Saya dan semua orang tidak dapat menafikan bahawa dengan menjawat tanggungjawab sebagai Guru Besar (GB) memang berat. Semua kena tanggung dan semua kena jawab. Alang-alang sabar, LARI. Memikul tanggungjawab besar inilah yang membuatkan berbagai bagai ragam berlaku. Samaada gagal, tak faham, tak sempat, tak boleh, tak pandai, tak cerdik, tak mahu berubah, tak mahu belajar, malas, takut, tak berani dan banyak lagi yang menyebabkan ramai GB menghadapi tekanan.
Akhirnya banyak tindakan GB yang dapat dilihat dan disaksikan diluar jangkaan . Tindakan berbagai itu berlaku – datangnya dari GB itu sendiri. Prasarana , murid, pihak atasan dan guru disesebuah sekolah adalah sama sahaja di semua sekolah. Tentu ada yang mempertikaikan bahawa semua guru di sekolah tidak sama diantara satu sekolah dengan yang lain, tapi saya tetap menyatakan sama kerana ‘masaalah sekolah memang ada di mana-mana. Yang saya yakin; membezakan antara satu sekolah dengan yang lain ialah – warisnya, masyarakatnya, sosio ekonominya dan Guru Besarnya.
Setelah sekian lama tidak bertemu dengannya, kesempatan itu saya gunakan untuk bertanya di sekolah mana dia berada sekarang. Seperti biasa dia yang tidak mesra dengan saya lantas menjawab, dia telah bertukar sekolah. Menjawab soalan lanjut dari saya dia menyatakan yang dia sudah tidak tahan dengan Guru Besarnya, Juga dia menyatakan walaupun tidak berpangkat (PK 1) lagi di sekolah baru, tetapi dia berpuashati dengan sekolah itu. Seperti dia ‘terlepas’ sesuatu yang amat menyulitkanya.
Klimaks kepada perbualan ringkas itu dia menyatakan pada suatu hari Pengawai Pelajaran Daerah telah datang ke sekolah berserta rombongannya. Dengan tak disangka-sangka (olehnya) Guru Besarnya (yang saya kenal) telah lari keluar ikut pintu pagar belakang. Maka tinggallah dia (PK 1) berhadapan dengan PPD. Saya tidak pula bertanya pula mengapa Guru Besarnya ‘lari’ ?. Walau bagaimanapun andaian yang saya buat mungkin ada antara tugasan yang tidak sempat diselesaikan. Dia berkata benar. Saya percaya Cikgu Ann (bukan nama sebenar) tidak bohongkan saya.
Sekiranya ada sesuatu yang kurang ketika lawatan mengejut sebegini, sudah tentu memenatkan – sesiapa saja. Lebih penat lagi sekiranya Guru Besar yang menghalusi tugasan (tapi belum sempat atau tidak diselesaikan atau di dokumentasikan). Bila berhadapan dengan lawatan tinjauan oleh pihak atasan (seperti disebutkan tadi) – mahu PK1 ikut lari bersama Guru Besar. Pada anggapan saya, cikgu Ann mungkin tidak tergamak untuk ‘lari’ tetapi saya yakin dia bukanlah orangnya yang akan menjadi pelarian di arena sendiri. Saya faham bahawa dia hanya tidak bersedia untuk menguasai situasi dimana ketika itu (mungkin) ada sesuatu kekurangan ketika kunjungan PPD tersebut. Yang paling dikesali, Guru Besar ‘lari’ meninggalkanya; Nakhoda terjun ke laut meninggalkan kapal (?)
Sebelum itu, pada suatu masa, saya pernah terserempak PK 1 ini menghantar Guru Besarnya pergi naik bas untuk berkursus. Pernah juga beliau bersungut bahawa arahan GB ini tidak terbatas kepada tugasan harian rasmi sahaja tetapi menjangkau ke aspek peribadi dan keselesaan beliau sendiri. Mungkin jawatannya yang berpengaruh (di sekolah) menuntut beliau sepatutnya berada di dalam keadaan selesa. Kebetulan saya bersama dengan rombongan tersebut. Oleh sebab kereta saya kereta lama, saya meletakkannya di tempat berkumpul menaiki bas sehingga saya pulang dari kursus.
