Skip to content

(Iklan) Harta Puaka – ‘for sale’

2009 August 22
by Guru Besar Pencen

Maaf – hanya sebuah iklan (cerita ini cerita sebenar sungguhpun begitu nama-nama dalam cerita ini bukan nama sebenar) :

Awal memang beria-ia untuk menjual tanah pusaka ini.  Yang lain (perwaris lain) pun beria-ia juga tetapi mendiamkan diri.  Tanah seluas 37.5 ekar itu bersebelahan dengan lokasi Crystal Golf, Valdor, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Tanah tersebut melalui satu rantaian sejarah keluarga yang unik.  Ianya bukan sekadar harta pusaka tapi ianya sudah hampir menjadi harta puaka. dengan sebab itulah mungkin telah mendorongnya untuk mengiklankan jualan tanah tersebut dalam akhbar Metro, 19hb Ogos, 2009.

Keluarga (arwah) ayah Awal dan keluarga (arwah) ayah Azmi memiliki separuh dari keluasan tanah tersebut.  Ayah-ayah mereka adalah abang saya.  Dan keluarga (arwah) Tok Smeea memiliki separuh lagi. Sekarang rangkaian pewaris sudah berleret-leret panjangnya tapi semua mereka sudah bernafsu benar untuk menjual tanah tersebut.  Tanah itu sudah tidak berhasil lagi.  Walaupun begitu semuanya membisu seribu bahasa kerana…..

Dulu semasa arwah-arwah ini masih hidup, keluarga Tok Smeea mentadbir tanah tersebut sebagai sebuah ladang (estate) getah.  Selepas meninggal dunia, salah seorang dari keluarga ini (En Aseop) meneruskan urustadbir tanah tersebut. Sehinggalah keluarga abang-abang saya sedar bahawa tanah tersebut telah tidak lagi memberi keuntungan kepada keluarga kami. Semua sepakat menyerahkan urusan jualan kepada En Aesop.  Jualan gagal dibuat dengan sedikit kekeliruan tetapi berjaya mengagihkan 10% cagaran pembelian bernilai RM400,000.00 kepada semua pewaris.

Tanah telah di ‘kavet’ oleh bekas pembeli yang telah kehilangan RM400,000 cagaran pembelian. Asas ‘kevet’ kerana ada diantara pewaris yang telah diberi/menerima wang tambahan sebanyak RM100,000.00 (untuk keluarga kami) dan RM100,000.000 untuk keluarga En Aesop . Arwah abang-abang saya telah memulangkan semula wang tersebut kepada peguam ( dan masih dalam simpanan peguam) sebagai memudahkan urusan membuka semula kavet bagi penjualan seterusnya nanti. Sehingga sekarang ‘kavet’ tidak boleh dibuka melainkan keluarga En Aesop mengembalikan wang tambahan RM100,000.00 yang diterimanya.. kata peguam.

Tahun ini saya telah membayar bayaran hasil tanah tersebut kerana takut tergadai.  Tahun-tahun sebelumnya ada sanak saudara saya yang agak berada menjelaskan bayaran tersebut.  Dia juga takut tergadai.  (orang lain entahlah … ). Nama saya tidak pun tercatat dalam senarai pewaris di geran tanah itu.  Demi sayangkan tanah pusaka bahagian abang-abang saya, saya gagahi juga.  Saya juga berharap tanah tersebut untuk dijual.   Saya kasihankan arwah yang telah berusaha untuk menyediakan pusaka untuk anak cucunya tetapi sekarang sudah semakin menjadi puaka dengan gelagat manusia. Awal menetapkan harganya RM6.00 sekaki persegi diiklannya dan saya mempertaruhkan RM5.00 adalah last price kerana wasiat tidak rasmi dari ayah Awal bahawa beliau berharap harga RM5.00 sekaki persegi itu harus dipertahankan. Hampir RM6juta boleh diagihkan mengikut ‘faraid’ kalau boleh dijual dengan harga itu.

