengan agak marah dan meninggikan suara. . Baru saya tersedar walaupun telefon belum dijumpai tapi nombornya sepatutnya saya tahu.. Saya tersenyum sendirian mengenangkan kebodohan saya – mungkin kerana sedikit agak terkejut ..
Saya bertanya siapakah tuan ? Rupa-rupanya dia seorang Pegawai Polis dari Alor Star.. ooo patutlah berkereta besar ( Mercedes). Saya mengucapkan terima kasih kerana menjadi beliau bertindak menjadi pegawai perhubungan dalam kejadian itu kerana membuat semua panggilan kecemasan termasuk kepada waris penunggang motosikal itu. Terima kasih TUAN !
Kemudian, dua orang anak saya datang, kerana rumah saya tidak jauh dari tempat kejadian… ambulan pun datang, ibubapa penunggang motosikal itu pun datang, polis pun datang, wakil insuran pun datang. Episod duka itu semakin berakhir. Jam 7.00 malam kereta saya telah tiada bersama saya lagi dan kembalilah saya ke rumah dalam keletihan.
...gbpencen…Syukur alhamdullilah.
Banyak ungkapan lunak sempena menyambut tahun baru Masehi yang boleh kita dengar. Ianya berlaku dalam bulan December. Secara jujurnya menyambut Masehi lebih bererti dari menyambut Muharram. Diharap ianya bukan satu dosa kerana itulah hakikatnya. December penuh bermakna buat semua dan buat saya seada-adanya.
Saya dilahirkan dalam bulan December. Bila menjelang tahun baru usia saya sudah genap. December tahun ini genap 58 tahun. Satu penitian yang jauh dan semakin dirasai. Bagi guru-guru yang mengambil opsyen bersara 58 tahun, kudratnya makin terasa kurangnya. Kepada Guru Besar yang memilih opsyen tersebut saya angkat topi jika mereka menyatakan tidak meletihkan kerana saya bersara pada usia December 2007 – 56 tahun, ianya sudah cukup untuk mengajar saya ertikata tugasan yang meletihkan.
Saban tahun ada saja azam yang ditanam tetapi bagi saya saban tahun saya tidak mempunyai apa-apa keazaman. Keazaman akan menuntut kita agar sentiasa berusaha memajukan diri. Saya tidak berhasrat untuk memajukan apa-apa. Membujur lalu melintang patah. Apa yang menghalang akan saya akan ‘randuk‘ , apa yang membujur saya akan ‘redas‘. Terpulang kepada apa yang telah disuratkan ke atas saya. Wajarkah saya begitu ?
December sungguh bererti kepada saya. Setiap December akan menjadi ingatan kepada saya bahawa saya telah genap usia (?) tahun. Setiap December saya akan menilai diri. Berbagai persoalan : Sudah berumur, sudah tidak berjaya, sudah berjaya, semakin sihat, semakin di ambang keuzuran (?), sudah puas, sudah insaf dan berbagai-bagai lagi termasuk sudah cukup (?) mempersiapkan diri untuk menghadapi hari-hari akhir. December dapat mengungkapkan segalanya.
Namun saban tahun setiap kali December meninggalkan kita, semasa Januari hampir menjengah diri.. saya ingin pastikan saya tidak mengecewakan tanggung jawab saya. Saya selalu mempastikan saya tidak melakukan penginayaan kepada sesiapa, tidak sombong, tidak bongkak, tidak bakhil. Juga dapat menyumbang kepada diri sendiri, keluarga, rakan dan teman sekadar termampu. Mungkin ini boleh dikategorikan sebagai ‘azam saya‘. Azam yang sama saban tahun.
Di December beberapa tahun kebelakangan saya sudah tidak mengejar apa-apa. Kereta masih lama – Wira 1995, motosikal lama – Honda Fame 1985, rumah lama – 1979 , hiasan baru (kerana bini rajin berhias) , pakaian lama , bini lama.. semua yang baru sudah tidak menjadi buruan saya. Ianya telah terkeluar dari perlumbaan saya. Cukup dengan apa yang ada. Saya mencari gelak ketawa kawan-kawan, senyum mesra sanak saudara, helai ketawa anak cucu, yang mana masih mahu mengukir senyum, yang masih mahu tertawa-tawa dan yang sudi bermesra.