Guru Besar ini secara senyap (kononnya) mengagumi saya (maaf – angkat bakul) Dia tahu saya boleh membuat tugasan(mungkin ada kelebihan darinya dalam sesuatu hal – bukan semua). Kerana beliau pernah menyatakan kepada saya pada suatu hari : “Hang memang boleh buat kerja, tapi kerja hang semua hang tak tunjuk, macam mana orang nak kenal hang?’. Ungkapan itu amat membanggakan saya dan masih jelas dalam ingatan saya. Saya anggapnya sebagai satu penghargaan dan kemenangan kepada prinsip saya. Dia memang hebat- memerhati – saya. ‘aku, kerja aku aku tunjuk .. ‘ katanya lagi (mungkin maksudnya – baru orang di JPN / PPD nampak)
GB ini memang dikenali ramai kerana pada akhirnya beliau telah sampai ke puncak perjawatannya. Duduk sebaris dengan kepimpinan tertinggi di JPN. Bergerak ke sana -sini untuk memperkasa pendidikan. Menjalankan pelbagai program untuk di laksanakan oleh sekolah. ‘Tahniah atas pencapaian tuan’ bisik hati kecil saya, ‘Tuan telah berjaya menunjukkan kerja tuan kepada tuan-tuan kita dan hasrat telah termakbul, tuan suka dengan stail kerja tuan dan (tuan-tuan) juga suka dengan kerja tuan ini’
Saya memang ‘mengata’. Apa yang saya kata ialah sesiapa yang berada dipuncak kuasa mempunyai berbagai peluang yang terhidang. Samada mahu atau tidak kita menggunakannya untuk diri kita. Atau lebih baik kita gunakan bukan untuk kita tetapi untuk pelanggan-pelanggan kita, termasuk guru kita, dan waris yang memerlukan kita. Selain itu, hadapi bersama apa saja rintangan bersama seluruh warga sekolah kecuali warga sekolah enggan bersama menghadapi rintangan itu (mengapa ?)
…gbpencen…masih panggil guru sekolah lama lagi bila minyak moto (ter) habis di tengah jalan.
Cik gu Hamid dan cikgu Sahak mengajak saya ke Pulau Pinang (kami dari Seberang Perai). Ketika itu (kata orang ) saya ini – bodo-bodo cerdik lagi. Seusia remaja saya mendampingi Persatuan Belia (Persatuan Belia Tasek – PBT). Cik gu Hamid bin Att dan Cik gu Ishak Ahmad adalah pencetus inspiriasi penubuhan persatuan belia. Mereka masih muda ketika itu dan saya .. lagi muda. Sudah meninggalkan sekolah tetapi tidak (sesuai) untuk melanjutkan pelajaran, maka saya bersama dengan pemuda dewasa lain telah diajak berpersatuan.
Tiada banyak aktiviti ketika itu dan tidak banyak gejala sosial. Kami hanya bermain bola dan berkeliaran sekitar kampung dengan berjalan kaki dan berbasikal bila diberi kesempatan oleh abang-abang. Cikgu peneraju ini banyak kesungguhan dan sudah agak terkehadapan dalam berpersatuan. Mereka mencipta aktiviti yang tidak melibatkan sukan. Mengumpul pemuda untuk bermesyuarat, menyediakan sudut bacaan, menyediakan skrip drama unruk dilakonkan, merancang (tak pernah jadi) untuk membuat lawatan. Saya menyimpulkan bahawa tidak banyak kemudahan untuk mengenengahkan pemuda-pemuda ini melalui persatuan. Dan tiada tekanan untuk melakukannya kerana tiada banyak masaalah sosial pada ketika itu.
Sebagai orang baru dalam Persatuan, juga bekas anak murid mereka, cikgu peneraju ini sering menunjuk ajar berbagai perkara kepada saya. Mungkin diperhatikan saya mempunyai minat yang tinggi, maka mereka sering melibatkan saya dalam aktiviti persatuan belia itu. Tiada belia wanita dalam persatuan ini pada peringkat awalnya, dengan itu memudahkan cikgu peneraju ini menjalankan tugas tanpa memikirkan masaalah (biasa) belia dan beliawanis. banyak juga yang saya belajar.