Kepada semua keluarga saya, demi Allah tiada kepentingan apa-apa untuk mendesak saya menjual tanah itu untuk kepentingan saya.  Yang penting kerukunan hubungan kekeluargaan yang dipertahankan selama ini telah agak tergugat dengan harta puaka ini.  Kita kena rasional kerana tiada siapa yang berusaha untuk menjual tanah ini hanya Awal sahaja.  Tiada siapa yang mempunyai hak mutlak ke atas tanah tersebut, tambahanlah saya. Sebenarnya semua keluarga ayah Awal, ayah Azmi dan keluarga Tok Smeea ada hak atas tanah ini TAPI kenalah duduk semeja untuk berpakat.  Pakat membawa berkat;  wasangka membawa perasangka dan camcamerba.

Kepada keluarga Aesop :  Bukalah  hati duduk semeja .. berunding.  Semua akan dapat habuannya.  Usaha perasangka kerana harta puaka ini jika diperolehi nanti,  sudah tidak perlu lagi ‘memegang cangkul’, hanya sediakan jari untuk mengira duit berjuta .  Insyaalah.

Kepada pembeli : kalau benar hendak membeli, usahlah jadi broker ‘air liur’ saja.  Tunjukkan kesungguhan, amanah dan telus, pasti hajat tidak terhalang. 2 panggilan telefon dari bakal pembeli belum menunjukkan tanda-tanda positif.

..gbpencen…bersedia untuk mengigit ‘gigit jari’….. kerana sangat mengetahui bahawa inilah dunia.

Tulis dan tulisan.

2009 August 18
by Guru Besar Pencen

Sewaktu melaporkan diri,  terima buku ringkasan BR ‘sebenar’  kali pertama dalam sejarah profesion perguruan.  Seronok tidak terkata kerana impian selama ini sudah benar-benar menjadi kenyataan.  Tiada taklimat khas untuk guru baru seperti saya oleh Guru Besar (GB). Sekarang tau lah saya bahawa GB (itu) memang sibuk sehingga guru baru pun tidak sempat ditaklimatkan. Pada masa itu, awal 70an pun GB sudah sibuk; apatah lagi sekarang.  Jam 9.00 pagi kelihatan GB (Cikgu Zainal Abidin) keluar dari kawasan sekolah dengan kerata Fiatnya ke pekan Pantai (Pantai Remis) – minum kopi.

Saya mula melakar BR mengajar.  Berbekalkan sedikit pengalaman latihan mengajar sebelum ini saya tertinjau-tinjau buku guru-guru  lama di sekolah itu.  Ada yang ‘helpful’ saya dekati dan memperolehi sedikit panduan, selainnya saya memperolehi dari buku   yang diserahkan kepada saya oleh GB.  Menulis adalah kegemaran saya.  Saya terus menulis dengan kemas dan cantik (kerana minat).

35 tahun telah berlalu, saya menyedari bahawa tulisan saya telah berubah kerana faktor usia.  Jari, lengan dan tangan telah mempengaruhi lenggokan pen / pensel yang saya pegang ; usia telah mempengaruhi jari, lengan dan tangan.  Oleh itu tulisan saya sudah tidaklah secantik tahun-tahun sebelumnya tetapi saya tidak mahu berhenti menulis selagi ejen menulis saya terus mahu melenggokan tarinya walaupun telah sumbang. Yang terbaru saya menulis buku ringkasan (cikgu Zarina) yang saya gantikannya semasa menjadi GSK (Guru Simpanan Kebangsaan).

Anak dara tua tok sidang Pantai ( Arwah- Haji Hamdi) menemui saya di bawah rumahnya (tempat saya menyewa semasa mula mengajar).  Lulusan Universiti. Dia berkata : Setelah dia (pemeriksa kertas STP) memeriksa kertas Sejarah Islam lantas bersedia memasukkan markahnya dalam senarai.  Dia terpandang kertas (itu) atas nama saya. Dia mengakui dia terpengaruh dengan tulisan saya ketika memberi markah.  Bla..bla.. sembangnya lagi.  Saya lulus (satu-satunya) kertas itu dengan prinsipal, yang lain semua gagal menyebabkan saya gagal menempatkan diri ke Universiti. Begitulah pengaruh tulisan.  Kertas jawapan saya lengkap dengan garisan (underline pada bahagian-bahagian tertentu) merah kerana kurang modal (jawapan) kena tumpukan tulisan (cantik/kemas).