Di December ini pula sudah tidak menarik lagi darjat dan bintang kebesaran (dari dulu pun tak minat – walaupun ditawarkan), sudah tidak perlu sanjungan menggunung, sudah tak perlu lagi jawatan yang berkuasa, sudah tidak mahu lagi glamour tak bertempat, juga tidak begitu perlu makanan yang enak, minum yang lazat, hiburan yang mengasyikan. Cukup teh secawan, nasi semangkuk pelapik perut; yang penting ada rakan yang mahu berbual, ada keluarga yang mahu menyapa dan sana saudara yang boleh diajak bicara.
Hanya sangat diperlukan ialah kesihatan yang sejahtera dengan susuk tubuh seadanya agar dapat memberi kebajikan kepada diri sendiri, keluarga, sanak saudara dan sesiapa saja. Amin ……..
Dari dahulu hingga sekarang, saya hanya seadanya. Melayari kehidupan sebagai penumpang di bumi Allah ini. Sentiasa menjengah ke belakang (itu sebab tidak maju) melihat sisa-sisa kehidupan manusia di bumi ini.
Tahniah kepada semua yang bertekad menghambat kemajuan diri (tidak salah, malah dituntut, digalakkan dan disokong). Namun dalam operasi penghambatan ini, sertailah ia dengan sedikit kesedaran dengan menoleh sedikit ke belakang untuk melihat-lihat yang tertinggal itu, kerana yang tertinggal itu adalah sisa-sisa manusia yang sedang bergelumang ‘meniti kehidupan‘.
Selamat Meniti Kehidupan Tahun Baru 2010
...gbpencen… ada anataranya yang saya pun cakapkan tidak serupa bikin.
Coretan awal ‘entri’ ini rasanya telah lengkap dan telah di publish..
tetapi entah kenapa hanya separuh saja coretan yang terpapar. Penat rasanya melakar tajuk ini sebelum ini. Walaupun begitu ingin juga mencoret mengenainya, maka coretan kedua terus dilakukan. Bukannya apa, tetapi ingin juga mencoret pengalaman lalu yang tidak seberapa ini.
Kalau tidak salah, baru-baru ini seorang Timbalan Menteri Pelajaran, Malaysia mengumumkan bahawa tidak lama lagi sekolah-sekolah akan ditempatkan seorang Guru Sukan khas. Ramai kalangan warga pendidik tidak terkejut dengan pengumuman itu. Sudah menjadi kebiasaan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa oleh KPM walaupun ada diantaranya boleh dibicarakan kesannya terhadap pengurusan atau pembelajaran di sekolah.
Apakah keperluan Guru Sukan (khusus) diwujudkan di sekolah melainkan untuk memantap dan memperkemaskan pengurusan sukan di sekolah. Mungkin pada pandangan KPM pengurusannya masih tidak berkesan atau untuk membantu memudahkan lagi pengurusan sukan yang sedia ada di sekolah. Apapun alasannya kita bersetuju dengan cadangan KPM itu.
Walau bagaimanapun kita sepatutnya mengimbas kembali pelaksanaan ICT dalam PPSMI yang telah mengundang banyak masaalah dalam menguruskan peralatannya. Setelah melalui berbagai kekangan, akhir sekali KPM telah membuat penambahbaikan dengan membekalkan 2 orang juruteknik ke sekolah bagi membantu memudahkan tugasan penyelenggaraan peralatan ICT tersebut. Mungkin pada ketika itu KPM merasakan tugas penyelenggaraan yang dijalankan oleh agensi swasta (sebelum itu) tidak sampai ke tahap yang diharapkan.