Saya tidak pasti, kami pergi ke sana dengan menaiki kereta ‘apa / siapa’. Seingat saya, saya sudah sampai di Dewan Sekolah Cina Chong Hwa, kawasan Bayan Lepas. Tidak ramai orang di situ. Sambil menaiki tangga saya membetulkan langkah kerana seluar saya ketat. Satu-satunya seluar panjang yang saya ada, warnanya berkilat, pakaian semasa orang muda ketika itu. Masuk ke dewan, duduk di bahagian tengah. Saya nampak seolah-olah kenal dengan orang yang ‘bergaya’ duduk di situ. Berkot. Itulah menteri Belia dan Sukan, Datuk (?) Hamzah Abu Samah.
Nampak seperti sombong tapi berhemah menerima uluran salam tangan kami. Dengar juga perbualan sapaan ringkas antara cikgu peneraju dan menteri berkenaan. Saya dipinggiran. (bukan dipinggirkan) Ramai yang datang bersalam dengan menteri. Dia belum lagi ke hadapan tetapi berada disitu seolah-olah menyambut kedatangan tetamu majlis secara berperingkat-peringkat sehingga memenuhi separuh dewan, sebelum majlis ucapan dimulakan.
Akhirnya ketahuilah saya bahawa majlis tersebut ialah perasmian Mesyuarat Agung 4B Negeri Pulau Pinang. Maka dengarlah saya ucapan demi ucapan. Saya kurang memahami akan isi penyampaian kerana saya tidak diberi pendedahan awal mengenai majlis itu. Sehinggalah saya diminta bangun untuk mengundi. Saya juga dipinggiran semasa makan tengahari kerana tiada hadirin yang sebaya dengan saya. Penantian yang menjemukan berakhir juga setelah majlis itu berakhir juga diawal petang . Pulang dengan rasa tidak selesa kerana merasa terkongkong dalam (satu-satunya) majlis yang belum pernah saya hadiri sebelumnya.
Dapat bercerita dengan kawan-kawan yang saya telah berjumpa dengan menteri ….. bangga juga ketika itu kerana saya orang pertama di kalangan kawan-kawan yang diberi peluang sedangkan kawan-kawan lain masih berkeliaran serata kampung. Tapi (sebenarnya) yang ingin saya kongsi ialah:
Cikgu (peneraju) (model) telah melakukannya : Guru adalah pencetus keterampilan masa depan kepimpinan anak murid / masyarakatnya. Kepimpinan guru adalah ditagih sepanjang masa, atas kesediaan ikhlas hati nuraninya kerana ‘aura guru’ amat terang benderang bagi menerangi masyarakatnya, anak didiknya, lingkungan kawalannya, bahkan negaranya. Ianya telah dibuktikan sebelumnya… disuatu masa dulu.
Cikgu – ditagihkan aura sebegitu dari cikgu bagi menyusun tapak untuk melangkah bagi mengharungi cabaran yang kian berliku dihadapan kita maskini. Peristiwa semalam, yang terbaru, baru-baru ini, tidak berapa lama dahulu terus menagih aura guru. Jawapan tidak pasti sentiasa berada di sisi kita sepanjang masa. Kerana masa sudah tidak lagi jauh akan berlaku.. hanya dihujung trowong yang cahayanya semakin memarak … disuatu masa sekarang.
…gbpencen…sering mencontohi disuatu masa dulu kerana lebih baik dari disuatu masa sekarang tapi masih berpijak bahawa saya berada di suatu masa sekarang.
MGB (Majlis Guru Besar) adalah nama ringkas yang sangat popular di kalangan Guru Besar semasa bertugas. Ditubuhkan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Diberitakan bahawa ianya sebuah pakatan semua pengurus sekolah bertujuan untuk membantu organisasi pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
MGB akan melantik organisasinya melalui proses demokrasi seperti pertubuhan lain juga. Seperti biasa (dan sedia maklum) terdapat juga politiking dalam pemilihan dan organisasi kepimpinannya. Guru Besar juga tidak terkecuali keghairahannya untuk memimpin organisasi. Secara sedar atau tidak, kita akan dapat melihat dan menyaksikan (ada bezanya antara melihat dan menyaksikan) beberapa pemimpin yang menonjolkan diri untuk meneraju kepimpinan MGB itu.