Bila menjadi GB selama (10) tahun saya melihat bermacam-macam tulis guru di BR .  BR Cikgu Norhanizah boleh dibuat pameran di peringkat kebangsaan (rujuk SK Jawi, PPD SPS) Dengan anak seramai 9 orang (ketika itu), mengajar katagori (B+) beliau dapat memberi ruang untuk menulis dan berlakar dengan begitu berkesan sekali.  Kebanyakan guru perempuan menulis dengan baik walaupun bukan yang terbaik. Kebanyakan guru lelaki menulis BR dan ada diantaranya, tidak bersedia memberi banyak komitmen untuk menulis BR .  Yang malangnya mereka tidak selalu bersedia untuk menghantar buku itu(seperti dikehendaki)  untuk disemak oleh GB dan lebih malang ada yang ponteng tulis dan ponteng hantar.  Cigu BIBI, graduan Sains – Biologi, BR nya boleh di ‘pamerkan juga’ teliti dan berkesan – rajin. Tahniah

Pada saya (kegagalan guru ini) tidak menjadi dilema kerana saya (memberi perhatian serius) selalu memantau dan mempunyai rekod ke atas pengurusan BR ini.  Juga semakan saya adalah diperlengkapkan dengan komen dan rekod pengurusannya sekali. KERANA saya diberitahu bahawa BR mempunyai ‘peraturan’ khas untuknya dan boleh (jika mahu) untuk diketengahkan.. oleh itu saya harus menyediakan diri saya agar kelemahan guru tidak memerangkap saya.  Maka bersusah payah lah saya (kerja lebih sikit) untuk menentukan semua akan berjalan dengan baik dan tidak mengganggu tugasan saya yang lain.  Allhamdullilah..

Saya hanya perlu / pernah menyemak BR (sekali dalam sesuatu masa)  ke atas seorang guru yang tidak selesa untuk menghantar BRnya sekian lama.  Saya mengambil kesempatan itu untuk membuat catatan bagi merangsang kesedarannya yang saya menyemak BRnya, tahu kelemahan, tidak mengambil mudah tindakannya dan secara tidak sengaja menyatakan (dengan berhemah) itu adalah satu kesalahan.  Tiada rekod yang saya simpan untuk itu, hanya cukup sekadar catatan di helaian dalam BRnya saja.  Kerana saya beranggapan catatan saya itu rasmi dan sudah lengkap untuk menyatakan segala-galanya.  Tiada siapa pun tahu melainkan saya dengannya sahaja. Tiada Nazir memerangkapnya pun … tapi kalau terperangkap ‘catatan saya telah menyatakan segalanya’  Amin.

Tulisan guru cantik, bukan sahaja cantik tapi mesti cantik.  Sebenarnya banyak guru yang tidak menulis dengan cantik.  Coretan seperti contengan, menulis seperti melakar dan terus terbawa-bawa di papan hitam / putih. Murid pula terbawa-bawa dengan tulisan gurunya.  Menjadi kelaziaman guru yang tidak berminat menulis dengan elok (kalau pun tidak cantik) akan tidak memperdulikan tulisan muridnya.  Cantik atau tidak,  tidak mepunyai nilai kepada guru seperti ini. Oleh yang demikian sepatutnya guru membentuk tulisannya dan bentuklah tulisan murid kita sebaiknya. 

Tulisan kita / murid kita melambangkan ‘KITA’.

…gbpencen…paling kurang akan buat sekali bengkel tulisan untuk guru (ajar guru menulis tulisan ‘sambung’).

Ulang setengah tahun di alam maya.

2009 August 14
by Guru Besar Pencen

14hb Ogos, 2009  (HARI INI) genap enam bulan Guru Besar Pencen (GBP) berada di alam maya. Ia merupakan detik sejarah peribadi yang hanya perlukan penilaian sendiri. Berbagai perasaan bermain di hati namun ia hanya beberapa lakaran kenangan yang belum sempat di kategorikan. Merangkumi semua aspek yang menjadi kenangan – sepanjang melayari kehidupan. Ada banyak lagi lakaran entri yang sedang menunggu giliran (sementara belum ada kesempatan) sebelum kehidupan disini berakhir.  