Sungguhpun 2 juruteknik (kebanyakannya perempuan) dibekalkan, adakah masaalah yang dihadapi oleh makmal ICT (multi media) telah berakhir. Jawapannya sangat pasti iaitu TIDAK. Jika auditan (istilah popular masakini) dibuat secara jujur hanya keselesaan menjawat jawatan (kerajaan) tersebut oleh golongan yang bernasib baik ini saja yang ketara. Untuk makmal ICT ianya masih di tahap lama. Komputer masih berhabuk, internet yang tidak berfungsi terus begitu juga, bilik akses terus sunyi, pemantaun pembelajaran murid terus terabai, stok entah ke mana dan printer terus tidak bergerak.
Dulu tidak ada kaunselor sekolah tetapi GB bersama rakan pengurusan memilih guru yang sesuai untuk dipertanggungjawabkan mengenainya di sekolah. Selepas itu diwujudkan jawatan guru kaunseling. KPM (mungkin) pada masa itu merasakan bahawa amat penting ada satu jawatan khusus untuk tujuan itu; yang akan berkhidmat dalam waktu perjabat di sekolah. Gerakan besar-besaran dilakukan untuk mengisi jawatan ini. Pada akhirnya ada kaunselor yang menjalankan tugas dengan baik dan ramai pula yang separuh jalan. Pada masa ini jawatan dan guru kaunseling masih ada di sekolah, hanya ada pada nama tetapi pengingkatan dari segi memberi input yang maksima di sekolah masih banyak boleh dipersoalkan.
Guru Besar harus melibatkan diri untuk membuat auditan di sekolah samaada kedua-dua jawatan khusus yang diwujudkan di sekolah sebelum ini menepati kehendak KPM. Atau KPM harus membuat satu auditan bebas terhadap keberkesanan pelaksanaan Juruteknik ICT dan Guru Kaunseling Sekolah. Auditan termasuk adakah Guru Besar sendiri telah mengkhuskan tugasan mereka demi tidak membazirkan jawatan atas nama keperluan sekolah. Adakah stok telah dikemas kini, semua peralatan sudah berfungsi dan diselenggara dan penggunaannya oleh murid boleh dibuat secara maksima.
Adakah murid yang bermasaalah ditangani dengan berkesan, adakah rekod pertemuan menggambarkan tugasan yang profesional, semua sistem kaunseling berjalan dengan teratur. Benarkah disiplin di sekolah ditangani secara bijaksana dan pendekatan berhemah dibuat kepada semua warga sekolah. Bagaimana dengan program dengan waris (?) adakah ianya memberi impak (baik) maksima terhadap warga sekolah. Dan yang penting adakah guru kaunselor bertugas seperti waktu pejabat ?. Dan banyak lagi.
Yang paling dikhuatiri, jawatan khusus tetapi tugasan tidak khusus. Tiada garis panduan yang dikeluarkan oleh sekolah bagi menetukan pengkhususan yang harus dilaksanakan oleh penjawat jawatan tambahan di sekolah. Ianya amat penting kerana ia akan menggambarkan (KPI) sesorang penjawat jawatan tersebut di sekolah. Dan pemantauan secara berterusan harus dilakukan supaya tidak berlaku pembaziran jawatan. Ini menyebabkan tugas pengurus sekolah lebih berat lagi dengan pengwujudan jawatan-jawatan baru di sekolah (istilah baru : kerana ia melibatkan wang rakyat – kata ahli politik).
Begitu jugalah akan berlaku jika sekiranya jawatan Guru Sukan Sekolah diwujudkan. Dengan kehadiran pegawai baru ini sekadar untuk memberi arahan, tampil dengan idea yang bermutu maka ianya sudah tentu akan turut membazirkan jawatan seperti yang telah berlaku sebelum ini. Ianya perlu mempunyai minat (terhadap sukan) berpengalaman, boleh mengwujudkan suasana kerja berpasukan, komited, mempunyai seni menguruskan manusia (guru yang pelbagai gelagat) / keadaan.
…kalau tidak, biarlah seperti keadaan sekarang, kerana sebelum ini pun sukan di sekolah telah lama menjadi feeder kepada negara untuk meniti kecemerlangan. Dan kalau jawatan ini diwujudkan sekalipun belum tentu lagi kecemerlangan sukan yang sedia ada akan lebih menyerlah…
…gbpencen…sentiasa membawa test pen keliling sekolah sambil menjadi juruteknik sambilan.