Saya seorang Guru Besar yang tidak berpengaruh, suka berada di sekolah daripada tempat-tempat lain. Di Majlis berprotokol adalah tempat yang saya tidak sering mengunjunginya. Hanya hadir di majlis-majlis informasi. Jadi saya tidak popular di kalangan rakan Guru Besar dan pegawai di PPD atau JPN. Itu pilihan saya dan saya tidak menyalahkan sesiapa. Walau bagaimanapun saya tetap mengikuti perkembangan Majlis Guru Besar di daerah saya. Mungkin saya seorang yang tidak kreatif tetapi saya agak kritis.
Dalam tahun 1999, Majlis Guru Besar Seberang Perai Utara (SPU) berkumpul untuk membuat beberapa keputusan untuk memudah cara..kan program anjuran PPD dan JPN. Kerjasama dapat diwujudkan bagi melicinkan perjalanan program. Pada Tahun 2000, Majlis Guru Besar Seberang Perai Selatan (SPS), sering mengadakan mesyuarat. Boleh dikatakan berselang 2 atau 3 minggu mesyuarat dijemput. Hingga berjam-jam lamanya lengkap dengan makan minumnya. Keputusan nya, semua Guru Besar (SK) boleh pergi ke kedai mengukur baju kot masing-masing. Semua sekolah mesti menggunakan buku ringkasan yang di cipta khas oleh Majlis Guru Besar (SPS). Perbincangan mengenai akademik murid banyak bertumpu kepada penyediaan dan penjualan kertas soalan kepada murid-murid di semua sekolah.
Tahun 2001, Majlis Guru Besar Seberang Perai Tengah (SPT) jarang mengadakan mesyuarat kerana pemimpinnya ( Cikgu Yahya Zakaria, Pengerusi MGB Malaysia di satu ketika dan anak didiknya, cikgu Ilias juga sering bersamanya) sering berada di luar kawasan untuk memimpin Majlis Guru Besar Negeri dan Kebangsaan. Bermesyuarat ketika mana ada sesuatu program oleh JPN atau PPD sahaja. Aktivitinyanya ialah seperti MGB lain, sediakan soalan, cetak dan jual. Hasilnya akan dikumpul untuk majlis ilmu dimana semua Guru Besar akan dibekalkan dengan banyak cenderahati seperti baju, t-shirt, beg, alatulis, buku dsb yang berlogo kan MGB daerah itu dan ini. Program di anjurkan oleh JPN (majlis rasmi) dan dikerja samakan oleh MGB melaui promosi jualan itu dan ini oleh pembekal kepada sekolah. MGB berinisiatif untuk menambahkan pendapatan. Saya ada juga mendapatkannya dan ada diantara baju-baju itu belum sempat atau tidak suka saya pakai dan ada yang saya tak ambil pun.
Dalam (3) daerah MGB yang pernah saya tumpang bersama, saya tidak banyak belajar sesuatu dari Majlis ini. Aktivitinya akan berkisar kepada menaja promosi syarikat pembekal selain dari membantu (memang sepatutnya) melicinkan program JPN dan PPD. Aktiviti yang ketara adalah menjana pendapatan dari hasil jualan barangan termasuk produk soalan kepada semua murid. Menyusun jadual / soalan peperiksaan percubaan yang ‘stara’ untuk semua sekolah (untuk dibeli) dan membuat analisa untuk dihebahkan kepada semua sekolah dalam kawalannya.
Pemimipin MGB memang ampuh perhubungannya dengan JPN dan PPD. Mempunyai kebolehan untuk ‘bersuara’ dalam banyak forum pendidikan di peringkat negeri, kerana mereka selalu dibenarkan bersuara. Dan suara mereka tidak berlaku pembelaan kepada ahli (Guru-Guru Besar). Ianya hanya berkisar kepada masalah MGB dan JPN/PPD tidak bertumpu kepada masalah peringkat pengurusan sekolah. Oleh yang demikian Guru Besar akan membantu MGB, MGB tidak membantu Guru Besar, Guru Besar dapat hadiah beg.. berbeg-beg, ber t-shirt.. t-shirt, berbuku-buku dan ber kot-kot.
Saya menghargai jika ada penafian dalam coretan ini dan saya ingin mencorert lanjut mengenainya.. Apa yang sepatutnya MGB lakukan (pada hemat saya)
..gbpencen… baru jumpa Mazlan (bekas murid saya) sekarang (orang kuat MGB KL) baru lepas main golf dengan Datuk Alimuddin (kelmarin-katanya) semasa ziarah kematian bekas tukang kebun SK Pancor.