Kajian separuh penggal pertama syarikat koprat menjana keuntungan berbillion ringgit, namun kajian separuh penggal GBP menjana kenangan yang tidak ternilai harganya. Bertuah blog ini berada dalam penulisan maya walaupun tiada seindah blog-blog lain.  Peluang untuk mencoret kenangan digunakan sebaiknya untuk dikongsi pada yang sudi, jika tidakpun,  ianya akan menjadi diari kehidupan peribadi sepanjang zaman. Pada prinsipnya, GBP mempunyai cara tersendiri mempersembahkan coretan.  Ianya didorong oleh cara GBP menguruskan keadaan – telah terbawa-bawa dengan gaya dan cara menulis di blog ini.  Tidak ada apa-apa yang cuba ditonjolkan dalamnya, hanya pengalaman lalu terus mengajar kita semua – hanya itu yang mahu dikongsi.

Tidak dapat dinafikan penulisan blog mempunyai cabarannya..  Sekerdil blog ini pun mendapat komen peribadi dari rakan-rakan yang ditemui.  Berbagai pandangan telah diterima namun ianya akan terus berada di maya untuk selama yang boleh.  Semuanya akan dijadikan panduan untuk GBP terus memperkasakan diri dengan berpegang kepada kebenaran peribadi untuk dikongsi melalui komen (dalam entri atau bersemuka).  Dengan 42 coretan (entri) bersama  ‘visitors’ mencecah 2017 (14hb Ogos, 2009) bukanlah sesuatu yang isitimewa tetapi ianya satu perkiraan yang tidak menghantui saya untuk terus berada di sini. Dengan 173 komen yang sebahagiannya adalah jawapan komen dari GBP sudah cukup membanggakan saya.  Terima kasih pengomen (betulkah perkataan ini).

Ramai (mungkin) pembaca (yang mengenali saya) yang tidak menurunkan komen (walaupun percuma) kerana segankan saya. Saya sedar bahawa perawakan wajah saya (yang bengis – walaupun tidak cengea) selalu menyukarkan seseorang untuk berkomunikasi dengan saya.

Sepanjang pengamatan saya di blog-blog (kebanyakan blog guru) semuanya mempunyai kemahiran yang baik dan tinggi.  Banyak informasi yang boleh diperolehi bagi membantu seorang guru melayari kehidupan. Serasanya setiap orang guru harus mempunyai blognya sendiri.  Sungguhpun begitu blog guru-guru yang sedia ada sudah cukup untuk mereka yang tidak punya blog menumpangnya (termasuk blog saya – GBP).

Mengunjungi blog-blog lain (yang begitu banyak sekali) terpanggil untuk memberi pendapat bahawa, kemudahan maya telah membuka ruang dan peluang kebebasan bersuara yang begitu luas.  Terutamanya blog-blog politik.  Ianya begitu lantang, garang tanpa di larang – menyatakan pendapat, begitu terdedahnya pemikiran seseorang sehinggakan kadangkala kita tidak dapat memikirkan hala tuju sebenar.  Ada yang benar dan ada yang kita perlu berfikir lebih panjang untuk mengakurkan kebenarannya.  Biarlah begitu kerana kita yakin pembaca semua mempunyai citarasa dan prinsip sendiri untuk menerima atau menolaknya.

Apa pun, ‘sebagai pelayan kecil tanah airnya’ masih juga mahu (walaupun sudah berusia) bersama dalam arena sendiri, walaupun ilmu tiada seberapa tetapi bahasa masih ada, walau ceritanya cerita biasa tetapi ceritanya benar belaka,  walaupun tulisan tidak semacam mana tetapi melalui pengalaman dakwat di tinta,  walaupun sedikit pengalaman ditimba tetapi hakikat ingin dikongsi bersama, walaupun …

…gbpencen…..hanya seorang guru biasa, yang mengajar tulis dan baca …(usmanawang)